Monday, February 27, 2012

The Journey..Till The End~





Hampir tiga tahun berada di perbukitan ilmu UKM. Detik perjalanan mengharungi suka dan duka silih berganti. Kutemukan keindahan hikmah sebuah kembara. Kembara ini mengenalkanku kepada dunia tarbiah yang lebih luas. Sangat merindui taman thanawi. Di perbukitan ilmu ini, ku temui praktikal kepada tarbiah di taman thanawi. Dunia baru ini memerlukan aplikasi pentarbiahan sebelumnya, kembali menyegarkan tarbiah diri agar menjadi afradul muslim yang diredai Allah.

Kembara ini menemukan sebuah persahabatan, dalam sebuah keluarga besar. Untuk membawa dakwah Islam, kita memerlukan gerakan yang bersistem. Kita memerlukan sokongan dan dokongan dari sahabat-sahabat yang akrab, kukuh ukhuwwahnya.. Dengan itu, terasa indahnya pertemuan, perpisahan. Kesemuanya dalam rangka menebarkan haruman Islam, sebagai satu cara hidup yang lengkap.

Kembara ini seringkali mendewasakan usia, mematangkan tindakan. Walau ku akui, masih bertatih menuju ke arah itu.. Banyak yang kutemui, banyak kelemahan yang tersingkap dan banyak jua ruang yang mampu diterokai. Pesan sentiasa pada diri, manfaatkanlah dirimu untuk Islam dan perjuangannya.

Kadang terasa sendiri dalam langkahan ini, tanpa sedar banyak yang perlu dihargai. Hargai apa sahaja yang ada, di sekeliling agar mekar indahnya sebuah pentarbiahan Ilahi.

Sekadar bicara pada diri..
Ana|12:49 am |K6Q 111

Tuesday, February 21, 2012

Bersama Melangkah, Bina keperibadian muslim



Sembang Santai adik dan kakak suatu petang..

Aina : Akak, kenapa susah sangat adik nak jadi BAIK?

Akak : Alhamdulillah, akak perhatikan adik akak ni dah banyak berubah. Tapi kan, dik..Adik tak boleh cepat mengharapkan kesempurnaan. Memang, adik dapat rasakan kesusahan untuk jadi BAIK. Cuba adik fikir-fikirkan..Kenapa ea, susah betul nak jadi baik. Tapi, kalau nak jadi jahat mudah ajer..Hmm..

Aina : Ala, akak. Adik tak dapat fikirkan sebabnya. Kenapa akak?

Akak : Hmm..Adik, memang jalan menuju syurga dipenuhi dengan halangan sebab syaitan dan nafsu tak suka perkara-perkara kebaikan. Kita kena menahan nafsu dan menepis godaan syaitan untuk melaksanakan kebaikan. Tapi, perkara-perkara kemungkaran sangat disukai oleh nafsu dan syaitan. Jadi, tanpa penilaian berpandukan iman dan ilmu, mudahlah untuk kita melakukan kemungkaran.

Aina : Owh, macam tu. Ye la akak. Hmm.. Adik tahu! Adik tahu! Lepas ni, adik kena kuatkan perisai iman dan ilmu untuk menang, kan akak?

Akak : Alhamdulillah, pandai adik akak. Sayang adik..InsyaAllah, sama-sama kita memperingatkan. Kalau kakak salah, adik tegurlah ye. Kalau adik salah, akak pun akan tegur adik. InsyaAllah, kita sama-sama jadi baik. Amacam, setuju?

Aina : Betul, betul, betul (sambil mengangguk seperti Upin dan Ipin).

Kedua-duanya tersenyum sambil memandang langit yang membiru..


Maksud firman Allah s.w.t :
Demi Masa. Sungguh, manusia berada dalam kerugian. kecuali orang yang beriman dan mengerjakan kebajikan serta saling menasihati untuk kebenaran, dan saling menasihati untuk kesabaran.

al- Asr : 1-3

Wednesday, February 15, 2012

Tinta Serikandi, Tak Mudah Mengalah!!


Kulihat sekilas panorama di sebalik jendela. Cuaca cerah, mentari memancarkan sinarnya. Angin petang bertiup lembut, kelihatan dedaun di luar rumah dipukul mesra oleh angin. Seakan kelembutan angin menyapa kegelisahan hati. Benar hati ini terasa gelisah, namun tidak pula kugagahi diri untuk merawatinya. Mengapa perlu dibiar diri terus gelisah dek persoalan-persoalan yang tidak pasti.

Kutujukan perkongsian buat insan yang bersedih. Sebuah motivasi insan kerdil membangunkan diri dengan keyakinan bahawa, di saat- saat sukarnya, dia masih punya Allah sementara di saat-saat senangnya dia masih ingat pada Allah. Hidup ini indah diiringi pentarbiyahan Ilahi.

Benar, manusia seringkali dibelenggu dua perkara utama iaitu persoalan masa lalu dan juga persoalan masa depannya. Terlalu berfikir mengenai masa lalu, maka jiwa menjadi gundah dengan kesedihan sementelah terlalu berfikir mengenai masa depan, maka jiwa menjadi takut, takut untuk berdepan dengan cabaran dan halangan yang perlu dilalui.

Tinggalkan luka- luka semalam dan binalah diri yang baru. Kerana dirimu begitu berharga sebagai hamba dan khalifah Allah. Mengapa harus terus lemah dengan bayangan kesedihan semalam, sedangkan Allah masih menganugerahkan limpah dan rahmatNya secara berterusan. Tinggalkan kesedihan itu, kerana dirimu masih mampu melakukan sesuatu untuk masa depanmu. Gunakanlah sisa-sisa kehidupanmu dengan mentauhidkan Allah.

Engkau bertuah, dilahirkan sebagai seorang muslim. Mendapat limpahan hidayah dari RabbMu. Apakah itu belum bercukup untuk menjadikan dirimu bersyukur? Teman, itulah sebaik- baik anugerah yang Allah anugerahkan. Iman itu kepercayaan, iman itu keyakinan. Teruskanlah membina iman di hatimu kerana iman itu bukanlah ungkapan yang hanya manis di bibir, tetapi iman adalah sepenuh kecintaan, sepenuh penghayatan yang mampu diterjemahkan dalam segenap ruang hidupmu.

Mana mungkin seorang pencinta mengingkari kekasihnya. Demikianlah juga kecintaan kita kepada Allah nescaya mampu menggerakkan kita untuk melakukan apa sahaja keranaNya. Cintailah, nescaya dirimu merasa bahagia. Pada setiap ciptaanNya, terasa kehebatan dan keagunganNya. Bagaimana kita mampu mengingkari keagunganNya. Sungguh, Maha Suci Allah yang Maha Menciptakan!

Benar, bukanlah salah bagimu untuk merasa sedih, berduka dan kecewa kerana kita adalah insan. Insan yang pasti ada kekurangan. Namun, janganlah dibiarkan dukamu itu terus melara dan dirimu hanyut dibawa arusnya. Bangkitlah setelah engkau mengalami kejatuhan, setelah engkau rebah, setelah engkau merasa dirimu teruji kerana ujian itu lumrah kehidupan. Dengan ujian, Allah mentarbiah kita dengan cara yang paling seni. Halus dan memberi kesan, bagi insan-insan yang berfikir menggunakan mata hatinya.

Usah terus menderita kerana kesedihanmu, bangkitlah teman. Ayuh, mara ke hadapan menjadi serikandi pejuang yang tabah mengharungi mehnah. Sungguh, kita perlu terus membawa seruan Islam agar nikmat ini dirasai semua insan. Kita punya taklifan sebagai hamba dan khalifah Allah. Andai kita terus lemah, apakah kita mampu untuk bersama-sama menebarkan haruman Islam? Ayuhlah bangkit, tinggalkan luka semalam. Sebarkan Islam sebagai satu cara hidup, sumber bahagia dunia dan akhirat.InsyaAllah~