Saturday, October 8, 2011

Love Islam For Eternity





Proses penggarapan ilmu dan amal. Menterjemahkan segala potensi dalam rangka usaha memanfaatkan diri untuk perjuangan Islam. Membawa Islam, walau mungkin dengan cara yang paling kecil, mudah-mudahan ada nilaiannya di sisi Allah s.w.t. Dalam langkah ini, sejenak terhenti. Introspeksi mengenai kepimpinan. Kepimpinan dalam Islam, merupakan satu aspek yang penting. Kepimpinan bukanlah satu tasyrif untuk dibanggakan, bahkan kepimpinan merupakan satu taklifan yang merupakan satu amanah / tanggungjawab yang menuntut komitmen penuh bagi menjayakannya dengan mengharapkan keredhaan Ilahi.Bukan ingin dilihat hebat pada pandangan manusia, tapi cukuplah punyai kejelasan dalam perjuangan agar melahirkan keikhlasan demi mencari keredhaan Allah.


Sebuah perjalanan melalui mehnah dan tribulasi dalam pembentukan jiwa daie. Pembentukan jiwa daie dalam rangka membawa seruan Islam. Perjalanan juang itu menuntut jiwa yang teguh ikatannya dengan sumber segala kekuatan iaitu Allah s.w.t. Perjuangan itu menyedarkan betapa perlunya penjernihan terhadap fikrah yang didokong agar selari dengan syariatullah dan sunnatullah.
ala kulli hal, Allahu a'lam..


~Ya Allah, tunjukkanlah kepada kami kebenaran sebagai suatu kebenaran, serta berikanlah kepada kami kesempatan, kekuatan untuk mengikutinya. Ya Allah tunjukkanlah kepada kami kebatilan sebagai suatu kebatilan serta jauhkanlah kami darinya~ Amiin ya Rabbal ‘Alamiin..

Saturday, September 24, 2011

Keindahan yang terlakar ~





Dengan nama Allah yang Maha Pemurah Lagi Mengasihani. Alhamdulillah, puji dan pujian ditujukan kepada Allah, pencipta sekalian alam..

Sekadar cetusan rasa.
Adakalanya dalam kehidupan, kita menempuh saat-saat sukar dan dirasakan getir. Adakalanya kita berada dalam satu posisi yang cukup selesa. Kedua-dua situasi ini silih berganti. Kesusahan, mungkin sesuatu yang tidak ingin dilalui langsung jika diberi pilihan antara kedua posisi ini. Pada kedua-duanya terselit sejuta malah lebih, hikmah yang sukar dimengertikan oleh seorang insan..

Pandang sisi positif mengenai kesusahan, kegetiran dan kesedihan.
Sekadar cetusan rasa.
kesusahan itu seringkali mengajar kita untuk lebih menghargai bahkan mensyukuri apa yang kita miliki. Kesusahan itu guru yang seringkali mendidik kita untuk lebih mandiri. Kesusahan itu terasa bererti bila mana ia mmbantu memperteguh langkah kita dalam menjalani kehidupan. Kesusahan itu terasa begitu bermakna tatkala ia menyedarkan kita bahawa kita sangat berharap kepada pertolongan Allah s.w.t yang Maha Berkuasa..

Maka, bertitik tolak dari itu, sentiasalah mengingati Allah dalam senang mahupun susah tanda ikatan kita sebagai hamba kepada Allah s.w.t..Indahnya pentarbiyahan Ilahi, mudah- mudahan kita diredhaiNya. Amiin ya Rabbal ‘Alamiin..
Allahu a’lam..

Monday, September 12, 2011

Cita-citaku, cita-citamu jua


Erti sebuah kehidupan. Tersentuh saat mendengar kalam ustaz sebentar tadi di surau an-nur. Bahawasanya setiap insan pasti menemui kematian kerana kematian itu suatu yang pasti. Kehidupan di dunia adalah sementara sedangkan kehidupan di akhirat kekal abadi. Namun, apa persediaan kita untuk kehidupan di akhirat sana? Allahu Allah..

Renungan sejenak..
Terkadang dalam meneruskan kehidupan yang masih berbaki ini, kita alpa mengenai saat pertemuan dengan Allah s.w.t. Pesan ustaz, setiap malam sebelum tidur, niatkanlah di dalam hati untuk tergolong dalam kalangan orang-orang yang bertaqwa. Mesti bercita-cita, berazam dan berusaha untuk merealisasikan agar sifat-sifat, cara kehidupan mukmin bertaqwa mampu dibumikan dalam kehidupan seharian kita.


Masa terus berputar. Detik demi detik berlalu pergi. Adakalanya diri tersedar, adakalanya dalam kealpaan. Kerana itu, masa perlu digunakan sebaiknya. Seandainya tidak digunakan secara optimum untuk amal kebaikan, nescaya ruang-ruang kosong itu akan terisi dengan perkara-perkara biasa yang tidak mampu memberikan sumbangan kebaikan kepada diri di dunia mahupun akhirat sana. Allahu Allah.

Yang dinamakan kehidupan di dunia itu adalah sebatas ruang waktu yang dianugerahkan Allah kepada kita. Kematian itu pemutus kehidupan di dunia dan penyambung kehidupan di akhirat. Bagaimana kita menggunakan masa, begitulah kita sedang menguruskan kehidupan. Sesungguhnya dunia merupakan persinggahan yang bersifat fana’. Manakala akhirat merupakan tempat yang kekal abadi. Manusia merupakan perantau untuk menuju destinasi utamanya iaitu akhirat.

Cita-citaku, cita-citamu jua. Kerana kita adalah saudara yang mempunyai ikatan yang paling indah iaitu, ikatan akidah. Menyemai cita-cita untuk akhirat. Seorang muslim itu perlu mempunyai cita-cita untuk akhiratnya sebagaimana cita-cita yang biasa kita dengari.Misalnya, ada yang bercita-cita untuk menjadi doktor, guru mahupun tentera. Untuk mencapai cita-cita itu memerlukan usaha dan kesungguhan.

Demikianlah, cita-cita untuk akhirat adalah untuk memperoleh kejayaan di dunia mahupun akhirat dengan izin Allah s.w.t. Bertaqwa, kerana sesungguhnya manusia yang paling mulia di sisi Allah s.w.t adalah orang-orang yang bertaqwa. Dengan itu, dia akan sentiasa berjuang mempertingkatkan diri, menjadikan ruang kehidupannya penuh dengan kesungguhan. Menyusun strategi dengan mempergunakan dunia dengan sebaik-baiknya sebagai jambatan. Sesungguhnya Allah menyukai seorang muslim yang melakukan kerjanya dengan penuh kesungguhan. Begitulah sewajarnya seorang muslim, sentiasa proaktif untuk mencapai cita-citanya.

Tanpa matlamat yang jelas, tanpa wawasan akhirat, hidup jadi terumbang-ambing ibarat kapal hampir karam. Sesungguhnya seluruh kehidupan ini adalah milik Allah s.w.t. Kita adalah hamba dan khalifah di muka bumi Allah ini. Semarakkan hidup dengan cita-cita dan wawasan untuk akhirat.

Pesan as- Syahid al-Imam Hassan al- Banna, ‘’Lakukanlah perubahan terhadap diri sendiri sebelum kepada ummah.’’ Kita niatkan kehidupan ini kerana Allah sebagaimana hadith pertama di dalam kitab hadith Matan Arbain Imam Nawawi, maksud sabda Rasulullah s.a.w, ‘’ Sesungguhnya amalan itu berdasarkan niat.’’ (Riwayat al- Bukhari).
Pesan buat diri yang sering alpa.
‘Allahu a’lam.

Sunday, July 3, 2011

Permata Islam Harapan Ummah~

Alhamdulillah, segala puji dan pujian dirafakkan ke hadrat Allah s.w.t yang masih lagi menganugerahkan kita iman dan islam, memberi kita rahmat dan kasih sayangNya tanpa putus. Pemeliharaannya terus dipohon oleh kita, sekalian hambaNya di perjalanan juang ini. Medan penulisan ini kembali diteruskan dengan sebuah perkongsian mengenai dunia pendidikan.

Kembali menjejakkan kaki ke alam persekolahan. Merasai dan menjiwai watak seorang pendidik. Seorang guru, yang berperanan mendidik dan membimbing penuntut ilmu. Saat tergalasnya amanah itu, dapat dirasakan cabaran dan mehnah yang pasti akan bertamu. Benarlah, menjadi pendidik memberi ruang untuk diri ini menimba secangkir pengalaman dalam langkah kedewasaan. Ada apa dengan seorang pendidik?

Ternyata, menjadi seorang pendidik memerlukan lebih dari sekadar pencapaian baik di dalam pelajaran di alam kampus sebagai seorang pelajar. Dunia pendidikan adalah dunia yang memerlukan kesungguhan dan kegigihan mempraktikkan ilmu yang telah dipelajari untuk disampaikan kepada anak didik agar bertepatan dengan maksud yang sebenar.

Dunia pendidikan adalah dunia tarbiyah. Di dalamnya terdapat modal insan yang perlu diasuh menjadi permata Islam yang memahami dan mengamalkan ilmunya. Setiap anak didik ibarat kain putih yang memerlukan corak untuk menyerikan dunianya. Sebagaimana kedua ibu bapa yang sangat penting dalam menerapkan keperibadian dan sahsiah Islam di jiwa anaknya,demikian juga pendidik.

Hidup jadi lebih bermakna dengan memberi.Dengan mempunyai sesuatu, insyaAllah, kita juga mampu memberi. Demikianlah juga seorang pendidik. Seorang pendidik memerlukan nilai-nilai keilmuan yang tinggi digarap dengan keindahan akhlak islami agar mekar di jiwanya misi untuk menyebarkan keindahan Islam sebagai satu cara hidup sekaligus membumikan islam di jiwa anak didiknya.Akhir kalam, sebaik-baik manusia adalah yang berakhlak dan mampu memanfaatkan diri untuk kepentingan ummah. Wallahu a’lam.

Ya Rabbana, suburkanlah di hati kami ilmu yang bermanfaat agar dengannya kami hidup dengan iman dan taqwa kepadaMU.Amiin ya Rabbal ‘Alamin.