Sunday, August 29, 2010

Mencari keredhaanMu

Mencari suatu kesempurnaan itu
seringkali membuat diri terluka
Terluka kerana hakikatnya tidak begitu
Yang dinamakan manusia itu kerdil


Tidak ada jalan pintas untuk menggapai sesuatu
Melainkan perlu melalui jalan-jalannya
Yang ada kalanya dirasakan begitu berliku
Kenapa begitu sukar dirasakan
Terasa begitu lemah dan kerapkali
Putus asa itu datang bertandang
Meski tidak pernah diundang

Jangan begitu
Seorang muslim yang kuat itu amat disukai Allah
Berbanding muslim yang lemah
Seorang muslim itu tidak pernah
Berputus harap pada Allah yang Maha Berkuasa
Ada harap dalam doa tulusnya
Ada ikatan antara harap dan yakinnya
Pada Allah

Ada kesenangan di sebalik sukar itu
Ada sinar di sebalik kegelapan itu
Ada bahagia di sebalik duka itu
Ada kerehatan di sebalik keletihan itu

Sandarkanlah pengharapan pada Allah
Dekatkanlah diri kepadaNya
Kerana Dia Maha Mengetahui
Hakikat hambaNya

Ya Allah,
Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani
Jangan engkau biarkan hambaMu ini
Jauh dariMu
Kerana hakikat sebuah kehidupan ini
Adalah keranaMu

Friday, August 27, 2010

Biru Langit Ramadhan

Hari ini,
kutatap tenang biru langit Ramadhan
dalam syukur tak terhingga
kerna masih bisa kuhirup syahdu auranya
yang kurindu sentiasa.

Biru langit Ramadhan itu
bertandang bersama kurnia
seribu simpulan rasa
tak tertafsir dek kata-kata.

Kerap kurindu Ramadhan itu,
dalam rasa syahdu, mengisi sahur di hujung malam
kerna dalam jamahan yang sedikit
ada segunung berkat tersurat.

Kurindu Ramadhan itu
juga dalam setiap rasa insaf yang bertandang
melewati waktu siang yang panas membahang
dalam perang hawa nafsu dan kelaparan
menguji iman.

Kurindu Ramadhan itu
tika mengadap iftar dalam syukur
dan genang airmata
kerna disetiap kali tanganku angkat dan doaku panjat
‘Sesungguhnya aku berpuasa dan berbuka kerana-Nya’
dengan rezeki sekadar cuma.

Kurindu Ramadhan itu
tatkala khusyuk dalam qiam Tarawih
teguh hati mengadapnya
meminggir diri dari indah duniawi
solat dalam ikatan ukuwah
memohon rahmat dan barakah
juga redha-Nya.

Kurindu Ramadhan itu
pada hadir lazatnya rasa,
di setiap kesempatan
tika kualun indahnya ayat-ayat suci Al Quran
petunjuk sepanjang zaman.

Dan setiap musim
tika Ramadhan menghampiri hujungnya
ada sebak bertamu di hati
dan airmata tumpah di pipi
kerana aku tak pasti
masih adakah kesempatan
bertemu Ramadhan lagi...



www.iluvislam.com
oleh : Sidd Packey
editor : IskethaykaL

Saturday, August 21, 2010

Kerana Allah kita berukhuwwah

Terasa sebuah kerinduan mula bersemi
terhadap sesuatu yg kiranya amat penting
yang dirasakan semakin hari semakin hilang
Rindu padanya lantaran ia seakan smakin menjauh
Terasa sebuah kehilangan tanpanya.

Kehilangan itu memberi kesan
Kesan yang mendalam pada insan yang menyedari kepentingannya
Apakah kehilangan itu?
kehilangan itu,
kehilangan kemesraan dalam sebuah ukhuwwah

Apa itu ukhuwwah? Mengapa ia penting?
Kenapa kehilangannya memberi kesan yg mendalam?
Persoalan dan persoalan terus menggasak
Kenapa ukhuwwah itu semakin menyepi?
Kenapa terlalu sukar untuk menghargai ukhuwwah yg trbina sebatas waktu ini?

Persoalan dan persoalan lagi
Namun, apa yg lbih dprlukan bkn hanya persoalan
tapi kesedaran yg mmpu mengetuk pintu hati dan
pelaksanaan tindakan yg sewajarnya

Ayuh,rapatkan kembali ukhuwwah yang telah terjalin
Ayuh, bina kembali ukhuwwah dengan cinta dan kasih sayang
Kerana asasnya ukhuwwah itu didasari dengan iman kepada Allah
Hakikatnya kita bersaudara dengan ikatan yang termahal
Iaitu ikatan Akidah
Kerana Allah kita bertemu dan berpisah
Kerana Allah kita berukhuwwah..

Thursday, August 5, 2010