Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: ‘’Hendaklah kamu memperbanyakkan menyebut perkara-perkara yang akan melenyapkan kelazatan (mati).
H.R Tarmizi, Nasaie dan Ibnu Majah
Sabda Rasulullah s.a.w : ‘’Hendaklah kamu mengingati mati kerana mengingati mati itu boleh menghapuskan dosa dan mendorong seseorang itu zuhud di dunia’’.
Sabda Rasulullah s.a.w : ‘’ Memadailah mati itu sebagai nasihat’’
Sabda Rasulullah s.a.w :‘’Dengan banyak mengingati mati dan mengadakan persediaan yang lebih baginya,mereka itulah orang-orang pintar yang pergi dengan kemuliaan dunia dan kehormatan akhirat’’.
H.R Ibn Majah
Sabda Rasulullah s.a.w :‘’Hendaklah kamu hidup sebagai seorang yang mulia yang mana dunia tidak mempengaruhi kamu ataupun hendaklah kamu mati syahid’’.
‘’Katakanlah,sesungguhnya kematian yang kamu lari daripadanya itu tetap akan menemui kamu,kemudian itu kamu akan dikembalikan kepada Tuhan yang Maha Mengetahui segala yang tersembunyi dan yang nyata,maka Dia akan memberitahu kamu apa yang pernah kamu lakukan.’’
Surah al-Jumaah:8
Hakikat sebuah kematian itu pasti,namun seringkali kita alpa dan melupakan detik pengakhiran sebuah kehidupan yang merupakan jambatan untuk ke akhirat yang kekal abadi. Kealpaan sering menemani sehingga kita melupakan bekalan yang sewajarnya dipersiapkan untuk menemuinya.Bagaimanakah saat perpisahan itu akan kita hadapi? Bagaimanakah kita akan pergi ke sana? Sesal dan insaf pada saat itu tiada gunanya kerana kita sudah terlepas peluang. Ayuh,kita muhasabah diri dan pertingkatkan amal soleh,meninggalkan laranganNya ketika kita masih diberi ruang dan peluang. Ayuh, kita sentiasa mengingatkan diri bahawa kita pasti akan mati dan bersiap untuknya.