"Jadikanlah dirimu orang alim atau orang yang menuntut ilmu atau orang yang selalu mendengar pelajaran agama, atau pun orang yang mencintai (tiga golongan yang tersebut); dan janganlah engkau menjadi (dari) golongan yang kelima, yang dengan sebabnya engkau akan binasa."
Wednesday, October 19, 2011
Leadership in al Quran
Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihi. Segala puji-pujian ditujukan kepada Allah s.w.t. Selawat dan salam buat Rasul junjungan, Nabi Muhammad s.a.w.
Sedikit perkongsian. Perkongsian berkisar pengisian usrah sebentar tadi. Alhamdulillah, masih diberi kesempatan oleh Allah untuk berusrah dan mendengar pengisian mengenai tafsir al-Quran, surah al Naml ayat 15 – 28. Sesungguhnya al- Quran adalah kalamullah, dikurniakan kepada seluruh umat melalui perutusan rasul junjungan yang mulia, Nabi Muhammad s.a.w. Di dalamnya terkandung pedoman kehidupan yang disusun oleh Allah s.w.t. Alhamdulillah, diberi kesempatan untuk sama-sama mentadabbur surah al –Naml ayat 15 -28 yang menceritakan Nabi Allah, Daud dan Sulaiman alaihimassalam, dua rasul pilihan Allah s.w.t.
Apa yang dikongsikan adalah ibrah mengenai kepimpinan Nabi Daud dan Nabi Sulaiman a.s. Ilmu merupakan satu aspek yang penting dalam sesebuah kepimpinan. Sebagaimana dinyatakan di dalam ayat ke-15 surah al-Naml, Nabi Daud a.s dan Nabi Sulaiman telah dikurniakan ilmu yang luas oleh Allah s.w.t. Dan dengan kurniaan ini, terbinalah satu kepimpinan yang kukuh. Ini mengisyaratkan seorang pemimpin perlu memiliki ilmu dalam melaksanakan amanah yang tergalas padanya.
Sesungguhnya nikmat yang dikurniakan Allah s.w.t tiada bandingan. Rasa kesyukuran yang tinggi kepada Allah s.w.t diperlihatkan oleh Nabi Daud a.s dan Nabi Sulaiman a.s dengan kurniaan Allah s.w.t. kepada mereka. Ketinggian akhlak para anbiya’ pilihan Allah jelas terzahir sebagai teladan kepada kita. Mensyukuri apa yang kita miliki adalah satu kemestian sebagai manifestasi ingatan kepada Allah s.w.t. Introspeksi buat diri, agar mendahulukan kesyukuran kepada Allah s.w.t atas segala yang kita miliki kerana hakikatnya kesemuanya adalah milik Allah s.w.t yang dipinjamkan kepada kita. KepadaNyalah dikembalikan segala pergantungan. Allah Maha Besar.
Ditampilkan kelebihan Nabi Sulaiman a.s yang mempunyai mukjizat iaitu mampu memahami bahasa haiwan serta mampu menundukkan jin. Kemampuan baginda memahami bahasa haiwan terserlah menerusi perkataan yang diucapkan oleh semut tatkala bala tentera baginda semakin menghampir. Satu kurniaan yang dianugerahkan Allah kepada baginda. Baginda juga mempunyai kewibawaan sebagai pemimpin. Sistem yang tersusun rapi sangat perlu dititikberatkan dalam sesebuah kepimpinan dalam merealisasikan matlamat yang ingin dicapai sebagaimana satu sistem dan susunan yang rapi tatkala bala tentera baginda dari kalangan jin, manusia dan burung dikumpulkan.
Nabi Sulaiman a.s merupakan seorang pemimpin yang teliti terhadap ahli yang dipimpinnya. Justeru, Baginda mengetahui ketidakhadiran hud-hud. Begitulah seorang pemimpin, perlu mengetahui permasalahan ahli di bawah pimpinannya. Ketegasan Baginda dapat difahami apabila baginda memberi kata dua kepada Hud-hud iaitu dihukum ataupun memberikan alasan yang jelas atas ketidakhadirannya. Hud –hud merupakan seekor burung yang pintar yang mana setelah kemarahan baginda reda, barulah dia menemui baginda dengan satu perkara yang menarik minat baginda. Sebagai seorang pemimpin, baginda menunjukkan contoh perhubungan yang baik dengan ahli di bawah pimpinannya. Hud- hud diberi peluang untuk memberi penjelasan. Sifat kepimpinan baginda sangat berhikmah yang mana setelah mendengar berita yang disampaikan baginda memerintahkan agar dipastikan kesahihan berita itu.
Akhir kalam, penghayatan terhadap kalamullah tersangatlah penting dalam kehidupan individu muslim. Pada al- Quran terbentang hikmah, pengajaran dan aturan yang cukup- cukup indah memperlihatkan kekuasaan dan keagungan Allah. Introspeksi buat diri, jadikanlah al-Quran panduan hidup yang sentiasa di hati agar terzahir pada amalan. Dan, kepimpinan dalam Islam merupakan satu amanah yang perlu dilaksanakan dengan mengikut garis-garis yang ditetapkan oleh Islam. Maka, contohilah kepimpinan para anbiya’ sebagaimana yang dirakamkan dalam al-Quran demi mencari keredhaanNya.
Allahu a’lam…