Thursday, April 21, 2011

~KISAH KITA~



Sebuah kisah dalam episod ukhuwwah. Terasa baru semalam memori itu terpahat.Saat AKU,KAMU dan MEREKA (KITA) menempuh detik-detik indah UKHUWAH yang terpateri. KITA melangkah bersama mengenal erti kehidupan.Menyemai ikatan persaudaraan dengan ikatan akidah. Andai kini UKHUWWAH itu seolah sirna ditelan masa, ayuh kita mulai kembali ikatan itu. Keterasingan dari UKHUWWAH itu membibitkan jurang yang tidak sewajarnya. Maka, ikatlah kembali tautan itu dengan apa cara sekalipun agar AKU,KAMU dan MEREKA (KITA) seiring melangkah.Kisah AKU,KAMU dan MEREKA (KITA) akan terus berjalan selama hayat ini. Persahabatan itu indah bilamana ia disulam dengan akhlak yang dianjurkan ISLAM..Bersama selusuri keindahan UKHUWWAH dalam Islam:
Firman Allah dalam surah al Hujurat ayat 10:

“Sesungguhnya orang-orang mukmin itu bersaudara..’’


Sabda Rasulullah s.aw :
‘’Bandingan orang mukmin dalam saling cinta-mencintai dan berkasih-sayang, mereka laksana satu badan,bilamana satu anggota sakit, maka seluruh anggota itu bersama-sama berjaga malam dan menanggungnya” -MUTTAFAQUN ALAIHI-

‘’Orang mukmin dengan mukmin yang lain ibarat bangunan, sebahagiannya menguatkan sebahagian yang lain “ -MUTTAFAQUN ALAIHI-

Dari Abu Hurairah r.a, dari Nabi Muhammad s.a.w berkata: Barangsiapa yang melapangkan seorang mukmin satu kesusahan dari kesusahan dunia,nescaya Allah akan melepaskan dirinya dari suatu kesusahan dari kesusahan-kesusahan di akhirat.Dan barangsiapa yang meringankan penderitaan orang yang susah, nescaya Allah akan meringankan penderitaan dirinya di dunia dan akhirat. Barangsiapa yang menutup keaiban seorang Muslim, nescaya Allah akan menutup keaibannya di akhirat. Dan Allah selalu menolong hambaNya,selagi hambaNya berusaha menolong saudaranya’’ –Riwayat Muslim

Monday, April 4, 2011

IntRospEksi ImAn~




Ya Allah, jadikanlah diri kami mencintai keimanan dan hiaskanlah iman itu menjadi suatu keindahan dalam hati kami. Jadikanlah diri kami membenci kekufuran, fasiq dan kederhakaan serta jadikanlah kami dari golongan orang-orang yang mendapat petunjuk.

Amin Ya Rabb.

Kuntuman Indah Sastera Zaman Permulaan Islam



Sastera zaman jahiliy telah bermula 150 - 200 tahun sebelum Hijrah. Antara syair yang mahsyur di zaman itu ialah "Mu'allaqat" yang digantung di dinding Kaabah. Antara penyair yang terkenal ketika itu adalah Imri ul Qais, an-Nabighah az-Zubyani dan Zuhair ibn Abi Sulma. Penyair merupakan golongan yang dipandang tinggi oleh masyarakat dan setiap kata-kata penyair memberi impak yang besar kepada mereka.

Menelusuri perkembangan sastera zaman permulaan Islam, memperlihatkan keindahan perutusan Nabi Muhammad s.a.w. Baginda diutuskan Allah di dalam satu masyarakat yang memiliki keilmuan di dalam sastera dan mengungkapkan kata. Namun, kehidupan masyarakat ini masih dilingkungi kegelapan jahiliyyah. Baginda diutuskan Allah dengan sinaran aqidah yang benar, kemuliaan akhlak serta kefasihan dalam menuturkan kata sesuai untuk mendepani cabaran dakwah Baginda.

Sastera zaman permulaan Islam bermula ketika zaman kenabian dan khulafa’ al-rasyidin diikuti dengan zaman Umawi. Perutusan Nabi Muhammad s.a.w sebagai Rasul yang terakhir menyegarkan jiwa-jiwa yang kering dan gersang dengan pancaran keimanan. Baginda mampu mencorak perkembangan sastera yang lebih murni.

Syair-syair mula dipengaruhi oleh citra keislaman seiring dengan perkembangan dakwah Islam. Penyair-penyair Islam mula tumbuh ibarat cendawan selepas hujan. Antaranya ialah Hassan ibn Thabit, Ka'ab ibn Zuhair ibn Abi Sulma dan Sirimmah ibn Abi Anas al-Ansari..Hasil tarbiyah Baginda, citra keislaman terbias ke dalam ungkapan syair-syair masyarakat Arab.

Tema-tema syair yang dulunya dipenuhi citra jahiliyyah diislamisasikan. Antara tema yang muncul pada zaman permulaan Islam antaranya ialah syair agama yang memaparkan permasalahan agama, keesaan Allah,wahyu dan kenabian, syurga dan neraka dengan berpandukan al-Quran dan Sunnah.

Nasihat dan bimbingan menjadi tema yang turut diberi perhatian dalam kalangan penyair-penyair. Sesungguhnya Islam merupakan agama nasihat dan setiap muslim perlu sentiasa memperingatkan dan diperingati mengenai suruhan dan larangan Pencipta. Jihad dan penentangan terhadap golongan musyrikin juga diseru melalui syair.

Thursday, March 17, 2011

Indahnya pentarbiyahan itu~

Segala puji dan pujian ditujukan kepada Allah.Selawat dan salam buat junjungan besar Nabi Muhammad s.aw.Alhamdulillah, kita dikurniakan Allah kehidupan yang mulia kerana kita terpilih sebagai ummat Islam dan mendapat suluhan cahaya keimanan. Kehidupan merupakan suatu anugerah dari Allah. Kehidupan merupakan ruang dan peluang yang dikurniakan Allah agar kita menjadikannya sebagai bekalan menuju ke negeri yang kekal abadi.

Setiap detik, kehidupan berlalu. Masa merupakan suatu yang sangat bernilai. Setelah ia pergi meninggalkan kita, maka kita tidak akan dapat menemuinya kembali. Allah, terasa kerdilnya diri dalam perjalanan ini. Namun, digagahkan jua kerana ia anugerah yang tidak ternilai. Justeru itu, pentarbiyahan diri amatlah perlu. Tarbiyah adalah suatu didikan dan latihan menuju kebaikan.Suatu pencerahan ke arah perubahan. Perubahan yang dimaksudkan ialah hijrah. Hijrah dalam erti kata meninggalkan perkara-perkara buruk, lalai dan sia-sia kepada perkara bermanfaat.

Pentarbiyahan. Ditarbiyah dan mentarbiyah. Konsep dakwah yang perlu diberi perhatian. Kita adalah pemimpin. Pemimpin yang dipertanggungjawabkan. Hatta terhadap diri sendiri, kita perlu menerapkan elemen tarbiyah. Sewajarnya aspek pentarbiyahan menjadi teman perjalanan. Sukarnya bermujahadah, namun kita dijanjikan dengan kemanisan di sebalik itu. Dengan keyakinan dan keimanan, kita menyedari nilai mujahadah itu.

Pembentukan afradul muslim sangat memainkan peranan penting agar misi sebagai hamba dan khalifah Allah mampu digalas berbekalkan panduan yang dianjurkan Pencipta. Bagaimana kita berusaha menjadikan setiap detik kehidupan dalam pentarbiyahan. Menyedari kita sentiasa memerlukan pentarbiyahan. Pentarbiyahan menuju keikhlasan. Jalan mujahadah dan juang itu menuntut pengorbanan.

Menurut Imam as – Syahid Hasan al-Banna, ciri- ciri individu muslim yang perlu dititikberatkan ialah pembentukan aqidah yang sejahtera, ibadah yang betul, akhlak yang kuat, daya fikir yang tajam, tubuh badan yang sihat, memberi faedah kepada orang lain, berupaya untuk berusaha, teratur dalam urusannya, amat menjaga waktu serta berjihad terhadap dirinya.


Justeru itu, ana menyeru diri sendiri dan sahabat-sahabat agar kita terus meningkatkan usaha untuk membentuk diri sebagai afradul muslim. Mulianya kita kerana anugerah Islam dan jua keimanan. Segala puji-pujian ditujukan kepada Allah dan selawat dan salam buat junjungan mulia, Nabi Muhammad s.aw. Insan terpuji yang membawa risalah kebenaran. Insan terpuji yang cintakan umatnya. Contoh teladan,bagaimana kesabaran dan perjuangannya membawa risalah kebenaran.

Hakikat manusia itu lemah namun kita menyedari kita memiliki Pencipta Yang Maha Perkasa. Allah..Semoga kita sentiasa diberi petunjuk agar mampu melihat kebenaran sebagai kebenaran dan diberi Allah kekuatan untuk terus istiqamah dengannya serta melihat kebatilan sebagai kebatilan dan diberi kekuatan untuk menjauhinya. Allah.Sesungguhnya tiadalah daya kekuatan kami melainkan apa yang dikurniakan olehMu.Sesungguhnya Engkau Maha Perkasa. Maka, ya Allah peliharalah kami dalam agamaMu yang diredhai ini. Jadikanlah kami penuntut ilmu yang beramal dengan ilmu yang dipelajari agar subur kecintaan di hati-hati kami yang seringkali berbolak-balik. Engkaulah sebaik-baik Penolong kami..Amiin