Thursday, May 9, 2013

Amanah dan Kepimpinan







“Sesungguhnya, Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menetapkan hukum antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menetapkan hukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhan-Nya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa mendengar, lagi sentiasa melihat.” (Surah an-Nisa’ : ayat 58)


Memilih pemimpin yang benar-benar layak sebagaimana yang dinyatakan dalam ayat di atas merupakan suatu tanggungjawab yang sangat besar dan mulia disisi Allah SWT. Hal ini penting kerana kelayakan dalam kepimpinan menjadi teras utama dalam mengemudi sesebuah masyarakat dan negara. Jika baik pemimpinnya, maka akan membentuk pengikut dan rakyat yang baik. Jika kita menyerahkan amanah kepimpinan kepada mereka yang tidak berkelayakan ia boleh menjerumus kepada kezaliman dan kehancuran.

Pemimpin yang adil menurut perspektif al-Quran adalah mereka yang mampu membawa wadah perjuangan ini ke arah keredaan Allah serta dapat menjana al-falah di dunia dan akhirat. Justeru, implikasi melantik kepimpinan dalam kalangan mereka yang tidak layak bakal membawa kepada kebinasaan bukan sahaja dari segi fizikal malah spiritual. Hal ini selaras dengan peringatan besar Junjungan Rasulullah SAW yang mengingatkan kita tentang kesan melantik pemimpin yang tidak layak sebagaimana  sabdanya, yang bermaksud:

“Apabila sesuatu amanah itu disalahgunakan (disia-siakan), maka tunggulah saat kehancuran. Para sahabat bertanya: Bagaimana amanah itu disalah gunakan wahai Rasulullah? Baginda menjawab: Iaitu apabila tugas atau tanggungjawab sebagai pemimpin itu diberikan (diserahkan) kepada bukan ahlinya atau bukan orang yang layak, maka tunggulah saat kehancuran.”

Ciri utama pemimpin yang dinyatakan oleh Allah dalam surah an-Nisa tersebut adalah mereka yang adil. Keadilan adalah suatu istilah yang cukup besar maknanya dan mengikut pengertian ia harus difahami secara maknawi. Keadilan dalam jiwa pemimpin bukan sahaja mampu memberi kesamarataan dan membuat suatu keputusan yang disukai namun adalah lebih utama adalah kekuatan ilmu dan kebijaksanaan dalam mengemudi kepimpinan.
Sifat adil dalam konteks mengurus negara, serta mampu membina satu tamadun manusia telah memberi satu contoh bahawa kepimpinan yang baik bakal memberi kesan yang baik kepada tamadun manusia sebagaimana pemerintahan Rasulullah s.a.w di negara Islam pertama dunia, iaitu Madinah dan kepimpinan khulafa' ar rasyidun yang merupakan pewaris kepimpinan setelah kewafatan baginda. 

Konsep al-‘Adalah (keadilan) dibicarakan menurut Islam memberi pengertian dan istilah yang mempunyai kekuatan iman dan keupayaan menterjemah iman kepada amal soleh secara tersusun dalam kepemimpinannya. Keadilan yang digambarkan dalam ayat ini memberi satu peringatan bahawa hanya mereka yang adil dalam memimpin mampu membawa organisasi ke arah yang lebih baik. Keadilan dari perspektif sebuah pemerintahan menurut menurut al-Mawardi  dalam kitabnya al-ahkam al-Sultaniyah menyatakan bahawa keadilan dalam pemerintahan sangat penting kerana matlamat kepimpinan adalah untuk menjaga kemaslahatan agama dan dunia. 

Menurut Ibnu Taimiyyah, ciri kepimpinan hebat menurut Allah SWT perlu dipelihara dua rukun iaitu al-Quwwah dan Amanah. Kedua-dua rukun sangat penting sebagai ciri dan persediaan utama yang mesti ada sebagai seorang pemimpin Islam yang benar. Quwwah dari segi pemahaman syarak adalah bidang kuasa yang diberikan. Al-Quwwah dinilai pada setiap kepimpinan berdasarkan keadaannya. al-Quwwah dalam mengetuai peperangan merujuk kepada keberanian hati, pengalaman dalam peperangan, tipu daya peperangan kerana peperangan itu adalah tipu daya dan kemampuan dalam berbagai jenis peperangan. Sebagai contoh al-Quwwah dalam kehakiman manusia merujuk kepada ilmu mengenai keadilan seperti yang ditunjukkan oleh al-Quran dan as-Sunnah dan kepada kemampuan melaksanakan hukum. Inilah ciri dan kelayakan yang mesti dipilih oleh rakyat kepada pemimpin mereka bahawa jika pemimpin mempunyai kedua-dua ciri ini akan membawa kepada kepimpinan yang benar-benar diredhai Allah SWT. Kekuatan dan Amanah inilah pra syarat utama yang disepakati oleh ijma ulama bahawa seorang pemimpin mampu dan berkeupayaan dalam mengemudi kepimpinan mereka dalam segala kekuatan.

Manurut Al-Mawardi pula menyatakan dalam kitabnya al-Ahkam as-Sultaniyah bahawa ijma ulama bahawa antara ciri penting pemilihan pemimpin adalah mereka yang mempunyai keupayaan (quwwah) dalam menyelesaikan masalah berteraskan ilmu, kebijaksanaan dan kaedah yang sesuai dengan masalah yang dihadapinya. Pelantikan kepimpinan tanpa diberi tumpuan dari segi aspek quwwah ini adalah merupakan suatu pengkhianatan terhadap asas penting kualiti kepimpinan yang ada. Apabila pemilihan kepada mereka yang lemah, ketidakmampuan mengurus sesuatu amanah maka akan mengundang kepada kelemahan dan ketidakaturan pengurusan kepimpinan.

Manakala Amanah pula merujuk kepada tiga perkara iaitu takutkan Allah, tidak menjual ayat-ayat Allah dan tidak takutkan manusia. Pemimpin yang beramanah adalah mereka yang memelihara hubungan dengan yang Maha Penciptanya, mengetahui akan kedudukan mereka sebagai hamba dan wakil pemimpin didunia ini, tugas mereka adalah mengurus dan mentadbir alam ini dengan kehendak Allah SWT dan menjaga hubungan sesama manusia. Syeikh Mustafa Muhammad at-Tohhan di dalam bukunya Syakhsiah al-Muslim al-Mu’asir telah menyenaraikan beberapa amanah yang perlu dipikul oleh para pemimpin. Antaranya ialah menegakkan syariat Allah berpandukan apa yang telah diturunkan oleh Allah. Seterusnya menegakkan keadilan dalam kalangan manusia tanpa mengira warna kulit dan bangsa serta mengambil tahu dan prihatin terhadap permasalahan rakyat. 

Berapa ramai dalam kalangan para pemimpin yang tenggelam dengan fitnah hawa nafsu mereka apabila berhadapan dengan kebendaan dan kemewahan dunia. Tatkala itulah segala khazanah dunia ini sudah tidak lagi dianggap sebagai aturan daripada Allah Taala dan amanah yang harus dilakukan. Namun yang menjadi keutamaan ialah keselesaan hidup dan kemewahan yang tidak ada penghujungnya. Maka dengan itulah timbulnya rasuah, dan penyelewengan yang membawa kepada ketidakstabilan ekonomi dan kemasyarakatan. 

Gejala seperti membolot kemewahan negara, khazanah yang disimpan dengan mengambil kesempatan meluluskan projek untuk diri dan keluarga seseorang pemimpin adalah contoh yang paling hampir diperlihatkan bagaimana seorang pemimpin dikuasai oleh nafsu. Hakikat yang wajar dilihat adalah bagaimana cabaran dalam kepimpinan bukan sahaja untuk menduduki kepimpinan yang sememangnya besar amanahnya namun cabaran besar seorang pemimpin adalah memelihara hawa nafsunya agar tidak terjerumus dengan rasuah, penyelewengan, kronisme dan nepotisme.

Oleh hal yang demikian kepimpinan adalah amanah besar yang dianugerahkan oleh Allah SWT kepada hamba-Nya bagi melaksanakan memakmurkan bumi ini mengikut kehendak dan aturan daripada-Nya. Dengan kesedaran inilah yang memungkinkan setiap hambanya untuk melakukan sesuatu amanah berdasarkan panduan al-Quran dan Sunnah Nabi SAW serta berkeupayaan mengatur setiap tindakan agar tidak tersasar daripada kehendak yang maha pencipta. Sifat memenuhkan cita-cita nafsu dalam jiwa seorang pemimpin akan mengundang kepada meluasnya kehancuran kerana kepimpinan itu tidak lagi digalas sebagai amanah (taklif) tetapi sebagai suatu kemewahan (tashrif).  

Peringatan: Kepimpinan itu merupakan amanah (taklif) yang perlu dilunasi dengan taqwa kepada Allah..


credit to : Penulis asal ( Hasbi bin Harun)