1.1 RIWAYAT HIDUP
Nama penuh beliau ialah Abdul Malik bin Abdul Karim bin Amrullah
bin Abdullah bin Shalih. Nama ini diberikan oleh ayah beliau sempena nama anak
lelaki gurunya iaitu Syeikh Ahmad Khatib di Mekah. Beliau lebih dikenali
sebagai HAMKA. Gelaran HAMKA adalah singkatan kepada nama asal beliau serta
disebabkan aktiviti beliau dalam bidang penulisan bagi memudahkan masyarakat
mengenalinya (Mazlan Ibrahim & Suhaila Zakaria. 2010:196). Beliau turut
diberi gelaran Buya iaitu panggilan masyarakat
Minangkabau yang bermaksud ayah atau seseorang yang dihormati (Mohamad
Zulfazdlee Abul Hassan Ashari & Ezad Azraai Jamsari. 2010: 230). Beliau
telah dilahirkan pada 17 Februari 1908 di Nagari Sungai Batang dekat Tasik
Maninjau, Luhak Agam, Sumatera Barat (Mazlan Ibrahim & Suhaila Zakaria.
2010:196).
Bapanya ialah Hj. Abdul Karim Amrullah yang digelar Haji Rasul merupakan
seorang tokoh pelopor gerakan Islam ‘Kaum Muda’ di daerahnya. Gerakan ini
mengadakan pembaharuan agama, membersihkan dan memurnikan ajaran Islam dari
amalan yang terpesong dan bercanggah dengan al-Quran dan al-Sunnah. Ibu beliau
ialah Siti Shafiyah Tanjung binti Haji Zakaria. Pada 5 April 1929, beliau
mendirikan rumah tangga dengan seorang gadis bernama Siti Raham. Sewatu
berkahwin, beliau berusia 21 tahun manakala isterinya berusia 15 tahun(Rusydi
Hamka.2010:3 ).
1.2 PENDIDIKAN
Hamka mendapat pendidikan rendah di Sekolah Dasar Maninjau sehingga
kelas dua.Sewaktu berusia 10 tahun, bapanya iaitu Haji Rasul telah mendirikan
Sumatera Thawalib di Padang Panjang. Beliau seterusnya mempelajari agama dan
mendalami bahasa Arab di sana. Beliau turut mengikuti pengajaran agama di surau
dan masjid yang disampaikan oleh ulama seperti Shayk Ibrahim Musa, Shaykh Ahmad
Rashid, Sultan Mansur, R.M Surjopranoto dan Ki Bagus Hadikusumo (Mohamad
Zulfazdlee Abul Hassan Ashari & Ezad Azraai Jamsari. 2010: 231). Kehidupan
Hamka semenjak kecil sentiasa berada di dalam lingkungan suasana ilmu. Meskipun
beliau tidak pernah tamat belajar di mana-mana institusi pengajian, berkat
kegigihan dan ketekunan beliau masih berpeluang menimba ilmu di pelbagai
lapangan ilmu sama ada formal mahupun tidak formal (Adnan Mohamed Yusoff. 2010:
78).
Hamka juga lebih banyak belajar sendiri dan melakukan penelitian
yang meliputi pelbagai ilmu pengetahuan seperti filsafat, kesusasteraan,
sejarah, sosiologi serta politik Islam dan Barat. Dengan kemahiran berbahasa
Arab yang tinggi, Hamka juga mempelajari karya ulama dan pujangga besar dari
Timur Tengah serta karya ilmuwan dan pemikir dari Eropah. Ketika berusia 16
tahun, Hamka merantau ke Jawa dan menimba ilmu mengenai gerakan Islam moden
melalui H.Oemar Said Cokroaminoto (pemimpin Sarekat Islam), Ki Bagus
Hadikusomo, R.M Soerjopranoto, AR. St.Mansur dan H.A.R Fachruddin yang
mengadakan kursus-kursus pergerakan dan perjuangan di Gedung Abdi Dharmo di
Pakualaman, Yogyakarta ( Musa Sharaf & Idris Zakaria.2010 :44).
Ketika dalam perantauan itu, beliau mengesan perbezaan misi
pembaharuan Islam di Jawa dan tempatnya iaitu Minangkabau yang mana aspek yang
diberi penekanan di Minangkabau adalah pemurnian ajaran Islam dari praktik yang
dianggap salah seperti tarikat, taqlid, khurafat dan seumpamnya sementara di
Jawa, aspek yang diberi penekanan ialah usaha untuk memerangi keterbelakangan,
kebodohan dan kemiskinan (Witrianto.2010: 145) .Dan mulai saat itu, Hamka
mendapat inspirasi dan sesuatu yang baru untuk membangun kesedaran
keagamaan serta berjuang untuk membela
agama Islam. Beliau menyatakan bahawa beliau menemukan Islam sebagai sesuatu
yang hidup yang menyedarkan suatu pendirian dan perjuangan yang dinamik ( Musa
Sharaf & Idris Zakaria.2010 :44).
Dibesarkan dalam tradisi Minangkabau, masa kecil Hamka dipenuhi
gejolak batin kerana ketika itu terjadi pertentangan yang keras antara kaum
adat dan kaum muda tentang pelaksaan ajaran Islam. Banyak hal yang tidak
dibenarkan dalam Islam diamalkan dalam kehidupan seharian masyarakat. Justeru
itu, Hamka merupakan salah seorang pendukung kaum pembaharu yang menentang
perkara ini. (Witrianto.2010: 143). Beliau menggunakan kombinasi ilmu yang
dikuasainya ini sebagai dasar untuk menganalisis persoalan-persoalan
kemasyarakatan.Peranan social serta harapan ayahnya, kampung halaman dan
asimilasi antara adat Minangkabau dan ajaran Islam turut membentuk peribadi
Hamka (Witrianto.2010:145).
Budaya merantau juga melengkapkan pemikiran Hamka (Witrianto.2010: 145).
Beliau gemar merantau sehingga ayahnya menggelarkan dirinya sebagai Si Bujang
Jauh (Witrianto.2010: 144). Ketika berusia 19 tahun iaitu pada Februari 1927,
beliau berangkat ke Mekah dan bermukim di sana selama 6 bulan. Beliau bekerja
di sebuah percetakan dan mengambil kesempatan belajar sendiri dan menambahkan kefasihan
berbahasa Arab di sana (Rusydi Hamka.2010:3).
1.3 KERJAYA
Hamka mula bertugas sebagai seorang guru agama pada tahun 1927 di
Perkebunan Tebing Tinggi Deli, Sumatera Utara dan di Padang Panjang pada 1929.
Beliau juga pernah menjadi Rektor Perguruan Tinggi Islam Jakarta. Setelah
perjanjian Roem-Royen 1949, Hamka berpindah ke Jakarta dan memenuhi kerjayanya
sebagai pegawai di Departmen Agama pada masa KH Abdul Wahid Hasyim. Beliau juga
sering memberi kuliah di pelbagai perguruan tinggi Islam di tanah airnya
(Witrianto.2010: 146).
Hamka turut bergiat aktif di dalam bidang politik dengan menjadi
ahli Partai Sarekat Islam pada tahun 1925. Beliau terlibat dalam penentangan
terhadap penjajahan Belanda. Beliau kemudiaannya dilantik sebagai anggota
Konstituante dari Parti Masyumi (Majelis Syuro Muslimin Indonesia) selepas
Pemilihan Umum pada tahun 1955 (Witrianto.2010: 146). Setelah Konstituante
dibubarkan pada Julai 1959 dan Partai Masyumi dibubarkan oleh Soekarno pada
1960, beliau memberi tumpuan kepada aktiviti dakwah, menjadi imam di Masjid Agung
al-Azhar serta terlibat aktif di dalam Muhammadiyah. Beliau turut pernah
dipenjara ketika zaman pemerintahan Soekarno selama 2 tahun iaitu pada tahun
1964- 1966 (H. Yunahar Ilyas.2010:162).
Pada 26 Jun 1975, beliau telah dilantik sebagai Ketua Umum Majelis
Ulama Indonesia (MUI). Setelah itu, beliau meletakkan jawatan pada Mei 1981
kerana berpegang teguh dengan prinsip dan kebenaran meskipun berbeza dengan
arahan dari pihak pemerintah (Witrianto.2010: 147). Beliau seterusnya mengisi
masanya dengan memberikan kuliah subuh di Masjid al-Azhar yang terletak di
Jakarta Selatan setelah tidak lagi disibukkan dengan politik. Sepanjang
hidupnya, Hamka telah menerima beberapa anugerah pada peringkat nasional dan
antarabangsa seperti Doktor Kehormat Universiti al-Azhar (1958), Doktor
Kehormat Universiti Kebangsaan Malaysia (1974) dan gelaran Datuk Indono dan
Pangeran Wiroguno daripada kerajaan Indonesia. Setelah sekian lama menyebar
ilmu dan menabur bakti, Hamka kembali ke rahmatullah pada 24 Julai 1981 di
Jakarta (Adnan Mohamed Yusoff. 2010: 78).
1.4 SUMBANGAN KEILMUAN
Hamka juga bergiat aktif dalam penulisan melibatkan pelbagai
bidang. Beliau merupakan seorang wartawan, penulis, editor dan penerbit (Mohamad
Zulfazdlee Abul Hassan Ashari & Ezad Azraai Jamsari. 2010: 232). Beliau
telah menulis dalam pelbagai bidang. Antaranya ialah:
- Khatibul
Ummah, Jilid 1-3. Ditulis dalam huruf Arab.
- Si
Sabariah. (1928)
- Pembela
Islam (Tarikh Saidina Abu Bakar Shiddiq),1929.
- Adat Minangkabau dan agama Islam (1929).
- Ringkasan
tarikh Ummat Islam (1929).
- Kepentingan
melakukan tabligh
(1929).
- Hikmat
Isra' dan Mikraj.
- Arkanul
Islam (1932) di Makassar.
- Laila
Majnun (1932) Balai Pustaka.
- Majalah
'Tentera' (4 nombor) 1932, di Makassar.
- Majalah
Al-Mahdi (9 nombor) 1932 di Makassar.
- Mati
mengandung malu (Salinan Al-Manfaluthi) 1934.
- Di
Bawah Lindungan Ka'bah
(1936) Pedoman Masyarakat,Balai Pustaka.
- Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck (1937), Pedoman Masyarakat,
Balai Pustaka.
- Di
Dalam Lembah Kehidupan 1939, Pedoman Masyarakat, Balai Pustaka.
- Merantau
ke Deli
(1940), Pedoman Masyarakat, Toko Buku Syarkawi.
- Margaretta
Gauthier (Terjemahan) 1940.
- Tuan Direktur
1939.
- Dijemput
mamaknya,1939.
- Keadilan
Ilahy 1939.
- Tasawuf
Moden 1939.
- Falsafah
Hidup 1939.
- Lembaga
Hidup 1940.
- Lembaga
Budi 1940.
- Majalah
'SEMANGAT ISLAM' (Zaman Jepun 1943).
- Majalah
'MENARA' (Terbit di Padang Panjang), sesudah revolusi 1946.
- Negara
Islam (1946).
- Islam
dan Demokrasi,1946.
- Revolusi
Fikiran,1946.
- Revolusi
Agama,1946.
- Adat
Minangkabau menghadapi Revolusi,1946.
- Dibantingkan
ombak masyarakat,1946.
- Didalam
Lembah cita-cita,1946.
- Sesudah
naskah Renville,1947.
- Pidato
Pembelaan Peristiwa Tiga Maret,1947.
- Menunggu
Beduk berbunyi,1949 di Bukit Tinggi.
- Ayahku,1950
di Jakarta.
- Mandi
Cahaya di Tanah Suci. 1950.
- Mengembara
Dilembah Nyl. 1950.
- Ditepi
Sungai Dajlah. 1950.
- Kenangan-kenangan
hidup 1,autobiografi sejak lahir 1908 sampai pd tahun 1950.
- Kenangan-kenangan
hidup 2.
- Kenangan-kenangan
hidup 3.
- Kenangan-kenangan
hidup 4.
- Sejarah
Ummat Islam Jilid 1,ditulis tahun 1938 hingga 1950.
- Sejarah
Ummat Islam Jilid 2.
- Sejarah
Ummat Islam Jilid 3.
- Sejarah
Ummat Islam Jilid 4.
- Pedoman
Mubaligh Islam,Cetakan 1 1937 ; Cetakan ke 2 tahun 1950.
- Pribadi,1950.
- Agama
dan perempuan,1939.
- Muhammadiyah
melalui 3 zaman,1946,di Padang Panjang.
- 1001
Soal Hidup (Kumpulan karangan dr Pedoman Masyarakat,dibukukan 1950).
- Pelajaran
Agama Islam,1956.
- Perkembangan
Tasawuf dari abad ke abad,1952.
- Empat
bulan di Amerika,1953 Jilid 1.
- Empat
bulan di Amerika Jilid 2.
- Pengaruh
ajaran Muhammad Abduh di Indonesia (Pidato di Cairo 1958), utk Doktor
Honoris Causa.
- Soal
jawab 1960,disalin dr karangan-karangan Majalah GEMA ISLAM.
- Dari
Perbendaharaan Lama 1963,dicetak oleh M.Arbie Medan.
- Lembaga
Hikmat,1953 oleh Bulan Bintang,Jakarta.
- Islam
dan Kebatinan,1972;Bulan Bintang.
- Fakta
dan Khayal Tuanku Rao,1970.
- Sayid
Jamaluddin Al-Afhany 1965,Bulan Bintang.
- Ekspansi
Ideologi (Alghazwul Fikri),1963, Bulan Bintang.
- Hak
Asasi Manusia dipandang dari segi Islam 1968.
- Falsafah
Ideologi Islam 1950(sekembali dr Mekkah).
- Keadilan
Sosial dalam Islam 1950 (sekembali dr Mekkah).
- Cita-cita
kenegaraan dalam ajaran Islam (Kuliah umum) di Universiti Keristan 1970.
- Studi
Islam 1973,diterbitkan oleh Panji Masyarakat.
- Himpunan
Khutbah-khutbah.
- Urat
Tunggang Pancasila.
- Doa-doa
Rasulullah S.A.W,1974.
- Sejarah
Islam di Sumatera.
- Bohong
di Dunia.
- Muhammadiyah
di Minangkabau 1975,(Menyambut Kongres Muhammadiyah di Padang).
- Pandangan
Hidup Muslim,1960.
- Kedudukan
perempuan dalam Islam,1973.
- Tafsir
Al-Azhar Juzu' 1-30, ditulis pada masa beliau dipenjara oleh Sukarno.
2.1 PEMIKIRAN PEMBAHARUAN
Pemikiran
pembaharuan Hamka dalam dilihat dalam pelbagai aspek antaranya melalui hasil
penulisan, pendidikan serta politik yang digagaskan oleh beliau.
2.2 PENULISAN
Pemikiran
pembaharuan Hamka tertonjol dalam beberapa sumbangan kegiatan dakwahnya
terutamanya penulisan seperti Tafsir al-Azhar. Tafsir al-Azhar merupakan sebuah
karya agung yang menjadi manifestasi terhadap corak pemikiran serta aspirasi
Hamka dalam perjuangannya sebagai seorang ilmuwan, sasterawan dan aktivis
Islam. Kitab ini sarat dengan berbagai mesej pembaharuan dan idea kritis yang
menuntut para pembaca dan masyarakat Islam umumnya agar bangkit merenungi
situasi semasa meliputi aspek keagamaan, pendidikan, social, ekonomi mahupun
politik seterusnya memikirkan masa depan agama, bangsa dan tanah air dalam
mendepani cabaran yang semakin kompleks (Adnan Mohamed Yusoff.2010 :77).
Tafsir
ini berasal dari siri kuliah yang beliau sampaikan di Masjid al-Azhar yang
terletak di Kebayoran Baru Jakarta sejak akhir tahun 1958. Tafsir ini telah
dihasilkan atas kesedaran Hamka terhadap kepentingan untuk menanam semangat dan
kepercayaan Islam dalam jiwa-jiwa belia di alam Melayu khususnya para belia di
Indonesia yang amat berminat untuk memahami al-Quran tetapi terhalang akibat
ketidakmampuan menguasai ilmu bahasa Arab. Ia juga bertujuan untuk memudahkan pemahaman
para muballigh dan para pendakwah serta meningkatkan keberkesanan dalam
penyampaian khutbah-khutbah yang diambil dari sumber – sumber Bahasa Arab
(Adnan Mohamed Yusoff. 2010: 82).
Hamka
dalam penulisan tafsirnya banyak menerima pengaruh dari gerakan pembaharuan
Tafsir Muhammad Abduh. Beliau banyak merujuk, menukil dan menghuraikan
pendapat-pendapat tafsir Muhammad Abduh serta menyatakan dengan jelas bahawa
pandangan atau huraian yang dibawa olehnya adalah dari Tafsir Muhammad Abduh.
Tafsir yang dihasilkan oleh beliau merupakan gabungan antara tafsir bi
al-mathur dan tafsir bi al ra’yi yang tidak hanya menukilkan riwayat-riwayat
dari kitab-kitab terdahuludan tidak pula memberikan kebebasan tanpa batasan
kepada akal fikiran (Adnan Mohamed Yusoff. 2010: 83).
Beliau menggunakan sepenuhnya kebijaksanaan
dan pengalaman yang luas untuk memilih, mengkritik dan menambah apa yang perlu.
Beliau sedaya upaya memberikan maksud sebenar sesuatu ayat dengan menghuraikan
makna lafaz-lafaznya dari sudut bahasa ke dalam Bahasa Indonesia tanpa
memasukkan pertikaian-pertikaian ulama mengenai perbahasan-perbahasan yang
terkandung di dalamnya dan tidak memaksakan pendapat dari mana-mana aliran
terhadap pembaca. Pembaca diberi kebebasan sepenuhnya untuk menggunakan akal
fikiran dalam memahami dan menghayati kandungan al-Quran setelah mengetahui
maksudnya secara umum (Adnan Mohamed Yusoff. 2010: 83).
Walaubagaimanapun, beliau tetap memberikan penilaian dan
pandangannya dalam perkara-perkara yang tidak disepakati oleh ulama khususnya
dalam bab akidah dan ibadah, tanpa
sebarang sikap taasub kepada sesuatu mazhab. Beliau juga berusaha
mengelakkan tafsirnya dari riwayat-riwayat Israiliyyat atau yang lemah kecuali
untuk peringatan para pembaca agar tidak terpengaruh dengan riwayat-riwayat
berkenaan. Beliau turut menyentuh isu-isu semasa berkaitan politik, social,
pemikiran, sains dan sebagainya setiap kali punyai ruang dan keperluan ke arah
itu. Beliau turut menukilkan pendapat – pendapat para ulama Indonesia yang
tidak mungkin dapat ditemui dalam tafsir-tafsir lainnya (Adnan Mohamed Yusoff.
2010: 84).
Corak Tafsir al-Azhar karya Hamka dapat dimasukkan ke dalam
kategori yang sama dengan corak Tafsir al-Manar iaitu kitab tafsir bercorak
sastera budaya kemasyarakatan. Aspek inilah yang menonjol dari Tafsir karya
Hamka berbanding aspek kebahasaan, fiqih, teologi, filsafat, tasawuf dan ilmu
pengetahuan meskipun masih ditampilkan dalam Tafsir al-Azhar. Di dalam tafsir
ini, banyak perkara dibincangkan dengan merungkai setiap persoalan yang berkait
dengan permasalahan yang berlaku di dalam masyarakat iaitu berkaitan dengan
ekonomi, sistem perundangan dan politik serta social yang berlaku dalam
masyarakat.
Hamka dalam Tafsir al-Azhar menyentuh pelbagai aspek berkaitan
masyarakat. Metod ijtima’e berkaitan keadilan social dan kemasyarakatan adalah
berkait korupsi, judi, arak dan fitnah (Mazlan Ibrahim & Suhaila
Zakaria.2010:200). Manakala berkaitan dengan sistem perundangan dan politik
adalah seperti hak memilih pemimpin, hak sebagai khalifah dan pemimpin (Mazlan Ibrahim & Suhaila Zakaria.2010:204).
Sementara berkaitan dengan ekonomi Islam adalah seperti kapitalisme dalam
perniagaan serta larangan penggunaan riba (Mazlan Ibrahim & Suhaila
Zakaria.2010:208).Setiap permasalahan yang timbul, Hamka menerangkannya
satu-persatu dalam setiap surah mengikut masalah yang berlaku dan beliau
mengemukakan jalan penyelesaiannya berdasarkan ayat-ayat al-Quran. Ini dapat
dilihat dengan jelas apabila kita mentafsirkannya secara menyeluruh atau
melihat terhadap metod ijtimaie yang terdapat dalam Tafsir al-Azhar (Mazlan
Ibrahim & Suhaila Zakaria.2010: 212).
2.3 PENDIDIKAN
Hamka merupakan seorang pendidik dan mempunyai keprihatinan yang
cukup tinggi terhadap dinamika pendidikan Islam. Ini jelas dapat dilihat
melalui karya-karyanya seperti Falsafah Hidup, Lembaga Hidup dan Lembaga
Budi yang membicarakan komponen
pendidikan Islam serta mengetengahkan pemikiran-pemikirannya mengenai
pendidikan Islam meliputi tujuan pendidikan, kewajipan orang tua sebagai
pendidik pertama dan utama dalam menanamkan nilai akhlak pada seorang anak,
kewajipan guru yang meliputi metode pendidikan yang digunakan dan criteria guru
yang ideal, memberi peluang kepada anak didik untuk berfikir secara kritis dan
merdeka. Komponen- komponen ini menjadi acuan utama dalam pemikiran beliau
tentang pendidikan. Warisan pemikiran beliau ini merupakan komponen yang sangat
berpotensi untuk dikembangkan sebagai konsep pendidikan Islam (H.Shamsul
Nizar.2010:104).
Hamka di dalam pemikiran pendidikannya amat menekankan kepada
syarat-syarat pendidik dalam kerangka adab muta’allim. Dalam beberapa karya
yang ditulis oleh beliau, beliau tidak menyatakan secara jelas mengenai bentuk
kurikulum pendidikan yang ditawarkannya. Namun secara tersiratnya beliau
mencadangkan bahawa kurikulum pendidikan Islam perlu mencakupi dua aspek iaitu;
pertamanya ilmu-ilmu agama yang meliputi al Quran, al Sunnah, syariah, teologi,
tasawuf, ilmu-ilmu linguistic seperti bahasa Arab, tatabahasa, leksikografi dan
kesusasteraan. Kedua, ilmu-ilmu rasional, intelektual dan falsafah meliputi
ilmu-ilmu kemanusiaan (social), alam, terapan dan teknologi (H.Shamsul
Nizar.2010:110).
Menurut Hamka, kurikulum
pendidikan tidak terbatas kepada satu bentuk sahaja. Pendekatan yang dilakukan
bersifat falsafah selari dengan dinamika kehidupan manusia yang menuntut
kurikulum pendidikan mengalami perubahan secara dinamis. Beliau menekankan
bahawa wahyu, akal, dan pengalaman memainkan peranan dalam mengambil kesimpulan
bagi membangunkan suatu model kurikulum pendidikan yang mampu menjawab pelbagai
persoalan kehidupan manusia (H.Shamsul Nizar.2010:110). Beliau turut
mencadangkan empat kaedah pendidikan iaitu diskusi, lawatan, eksperimen serta
pemberian tugas. Kesemua ini adalah untuk melatih pelajar menjadi aktif dan
dinamis bukan hanya sekadar berteori (H.Shamsul Nizar.2010:111).
Dinamika pemikiran inovatif Hamka tentang pendidikan dapat dilihat
melalui usahanya untuk mengubah sistem pendidikan tradisional yang masih
sederhana kepada sistem moden yang kompleks dan sistematik. Ini bertujuan
membolehkan pelajar menghadapi perkembangan zaman secara aktif tanpa melampaui
batas-batas ajaran agamanya (H.Shamsul Nizar.2010:115). Idea-idea pembaharuan
yang dilakukan Hamka melalui karya-karyanya adalah respon terhadap realiti
social terutamanya praktik sistem pendidikan tradisional yang masih
dipertahankan umat Islam ketika itu. Beliau cuba untuk merombak dan melakukan
pembaharuan terhadap sistem pendidikan di Indonesia yang sangat rendah dan
bersifat tertutup (H.Shamsul Nizar.2010:115).
Sistem pendidikan yang ideal menurut Hamka berorientasikan visi
keakhiratan sebagai alat mengawal perilaku manusia sementara visi dunia yang
bersifat semasa berperanan untuk mengaktifkan fungsi akal secara maksimum.Beliau menyeru kepada umat
Islam agar melihat visi pembaharuan khususnya pendidikan secara kritis dan
objektif. Beliau juga tidak hanya menyebarkan idea-idea pembaharuan pendidikan
di mimbar mahupun di dalam karya-karyanya bahkan mengapresiasikan idea tersebut
secara nyata dan praktikal dalam pendidikan formal. Beliau merupakan seorang
pendidik bahkan mendirikan beberapa institusi pendidikan formal seperti Tabligh
School yang menggantikan sistem pendidikan yang masih tradisional dengan menawarkan pola pendidikan
baru secara moden dan sistematik dengan mengambil model pendidikan Barat tanpa
melepaskan nilai-nilai agama Islam (H.Shamsul Nizar.2010:118).
Wacana pemikiran Hamka berpegang teguh pada dasar agama Islam tanpa
menutup diri terhadap pendapat Barat yang bersifat kontemporari selagi
persoalan tersebut tidak menyimpang dari nilai-nilai ajaran Islam. Corak
pemikiran seumpama ini merupakan salah satu indikator dinamika intelektual
Muslim era moden yang mengembangkan nilai-nilai
universal ajaran Islam dan bersikap eksklusif terhadap arus pemikiran semasa
(umum) yang dihasilkan oleh intelektual Barat (H.Shamsul Nizar.2010:120).
Hubungan yang signifikan di antara idea pemikiran beliau mengenai pendidikan
Islam dan aplikasinya dapat dilihat melalui penglibatannya dalam institusi
pendidikan serta peranannya dalam
mengembangkan masjid al-Azhar sebagai institusi pendidikan Islam dengan
berpandukan model sekolah umum di bawah Yayasan Pesantren Islam al-Azhar (H.Shamsul
Nizar.2010:119).
2.4 POLITIK
Hamka merupakan seorang ulama yang banyak menghasilkan tulisan dan
buku keislaman. Justeru itu, pemikiran sosio kemasyarakatan, keagamaan dan
pemikiran politik Islam dapat dilihat di dalam penulisannya seperti Negara
Islam, Islam dan Demokrasi, Cita-cita Kenegaraan dalam Ajaran Islam, Keadilan
Sosial dalam Islam dan lain-lain. Di dalam penulisan ini, penulis akan
menumpukan kepada pemikiran politik Hamka yang terkandung di dalam sebuah
kertas kerja bertajuk Cita-cita Kenegaraan dalam Ajaran Islam yang
dibentangkan oleh beliau di Sekolah Tinggi Theologi Kristen bagi menghuraikan
pandangan Islam terhadap hubungan antara agama dan negara ( Musa Sharaf &
Idris Zakaria.2010 :47).
Menurut Hamka, syariat
merupakan peraturan Allah yang wajib ditaati. Akidah berfungsi bilamana
kehidupan kita di dunia mengikut apa yang diaturkan oleh Allah atau dengan
melaksanakan undang-undang yang selaras dengan syariatNya. Syariat Allah boleh
diperincikan kepada tujuh bahagian iaitu
akidah, ibadah, muamalat, munakahat, jinayat, kenegaraan dan meninggikan
tingkat kerohanian ( Musa Sharaf & Idris Zakaria.2010 : 48). Islam
mewajibkan ke atas ummah untuk menegakkan dan memperjuangkan penguatkuasaan
syariat dalam setiap diri individu, rumah tangga, masyarakat dan dalam negara.
Islam bukanlah semata-mata ibadah iaitu menunaikan solat, puasa, zakat dan
menunaikan haji. Bahkan Islam memerlukan pemerintah (penguasa) yang menentukan
permulaan dan penutupan puasa manakala haji memerlukan kapal, paspot, visa dan
jaminan keamanan dan semua ini adalah kekuasaan.
Islam tidak
menerima teori pemisahan antara agama dan pemerintahan kerana negara mengikut
pandangan Islam adalah alat/jentera untuk melaksanakan hukum kebenaran dan
keadilan yang mutlak daripada Allah. Mengurus negara merupakan salah satu dari
bahagian agama. Islam adalah agama. Hamka turut menegaskan bahawa ketua negara
sama ada diberi gelaran Khalifah, Sultan mahupun Presiden adalah penguatkuasa
bagi memastikan pelaksanaan syariat. Perkara paling utama dalam sebuah negara
bukanlah bentuk negara itu samaada republik mahupun beraja, tetapi yang paling
utama adalah dari mana sumber hukum/perlembagaan dan bagaimana ia dilaksanakan.
Islam tidak dapat menerima pelaksanaan undang-undang selain syariat yang bersumber
al-Quran dan al- Sunnah ( Musa Sharaf & Idris Zakaria.2010 :49).
Hamka turut
menghuraikan mengenai pelaksanaan undang-undang dalam pemerintahan Islam iaitu
meskipun matlamat penubuhan sesebuah negara adalah untuk menjamin kemerdekaan
dan keselamatan penduduk, hakikat kemerdekaan yang sebenar menurut ajaran Islam
ialah berada di bawah kekuasaan Allah (Musa Sharaf & Idris Zakaria.2010:52).
Pemerintah bertanggungjawab memelihara kemerdekaan rakyat manakala rakyat wajib
taat kepada pemerintah selama mana mereka menegakkan syariat Islam. Pemerintah
tidak mempunyai keutamaan yang khusus melainkan hak untuk ditaati oleh rakyat
kerana melakukan dan memelihara ketaatan kepada Allah. Justeru itu, sistem
pemerintahan secara diktator tidak diterima dalam Islam ( Musa Sharaf &
Idris Zakaria.2010:53).
3.1 SIKAP TERHADAP IDEA
DAN GERAKAN PEMBAHARUAN
Menurut Hamka, pembaharuan adalah suatu kemestian. Pembaharuan
(modernisasi) diperlukan dalam segala bidang untuk membangun jiwa bebas merdeka
setelah lama terjajah. Pembaharuan yang
dianjurkan adalah pembaharuan dari suasana feudal kepada demokrasi, pembaharuan
dari sebuah negara pertanian kepada negara maju dan industrialis dan
pembaharuan dari suasana kebodohan kepada ilmu pengetahuan
(H.Shobahussurur.2010: 137).
Beliau turut menyeru kepada pembaharuan dalam pendidikan
memandangkan berlaku ketempangan serius dalam dunia pendidikan di Indonesia
iaitu sistem pendidikan Barat menghasilkan kebencian terhadap Islam manakala
pendidikan surau atau pondok pula membenci segala yang berbau Barat (H.Shobahussurur.2010:
138). Hasilnya, golongan berpendidikan
Barat memandang sinis kepada agama sementara golongan berpendidikan surau
membenci segala yang berkaitan Barat. Pembaharuan pendidikan sangat diperlukan
untuk menghentikan cara pandang negative serta cubaan untuk lari dari Islam di
samping meluaskan cara pandang
sempit yang menyebabkan
pengasingan diri serta tidak mahu membuka wawasan agar dapat melahirkan umat
Islam yang bangga dengan sumber ajaran agamanya, memahami sejarah bangsanya
serta tidak tercabut dari akar keislamannya (H.Shobahussurur.2010: 138).
Hamka turut
menolak bahawa pembaharuan merupakan suatu usaha sekularisasi. Pembaharuan
dalam Islam bukanlah dengan memisahkan agama dan negara sebagaimana fahaman sekularisme
yang tumbuh subur di Barat. Pembaharuan yang diusahakan juga bukanlah satu
usaha pembaratan (westernisasi) yang mengambil segalanya dari Barat.
Pembaharuan tidaklah menghilangkan keperibadian sebagai bangsa yang merdeka
mahupun sebagai umat Islam yang dinamis sehingga meniru segalanya dari Barat
termasuk perkara-perkara yang bertentangan dengan agama (H.Shobahussurur.2010: 139).
Pembaharuan
pendidikan turut diadakan melalui pengembalian fungsi masjid sebagaimana pada
zaman keemasan Islam, masjid berfungsi sebagai pusat pendidikan dan dakwah.
Pelbagai disiplin ilmu terutamanya ilmu-ilmu keislaman dikaji di dalam masjid.
Masjid al-Azhar mempelopori penubuhan pusat pendidikan sama ada formal mahupun
tidak formal seterusnya penubuhan pusat pendidikan tinggi iaitu Universiti
Al-Azhar Indonesia (H.Shobahussurur.2010: 141).
4.1 RUJUKAN
Adnan Mohamed Yusoff. Tafsir HAMKA dan Hubungannya dengan
Gerakan Pembaharuan Tafsir Muhammad Abduh. Prosiding Seminar Serantau
Seabad Buya Hamka, hlm. 77-92.
1979.Kenang-Kenangan 70 Tahun Buya Hamka. Jakarta: Yayasan
Nurul Islam.
H. Yunahar Ilyas. Buya HAMKA dan Karya Besarnya Tafsir al-Azhar.
Prosiding Seminar Serantau Seabad Buya Hamka, hlm. 155-172.
Mazlan Ibrahim & Suhaila Zakaria. Metode Ijtima’I dalam
Tafsir al-Azhar : Satu Kajian. Prosiding Seminar Serantau Seabad Buya
Hamka, hlm.195-214.
Mohamad Zulfazdlee Abul Hassan Ashari. Kerajaaan Banu Marin
Menurut Buku Sejarah Umat Islam Karya HAMKA. Prosiding Seminar Serantau
Seabad Buya Hamka, hlm.229-248.
Musa Sharaf & Idris Zakaria. Teori Politik Islam HAMKA.
Prosiding Seminar Serantau Seabad Buya Hamka, hlm. 43-58.
Rusydi Hamka. 2010. Hamka Pujangga Islam Kebanggaan Rumpun
Melayu: Menatap Keperibadian dan Martabatnya. Selangor : Pustaka Dini.
Shamsul Nizar. Percik Mutiara Pemikiran HAMKA (1908-1981)
Tentang Pendidikan Islam. Prosiding Seminar Serantau Seabad Buya Hamka,
hlm.103-128.
Witrianto. Sumbangan Pemikiran Buya HAMKA bagi Kemajuan Bangsa.
Prosiding Seminar Serantau Seabad Buya Hamka, hlm. 143-154.