Sunday, August 29, 2010

Mencari keredhaanMu

Mencari suatu kesempurnaan itu
seringkali membuat diri terluka
Terluka kerana hakikatnya tidak begitu
Yang dinamakan manusia itu kerdil


Tidak ada jalan pintas untuk menggapai sesuatu
Melainkan perlu melalui jalan-jalannya
Yang ada kalanya dirasakan begitu berliku
Kenapa begitu sukar dirasakan
Terasa begitu lemah dan kerapkali
Putus asa itu datang bertandang
Meski tidak pernah diundang

Jangan begitu
Seorang muslim yang kuat itu amat disukai Allah
Berbanding muslim yang lemah
Seorang muslim itu tidak pernah
Berputus harap pada Allah yang Maha Berkuasa
Ada harap dalam doa tulusnya
Ada ikatan antara harap dan yakinnya
Pada Allah

Ada kesenangan di sebalik sukar itu
Ada sinar di sebalik kegelapan itu
Ada bahagia di sebalik duka itu
Ada kerehatan di sebalik keletihan itu

Sandarkanlah pengharapan pada Allah
Dekatkanlah diri kepadaNya
Kerana Dia Maha Mengetahui
Hakikat hambaNya

Ya Allah,
Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani
Jangan engkau biarkan hambaMu ini
Jauh dariMu
Kerana hakikat sebuah kehidupan ini
Adalah keranaMu

Friday, August 27, 2010

Biru Langit Ramadhan

Hari ini,
kutatap tenang biru langit Ramadhan
dalam syukur tak terhingga
kerna masih bisa kuhirup syahdu auranya
yang kurindu sentiasa.

Biru langit Ramadhan itu
bertandang bersama kurnia
seribu simpulan rasa
tak tertafsir dek kata-kata.

Kerap kurindu Ramadhan itu,
dalam rasa syahdu, mengisi sahur di hujung malam
kerna dalam jamahan yang sedikit
ada segunung berkat tersurat.

Kurindu Ramadhan itu
juga dalam setiap rasa insaf yang bertandang
melewati waktu siang yang panas membahang
dalam perang hawa nafsu dan kelaparan
menguji iman.

Kurindu Ramadhan itu
tika mengadap iftar dalam syukur
dan genang airmata
kerna disetiap kali tanganku angkat dan doaku panjat
‘Sesungguhnya aku berpuasa dan berbuka kerana-Nya’
dengan rezeki sekadar cuma.

Kurindu Ramadhan itu
tatkala khusyuk dalam qiam Tarawih
teguh hati mengadapnya
meminggir diri dari indah duniawi
solat dalam ikatan ukuwah
memohon rahmat dan barakah
juga redha-Nya.

Kurindu Ramadhan itu
pada hadir lazatnya rasa,
di setiap kesempatan
tika kualun indahnya ayat-ayat suci Al Quran
petunjuk sepanjang zaman.

Dan setiap musim
tika Ramadhan menghampiri hujungnya
ada sebak bertamu di hati
dan airmata tumpah di pipi
kerana aku tak pasti
masih adakah kesempatan
bertemu Ramadhan lagi...



www.iluvislam.com
oleh : Sidd Packey
editor : IskethaykaL

Saturday, August 21, 2010

Kerana Allah kita berukhuwwah

Terasa sebuah kerinduan mula bersemi
terhadap sesuatu yg kiranya amat penting
yang dirasakan semakin hari semakin hilang
Rindu padanya lantaran ia seakan smakin menjauh
Terasa sebuah kehilangan tanpanya.

Kehilangan itu memberi kesan
Kesan yang mendalam pada insan yang menyedari kepentingannya
Apakah kehilangan itu?
kehilangan itu,
kehilangan kemesraan dalam sebuah ukhuwwah

Apa itu ukhuwwah? Mengapa ia penting?
Kenapa kehilangannya memberi kesan yg mendalam?
Persoalan dan persoalan terus menggasak
Kenapa ukhuwwah itu semakin menyepi?
Kenapa terlalu sukar untuk menghargai ukhuwwah yg trbina sebatas waktu ini?

Persoalan dan persoalan lagi
Namun, apa yg lbih dprlukan bkn hanya persoalan
tapi kesedaran yg mmpu mengetuk pintu hati dan
pelaksanaan tindakan yg sewajarnya

Ayuh,rapatkan kembali ukhuwwah yang telah terjalin
Ayuh, bina kembali ukhuwwah dengan cinta dan kasih sayang
Kerana asasnya ukhuwwah itu didasari dengan iman kepada Allah
Hakikatnya kita bersaudara dengan ikatan yang termahal
Iaitu ikatan Akidah
Kerana Allah kita bertemu dan berpisah
Kerana Allah kita berukhuwwah..

Thursday, August 5, 2010

Tuesday, August 3, 2010

Pertama kali melihat nukilan Hilal Asyraf:Motivasi: Tenanglah jiwa, damailah hati.Hati rasa tertarik.Hakikatnya dalam kehidupan ini apabila ujian melanda hati seakan tidak mampu bertenang dan terburu-buru membuat keputusan yang tidak sewajarnya. Benar, jiwa dan hati perlu diserah pada Allah kerana Allah Maha Mengetahui akan segala sesuatu yang menimpa hambaNya. Cuma, hamba yang kerdil ini tidak mampu memahami nilai hikmah yang tersirat di sebaliknya. Ayuh,tenangkan jiwa,damaikan hati dengan mengingati janji Allah bahawa setiap yang mengaku beriman itu pasti diuji demi meningkatkan keimanannya. Adakah grafnya semakin meninggi atau merudum jatuh? Di dalam diri merasa teruji,pasti ada insan lain yang lebih teruji. Hakikatnya,rahmat dan kasih Allah itu melebihi segalanya di dunia ini.Ya Allah,kurniakan kami kekuatan untuk menghadapi hidup ini agar kami tergolong dalam kalangan hambaMU yang bersyukur dan diredhaiMu..Amiin

Motivasi: Tenanglah jiwa, damailah hati

Diasak dan diasak. Itulah dia keadaan manusia dalam mengharungi kehidupan. Diasak dengan pelbagai cabaran, mehnah dan tribulasi. Lain manusia lain halangannya. Masing-masing menghadapinya dan ada yang berjaya melepasinya. Tetapi tidak kurang juga yang tersungkur selepas kesukaran menghentamnya.

Tekanan dihadapi dari pelbagai arah. Mula dengan menyerabutkan kepala, kemudian menyerang jiwa dan hati. Akhirnya akal tidak mampu berfikir dengan baik dan hati mula tidak tenang. Rasa sukar. Kadangkala seakan hilang oksigen untuk bernafas.

Rasa tersepit di hujung dunia. Seperti matahari telah hilang cahaya gayanya.

Di sinilah kita perlu memujuk diri.

Tenanglah jiwa, damailah hati.



Rasa keperluan untuk berpaut?

Kita rasa gundah sangat. Kita rasa sakit sangat. Kita rasa kita perlukan tempat meluah rasa. Kita rasa kita perlukan ada orang memahami kita. Ya, kita manusia. Bukan android tanpa jiwa.

Tetapi kita tidak mampu menyuarakannya. Adakalanya orang pula tidak mengerti keadaan kita. Mereka hanya suka melihat kita tersenyum, tetapi menjauh apabila kita menitiskan air mata. Lebih buruk lagi, ada pula yang membenci apabila kita gembira, dan bersenang hati apabila kita berduka.

Namun kita adalah manusia. Ingin berpaut. Lemah dan hendak dipapah.

Siapa yang mampu mendengar semua kesedihan kita? Siapa yang hendak memahami?

“Atau siapakah yang mengabulkan (doa) orang yang dalam kesulitan apabila ia berdoa kepada-Nya, dan yang menghilangkan kesusahan dan yang menjadikan kamu sebagai khalifah di bumi? Apakah ada tuhan lain selain Allah? Sedikit sekali kamu yang memperhatikannya.” Surah An-Naml ayat 62.

Ya, sekali antara kita memerhatikan, meneliti, akan kasih sayang Allah kepada kita.

Rupanya, Allah sentiasa ada.

Membuka peluang untuk kita berpaut kepadaNya.


Tenanglah jiwa

“Demi waktu dhuha, dan malam apabila ia sunyi sepi(berakhir)” Surah Ad-Dhuha ayat 1&2.

Bagaimanakah waktu dhuha? Bukankah telah cerah? Ya. Cerah. Tiada sekelumit gelita ketika dhuha. Itulah dia sebenarnya apabila malam telah pergi.

Tidakkah kita melihat kepada Dhuha? Begitulah juga segala keperitan dan kesengsaraan yang kita hadapi, semuanya akan berhenti sebagaimana berakhirnya malam da digantikan dengan kecerahan dhuha yang tiada langsung kelam pada waktunya.

“Tuhanmu tidak meninggalkanmu, dan tidak pula Dia membenci” Surah Ad-Dhuha ayat 3.

MasyaAllah…

Tuhanmu tidak meninggalkanmu. Dan tidak pula Dia membenci.

Dugaan, cabaran, ujian, semuanya bukanlah bentuk kebencian Allah SWT. Hatta bala bencana yang menimpa juga hakikatnya dalam ruang kasih sayangNya yang luas. Dia ingin kita kembali kepadaNya, kerana kembali kepadaNya adalah satu-satunya cara mencapai kebahagiaan.

Allah tidak pernah meninggalkan kita. Allah Yang Maha Besar itu. Allah Yang Maha Hebat itu. Allah Yang Tiada Tandingan itu. Allah Yang Maha Kaya itu. Allah Yang Berkuasa Atas Segala-galanya itu. Allah Yang Menciptakan Segalanya itu.

Tidakkah jiwa terasa tenang?


Damailah hati

Tekanan itu milik Allah. Cabaran itu datangnya daripada Allah. Mehnah dan tribulasi semuanya diatur oleh Allah SWT. Tujuannya adalah untuk mendidik kita. Untuk mengangkat kita ke satu darjat yang lebih tinggi. Jika tidak, para Rasul dan nabi tidak akan diuji.

Allah ingin memerhatikan siapa antara kita mampu menjadi hambaNya yang terbaik.

“Dia lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) - untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang terbaik amalnya; dan Ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat);” Surah Al-Mulk ayat 2.

Tetapi Dia tidak akan menguji tanpa memberikan bantuan dan sokongan.

“Bukankah Kami telah melapangkan bagimu: dadamu? Dan Kami telah meringankan untukmu beban, yang memberati tanggunganmu,?” Surah Asy-Syarh ayat 1-3.

Bukankah Kami yang telah melapangkan bagimu dadamu? MasyaAllah…

Allah, Allah, Allah.

“Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan, (Sekali lagi ditegaskan): bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan.” Surah Asy-Syarh ayat 5-6.

Maka damailah hati. Selepas kesukaran kita yang sedang kita hadapi ini, percayalah akan ada kesenangan yang menanti.

Percayalah.


Penutup: Sudah.

Menyedari hakikat betapa kita diuji ini, kita sedang bersama Allah SWT, itu akan menambah kekuatan kita. Menyedari betapa kasihnya Allah kepada kita, itu akan melapangkan jiwa kita.

Ya. Memang payah apabila manusia lain tidak memahami penderitaan kita. Lebih pahit sekiranya manusia lain itu pula menuntut untuk kita memahami mereka. Tetapi itulah lumrahnya.

Tetapi Allah tidak demikian. Dia paling memahami. Dia paling mengetahui. Dia mendengar semua rintihan. Dia memberikan bantuan.

Sudah.

Tenanglah jiwa, damailah hati.

Allah akan membalasi kesabaran ini. Allah akan ganjari keperitan jiwa ini. Allah akan bayar semula kesusahan yang kita hadapi.

Yang perlu kita lakukan sekarang adalah bersabar, dan berusaha menghadapi serta menyelesaikan apa sahaja masalah yang menghampiri.

http://ms.langitilahi.com/motivasi-tenanglah-jiwa-damailah-hati/#more-2786