Wednesday, May 15, 2013

 PEMIKIRAN PEMBAHARUAN HAMKA

1.1   RIWAYAT HIDUP
Nama penuh beliau ialah Abdul Malik bin Abdul Karim bin Amrullah bin Abdullah bin Shalih. Nama ini diberikan oleh ayah beliau sempena nama anak lelaki gurunya iaitu Syeikh Ahmad Khatib di Mekah. Beliau lebih dikenali sebagai HAMKA. Gelaran HAMKA adalah singkatan kepada nama asal beliau serta disebabkan aktiviti beliau dalam bidang penulisan bagi memudahkan masyarakat mengenalinya (Mazlan Ibrahim & Suhaila Zakaria. 2010:196). Beliau turut diberi gelaran Buya iaitu panggilan masyarakat  Minangkabau yang bermaksud ayah atau seseorang yang dihormati (Mohamad Zulfazdlee Abul Hassan Ashari & Ezad Azraai Jamsari. 2010: 230). Beliau telah dilahirkan pada 17 Februari 1908 di Nagari Sungai Batang dekat Tasik Maninjau, Luhak Agam, Sumatera Barat (Mazlan Ibrahim & Suhaila Zakaria. 2010:196).  

Bapanya ialah Hj. Abdul Karim Amrullah yang digelar Haji Rasul merupakan seorang tokoh pelopor gerakan Islam ‘Kaum Muda’ di daerahnya. Gerakan ini mengadakan pembaharuan agama, membersihkan dan memurnikan ajaran Islam dari amalan yang terpesong dan bercanggah dengan al-Quran dan al-Sunnah. Ibu beliau ialah Siti Shafiyah Tanjung binti Haji Zakaria. Pada 5 April 1929, beliau mendirikan rumah tangga dengan seorang gadis bernama Siti Raham. Sewatu berkahwin, beliau berusia 21 tahun manakala isterinya berusia 15 tahun(Rusydi Hamka.2010:3 ).

1.2    PENDIDIKAN
Hamka mendapat pendidikan rendah di Sekolah Dasar Maninjau sehingga kelas dua.Sewaktu berusia 10 tahun, bapanya iaitu Haji Rasul telah mendirikan Sumatera Thawalib di Padang Panjang. Beliau seterusnya mempelajari agama dan mendalami bahasa Arab di sana. Beliau turut mengikuti pengajaran agama di surau dan masjid yang disampaikan oleh ulama seperti Shayk Ibrahim Musa, Shaykh Ahmad Rashid, Sultan Mansur, R.M Surjopranoto dan Ki Bagus Hadikusumo (Mohamad Zulfazdlee Abul Hassan Ashari & Ezad Azraai Jamsari. 2010: 231). Kehidupan Hamka semenjak kecil sentiasa berada di dalam lingkungan suasana ilmu. Meskipun beliau tidak pernah tamat belajar di mana-mana institusi pengajian, berkat kegigihan dan ketekunan beliau masih berpeluang menimba ilmu di pelbagai lapangan ilmu sama ada formal mahupun tidak formal (Adnan Mohamed Yusoff. 2010: 78).

Hamka juga lebih banyak belajar sendiri dan melakukan penelitian yang meliputi pelbagai ilmu pengetahuan seperti filsafat, kesusasteraan, sejarah, sosiologi serta politik Islam dan Barat. Dengan kemahiran berbahasa Arab yang tinggi, Hamka juga mempelajari karya ulama dan pujangga besar dari Timur Tengah serta karya ilmuwan dan pemikir dari Eropah. Ketika berusia 16 tahun, Hamka merantau ke Jawa dan menimba ilmu mengenai gerakan Islam moden melalui H.Oemar Said Cokroaminoto (pemimpin Sarekat Islam), Ki Bagus Hadikusomo, R.M Soerjopranoto, AR. St.Mansur dan H.A.R Fachruddin yang mengadakan kursus-kursus pergerakan dan perjuangan di Gedung Abdi Dharmo di Pakualaman, Yogyakarta ( Musa Sharaf & Idris Zakaria.2010 :44).

Ketika dalam perantauan itu, beliau mengesan perbezaan misi pembaharuan Islam di Jawa dan tempatnya iaitu Minangkabau yang mana aspek yang diberi penekanan di Minangkabau adalah pemurnian ajaran Islam dari praktik yang dianggap salah seperti tarikat, taqlid, khurafat dan seumpamnya sementara di Jawa, aspek yang diberi penekanan ialah usaha untuk memerangi keterbelakangan, kebodohan dan kemiskinan (Witrianto.2010: 145) .Dan mulai saat itu, Hamka mendapat inspirasi dan sesuatu yang baru untuk membangun kesedaran keagamaan  serta berjuang untuk membela agama Islam. Beliau menyatakan bahawa beliau menemukan Islam sebagai sesuatu yang hidup yang menyedarkan suatu pendirian dan perjuangan yang dinamik ( Musa Sharaf & Idris Zakaria.2010 :44).

Dibesarkan dalam tradisi Minangkabau, masa kecil Hamka dipenuhi gejolak batin kerana ketika itu terjadi pertentangan yang keras antara kaum adat dan kaum muda tentang pelaksaan ajaran Islam. Banyak hal yang tidak dibenarkan dalam Islam diamalkan dalam kehidupan seharian masyarakat. Justeru itu, Hamka merupakan salah seorang pendukung kaum pembaharu yang menentang perkara ini. (Witrianto.2010: 143). Beliau menggunakan kombinasi ilmu yang dikuasainya ini sebagai dasar untuk menganalisis persoalan-persoalan kemasyarakatan.Peranan social serta harapan ayahnya, kampung halaman dan asimilasi antara adat Minangkabau dan ajaran Islam turut membentuk peribadi Hamka (Witrianto.2010:145).

Budaya merantau juga melengkapkan pemikiran Hamka (Witrianto.2010: 145). Beliau gemar merantau sehingga ayahnya menggelarkan dirinya sebagai Si Bujang Jauh (Witrianto.2010: 144). Ketika berusia 19 tahun iaitu pada Februari 1927, beliau berangkat ke Mekah dan bermukim di sana selama 6 bulan. Beliau bekerja di sebuah percetakan dan mengambil kesempatan belajar sendiri dan menambahkan kefasihan berbahasa Arab di sana (Rusydi Hamka.2010:3).

1.3    KERJAYA
Hamka mula bertugas sebagai seorang guru agama pada tahun 1927 di Perkebunan Tebing Tinggi Deli, Sumatera Utara dan di Padang Panjang pada 1929. Beliau juga pernah menjadi Rektor Perguruan Tinggi Islam Jakarta. Setelah perjanjian Roem-Royen 1949, Hamka berpindah ke Jakarta dan memenuhi kerjayanya sebagai pegawai di Departmen Agama pada masa KH Abdul Wahid Hasyim. Beliau juga sering memberi kuliah di pelbagai perguruan tinggi Islam di tanah airnya (Witrianto.2010: 146).

Hamka turut bergiat aktif di dalam bidang politik dengan menjadi ahli Partai Sarekat Islam pada tahun 1925. Beliau terlibat dalam penentangan terhadap penjajahan Belanda. Beliau kemudiaannya dilantik sebagai anggota Konstituante dari Parti Masyumi (Majelis Syuro Muslimin Indonesia) selepas Pemilihan Umum pada tahun 1955 (Witrianto.2010: 146). Setelah Konstituante dibubarkan pada Julai 1959 dan Partai Masyumi dibubarkan oleh Soekarno pada 1960, beliau memberi tumpuan kepada  aktiviti dakwah, menjadi imam di Masjid Agung al-Azhar serta terlibat aktif di dalam Muhammadiyah. Beliau turut pernah dipenjara ketika zaman pemerintahan Soekarno selama 2 tahun iaitu pada tahun 1964- 1966 (H. Yunahar Ilyas.2010:162).

Pada 26 Jun 1975, beliau telah dilantik sebagai Ketua Umum Majelis Ulama Indonesia (MUI). Setelah itu, beliau meletakkan jawatan pada Mei 1981 kerana berpegang teguh dengan prinsip dan kebenaran meskipun berbeza dengan arahan dari pihak pemerintah (Witrianto.2010: 147). Beliau seterusnya mengisi masanya dengan memberikan kuliah subuh di Masjid al-Azhar yang terletak di Jakarta Selatan setelah tidak lagi disibukkan dengan politik. Sepanjang hidupnya, Hamka telah menerima beberapa anugerah pada peringkat nasional dan antarabangsa seperti Doktor Kehormat Universiti al-Azhar (1958), Doktor Kehormat Universiti Kebangsaan Malaysia (1974) dan gelaran Datuk Indono dan Pangeran Wiroguno daripada kerajaan Indonesia. Setelah sekian lama menyebar ilmu dan menabur bakti, Hamka kembali ke rahmatullah pada 24 Julai 1981 di Jakarta (Adnan Mohamed Yusoff. 2010: 78). 
                    
1.4    SUMBANGAN KEILMUAN
Hamka juga bergiat aktif dalam penulisan melibatkan pelbagai bidang. Beliau merupakan seorang wartawan, penulis, editor dan penerbit (Mohamad Zulfazdlee Abul Hassan Ashari & Ezad Azraai Jamsari. 2010: 232). Beliau telah menulis dalam pelbagai bidang. Antaranya ialah:
  1. Khatibul Ummah, Jilid 1-3. Ditulis dalam huruf Arab.
  2. Si Sabariah. (1928)
  3. Pembela Islam (Tarikh Saidina Abu Bakar Shiddiq),1929.
  4. Adat Minangkabau dan agama Islam (1929).
  5. Ringkasan tarikh Ummat Islam (1929).
  6. Kepentingan melakukan tabligh (1929).
  7. Hikmat Isra' dan Mikraj.
  8. Arkanul Islam (1932) di Makassar.
  9. Laila Majnun (1932) Balai Pustaka.
  10. Majalah 'Tentera' (4 nombor) 1932, di Makassar.
  11. Majalah Al-Mahdi (9 nombor) 1932 di Makassar.
  12. Mati mengandung malu (Salinan Al-Manfaluthi) 1934.
  13. Di Bawah Lindungan Ka'bah (1936) Pedoman Masyarakat,Balai Pustaka.
  14. Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck (1937), Pedoman Masyarakat, Balai Pustaka.
  15. Di Dalam Lembah Kehidupan 1939, Pedoman Masyarakat, Balai Pustaka.
  16. Merantau ke Deli (1940), Pedoman Masyarakat, Toko Buku Syarkawi.
  17. Margaretta Gauthier (Terjemahan) 1940.
  18. Tuan Direktur 1939.
  19. Dijemput mamaknya,1939.
  20. Keadilan Ilahy 1939.
  21. Tasawuf Moden 1939.
  22. Falsafah Hidup 1939.
  23. Lembaga Hidup 1940.
  24. Lembaga Budi 1940.
  25. Majalah 'SEMANGAT ISLAM' (Zaman Jepun 1943).
  26. Majalah 'MENARA' (Terbit di Padang Panjang), sesudah revolusi 1946.
  27. Negara Islam (1946).
  28. Islam dan Demokrasi,1946.
  29. Revolusi Fikiran,1946.
  30. Revolusi Agama,1946.
  31. Adat Minangkabau menghadapi Revolusi,1946.
  32. Dibantingkan ombak masyarakat,1946.
  33. Didalam Lembah cita-cita,1946.
  34. Sesudah naskah Renville,1947.
  35. Pidato Pembelaan Peristiwa Tiga Maret,1947.
  36. Menunggu Beduk berbunyi,1949 di Bukit Tinggi.
  37. Ayahku,1950 di Jakarta.
  38. Mandi Cahaya di Tanah Suci. 1950.
  39. Mengembara Dilembah Nyl. 1950.
  40. Ditepi Sungai Dajlah. 1950.
  41. Kenangan-kenangan hidup 1,autobiografi sejak lahir 1908 sampai pd tahun 1950.
  42. Kenangan-kenangan hidup 2.
  43. Kenangan-kenangan hidup 3.
  44. Kenangan-kenangan hidup 4.
  45. Sejarah Ummat Islam Jilid 1,ditulis tahun 1938 hingga 1950.
  46. Sejarah Ummat Islam Jilid 2.
  47. Sejarah Ummat Islam Jilid 3.
  48. Sejarah Ummat Islam Jilid 4.
  49. Pedoman Mubaligh Islam,Cetakan 1 1937 ; Cetakan ke 2 tahun 1950.
  50. Pribadi,1950.
  51. Agama dan perempuan,1939.
  52. Muhammadiyah melalui 3 zaman,1946,di Padang Panjang.
  53. 1001 Soal Hidup (Kumpulan karangan dr Pedoman Masyarakat,dibukukan 1950).
  54. Pelajaran Agama Islam,1956.
  55. Perkembangan Tasawuf dari abad ke abad,1952.
  56. Empat bulan di Amerika,1953 Jilid 1.
  57. Empat bulan di Amerika Jilid 2.
  58. Pengaruh ajaran Muhammad Abduh di Indonesia (Pidato di Cairo 1958), utk Doktor Honoris Causa.
  59. Soal jawab 1960,disalin dr karangan-karangan Majalah GEMA ISLAM.
  60. Dari Perbendaharaan Lama 1963,dicetak oleh M.Arbie Medan.
  61. Lembaga Hikmat,1953 oleh Bulan Bintang,Jakarta.
  62. Islam dan Kebatinan,1972;Bulan Bintang.
  63. Fakta dan Khayal Tuanku Rao,1970.
  64. Sayid Jamaluddin Al-Afhany 1965,Bulan Bintang.
  65. Ekspansi Ideologi (Alghazwul Fikri),1963, Bulan Bintang.
  66. Hak Asasi Manusia dipandang dari segi Islam 1968.
  67. Falsafah Ideologi Islam 1950(sekembali dr Mekkah).
  68. Keadilan Sosial dalam Islam 1950 (sekembali dr Mekkah).
  69. Cita-cita kenegaraan dalam ajaran Islam (Kuliah umum) di Universiti Keristan 1970.
  70. Studi Islam 1973,diterbitkan oleh Panji Masyarakat.
  71. Himpunan Khutbah-khutbah.
  72. Urat Tunggang Pancasila.
  73. Doa-doa Rasulullah S.A.W,1974.
  74. Sejarah Islam di Sumatera.
  75. Bohong di Dunia.
  76. Muhammadiyah di Minangkabau 1975,(Menyambut Kongres Muhammadiyah di Padang).
  77. Pandangan Hidup Muslim,1960.
  78. Kedudukan perempuan dalam Islam,1973.
  79. Tafsir Al-Azhar Juzu' 1-30, ditulis pada masa beliau dipenjara oleh Sukarno.

2.1       PEMIKIRAN PEMBAHARUAN
Pemikiran pembaharuan Hamka dalam dilihat dalam pelbagai aspek antaranya melalui hasil penulisan, pendidikan serta politik yang digagaskan oleh beliau.

2.2   PENULISAN
Pemikiran pembaharuan Hamka tertonjol dalam beberapa sumbangan kegiatan dakwahnya terutamanya penulisan seperti Tafsir al-Azhar. Tafsir al-Azhar merupakan sebuah karya agung yang menjadi manifestasi terhadap corak pemikiran serta aspirasi Hamka dalam perjuangannya sebagai seorang ilmuwan, sasterawan dan aktivis Islam. Kitab ini sarat dengan berbagai mesej pembaharuan dan idea kritis yang menuntut para pembaca dan masyarakat Islam umumnya agar bangkit merenungi situasi semasa meliputi aspek keagamaan, pendidikan, social, ekonomi mahupun politik seterusnya memikirkan masa depan agama, bangsa dan tanah air dalam mendepani cabaran yang semakin kompleks (Adnan Mohamed Yusoff.2010 :77).

Tafsir ini berasal dari siri kuliah yang beliau sampaikan di Masjid al-Azhar yang terletak di Kebayoran Baru Jakarta sejak akhir tahun 1958. Tafsir ini telah dihasilkan atas kesedaran Hamka terhadap kepentingan untuk menanam semangat dan kepercayaan Islam dalam jiwa-jiwa belia di alam Melayu khususnya para belia di Indonesia yang amat berminat untuk memahami al-Quran tetapi terhalang akibat ketidakmampuan menguasai ilmu bahasa Arab. Ia juga bertujuan untuk memudahkan pemahaman para muballigh dan para pendakwah serta meningkatkan keberkesanan dalam penyampaian khutbah-khutbah yang diambil dari sumber – sumber Bahasa Arab (Adnan Mohamed Yusoff. 2010: 82).

Hamka dalam penulisan tafsirnya banyak menerima pengaruh dari gerakan pembaharuan Tafsir Muhammad Abduh. Beliau banyak merujuk, menukil dan menghuraikan pendapat-pendapat tafsir Muhammad Abduh serta menyatakan dengan jelas bahawa pandangan atau huraian yang dibawa olehnya adalah dari Tafsir Muhammad Abduh. Tafsir yang dihasilkan oleh beliau merupakan gabungan antara tafsir bi al-mathur dan tafsir bi al ra’yi yang tidak hanya menukilkan riwayat-riwayat dari kitab-kitab terdahuludan tidak pula memberikan kebebasan tanpa batasan kepada akal fikiran (Adnan Mohamed Yusoff. 2010: 83).

 Beliau menggunakan sepenuhnya kebijaksanaan dan pengalaman yang luas untuk memilih, mengkritik dan menambah apa yang perlu. Beliau sedaya upaya memberikan maksud sebenar sesuatu ayat dengan menghuraikan makna lafaz-lafaznya dari sudut bahasa ke dalam Bahasa Indonesia tanpa memasukkan pertikaian-pertikaian ulama mengenai perbahasan-perbahasan yang terkandung di dalamnya dan tidak memaksakan pendapat dari mana-mana aliran terhadap pembaca. Pembaca diberi kebebasan sepenuhnya untuk menggunakan akal fikiran dalam memahami dan menghayati kandungan al-Quran setelah mengetahui maksudnya secara umum (Adnan Mohamed Yusoff. 2010: 83).

Walaubagaimanapun, beliau tetap memberikan penilaian dan pandangannya dalam perkara-perkara yang tidak disepakati oleh ulama khususnya dalam bab akidah dan ibadah, tanpa  sebarang sikap taasub kepada sesuatu mazhab. Beliau juga berusaha mengelakkan tafsirnya dari riwayat-riwayat Israiliyyat atau yang lemah kecuali untuk peringatan para pembaca agar tidak terpengaruh dengan riwayat-riwayat berkenaan. Beliau turut menyentuh isu-isu semasa berkaitan politik, social, pemikiran, sains dan sebagainya setiap kali punyai ruang dan keperluan ke arah itu. Beliau turut menukilkan pendapat – pendapat para ulama Indonesia yang tidak mungkin dapat ditemui dalam tafsir-tafsir lainnya (Adnan Mohamed Yusoff. 2010: 84).

Corak Tafsir al-Azhar karya Hamka dapat dimasukkan ke dalam kategori yang sama dengan corak Tafsir al-Manar iaitu kitab tafsir bercorak sastera budaya kemasyarakatan. Aspek inilah yang menonjol dari Tafsir karya Hamka berbanding aspek kebahasaan, fiqih, teologi, filsafat, tasawuf dan ilmu pengetahuan meskipun masih ditampilkan dalam Tafsir al-Azhar. Di dalam tafsir ini, banyak perkara dibincangkan dengan merungkai setiap persoalan yang berkait dengan permasalahan yang berlaku di dalam masyarakat iaitu berkaitan dengan ekonomi, sistem perundangan dan politik serta social yang berlaku dalam masyarakat.

Hamka dalam Tafsir al-Azhar menyentuh pelbagai aspek berkaitan masyarakat. Metod ijtima’e berkaitan keadilan social dan kemasyarakatan adalah berkait korupsi, judi, arak dan fitnah (Mazlan Ibrahim & Suhaila Zakaria.2010:200). Manakala berkaitan dengan sistem perundangan dan politik adalah seperti hak memilih pemimpin, hak sebagai khalifah dan pemimpin  (Mazlan Ibrahim & Suhaila Zakaria.2010:204). Sementara berkaitan dengan ekonomi Islam adalah seperti kapitalisme dalam perniagaan serta larangan penggunaan riba (Mazlan Ibrahim & Suhaila Zakaria.2010:208).Setiap permasalahan yang timbul, Hamka menerangkannya satu-persatu dalam setiap surah mengikut masalah yang berlaku dan beliau mengemukakan jalan penyelesaiannya berdasarkan ayat-ayat al-Quran. Ini dapat dilihat dengan jelas apabila kita mentafsirkannya secara menyeluruh atau melihat terhadap metod ijtimaie yang terdapat dalam Tafsir al-Azhar (Mazlan Ibrahim & Suhaila Zakaria.2010: 212).

2.3     PENDIDIKAN
Hamka merupakan seorang pendidik dan mempunyai keprihatinan yang cukup tinggi terhadap dinamika pendidikan Islam. Ini jelas dapat dilihat melalui karya-karyanya seperti Falsafah Hidup, Lembaga Hidup dan Lembaga Budi yang  membicarakan komponen pendidikan Islam serta mengetengahkan pemikiran-pemikirannya mengenai pendidikan Islam meliputi tujuan pendidikan, kewajipan orang tua sebagai pendidik pertama dan utama dalam menanamkan nilai akhlak pada seorang anak, kewajipan guru yang meliputi metode pendidikan yang digunakan dan criteria guru yang ideal, memberi peluang kepada anak didik untuk berfikir secara kritis dan merdeka. Komponen- komponen ini menjadi acuan utama dalam pemikiran beliau tentang pendidikan. Warisan pemikiran beliau ini merupakan komponen yang sangat berpotensi untuk dikembangkan sebagai konsep pendidikan Islam (H.Shamsul Nizar.2010:104).

Hamka di dalam pemikiran pendidikannya amat menekankan kepada syarat-syarat pendidik dalam kerangka adab muta’allim. Dalam beberapa karya yang ditulis oleh beliau, beliau tidak menyatakan secara jelas mengenai bentuk kurikulum pendidikan yang ditawarkannya. Namun secara tersiratnya beliau mencadangkan bahawa kurikulum pendidikan Islam perlu mencakupi dua aspek iaitu; pertamanya ilmu-ilmu agama yang meliputi al Quran, al Sunnah, syariah, teologi, tasawuf, ilmu-ilmu linguistic seperti bahasa Arab, tatabahasa, leksikografi dan kesusasteraan. Kedua, ilmu-ilmu rasional, intelektual dan falsafah meliputi ilmu-ilmu kemanusiaan (social), alam, terapan dan teknologi (H.Shamsul Nizar.2010:110).

Menurut  Hamka, kurikulum pendidikan tidak terbatas kepada satu bentuk sahaja. Pendekatan yang dilakukan bersifat falsafah selari dengan dinamika kehidupan manusia yang menuntut kurikulum pendidikan mengalami perubahan secara dinamis. Beliau menekankan bahawa wahyu, akal, dan pengalaman memainkan peranan dalam mengambil kesimpulan bagi membangunkan suatu model kurikulum pendidikan yang mampu menjawab pelbagai persoalan kehidupan manusia (H.Shamsul Nizar.2010:110). Beliau turut mencadangkan empat kaedah pendidikan iaitu diskusi, lawatan, eksperimen serta pemberian tugas. Kesemua ini adalah untuk melatih pelajar menjadi aktif dan dinamis bukan hanya sekadar berteori (H.Shamsul Nizar.2010:111).

Dinamika pemikiran inovatif Hamka tentang pendidikan dapat dilihat melalui usahanya untuk mengubah sistem pendidikan tradisional yang masih sederhana kepada sistem moden yang kompleks dan sistematik. Ini bertujuan membolehkan pelajar menghadapi perkembangan zaman secara aktif tanpa melampaui batas-batas ajaran agamanya (H.Shamsul Nizar.2010:115). Idea-idea pembaharuan yang dilakukan Hamka melalui karya-karyanya adalah respon terhadap realiti social terutamanya praktik sistem pendidikan tradisional yang masih dipertahankan umat Islam ketika itu. Beliau cuba untuk merombak dan melakukan pembaharuan terhadap sistem pendidikan di Indonesia yang sangat rendah dan bersifat tertutup (H.Shamsul Nizar.2010:115).

Sistem pendidikan yang ideal menurut Hamka berorientasikan visi keakhiratan sebagai alat mengawal perilaku manusia sementara visi dunia yang bersifat semasa berperanan untuk mengaktifkan fungsi akal  secara maksimum.Beliau menyeru kepada umat Islam agar melihat visi pembaharuan khususnya pendidikan secara kritis dan objektif. Beliau juga tidak hanya menyebarkan idea-idea pembaharuan pendidikan di mimbar mahupun di dalam karya-karyanya bahkan mengapresiasikan idea tersebut secara nyata dan praktikal dalam pendidikan formal. Beliau merupakan seorang pendidik bahkan mendirikan beberapa institusi pendidikan formal seperti Tabligh School yang menggantikan sistem pendidikan yang masih  tradisional dengan menawarkan pola pendidikan baru secara moden dan sistematik dengan mengambil model pendidikan Barat tanpa melepaskan nilai-nilai agama Islam (H.Shamsul Nizar.2010:118).

Wacana pemikiran Hamka berpegang teguh pada dasar agama Islam tanpa menutup diri terhadap pendapat Barat yang bersifat kontemporari selagi persoalan tersebut tidak menyimpang dari nilai-nilai ajaran Islam. Corak pemikiran seumpama ini merupakan salah satu indikator dinamika intelektual Muslim era moden  yang mengembangkan nilai-nilai universal ajaran Islam dan bersikap eksklusif terhadap arus pemikiran semasa (umum) yang dihasilkan oleh intelektual Barat (H.Shamsul Nizar.2010:120). Hubungan yang signifikan di antara idea pemikiran beliau mengenai pendidikan Islam dan aplikasinya dapat dilihat melalui penglibatannya dalam institusi pendidikan  serta peranannya dalam mengembangkan masjid al-Azhar sebagai institusi pendidikan Islam dengan berpandukan model sekolah umum di bawah Yayasan Pesantren Islam al-Azhar (H.Shamsul Nizar.2010:119).

2.4    POLITIK
Hamka merupakan seorang ulama yang banyak menghasilkan tulisan dan buku keislaman. Justeru itu, pemikiran sosio kemasyarakatan, keagamaan dan pemikiran politik Islam dapat dilihat di dalam penulisannya seperti Negara Islam, Islam dan Demokrasi, Cita-cita Kenegaraan dalam Ajaran Islam, Keadilan Sosial dalam Islam dan lain-lain. Di dalam penulisan ini, penulis akan menumpukan kepada pemikiran politik Hamka yang terkandung di dalam sebuah kertas kerja bertajuk Cita-cita Kenegaraan dalam Ajaran Islam yang dibentangkan oleh beliau di Sekolah Tinggi Theologi Kristen bagi menghuraikan pandangan Islam terhadap hubungan antara agama dan negara ( Musa Sharaf & Idris Zakaria.2010 :47).

            Menurut Hamka, syariat merupakan peraturan Allah yang wajib ditaati. Akidah berfungsi bilamana kehidupan kita di dunia mengikut apa yang diaturkan oleh Allah atau dengan melaksanakan undang-undang yang selaras dengan syariatNya. Syariat Allah boleh diperincikan kepada tujuh bahagian iaitu  akidah, ibadah, muamalat, munakahat, jinayat, kenegaraan dan meninggikan tingkat kerohanian ( Musa Sharaf & Idris Zakaria.2010 : 48). Islam mewajibkan ke atas ummah untuk menegakkan dan memperjuangkan penguatkuasaan syariat dalam setiap diri individu, rumah tangga, masyarakat dan dalam negara. Islam bukanlah semata-mata ibadah iaitu menunaikan solat, puasa, zakat dan menunaikan haji. Bahkan Islam memerlukan pemerintah (penguasa) yang menentukan permulaan dan penutupan puasa manakala haji memerlukan kapal, paspot, visa dan jaminan keamanan dan semua ini adalah kekuasaan.


            Islam tidak menerima teori pemisahan antara agama dan pemerintahan kerana negara mengikut pandangan Islam adalah alat/jentera untuk melaksanakan hukum kebenaran dan keadilan yang mutlak daripada Allah. Mengurus negara merupakan salah satu dari bahagian agama. Islam adalah agama. Hamka turut menegaskan bahawa ketua negara sama ada diberi gelaran Khalifah, Sultan mahupun Presiden adalah penguatkuasa bagi memastikan pelaksanaan syariat. Perkara paling utama dalam sebuah negara bukanlah bentuk negara itu samaada republik mahupun beraja, tetapi yang paling utama adalah dari mana sumber hukum/perlembagaan dan bagaimana ia dilaksanakan. Islam tidak dapat menerima pelaksanaan undang-undang selain syariat yang bersumber al-Quran dan al- Sunnah ( Musa Sharaf & Idris Zakaria.2010 :49).

            Hamka turut menghuraikan mengenai pelaksanaan undang-undang dalam pemerintahan Islam iaitu meskipun matlamat penubuhan sesebuah negara adalah untuk menjamin kemerdekaan dan keselamatan penduduk, hakikat kemerdekaan yang sebenar menurut ajaran Islam ialah berada di bawah kekuasaan Allah (Musa Sharaf & Idris Zakaria.2010:52). Pemerintah bertanggungjawab memelihara kemerdekaan rakyat manakala rakyat wajib taat kepada pemerintah selama mana mereka menegakkan syariat Islam. Pemerintah tidak mempunyai keutamaan yang khusus melainkan hak untuk ditaati oleh rakyat kerana melakukan dan memelihara ketaatan kepada Allah. Justeru itu, sistem pemerintahan secara diktator tidak diterima dalam Islam ( Musa Sharaf & Idris Zakaria.2010:53).
                                                                                                                                
3.1      SIKAP TERHADAP IDEA DAN GERAKAN PEMBAHARUAN
Menurut Hamka, pembaharuan adalah suatu kemestian. Pembaharuan (modernisasi) diperlukan dalam segala bidang untuk membangun jiwa bebas merdeka setelah lama terjajah. Pembaharuan  yang dianjurkan adalah pembaharuan dari suasana feudal kepada demokrasi, pembaharuan dari sebuah negara pertanian kepada negara maju dan industrialis dan pembaharuan dari suasana kebodohan kepada ilmu pengetahuan (H.Shobahussurur.2010: 137).

Beliau turut menyeru kepada pembaharuan dalam pendidikan memandangkan berlaku ketempangan serius dalam dunia pendidikan di Indonesia iaitu sistem pendidikan Barat menghasilkan kebencian terhadap Islam manakala pendidikan surau atau pondok pula membenci segala yang berbau Barat (H.Shobahussurur.2010: 138).  Hasilnya, golongan berpendidikan Barat memandang sinis kepada agama sementara golongan berpendidikan surau membenci segala yang berkaitan Barat. Pembaharuan pendidikan sangat diperlukan untuk menghentikan cara pandang negative serta cubaan untuk lari dari Islam di samping meluaskan cara pandang  sempit  yang menyebabkan pengasingan diri serta tidak mahu membuka wawasan agar dapat melahirkan umat Islam yang bangga dengan sumber ajaran agamanya, memahami sejarah bangsanya serta tidak tercabut dari akar keislamannya (H.Shobahussurur.2010: 138).

            Hamka turut menolak bahawa pembaharuan merupakan suatu usaha sekularisasi. Pembaharuan dalam Islam bukanlah dengan memisahkan agama dan negara sebagaimana fahaman sekularisme yang tumbuh subur di Barat. Pembaharuan yang diusahakan juga bukanlah satu usaha pembaratan (westernisasi) yang mengambil segalanya dari Barat. Pembaharuan tidaklah menghilangkan keperibadian sebagai bangsa yang merdeka mahupun sebagai umat Islam yang dinamis sehingga meniru segalanya dari Barat termasuk perkara-perkara yang bertentangan dengan agama (H.Shobahussurur.2010: 139).

            Pembaharuan pendidikan turut diadakan melalui pengembalian fungsi masjid sebagaimana pada zaman keemasan Islam, masjid berfungsi sebagai pusat pendidikan dan dakwah. Pelbagai disiplin ilmu terutamanya ilmu-ilmu keislaman dikaji di dalam masjid. Masjid al-Azhar mempelopori penubuhan pusat pendidikan sama ada formal mahupun tidak formal seterusnya penubuhan pusat pendidikan tinggi iaitu Universiti Al-Azhar Indonesia (H.Shobahussurur.2010: 141).

4.1       RUJUKAN
Adnan Mohamed Yusoff. Tafsir HAMKA dan Hubungannya dengan Gerakan Pembaharuan Tafsir Muhammad Abduh. Prosiding Seminar Serantau Seabad Buya Hamka, hlm. 77-92.
1979.Kenang-Kenangan 70 Tahun Buya Hamka. Jakarta: Yayasan Nurul Islam.
H. Yunahar Ilyas. Buya HAMKA dan Karya Besarnya Tafsir al-Azhar. Prosiding Seminar Serantau Seabad Buya Hamka, hlm. 155-172.
Mazlan Ibrahim & Suhaila Zakaria. Metode Ijtima’I dalam Tafsir al-Azhar : Satu Kajian. Prosiding Seminar Serantau Seabad Buya Hamka, hlm.195-214.
Mohamad Zulfazdlee Abul Hassan Ashari. Kerajaaan Banu Marin Menurut Buku Sejarah Umat Islam Karya HAMKA. Prosiding Seminar Serantau Seabad Buya Hamka, hlm.229-248.
Musa Sharaf & Idris Zakaria. Teori Politik Islam HAMKA. Prosiding Seminar Serantau Seabad Buya Hamka, hlm. 43-58.
Rusydi Hamka. 2010. Hamka Pujangga Islam Kebanggaan Rumpun Melayu: Menatap Keperibadian dan Martabatnya. Selangor : Pustaka Dini.
Shamsul Nizar. Percik Mutiara Pemikiran HAMKA (1908-1981) Tentang Pendidikan Islam. Prosiding Seminar Serantau Seabad Buya Hamka, hlm.103-128.
Witrianto. Sumbangan Pemikiran Buya HAMKA bagi Kemajuan Bangsa. Prosiding Seminar Serantau Seabad Buya Hamka, hlm. 143-154.



PENGLIBATAN IKHWAN AL MUSLIMIN DALAM PERANG ARAB- ISRAEL 1948
NIK NORIMAH BINTI TUAN MAT       A129779

PENGENALAN
Penulisan ini membincangkan penubuhan  Ikhwan al  Muslimin sebagai sebuah gerakan Islam di Mesir  merangkumi sejarah dan perkembangan serta gagasan Ikhwan al Muslimin yang menjadi pemacu kepada penglibatan Ikhwan al Muslimin di dalam Perang Arab- Israel 1948. Ikhwan al Muslimin muncul sebagai sebuah gerakan Islam berpengaruh di Mesir setelah penubuhannya pada tahun 1927. Gerakan ini meyakini bahawa Islam adalah akidah dan sistem yang menyeluruh. Justeru itu, agenda kebangkitan ummah tidak terhad kepada kawasan atau bangsa tertentu mahupun sempadan geografi. Agenda kebangkitan yang dibawa oleh Ikhwan al Muslimin bersifat menyeluruh. Penglibatan Ikhwan al Muslimin di dalam Perang Arab- Israel merupakan satu bukti perjuangan Ikhwan al Muslimin dalam menegakkan Islam berlandaskan konsep jihad yang dituntut dalam Islam. Permasalahan kajian dalam penulisan ini adalah kaitan Ikhwan al Muslimin dalam mempertahankan Palestin dalam Perang Arab- Israel 1948. Justeru itu, penulisan ini akan menjelaskan kaitan Ikhwan al Muslimin dalam mempertahankan Palestin dalam Perang Arab – Israel 1948 di samping mengenalpasti faktor- faktor penglibatan Ikhwan al Muslimin dalam peperangan ini serta menilai peranan Ikhwan al Muslimin dalam peperangan ini.

BIOGRAFI IMAM HASAN AL-BANNA
Imam Hasan al-Banna telah dilahirkan  pada hari Ahad, 14 Oktober 1906 bersamaan 25 Syaaban 1324H di Mahmudiyah, salah satu wilayah  Buhairah di Delta Nil. Mahmudiyah merupakan sebuah perkampungan petani. Beliau merupakan anak sulung dalam keluarganya. Beliau mempunyai tujuh adik beradik iaitu lima lelaki dan dua perempuan. Ayah beliau, Syeikh Ahmad bin Abdul Rahman merupakan seorang yang warak, berakhlak mulia dan bertaqwa. Ayahnya bekerja sebagai tukang jam untuk menyara kehidupan mereka sekeluarga. Beliau telah dididik dengan suasana keislaman dan disemai dengan nilai-nilai Islam oleh ayahnya( Zulkifli bin Mohamad, Mohd Faisal bin Fadzil.2010: 8).

Bapanya, Sheikh Ahmad memainkan peranan dalam pembentukan keilmuan Hasan al-Banna. Ini terbukti apabila beliau amat mementingkan pendidikan anaknya. Beliau mempunyai harapan untuk melihat Hasan al- Banna menjadi seorang hafiz sejak kecil lagi. Beliau turut menghantar  Hasan al-Banna menuntut ilmu dengan seorang guru yang mempunyai pengetahuan yang luas dan mendalam dalam bidang keagamaan iaitu Syeikh Muhammad Zahran. Kaedah pengajaran yang digunakan oleh Syeikh Muhammad Zahran agak keras bagi golongan kanak-kanak, namun ia memberi manfaat kepada Hasan al Banna. Setelah itu, ayahnya memindahkan Hasan al-Banna ke Madrasah I’dadiyah serta memantau perkembangan hafazan al Qurannya. Pada usia 12 tahun, beliau telah berjaya menghafaz separuh dari isi kandungan al-Quran ( Zulkifli bin Mohamad, Mohd Faisal bin Fadzil.2010:9). Pada usia 13 tahun, beliau melanjutkan pelajaran ke Madrasah al- Muallimin al-Awwaliyyah di Damanhur ( Zulkifli bin Mohamad, Mohd Faisal bin Fadzil.2010:10).

 Seterusnya beliau memasuki Pusat Latihan Guru Damanhur bagi memperolehi Ijazah Perguruan. Beliau lulus pangkat pertama dalam peperiksaan dan menyambung pelajaran ke Darul Ulum (Universiti Kaherah). Kemudiannya beliau bertugas sebagai guru di sekolah kerajaan ( Zulkifli bin Mohamad, Mohd Faisal bin Fadzil.2010:14). Dari aspek kepimpinan, beliau merupakan seorang yang berjiwa pemimpin. Ini terbukti apabila sifat kepimpinan beliau terserlah semenjak berada di sekolah rendah lagi. Beliau merupakan pemimpin Badan Latihan Akhlak dan Jam’iyyah al Suluk al Akhlaqi  yang diuruskan oleh gurunya di sekolah. Pertubuhan ini bertujuan menegakkan pengamalan akhlak mulia di sekolah. Di samping itu, beliau dan sahabat-sahabatnya juga menubuhkan Gerakan Anti Maksiat bagi menyampaikan teguran secara bertulis kepada sesiapa sahaja yang melakukan maksiat tanpa mengira peringkat umur mereka( Zulkifli bin Mohamad, Mohd Faisal bin Fadzil.2010: 11-12).

Penulis berpendapat, sistem pendidikan yang dilalui oleh Hasan al-Banna mencorakkan keperibadian dan keilmuan beliau yang seterusnya mencetuskan kesedaran dalam dirinya untuk menunaikan tanggungjawab menyeru manusia kembali mengamalkan ajaran Islam dalam kehidupan. Beliau memiliki  keperibadian yang unggul iaitu beribadat, pemurah, berfikiran luas, tawaduk dan berbudi bahasa, zuhud, tegas dan iltizam dengan dakwah seiring dengan peranannya sebagai pendakwah Islam dan tokoh pembaharuan ummah. Suasana kehidupan yang bersih juga telah membentuk Imam Hasan al-Banna sebagai seorang tokoh gerakan Islam yang berpengaruh. Beliau merupakan pemimpin pertama gerakan Islam berpengaruh iaitu Ikhwan al Muslimin ketika awal penubuhannya. Beliau berjaya mencetuskan perubahan. Hasilnya, gerakan ini berkembang luas terutamanya di Mesir.

PENUBUHAN IKHWAN AL MUSLIMIN DI MESIR
Pada Mac 1927, Hasan al-Banna bersama adiknya dan lima orang sahabat berkumpul di rumah beliau dan bersumpah setia untuk hidup dan mati kerana Islam. Mereka itu ialah Hafiz Abdul Hamid, Ahmad al-husari, Fuad Ibrahim, Abdur Rahman Hasabullah, Ismail Iz dan Zaki al Maghribi. Pada ketika itu Hasan al-Banna berumur 23 tahun dan baru sahaja mendapat ijazah daripada Darul Ulum serta sedang berkhidmat sebagai guru bahasa di salah sebuah sekolah di bandar Ismailiyyah ( Zulkifli bin Mohamad, Mohd Faisal bin Fadzil.2010: 64).Penubuhan Ikhwan al-Muslimin bermula dengan kerjasama enam sahabat tadi.

Kemunculannya begitu mudah walaupun secara mengejut kerana mereka berdiri atas dasar  fahaman (fikrah) yang sama iaitu ingin memperjuangkan Islam. Pertubuhan ini dinamakan Ikhwan al Muslimin kerana persaudaraan yang dimiliki  antara mereka kerana Allah.Gerakan Ikhwan al Muslimin telah berkembang dengan lebih pesat setelah markasnya dipindahkan ke Kaherah pada tahun 1932. Dari sudut organisasi,  Ikhwan al Muslimin telah dibahagikan kepada beberapa majlis (jawatankuasa) tertentu dengan cawangannya di seluruh Mesir. Jawatan tertinggi ialah al-murshid al-‘amm (Pemandu Am) yang menjadi pemimpin dan pengerusi bagi dua buah badan pentadbiran tertinggi iaitu Maktab al-Irshad al-‘amm (Majlis Pemandu Am) dan al-hay’at al- ta’sisiyyah (Majlis Perunding).

Dari sudut fungsi, Maktab al-Irshad al-‘amm (Majlis Pemandu Am )merupakan satu unit pentadbiran yang tertinggi dan bertanggungjawab dalam hal dasar dan pentadbiran, manakala al-hay’at al- ta’sisiyyah (Majlis Perunding) menjalankan tugas sebagai majlis syura am (Fadhlullah Jamil. 2007 :238). Di samping itu, jawatan yang lain seperti Naib Murshid, Setiausaha Agung dan sebagainya juga diwujudkan. Menurut Peter Mansfield di dalam The Middle East, beberapa jawatankuasa lain turut diwujudkan di dalam organisasi Ikhwan al Muslimin untuk  melicinkan pentadbiran dan pelaksanaan program antaranya ialah jawatankuasa hal ehwal pendidikan, kebajikan, kesihatan, penerangan, perhubungan antarabangsa dan lain-lain (Fadhlullah Jamil. 2007 :238)

Pada awal penubuhan Ikhwan al Muslimin, kegiatannya terhad kepada usaha pembaharuan masyarakat umum. Pada tahun 1934, Ikhwan al Muslimin terus berkembang dan pada tahun tersebut, lebih daripada 50 cawangan Ikhwan al Muslimin telah dibuka di Mesir. Seterusnya pada tahun 1935, Imam Hasan al-Banna mula bergiat dalam politik. Pembawaan beliau lebih menjurus kepada perubahan menyeluruh dalam corak pendidikan, ekonomi, masyarakat dan politik supaya bertepatan dengan dasar-dasar Islam. Perjuangan Ikhwan al Muslimin diteruskan semenjak zaman Muhammad Mahmud Pasha sehingga tercetusnya Perang Dunia Kedua ( Zulkifli bin Mohamad, Mohd Faisal bin Fadzil.2010: 71). Pada tahun 1938, Ikhwan al Muslimin  mula melibatkan diri dalam bidang politik di Mesir ( Zulkifli bin Mohamad,Mohd Faisal bin Fadzil.2010: 71).

Imam Hasan al-Banna melihat pemerintahan adalah sebahagian dari proses agenda kebangkitan ummah. Pembentukan sebuah negara Islam hanya dapat dicapai melalui penglibatan politik. Penyertaan ke dalam politk di Mesir adalah untuk mendaulatkan syariat, bukan semata-mata untuk memperoleh kuasa. Matlamat politik yangdibawa oleh Ikhwan al Muslimin adalah untuk mewujudkan kembali sebuah negara untuk umat Islam dengan cara memerdekakan semua tanah air umat Islam, menghidupkan semula sejarah kegemilangan mereka, merapatkan jurang budaya mereka dan mentuakan suara mereka sehingga muncul kembali khilafah Islam yang telah lenyap dan lahirlah perpaduan umat yang dicitakan (al Ghazali. 2004: 244). Justeru itu,  penglibatan dalam bidang politik adalah satu tindakan tepat bagi memperkukuhkan lagi agenda perjuangan Ikhwan al Muslimin. Perjuangan mereka bertambah kukuh apabila banyak pakatan mahasiswa universiti dan professional muda memberi sokongan kepada mereka( Zulkifli bin Mohamad, Mohd Faisal bin Fadzil.2010: 93). Pada tahun 1940-an, Ikhwan al Muslimin merupakan sebuah gerakan yang paling kukuh di Mesir berbanding  Parti Sosialis dan Komunis.

GAGASAN DAN PERJUANGAN IKHWAN AL MUSLIMIN
                                                                                             
Menurut Imam Hasan al-Banna, Ikhwan al Muslimin merupakan sebuah gerakan yang berlandaskan rancangan-rancangan yang mencakupi setiap sudut pembaharuan rakyat. Ikhwan al Muslimin merupakan gerakan keagamaan yang mempertahankan al-Qur’an dan al-Sunnah. Tujuan gerakan ini adalah untuk membentuk masyarakat menurut dasar-dasar Islam dan mewujudkan satu sistem sunnah yang melibatkan setiap ahlinya berusaha dengan gigih demi mengikut sunnah Rasulullah s.a.w ( Zulkifli bin Mohamad, Mohd Faisal bin Fadzil.2010: 71).Di dalam ucapan dasar muktamar keenam, Imam Hasan al-Banna menyatakan bahawa Ikhwan al Muslimin bekerja untuk mencapai dua matlamat. Pertamanya ialah untuk mencapai matlamat pendek yang boleh difahami dan dirasai kesannya pada hari pertama individu melibatkan diri dalam gerakan ini seperti  melibatkan diri dengan kerja-kerja kebajikan umum serta memberi khidmat kemasyarakatan. Keduanya ialah untuk mencapai matlamat jangka panjang (Abdul Hamid al Ghazali.2004 : 162-163).  

Untuk merealisasikan matlamat ini,  Ikhwan al Muslimin perlu menanti peluang serta masa yang sesuai di samping melakukan persediaan yang baik dan melalui pembinaan insan Pada perancangan matlamat jangka panjang ini, Ikhwan al Muslimin menginginkan perubahan yang menyeluruh dan bersepadu ke arah mengganti dan menukar keadaan yang sedia ada iaitu membentuk sebuah negara Islam yang baru di mana segala hukum-hakam Islam akan dilaksanakan. Dalam penulisan terakhir beliau, Antara semalam dan hari ini, Imam Hasan al- Banna turut menegaskan bahawa dua matlamat besar anggota Ikhwan al Muslimin adalah membebaskan dunia Islam daripada cengkaman kuasa asing serta menegakkan sebuah negara Islam yang bebas di muka bumi Allah (al Ghazali.2004 : 164-165).

Gerakan Ikhwan al Muslimin menggesa pembentukan dunia Islam sejati yang menolak fahaman barat  dan sekular. Segala bentuk modernisme yang meresapi masyarakat Mesir  ditolak dan Islam yang murni perlu ditegakkan kembali. Justeru itu, Ikhwan al Muslimin  dianggap sebagai golongan fanatik, kolot dan sebagainya kerana enggan berkompromi dengan apa-apa jua bentuk kemungkaran. Ikhwan al Muslimin menuntut pembangunan yang seimbang serta sesuai dengan tuntutan Islam dilaksanakan serta menentang sebarang usaha meniru Barat secara membabi buta dan pemujaan terhadap fahaman kebangsaan sempit serta aliran materialisme yang melanda ummah semenjak penjajahan Barat (Fadlullah Jamil.2007:239).

Dalam menangani aliran pemikiran yang berkembang, Ikhwan al Muslimin berpendirian bahawa Islam sebagai ad din lebih wajar didaulatkan berbanding isme-isme ciptaan manusia. Pembentukan negara Islam adalah tuntutan utama bagi mereka sejajar dengan amalan Rasulullah s.a.w. Mereka menolak fahaman nasionalisme yang sempit kerana membawa kepada pemujaan terhadap negara yang dilihat berselaput dengan nilai jahiliyyah dan menyalahi dasar perpaduan Islam sejagat mahupun pengabdian diri secara mutlak kepada Allah s.w.t (Fadlullah Jamil. 2007:239). Kemerdekaan dan kebebasan yang diperjuangan oleh Ikhwan al Muslimin dulu hingga kini adalah semata-mata bagi mendaulatkan syariat Allah di bumi ini, termasuk di Mesir. Bukan atas dasar bangsa, daerah  serta perhitungan duniawi yang lainnya. Segala prinsip perjuangan mereka yang luas dan bersepadu itu dalam rangka memenuhi tuntuan Islam. Atas dasar akidah dan ukhuwah inilah pejuang Ikhwan al Muslimin membantu rakyat Palestin di dalam perjuangan mereka menentang Zionisme dan konco-konconya dari Barat. Bahkan Ikhwan al Muslimin  turut membantu pejuang-pejuang kemerdekaan di tempat lain dalam dunia Islam (Fadlullah Jamil. 2007:239).


JIHAD MENURUT IKHWAN AL MUSLIMIN
Ikhwan al Muslimin sangat komited dalam perjuangan mencapai kemerdekaan. Kemerdekaan menurut Ikhwan al Muslimin adalah memerdekakan negara dari semua bentuk kekuasaan asing (bukan Islam) sama ada dalam bidang politik, ekonomi mahupun spiritual. Perjuangan ini adalah suatu jihad untuk meninggikan Islam sebagaimana dakwah tidak akan hidup tanpa jihad menunjukkan kedudukan jihad adalah sama dengan dakwah yang tinggi nilainya dan mendapat ganjaran yang hebat dari Allah( al Banna.1970: 424). Justeru itu, gerakan Ikhwan al Muslimin memberi penekanan yang berterusan mengenai kepentingan jihad.

Di dalam risalah al-Ta’lim,  Imam Hasan al-Banna telah menyatakan jihad sebagai salah satu dasar baiah kepada ahlinya. Jihad merupakan satu kefardhuan yang akan terus diwajibkan sehingga hari kiamat. Tahap pertama jihad ialah mengingkari dengan hati dan yang paling tinggi ialah perang di jalan Allah. Antara dua tahap tadi ialah jihad dengan lidah, pena dan tangan dan menyatakan kebenaran di hadapan pemerintah yang kejam ( Zulkifli bin Mohamad, Mohd Faisal bin Fadzil.2010: 56). Selaras dengan itu, Ikhwan al Muslimin menanamkan prinsip jihad dalam kalangan anggotanya. Prinsip ini bukan sahaja sebagai tanda kebencian kepada Barat, bahkan bersedia untuk mati dalam perang bagi mengusir penjajah tanah air mereka. Jihad menurut Ikhwan al- Muslimin ialah jihad yang difahami oleh semua  umat Islam iaitu jihad yang tidak mempunyai sebarang tolak ansur. Bukannya konsep jihad yang direka-reka oleh golongan Modernis. Ikhwan al Muslimin menganggap ibadah dan amal soleh seseorang Islam itu sia-sia sahaja jika ia tidak bersedia untuk mengorbankan nyawanya demi untuk mempertahankan agama Islam. Jihad yang dituntut ialah bersedia untuk mati tanpa mengharapkan sebarang balasan dunia melainkan semata-mata cintakan Allah dan hari akhirat (Zulkifli bin Mohamad, Mohd Faisal bin Fadzil.2010: 100).

PENGLIBATAN  DALAM PERANG ARAB – ISRAEL 1948
Pergolakan di Palestin merupakan satu isu yang diberi perhatian oleh gerakan Ikhwan al Muslimin. Apabila masalah Yahudi (Zionisme) muncul di Palestin, mereka merupakan golongan yang pertama sekali berasa sensitif terhadap penderitaan yang menimpa umat Islam di sana.Perjuangan Ikhwan al Muslimin bertekad untuk membebaskan Palestin yang merupakan sebuah negara umat Islam. Imam Hasan al-Banna menyatakan di dalam ucapannya bahawa tuntutan kemerdekaan Palestin adalah kerana warga Palestin adalah saudara seakidah yang tidak pernah berpisah. Penyatuan yang diberi oleh Allah tidak akan dapat dipisahkan oleh manusia lainnya.Ini bertepatan dengan doktrin wawasan dakwah yang digagaskan oleh Imam Hasan al Banna iaitu membebaskan ummah dari sebarang sekatan politik. Ummah mestilah dibebaskan dari kongkongan politik supaya ia memperoleh kemerdekaannya serta kedaulatannya yang telah hilang (Al Ghazali. 2004 : 158).

Ketika Revolusi Palestin tercetus pada tahun 1936, Ikhwan al Muslimin telah menubuhkan Lajnah Isnad Filastin sebagai tanda keprihatinan mereka berhubung perkara itu. Ini dinyatakan oleh Imam Hasan al-Banna di dalam bukunya Mudhakarat al Da’wa wa al Da’iyah ( Maszlee Malik. 2009 :3). Antara peranan yang dimainkan oleh Ikhwan al Muslimin terhadap masyarakat Palestin ialah menyalurkan bantuan kewangan serta sokongan moral kepada Palestin pada tahun 1936-1939. Kempen 10 sen untuk Palestin telah dilancarkan oleh Ikhwan al Muslimin dalam kalangan ahlinya. Di samping itu, Ikhwan al Muslimin juga memberi tekanan politik kepada kerajaan yang Pro British kerana polisi-polisi British lebih berpihak kepada Zionis. Mereka turut melancarkan boikot kepada majalah-majalah terbitan syarikat Yahudi. Pada peringkat kempen, Ikhwan al Muslimin menyebarkan risalah-risalah dan buku-buku berkenaan pendirian Islam berhubung isu Palestin.

Hubungan yang terjalin antara Ikhwan al Muslimin dan rakyat Palestin meluaskan dakwah Ikhwan al Muslimin di Palestin. Perkembangan ini membawa kepada penubuhan dan gerakan Ikhwan al Muslimin secara rasmi di Palestin. Pada tahun 1943, ia ditubuhkan di bawah nama  Jam’iyah al Makarem al Aqsa. Pada tahun 1944, wakil Ikhwan al Muslimin Palestin menghadiri Muktamar atau Perhimpunan Kelima Ikhwan al Muslimin di Aleppo, Syria. Dengan itu, Ikhwan al Muslimin induk mengiktiraf penubuhannya secara rasmi. Pada 12 Disember 1947, Ikhwan al Muslimin telah mengadakan satu perarakan besar-besaran  bermula di Universiti al Azhar di bawah pimpinan Imam Hasan al-Banna. Beliau menaiki sebuah kereta sambil memegang satu pembesar suara untuk memberi arahan. Seterusnya, pada tahun 1948, Ikhwan al Muslimin mempunyai 25 cawangan di seluruh Palestin( Maszlee Malik. 2009 :3).


Dalam satu mesyuarat pada 6hb Mei 1948, Ikhwan al Muslimin telah mendesak Mesir serta negara-negara Arab lain agar mengisytiharkan jihad menentang Israel dengan menggunakan apa sahaja cara untuk menyelamatkan Palestin (Hasan al Banna. 1989:56 ). Persidangan PBB pada 29 November telah menghasilkan resolusi untuk membahagikan Palestin kepada dua bahagian (55% untuk Yahudi dan selebihnya untuk Arab). Pada 14 Mei 1948, British telah mengisytiharkan penubuhan Negara Israel dan Tel Aviv sebagai ibu kotanya (Azran A.Rahman.1983: 26). Presiden Amerika Syarikat mengiktiraf kedaulatan Negara haram Israel diikuti oleh Inggeris, Perancis, Rusia dan lain-lainnya.

Berikutan itu, pada 15 Mei 1948, Negara- Negara Arab mengisytiharkan perang ke atas Israel. Negara-negara Arab iaitu Jordan, Mesir, Iraq, Syria dan Lubnan menghantar tentera ke Palestin untuk memerangi penjajah baru iaitu Yahudi. Sejak tahun 1948, Ikhwan al Muslimin mengisytiharkan bumi Palestin sebagai bumi jihad dan menjadi kewajipan kepada setiap anggota Ikhwan al Muslimin untuk memerdekakannya. Sejumlah besar anggota Ikhwan al Muslimin  menjadi tentera sukarelawan berjihad untuk menentang penjajahan zionis ( Maszlee Malik. 2009 :3). Penulis melihat bahawa penyertaan anggota Ikhwan al Muslimin dalam peperangan ini adalah sebagai menyahut seruan jihad untuk membebaskan Palestin yang merupakan sebuah negara ummat Islam dari kekejaman dan kezaliman zionis yang cuba merampas kedaulatan negara tersebut.

Penentangan dengan nama jihad juga dikobarkan oleh Imam Hasan al Banna, bukan hanya dengan ucapan beliau  yang membakar semangat bahkan turut menghantar ahli Ikhwan al Muslimin  untuk menentang Yahudi di Palestin (Saifullah Mohd Sawi & Munirah Atirah Zakariah.2010: 84). Imam Hasan al Banna mendapati cara untuk memelihara hak dan membersihkan dari perampasnya ialah melalui perang. Untuk melaksanakan perkara ini, beliau mengutus beberapa battalion tntera Ikhwan Muslimin ke Palestin. Beliau berhasrat menghantar ribuan lagi untuk membebaskan Palestin dari tangan Yahudi. Sebelum berakhirnya delegasi British pada 15 Mei 1948, ketua-ketua  negara Arab telah berkumpul di Syria. Beliau telah ke Palestin untuk memberitahu mereka bahawa beliau bersedia menghantar puluhan ribu pemuda Ikhwan al Muslimin  ke Palestin untuk membebaskan Palestin atau syahid di sana (Saifullah Mohd Sawi & Munirah Atirah Zakariah.2010: 85).  

 Ikhwan al Muslimin di bawah kepimpinan Imam Hasan al-Banna telah menghantar tiga batalion tentera untuk berperang bersama-sama 12 batalion tentera Mesir pada tahun  1948 ( Zulkifli bin Mohamad, Mohd Faisal bin Fadzil.2010: 85). Menurut Fathi Yakan (1987), pada tahun tersebut, rakyat Syria bangun menuntut supaya diadakan tentera sukarelawan untuk berperang melawan Yahudi di Palestin. Gerakan Islam iaitu Ikhwan al Muslimin telah bangun mempelopori usaha jihad dan membuka markas sukarelawan di beberapa tempat di Syria. Ahli- ahli dan pimpinan Ikhwan al Muslimin di Jordan turut menyertai perang di Palestin. Para pemuda telah turun untuk memerangi Yahudi di bukit-bukit di hadapan Baitul Maqdis, Sawrun Bahir, Jinain dan Nablis Khalid (Aris Hazlan Ismail, Riduan Mohamad Nor.2009 :164).

Angkatan tentera Ikhwan al Muslimin merupakan pasukan yang paling aktif dalam perang Arab-Israel 1948. Mereka mendapat kemenangan dalam banyak operasi. Angkatan jihad Ikhwan al Muslimin berjaya sampai ke pintu masuk Tel Aviv dan hampir mampu menguasainya, namun dinafikan oleh pengkhianatan pemerintah-pemerintah Arab pada masa itu. Mereka bimbang sekiranya Ikhwan mendapat kemenangan, pengaruh dan sokongan terhadap Ikhwan al Muslimin akan bertambah dan sukar disekat. Raja Farouk telah memenjarakan ramai ahli Ikhwan al Muslimin manakala Perdana Menteri ketika itu, Nuqrashi Pasha telah mengharamkan Ikhwan al Muslimin. Pada 8 Disember 1948, beliau telah mengeluarkan perintah larangan terhadap Ikhwan al Muslimin agar tidak lagi bergerak bebas, ditambah dengan beberapa   catatan penting yang terangkum dalam memorandum utusan Kementerian Dalam Negeri Mesir ketika itu, Abdurrahman Umar (Qardawi.2010 : 63).

Ikhwan al Muslimin di bawah pimpinan Imam Hasan al-Banna telah melakukan usaha yang gigih serta berperanan penting dalam  menentang kewujudan negara haram Israel sehingga musuh Islam merasakan Ikhwan al Muslimin dan pimpinannya adalah musuh utama Yahudi. Permusuhan ini menyebabkan mereka ingin menghapuskan Imam Hasan al-Banna dengan tujuan menyingkirkan batu penghadang kepada negara haram Israel. Pertembungan ini mencetuskan permusuhan mereka terhadap Imam Hasan al Banna dan gerakan Ikhwan al Muslimin. (Aris Hazlan Ismail, Riduan Mohamad Nor.2009 :164).

Meskipun terpaksa menghadapi kekuatan Barat dan pemerintah yang Pro Barat serta tentera zionis di Palestin, Ikhwan al Muslimin terus mara ke hadapan demi menegakkan cita-cita murni yang telah digariskan. Mereka adalah tentera yang bersemangat jihad serta cintakan syahid. Menurut P.J Vatikiotis dalam bukunya, Nasser and His Generation, perjuangan di Palestin pada tahun 1947-1948 secara jelasnya didukung oleh para anggota Ikhwan (Fadhlullah Jamil. 2007: 240). Melalui keberanian dan dedikasi yang dipamerkan anggota Ikhwan al Muslimin terhadap perjuangan ini, beberapa orang ahli angkatan tentera Mesir turut mengikut jejak langkah mereka, antaranya Jamal Abdul Nasir.  Hal ini menyebabkan kerajaan Mesir terpaksa menyokong perjuangan Arab di Palestib dengan berselindung di bawah program Liga Arab (Fadhlullah Jamil.2007 :240).

Pengkhianatan pemerintah yang pro barat jelas terserlah ketika mana  anggota Ikhwan Muslimin yang terlibat di dalam peperangan ini  berada di pinggir Tel Aviv, kerajaan Mesir memanggil mereka pulang. Kepulangan mereka mereka disambut dengan penjara dan tali gantung oleh pemerintah bahkan Imam Hasan al-Banna telah dibunuh dengan kejam. Imam Hasan al-Banna ditembak syahid pada 12 Februari 1949. Kesemua ini menyumbang kepad kekalahan umat Islam di dalam perang Arab- Israel 1948  seterusnya membolehkan Yahudi kembali berkuasa ( Zulkifli bin Mohamad, Mohd Faisal bin Fadzil.2010: 83).Kesan kekalahan di dalam peperangan tersebut, negara Israel telah terbentuk di atas  negara Palestin dan wilayah Palestin terpecah kepada beberapa bahagian iaitu Gaza diletakkan di bawah kekuasaan Mesir manakala Tebing Barat di bawah kekuasaan Jordan ( Maszlee Malik. 2009 :3).

RUMUSAN

Apa yang dapat disimpulkan di sini ialah Ikhwan al Muslimin merupakan sebuah gerakan Islam yang berperanan penting dalam Perang Arab- Israel. Penglibatan Ikhwan al Muslimin di dalam Perang Arab- Israel 1948 merupakan satu perjuangan yang berteraskan Islam bagi mengembalikan kedaulatan negara Islam yang telah dijajah oleh Yahudi. Ikhwan al Muslimin terlibat di dalam peperangan ini atas dasar jihad selari dengan agenda kebangkitan ummah yang dibawa oleh gerakan ini. Dalam sejarah Perang Arab – Israel 1948, Ikhwan al Muslimin menghadapi  dua musuh sekaligus dan mengharungi dua medan pertempuran iaitu kekuatan Barat  dan pemerintah yang pro Barat di Mesir serta tentera zionis di Palestin. 

Pengkhianatan terhadap gerakan Ikhwan al Muslimin yang dilakukan oleh pemerintah pada ketika itu telah menggagalkan usaha untuk mencapai kemenangan bahkan menyebabkan kekalahan umat Islam di dalam Perang Arab – Israel 1948. Kesan yang cukup besar dari kekalahan ini ialah penguasaan Israel terhadap Palestin semakin meluas. Tuntasnya, pengasas Ikhwan al Muslimin iaitu Imam Hasan al-Banna merupakan penggerak utama  perjuangan Ikhwan al Muslimin di Palestin. Penglibatan Ikhwan al Muslimin dalam Perang Arab – Israel ialah satu manifestasi yang lahir dari gagasan kebangkitan ummah yang diperjuangkan oleh Ikhwan al Muslimin sebagai sebuah gerakan Islam.

  
RUJUKAN   
Al-Banna, Hasan.1970. Majmu’ah Rasa’il al Imam al Syahid.Beirut: Muassasah al Risalah.
Al Ghazali, Abdul Hamid. 2004. Perkara Asas Dalam Agenda Kebangkitan Ummah : Kajian Berdasarkan Gagasan Imam al Banna. Terj. Solehan bin Ayub. Selangor : Penerbitan Teras Bakti.
Aris Hazlan Ismail & Riduan Mohamad Nor. 2009. Gaza Menangis : Menelusuri Sejarah Perjuangan Palestin dan Pembantaian di Gaza. Kuala Lumpur : Jundi Resources Sdn. Bhd.
Azran A.Rahman. 1983. Timur Tengah Sejarah dan Politik . Selangor : Media Intelek.
Fadhlullah Jamil. 2007. Islam Di Asia Barat Moden : Penjajahan dan Pergolakan. Selangor : Karisma Publication Sdn. Bhd.
George Lenczowski. 1969. Documents On The Middle East. Washington : American Enterprise Institute for Public Policy Research.
Hasan al Banna. 1989. Detik-detik Hidupku. Terj. Wan Jafree bin Wan Sulaiman.Kuala Lumpur : Pustaka Salam.
Khaled Hroub. 2009. Hamas A Beginner’s Guide. Kuala Lumpur : The Other Press
Maszlee Malik. 2006. Hamas Daripada Underground kepada Parti Pemerintah. Kuala Lumpur : PTS Millennia.
Qaradhawi. 2010. Aku dan al Ikhwan al Muslimin. Kuala Lumpur : Mutiara Ilmu Selekta Sdn. Bhd.
Said Hawwa. 1988. Membina Angkatan Mujahid (fi Afaq al Ta’alim). Terj. Abu Ridha. Selangor : Thinker’s Library.
Saifullah Mohd Sawi & Munirah Atirah Zakariah.2010. Hamas: Perjuangan dari buaian hingga titis darah terakhir. Shah Alam : Karisma Publications Sdn. Bhd.
Zulkifli Mohamad al Bakri & Mohd Faisal Fadzil. 2010. Al Syahid Hasan al Banna : Pengasas Ikhwan al Muslimin. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.