Friday, December 28, 2012

Keep Smiling




Hari ni dapat satu pengalaman baru, alhamdulillah..Apa yang baru?

Lakukan semua perkara dengan hati

Senyum dengan hati

Menulis dengan hati

Menyampaikan ilmu dengan hati

Memberi dan menerima dengan hati

Sepenuh hati... Kesungguhan.. Usaha !

Walau banyak kekurangan dari percubaan-percubaan yang dilakukan

Teruslah

Apa yang penting, lakukan dengan hati

Bukan hanya zahir, bahkan sertakan dalaman

Elemen penting

Dengan niat yang betul, Insyaallah pasti ada jalannya


Sunday, December 23, 2012

Hikmah Kembara







Kali ini kembara lagi. Memecahkan zon selesa dan ketakutan yang ada pada diri untuk mendepani cabaran kehidupan. Hujung minggu ini,  ada program di satu tempat yang agak jauh dari tempat pengajian, memerlukan perjalanan dengan KTM dan LRT. Memandangkan ana dibesarkan di negeri pantai timur, jarang-jarang sekali menggunakan kedua-dua pengangkutan awam ini. Sekiranya perlu pasti berteman, paling tidak berdua.Kali ini, tiada yang dapat menemani. Agak gusar dengan kemampuan diri untuk meneruskan perjalanan. 

Alhamdulillah, perasaan takut dan gusar itu mampu diatasi dengan secebis kekuatan dan keberanian yang Allah dititipkan ke dalam jiwa hambaNya yang kerdil ini.

Banyak yang dipelajari dari hikmah sebuah kembara. Di saat-saat tiada manusia yang boleh diharapkan untuk menghulurkan bantuan, di situ letaknya sebuah pergantungan dan kepercayaan kepada Allah. Bahawa Allah sentiasa akan melindungi hambaNya yang mengharapkannya dalam bingkisan doa yang dititipkan kepadaNya.

Ini bukanlah pengalaman yang hebat, namun dari pengalaman ini terasa kemanisan.Cabaran dan dugaan dalam hidup perlu dihadapi dengan positif, jadikan ia kekuatan buat meraih kemanisan di sebaliknya.

Dan di antara permohonan yang terlafaz, ''Moga Allah kurniakan keberanian dan kekuatan jiwa kepada para pejuang Islam di seluruh pelusuk dunia yang sedang hebat ditindas dan dizalimi musuh-musuh Islam..Amiin ya Rabbal 'Alamiin..

Friday, December 21, 2012

KeranaNya

Mendapat pesanan agar mengikhlaskan niat semata-mata kerana Allah

Tiba-tiba tersedar, jarang-jarang sekali mendapat nasihat seumpama ini

Alhamdulillah, ats ingatan ini ya Allah

Persoalan niat, merupakan persoalan hati

Lumrah, hati seringkali berbolak balik antara kebenaran dan kebatilan

Moga Allah terus pelihara hati-hati kami yang mendambakan keredhaanMu ya Allah

Cukuplah Engkau sebaik-baik penolong dalam urusan agama, dunia dan akhirat kami..


Wednesday, December 5, 2012

Tidak Semudah ABC




Menuju kedewasaan memerlukan proses pematangan yang hampir pasti tidak semudah abc untuk melaluinya. Apa yang penting, bagaimana kita menghadapi sesuatu permasalahan dengan keyakinan kepada Allah. Bahawa setiap apa yang berlaku ada hikmahnya yang sendiri dan rangka sebuah pentarbiahan.

Mencari khilaf diri di sebalik ujian yang melanda. Apa yang lebih penting ialah tindakan untuk mendepani permasalahan itu dalam keimanan. Ujian petanda Allah menyayangi hamba-hambaNya dan bertujuan menyedarkannya dari lena yang panjang. Perjuangan dalam hidup akan berterusan dan kita punya kemampuan untuk memilih apa yang hendak diperjuangkan dengan izin Allah.

Menyemai benih-benih sabar dan redha menerima sesuatu yang di luar jangka, bahkan tidak terlintas di fikiran merupakan satu ruang mujahadah dalam menggapai redhaNya. Pasti, tidak sia-sia ujian yang melanda andai diri bisa memanfaatkan untuk masa depan yang lebih baik dari semalam. Moga Allah menuntun langkah ini dalam perjuangan yang benar, dan istiqamah meniti hari-hari dalam episod kembara seorang insan bergelar hamba, daie dan khalifah selagi hayat dikandung badan. 

Peranan sebagai seorang hamba, daie dan khalifah hanya mampu digagahi dengan izin dan nusrah dariNya. Ya Allah, bantulah hambaMu yang sering khilaf ini. Hanya padaMu diri yang kerdil ini memohon agar diberi secebis kekuatan untuk meneruskan langkahan ini yang adakalanya tersadung pada mehnah dan tribulasi. Besarkan jiwa ini untuk terus thabat di jalan yang Engkau redhai..Allahumma ameen~

Friday, November 30, 2012

Terus Melangkah Dengan IzinNya

Dengan nama Allah, Tuhan yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani

Alhamdulillah, diberi kesempatan dan kemudahan untuk mengupdate perkongsian di ruangan ini buat sekian kalinya setelah lama menyepi dari medan penulisan. Mengembalikan inspirasi dan motivasi untuk terus berkongsi dengan sesiapa sahaja yang melintasi ruangan ini.

Dalam hidup ini, ada banyak perkara yang perlu kita syukuri, mengembalikan ingatan kepada Pencipta yang Maha Berkuasa. Mana mungkin kehidupan ini menjadi indah tanpa sentuhan dan tarbiah dariNya. Allah menegur kita dengan pelbagai cara, mendidik kita dalam pelbagai bentuk. Kesedaran tentang hidup mengembalikan kesedaran tentang akhirat. Penentuan matlamat akhir seorang hamba merangkap khalifah dan daie di muka bumi ini.

Andai diperhitung, nescaya kita akan menyedari, tanggungjawab yang ada melebihi masa yang ada. Justeru itu, uruslah diri kita sebaik-baik untuk memanfaatkan masa yang datangnya cuma seketika, bahkan pergi tanpa kembali. Pesanan ini buat diri sendiri juga yang seringkali leka dan lalai dengan amanah serta tanggungjawab ditaklifkan kepada diri ini. Selagi hayat dikandung badan, teruskanlah usahamu untuk berlumba-lumba mengejar kebaikan dalam segenap ruang kehidupan. 

Setiap manusia punyai kelebihan dan kekurangan. Namun apa yang lebih penting, bagaimana kita menggunakan kelebihan itu untuk manfaat yang lebih besar bahkan menambahnilai kekurangan yang ada untuk sama-sama berpencak di medan dakwah, tarbiah dan siasah dalam usaha menjayakan taklifan yang ada sebagai seorang hamba Allah, khalifah dan juga daie. Warnai dunia sekelilingmu dengan keindahan Islam, kecintaan kepada Allah dan Rasul serta perjuangan menegakkan kebenaran sebagaimana yang dibawa oleh para Rasul alaihimussalam. Salam perjuangan buat jiwa-jiwa yang cintakan kebenaran dan menyakini kemenangan milik Islam..


Akhir kalam, siiru 'ala barakatillah..

Monday, November 26, 2012

Tuesday, October 16, 2012

Pendekatan Dakwah Rasulullah s.a.w di Makkah

Petikan artikel dari Akademi Tarbawi DPPM : Era Generasi Islam Gemilang
Di dalam memperkatakan tentang era kegemilangan sejarah umat Islam, kita tidak boleh memisahkan diri untuk memperkatakan mengenai pendokong dan pembawa dakwah yang pertama, peribadi yang menjadi qudwah atau ikutan seluruh zaman Islam iaitu Rasulullah S.A.W yang menjadi pelaksana pertama, unggul dan ulung serta penafsir yang sebenarnya mengenai Islam yang diwahyukan oleh Allah Taala. Dengan lain perkataan, diri Rasulullah S.A.W merupakan penerusan daripada dakwah yang dibawa oleh Para Nabi dan Rasul-Rasul ‘alaihimussalatu wassalam. Hakikat dan prinsip ini dinyatakan oleh Allah di dalam al Quran :


“Dan sesungguhnya Kami telah mengutus dalam kalangan tiap-tiap umat seorang Rasul (dengan memerintahkannya menyeru mereka); Hendaklah kamu menyembah Allah dan jauhilah Taghut. Maka di antara mereka (yang menerima seruan Rasul itu), ada yang diberi hidayah petunjuk oIeh Allah dan ada pula yang berhak ditimpa kesesatan. Oleh itu mengembaralah kamu di bumi, kemudian lihatlah bagaimana buruknya kesudahan umat-umat yang mendustakan Rasul-rasulnya.” – Surah al Nahl:36
Pengabdian seluruh dan seutuhnya kepada Allah. Pengabdian yang merangkumi semua aspek kehidupan manusia. Kesemua Para Rasul membawa prinsip pengabdian ini. Di zaman kegemilangan Islam yang diasaskan oleh Rasulullah S.A.W, Baginda telah melahirkan suatu generasi yang unggul dan pertama. Generasi Para Sahabat yang dilahirkan bukan sahaja berdasarkan kepada wahyu Allah, tetapi perlaksanaan perintah wahyu yang dikemukakan oleh Rasulullah S.A.W secara praktikal. Rasulullah S.A.W telah menerima wahyu yang pertama dalam keadaan gementar sehingga pulang ke rumah dan terus berselimut. Kemudian disusuli pula dengan wahyu yang kedua supaya bangkit bertindak dan beramal.
Rasulullah S.A.W bukan sahaja menerima ilmu itu, tetapi ianya hendaklah disampaikan secara praktikal. Firman Allah Taala :

“Wahai orang yang berselimut!”

“Bangunlah serta berilah peringatan dan amaran (kepada umat manusia)” – Surah al Mudaththir:1-2
Rasulullah S.A.W tidak diperintahkan hanya sekadar memperdengarkan ayat-ayat suci al Quran berhampiran Kaabah, tetapi ianya bererti suatu bebanan tugas yang berat agar disampaikan peringatan daripada Allah. Suatu tugas yang diamanahkan untuk membetulkan kehidupan manusia dalam segala bidangnya.
Baginda Rasulullah S.A.W dapat melahirkan keunggulan peribadi generasi yang pertama. Generasi yang dibentuk dengan penghayatan Islam semurninya dan keimanan yang sesucinya. Generasi yang ditanamkan keyakinan yang sebenar untuk melaksanakan seluruh ajaran Islam dan menyampaikan Islam itu kepada manusia sejagat. Pembentukan itu sebagaimana yang ditekankan pada awal lagi, bukan sekadar suatu pengisian ilmu semata-mata atau sekadar maklumat dan beramal dari segi lahiriyyah sahaja, tetapi pembentukan yang melulusi beberapa siri ujian. Pembinaan menerusi tekanan-tekanan, penindasan dan ujian yang dilakukan oleh golongan jahiliyyah; golongan taghut yang pertama dihadapi oleh Rasulullah S.A.W.
Penerapan keimanan dan keyakinan ini dilalui oleh Rasulullah S.A.W bukan menerusi penyampaian ayat-ayat suci al Quran supaya generasi Islam yang pertama hanya bersabar dalam menempuh rintangan ujian dan tekanan. Tetapi Rasulullah S.A.W sendiri yang pertama menghadapi ujian dan tekanan itu secara praktikal dan nyata. Ujian dan tekanan yang berterusan sama ada dalam bentuk fizikal ataupun kejiwaan. Baginda diuji dengan beberapa siri penyeksaan sepertimana yang sempat dirakamkan dalam lembaran sejarah. Baginda diuji dengan tawaran kemewahan, harta-benda dan pangkat.
Namun begitu, Rasulullah S.A.W menolak segala kepentingan duniawi dengan meletakkan kepentingan Islam lebih tinggi daripada segala-galanya. Ini jelas terukir mantap dalam catatan sirah ketika Baginda menolak cadang-cadangan yang dikemukakan oleh wakil Abu Jahal.
“Wahai anak saudaraku! Kedudukanmu dari kalangan kami seperti yang diketahui olehmu dalam ikatan kekeluargaan. Sesungguhnya kamu telah membawa kepada kami suatu perkara yang besar. Kamu telah memecah-belahkan perpaduan mereka, memperbodohkan impian mereka dan mencela nenek-moyang mereka. Dengarlah dariku agar aku kemukakan kepadamu beberapa perkara untuk memberi pandangan dan menerima sebahagian daripadanya!”
Rasulullah S.A.W menjawab, “Katakanlah, wahai Abu Walid (gelaran ‘Utbah) apa yang kamu ingin perkatakan!”
Abul Walid mengemukakan cadangannya, “Wahai anak saudaraku (bahasa panggilan yang halus! Kalaulah apa yang kamu bawa ini kerana mahukan harta kekayaan, kami bersedia mengumpulkan untuk kamu harta- benda sehinggalah kamu menjadi orang yang paling berharta di kalangan kami. Kalau kerana mahukan kedudukan, kami bersedia, melantik kamu menjadi ketua kami sehinggalah kami tidak menandingi kamu. Jika sekiranya kamu mahu menjadi raja, kami bersedia menabalkan kamu menjadi raja kami” (rujuk Sirah Ibnu Hisyam)
Lalu Rasulullah S.A.W bertanya, “Sudah habis pandangan dari kamu?”
‘Utbah menjawab, “Ya!”
Seterusnya Rasulullah S.A.W bersabda dan membacakan, “Dengarlah dariku”.

"Ha, Mim..."

"Turunnya Kitab ini dari Allah Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani".

"Sebuah Kitab yang dijelaskan ayat-ayatnya satu persatu; iaitu al-Qur’an yang diturunkan dalam bahasa Arab bagi faedah orang-orang yang mengambil tahu dan memahami kandungannya".

"Ia membawa berita yang mengembirakan (bagi orang-orang yang beriman) dan membawa amaran (kepada orang-orang yang ingkar); dalam pada itu kebanyakan mereka berpaling ingkar (tidak mahu mengetahui dan memahaminya), maka dengan sebab itu mereka tidak menerima dan tidak mematuhinya".

"Dan mereka berkata; Hati kami dalam tutupan yang berlapis-lapis (menghalang kami) daripada memahami apa yang engkau serukan kami kepadanya, dan pada telinga kami penyumbat (menjadikan kami tidak dapat mendengarnya), serta di antara kami denganmu ada sekatan (yang memisahkan fahaman kita); oleh itu, bekerjalah engkau (untuk agamamu), sesungguhnya kami juga tetap bekerja (untuk mempertahankan kepercayaan kami)" – Surah Fussilat:1-5
Rasulullah S.A.W meneruskan bacaannya. Tiba-tiba ‘Utbah tersandar ke belakang dengan bertongkatkan kedua-dua belah tangannya. Kemudian apabila sampai ayat sujud, Rasulullah S.A.W terus bersujud.
Selanjutnya Rasulullah S.A.W bersabda, “Adakah kamu mendengar itu?”
Abul Walid lantas pulang dengan wajah yang berubah.

Penolakan harta-benda yang ditawarkan, pangkat yang dijanjikan ini merupakan pelaksanaan secara praktikal yang diperlihatkan oleh Rasulullah S.A.W kepada sahabatnya. Penolakan yang menekankan tentang tujuan pelaksanaan Islam bukanlah sekadar untuk dilantik menjadi pemerintah tanpa menentukan apakah bentuk sistem yang akan dilaksanakan. Ataupun sekadar menerima kedudukan dan tempat dalam pimpinan tanpa menentukan apakah matlamat sistem yang hendak dilaksanakan.

Penolakan yang dilakukan oleh Rasulullah S.A.W merupakan kenyataan yang jelas, yang ditaati dan diikuti oleh Para Sahabatnya secara praktikal. Generasi yang meletakkan kepentingan Islam yang bakal dilaksanakan oleh mereka di dalam Negara Islam dan Masyarakat Islam yang pertama lebih berharga daripada segala kepentingan duniawi ini. Kemudiannya tekanan, tindakan ganas, konpirasi dan fitnah melampau dilakukan oleh pihak kuffar dan ugutan-ugutan yang mengancam jiwa raga serta menyeksa tubuh badan. Sehingga penekanan itu memaksa orang-orang yang beriman untuk berhijrah meninggalkan kepentingan tanahair, keluarga, rumahtangga, pangkat dan segala-galanya. Meskipun tidak dapat dinafikan bahawa urusan dan keperluan duniawi itu adalah penting, namun Islam menjadi prinsip kepada semua itu hendaklah dipentingkan dari segalanya. Kita tidak juga dapat menafikan bahawa tanahair, keluarga dan harta-benda adalah menjadi suatu keperluan dalam perjuangan untuk menegakkan Islam dan membentuk generasi Islam. Tetapi Islam adalah lebih utama dan mesti terlaksana.

Wednesday, September 26, 2012

Tasawwur Aqidah dan Islam

 Aqidah,
Bahasa : Satu ikatan yang mengikat sesuatu kepada sesuatu yang lain.
Istilah : Satu ikatan keyakinan yang mengikat diri, pemikiran dan hati seseorang.
Aqidah Islamiyyah yang berteraskan kepada rukun-rukun iman (beriman kepada Allah, beriman kepada Rasul, beriman kepada Kitab, beriman kepada malaikat, beriman kepada hari kiamat dan beriman kepada qada’ dan qadar) menggambarkan satu kefahaman yang universal yang mana setiap individu berhak menyertai aqidah ini dalam lingkungan yang luas tanpa terikat kepada masa, bangsa mahupun tempat.[1]

 Islam,
Apabila seseorang manusia beriman dengan asas-asas pemikiran Islam, iaitu kepercayaan mutlak kepada Allah dengan mensucikanNya daripada sebarang sekutu dan orang tengah (perbuatan syirik), percaya kepada malaikat, rasul, kitab, kehidupan selepas mati, qada’ dan qadar, mengucap dua kalimah syahadah (aku bersaksi bahawa tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah dan Nabi Muhammad itu pesuruh Allah), mengerjakan solat fardhu, berpuasa di bulan Ramadhan, menunaikan zakat, mengerjakan haji jika mampu, menjauhi perkara haram yang disepakati maka dia adalah seorang muslim mukmin. Kemanisan dari buah keimanan hanya dapat dirasai apabila seseorang itu mengikut jalan hidup muslim mukmin[2] sebagaimana yang disebutkan Rasullah s.a.w ketika menerangkan makna ihsan :
’’ Engkau menyembah Allah seolah-olah engkau melihatNya. Jika engkau tidak melihatNya, nescaya sesungguhnya Allah melihat engkau.







[1] Fadzil Mohd Noor. 2009. ‘Aqidah & Perjuangan. Dewan Pustaka Fajar
[2] Ali al-Tontowi.1997. Terj. Islam Yang Semestinya Difahami. Pustaka Salam

Sunday, September 23, 2012

Iman dan Kehidupan

Iman sebagai pencetus gerakan pembaharuan. Perkongsian dari kitab Iman dan Kehidupan, karangan Sheikh Dr. Yusuf al-Qardawi. 

Iman dapat mempersiapkan jiwa manusia untuk menerima asas-asas pemikiran yang baik meski langkah untuk mencapainya disulami peraturan atau kewajipan yang perlu dilunasi, pengorbanan dan kesulitan yang bukan sedikit.

Iman merupakan unsur penting sebagai pencetus gerakan pembaharuan yang memberi inspirasi yang teguh kepada manusia untuk berubah. Mengubah jiwa, tujuan hidup, jalan yang ditempuhi, tingkah laku, pandangan, perasaan serta pertimbangan seseorang. Apabila iman telah mendalam dan bersemi di dalam jiwa, nescaya seseorang itu sanggup mengubah tujuan hidup, pandangan mngenai alam dan kehidupan, pekerjaan serta segala sesuatu yang berkaitan dengannya. Iman memperlurus tingkah lakunya berhadapan dengan Allah dan sesama manusia.

Iman memberi pendidikan yang mendalam kepada peribadi seorang insan sehingga menjadi peribadi yang amat baik; beriman kepada Allah, cemas terhadap seksaan Allah, tunduk merendahkan diri kepada Allah, bersedia menjalankan perintah Allah dengan harta dan dirinya, bekerja, berjuang dan berkorban dengan penuh keikhlasan kerana Allah dan mengharap keredhaanNya.

Apa itu iman?
Iman ialah kepercayaan yang meresap di dalam hati dengan penuh keyakinan, tidak bercampur syak dan ragu serta memberi pengaruh kepada pandangan hidup, tingkah laku dan perbuatan sehari-hari. Iman disertai amal yang didasari oleh hati dipenuhi rasa kebaikan dan keikhlasan kepada Allah. Keimanan merupakan gabung jalin antara pengetahuan, pengertian dan kepercayaan yang kukuh dengan ketundukan hati, kepatuhan kemahuan dan kerelaan menjalankan perintah Allah. Keimanan menimbulkan semangat bekerja dan berkorban dengan harta dan diri  serta menzahirkan budi pekerti yang baik dan  ‘amal yang berguna.[1]


Iman dan aqidah menurut ajaran Islam adalah berteraskan kepada keimanan kepada Allah, malaikat, rasul-rasul, kitab-kitab, hari akhirat dan qada’ dan qadar.







[1] al-Qardhawi. 2008. Terj. Iman dan Kehidupan. Dewan Pustaka Fajar

Monday, August 6, 2012

Surat Cinta dariNya




Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. Segala puji dan sanjungan hanya untuk Allah, mudah-mudahan selawat dan salam dilimpahkan kepada hamba Allah dan Rasulnya, Nabi Muhammad s.a.w, keluarga dan para sahabatnya sekalian. Alhamdulillah, segala puji dan pujian dirafakkan ke hadrat Allah s.w.t yang masih lagi menganugerahkan kita iman dan islam, memberi kita rahmat dan kasih sayangNya tanpa putus. Pemeliharaannya terus dipohon oleh kita, sekalian hambaNya di jalan mujahadah ini.

Menelusuri hari demi hari di dalam bulan yang penuh keberkatan, Ramadhan al-Mubarak. Bulan Ramadhan merupakan bulan untuk mendidik dan mentarbiyah diri menjadi hamba yang bertaqwa kepada Allah s.w.t. Firman Allah S.W.T di dalam Al Quran Surah Al-Baqarah, ayat 183 bermaksud: "Wahai orang yang beriman, kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu supaya kamu bertaqwa.

Perkara paling penting dalam bulan Ramadhan ialah takwa kerana itulah matlamat utama dari ibadah yang dilaksanakan di dalam bulan ini. Takwa hanya mampu digapai melalui hidayah dari Allah s.w.t . Hati yang dianugerahi hidayah oleh Allah s.w.t akan memandu anggotanya untuk melakukan kebaikan. Kaki dipandu untuk ke masjid, lidah dipandu untuk membaca al-Quran, tangan akan dipandu untuk bersedekah dan begitulah jua anggota-anggota yang lain dengan izin Allah s.w.t.

Sahabat-sahabat yang dikasihi Allah, pada bulan Ramadhan ini telah diturunkan al-Quran yang disebut juga sebagai nuzul al-Quran. Al-Quran merupakan petunjuk serta panduan kehidupan bagi manusia sebagai hamba dan khalifah Allah s.w.t di muka bumi ini. Firman Allah s.w.t di dalam surah al-Baqarah ayat 185 bermaksud : Bulan Ramadhan adalah (bulan) yang di dalamnya diturunkan al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan menjadi keterangan yang menjelaskan petunjuk dan pembeza (antara yang benar dan batil).

Di dalam surah al-Qadr, Allah s.w.t berfirman yang bermaksud : Sesungguhnya kami telah menurunkannya (al-Quran) pada malam al-Qadr. Menurut al-Baghawi dalam tafsirnya, ganti nama dalam kata kerja (انَّا أَنْزَلْنَاهُ) menunjukkan kehebatan al-Quran yang diturunkan sekaligus pada malam al-Qadr dari Luh Mahfuz ke langit dunia (al-sama’ al-Dunya), kemudian ditempatkan di Bait al ‘Izzah untuk disampaikan oleh malaikat Jibril a.s kepada Nabi Muhammad s.a.w secara beransur-ansur sesuai dengan perkembangan masa dan cara berfikir masyarakat pada ketika itu. Penurunan al-Quran berjalan dalam tempoh melebihi 20 tahun. Ini adalah pandangan yang diriwayatkan daripada Ibn. Abbas r.a seperti yang dinyatakan oleh Ibn Kathir dalam tafsirnya.

Peringatan Nuzul al-Quran (penurunan al-Quran) sewajarnya dijadikan sebagai momentum untuk kembali menjadikan al-Quran sebagai panduan kehidupan, bukan hanya sekadar dibaca dan disimpan. Semarakkanlah Ramadhan ini dengan memperbanyak bacaan al-Quran, berusaha memahami makna dan beramallah dengan kandungannya. Memahami al-Quran membawa kita mengenali di antara dosa dan pahala, syurga dan neraka. Ia umpama lampu yang menerangi gelap pekat jahiliyyah.

Al-Quran kalamullah, surat cinta dari pemilik cinta yang Maha Agung. Setiap patah ayatnya mempunyai mesej tertentu yang amat berkait dengan kehidupan manusia. Membawa mesej yang jelas mengenai ketuhanan, syariah dan kehidupan, akhlak dan peradaban serta contoh teladan dari kisah-kisah umat-umat terdahulu. Pohonlah doa dari Allah, mudah-mudahan setiap ruang dan peluang yang ada mampu kita gunakan untuk membaca dan mentadabbur al-Quran dan terus istiqamah sehingga ke akhir hayat. Akhir kalam, al-Quran di hati..

Tuesday, July 17, 2012

Nota Sebuah Halaqah Cinta



‘’Satu. Dua. Tiga. Belum cukup ni. Mana Fadhilah?, ‘’getus hatiku bila melihat kelibat teman-teman dari jauh. Termengah-mengah untuk meneruskan langkah yang masih lagi berbaki. Petang itu, cuacanya redup. Setibanya di pondok kecil di sebelah kiri masjid, aku menyalami teman-teman yang telah pun tiba awal.
‘’Assalamualaikum. Maaf terlewat, ada urusan yang perlu ana selesaikan tadi. Dah lama menunggu?’’, aku menyapa teman-teman setelah tiba ke tempat yang dijanjikan.
‘’Waalaikumussalam. Tak mengapa. Sekitar 10 minit juga menunggu enti, ‘’ujar Basyirah.
‘’Oh,ya. Mana Fadhilah? Belum sampai ataupun tak dapat hadir petang ni?’’ aku meluahkan pertanyaan yang sedari tadi bermain-main di mindaku.
‘’Fadhilah ditimpa musibah dan sedang bersedih. InsyaAllah, hadir. Tapi, agak lewat. Mungkin kita boleh mulakan terlebih dahulu?’’, sambung Khadija.
‘’Inna lillah wa inna ilaihi rajiun. Baiklah, kita mulakan terlebih dahulu sambil menunggu Fadhilah.’’
Halaqah usrah itu kami mulakan dengan membaca zikir-zikir mathur dari al-Quran dan hadith susunan as-Syahid Imam Hasan al Banna. Petang itu agak nyaman. Angin petang bertiup lembut, kelihatan dedaun dipukul mesra oleh angin.
Fadhilah akhirnya tiba. Dengan wajah yang agak hiba. Sedih. Dengan linangan air mata, Fadhilah meluahkan perasaan dan kesulitan ujian yang sedang dialaminya. Kami mendengar dengan setia. Penuh empati, meletakkan diri kami di tempatnya. Merasai kesedihannya.
Petang itu, pertemuan kami bertukar haluan. Menjadi sebuah perkongsian motivasi, saling menguatkan.
Amina memulakan bicaranya,’’ Ukhti, walau apa jua masalah yang melanda dirimu, bertenanglah. Ujian dan manusia itu lumrah. Rapat. Umpama isi dan kuku. Bukankah dengan ujian itu dapat meningkatkan keimanan kita kepada Allah?
Kami diam. Mentafsir makna tersirat dari yang tersurat. Lembut mengalir ke jiwa dan hati.
Basyirah menyambung,’’ Yakinlah, di saat- saat senang mahupun sukar, kita masih punya Allah. Hidup ini  indah diiringi didikan dan pentarbiahan Ilahi’’.
Benar.
Ulas Khadija, ‘’Manusia seringkali dibelenggu dua perkara utama. Persoalan masa lalu dan juga persoalan masa depannya. Terlalu berfikir mengenai masa lalu, maka jiwa menjadi gundah dengan kesedihan sementelah terlalu berfikir mengenai masa depan, maka jiwa menjadi takut, takut untuk berdepan dengan cabaran dan halangan yang perlu dilalui’’.
Kami mengiyakan. Tambahku lagi, ‘’Tinggalkan luka- luka semalam dan binalah diri yang baru. Kerana dirimu begitu berharga sebagai hamba dan khalifah Allah. Mengapa harus terus lemah dengan bayangan kesedihan semalam, sedangkan Allah masih menganugerahkan limpah dan rahmatNya secara berterusan. Tinggalkan kesedihan itu, kerana dirimu masih mampu melakukan sesuatu untuk masa depanmu. Gunakanlah sisa-sisa kehidupanmu dengan mentauhidkan Allah, ’’panjang bicaraku.
Fadhilah menyimpulkan perkongsian pada petang itu dengan gabungan nasihat dan saranan yang dilontarkan setiap dari kami.
‘’Benar. Bukanlah salah untuk kita merasa sedih, berduka dan kecewa kerana kita adalah insan. Insan  yang pasti ada kekurangan. Namun, janganlah dibiarkan duka itu terus melara lantas hanyut dibawa arusnya. Bangkitlah setelah mengalami kejatuhan, setelah rebah, setelah merasa teruji kerana ujian itu lumrah kehidupan. Dengan ujian, Allah mentarbiah kita dengan cara yang paling seni. Halus dan memberi kesan, bagi insan-insan yang berfikir menggunakan mata hatinya’ lembut bicaranya.
Petang beransur senja. Hampir maghrib. Kami mengakhiri pertemuan itu dengan doa rabithah, peneguh ikatan persahabatan antara kami. Sebelum berpisah, kami tersenyum. Senyum sebelum berpisah, agar kemanisan ukhuwwah itu terus terpateri di ruang ingatan. InsyaAllah.
Sangat tersentuh. Terngiang-ngiang di ruang hatiku bicara Khadija di akhir pertemuan, ‘’ Ayuh, mara ke hadapan menjadi serikandi pejuang yang tabah mengharungi mehnah. Sungguh, kita perlu  terus membawa seruan Islam agar nikmat ini dirasai semua insan. Kita punya taklifan sebagai hamba dan khalifah Allah. Andai kita terus lemah, apakah kita mampu untuk bersama-sama menebarkan haruman Islam? Ayuhlah bangkit, tinggalkan luka semalam. Sebarkan Islam sebagai satu cara hidup, sumber bahagia dunia dan akhirat’’.
Kami meneruskan langkah ke masjid untuk menunaikan solat maghrib berjemaah. Seusai berwuduk, kedengaran azan berkumandang. Dan, sesudah itu takbir diangkat menghadap  Ilahi.

Saturday, July 14, 2012

Warnai Hidupmu dengan alunan Kalamullah



Adakalanya kehidupan berlalu tanpa tersingkap sesuatu hikmah darinya

Terinspirasi dengan kalamullah, al-Qur'an al Karim saat membaca kisah-kisah yang dipaparkan dalam bentuk penceritaan yang cukup-cukup indah, 


Digambarkan kisah-kisah golongan terdahulu, kisah perjuangan para anbiya membawa kalimah tauhid dan menghadapi pelbagai tentangan dari kaum mereka.


Ibrahnya, para anbiya seringkali mengungkapkan bahawa, hanya kepada Allah mereka bertawakkal.


Ibrahnya, berulang-ulang kali disebut sifat Allah yang Maha Agung di dalam setiap penceritaan itu.


Sesungguhnya Allah Maha Penyayang, Lagi Maha Mengampuni

Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui

Sesungguhnya Allah Maha Mendalam Ilmunya

Subhanallah. Kemukjizatan al-Qur'an mengundang kekaguman di hati seorang hamba

Hidupkan hidup dengan sinar hidayah dan siraman alunan kalamullah..

Moga Allah mengurniakan taufikNya..

Saturday, July 7, 2012

Terimalah setulus hatimu




Cuaca pagi yang indah
Angin bertiup nyaman
Alunan zikir sebagai melodi
Memulakan langkah di pagi hari
Lama langkah penulisan ini terhenti
Dibiarkan berlalu pergi di angin lalu

Semalam dan hari ini
Antara kenangan dan kenyataan
Hayatilah hari ini
Andai esok bukan lagi untukmu
Pergunakanlah hari ini sebaiknya
Dalam ketaatan dan kebaikan

Mendung semalam
Sudah berlalu pergi
Hari ini
Sama ada mendung
 mahupun cerah
Terimalah setulus hatimu
Terimalah setulus hatimu
Terimalah setulus hatimu
Itu tandanya
Sebuah kesyukuranmu padaNya
:: Tiada daya dan upaya melainkan dengan keizinan dari Nya ::


Ana | 08.00 a.m | K6E 203 | 080712

Sunday, June 24, 2012

SYUKUR

Tahu bersyukur ini adalah satu nikmat. Nikmat ini hanya boleh dirasai bagi orang yang ikhlas dalam syukurnya.



Antara nikmat bersyukur - sekiranya kita bersyukur dengan kawan yang ada, harta benda yang ada - kita akan mendapat lebih ramai kawan yang baik dan mendatangkan kebaikan.



Orang yang selalu merungut 'ini tak ada, itu tak ada' akan mendapati bahawa minda mereka hanya nampak benda yang mereka tiada senantiasa - maka rungutan mereka akan bertambah kerana senarai benda yang mereka tidak ada akan sentiasa bertambah dan tiada penghujungnya.



Rungutan membuka pintu pada bisikan syaitan - bermula dengan mainan minda dan dicampuri dengan perasaan dengki dan cemburu; dan akhirnya timbul perasaan dendam kerana asyik membandingkan diri sendiri dengan orang lain... mereka akan sentiasa dalam keadaan kecewa, menangguhkan ke-gembiraan mereka selagi benda yang dihajat tidak berada di tangan.



Bersyukurlah pada apa yang ada dan belajarlah bersyukur dengan apa yang ada.

Usah merungut pada apa yang tiada - sekiranya hendakkan sesuatu, jangan habiskan masa dan tenaga dalam rungutan, sebaliknya fokuskan segala masa dan tenaga dalam usaha kita untuk mencapai benda yang dihasratkan.



Ketenangan sebenar dan nikmatnya hanya boleh dirasai sekiranya kita tahu bersyukur.



Fokuslah pada apa yang ada, semestinya itu tidak meletihkan kerana senarai itu terhad berbanding dengan apa yang kita tiada kerana senarai itu adalah infiniti panjangnya.



Hargailah sesuatu waktu yang ada, agar anda tidak menyesal apabila ia sudah tiada.





Perkongsian dari Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man

Saturday, June 23, 2012

Yang Hampir


Kematian yang hampir. 


Bertambahnya usia, semakin hampir kepada penghujungnya.


Ke mana pengakhirannya?


Kembali bertemu Allah 'Azza wa Jalla.


Negeri akhirat, negeri yang kekal.


Mati itu suatu kepastian


Alangkah sebentar kehidupan di dunia (dar al fana')


Kemudian, pasti dipanggil pulang menemuiNya


Semoga Allah SWT mengurniakan keberkatan usia kita untuk terus menyumbang kepada kegemilangan Islam.


‎"Janganlah kamu mengharapkan kematian. Jika dia seorang yang berbuat kebaikan mudah-mudahan bertambah kebaikan. Kalau dia seorang yang buat salah mudah-mudahan dia berpeluang untuk bertaubat"
-Sahih Bukhari-


Hasbunallah wa ni'mal wakil..Tiada daya dan upaya melainkan dari Allah..


Cukuplah kematian itu sebagai peringatan buat diri yang leka.





Wednesday, June 20, 2012

Islam | Iman | Ihsan

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah 
Lagi Maha Mengasihani..

Daripada Umar r.a, dia berkata, 

''Ketika kami duduk-duduk di sisi Rasulullah s.a.w di suatu hari tiba-tiba datanglah seorang lelaki yang memakai baju yang sangat putih dan berambut hitam legam. Tidak nampak padanya tanda-tanda perjalanan jauh dan tidak seorang pun di antara kami yang mengenalnya. 

Kemudian dia duduk di hadapan Nabi dengan menempelkan kedua lututnya kepada Rasulullah s.a.w seraya berkata,' Ya Muhamad, beritahukan aku tentang Islam'. 


Maka Rasulullah s.a.w bersabda, Islam adalah engkau bersaksi bahawa tiada Tuhan yang berhak disembah selain Allah dan Nabi Muhammad adalah utusan Allah, engkau mendirikan solat, menunaikan zakat, berpuasa Ramadhan dan pergi haji jika mampu.

'Kemudian orang itu berkata, ''anda benar.''


Kami semua hairan, dia yang bertanya dan dia pula yang membenarkannya.
 Kemudian dia bertanya lagi, 'beritahukan aku tentang iman.'Lalu baginda bersabda,'Engkau beriman kepada Allah, malaikat-malaikatNya, kitab-kitabNya, rasul-rasulnya dan hari akhirat serta engkau beriman kepada taqdir yang baik mahupun yang buruk.'Kemudian dia berkata,''Anda benar.''

Kemudian dia berkata lagi ,''beritahukan aku tentang Ihsan. Lalu baginda bersabda,''Ihsan ialah engkau beribadah kepada Allah seakan-akan engkau melihatNya. Jika engkau tidak melihatnya maka Dia melihatmu.

Kemudian dia berkata,''beritahukan aku tentang hari kiamat (bila kejadiannya). Baginda bersabda, yang ditanya tidak lebih tahu dari yang bertanya. Dia berkata,''beritahukan aku tentang tanda-tandanya. Baginda bersabda, jika seorang hamba melahirkan tuannya dan engkau melihat seseorang bertelanjang kaki dan dada, miskin dan pekerjaannya mengembala kambing telah berlumba-lumba meninggikan bangunannya.


Kemudian orang itu pergi dan aku pun terdiam sesaat.


Rasulullah s.a.w bertanya, tahukah engkau siapa orang yang bertanya tadi?. Aku berkata, 'Allah dan RasulNya lebih mengetahui. Baginda bersabda,' Dia adalah Jibril yang datang untuk mengajarkan agama kamu'

HR Muslim




Tuesday, June 19, 2012

Zikrullah




Telah diberitakan dalam hadith Qudsi:
“Hai anak keturunan Adam,
Maut itu membukakan segala rahsiamu,
Hari Kiamat itu terbacakan semua kitabmu dan kitab itu membuka semua rahsiamu,
maka ketika engkau berbuat dosa janganlah melihat kecilnya dosa itu,
tapi lihatlah Zat, yang engkau derhakai, dan ketika engkau diberi rezeki sedikit,
janganlah engkau melihat sedikitnya, tapi lihatlah Zat yang memberi rezeki kepadamu.
Dan janganlah engkau meremehkan dosa kecil,
kerana sesungguhnya engkau tidak tahu dosa-dosa apa yang menyebabkan engkau dimurkai
dan kamu tidak terjamin terhadap tipu daya-Ku.
Maka tipu daya-Ku itu lebih halus daripada jalannya semut di atas gunung Shafa’ di malam yang kelam.
Hai anak keturunan Adam,
Apakah engkau menderhakai aku (Allah), maka engkau ingat akan murka-Ku
dan engkau menghindarkan murka itu?
Apakah engkau telah melaksanakan amanat orang yang telah percaya kepadamu?
Apakah engkau telah berlaku baik terhadap orang-orang yang berbuat jahat kepadamu?
Apakah engkau telah memaafkan terhadap orang-orang yang menganiayai engkau?
Apakah engkau telah mahu mengajak bicara terhadap orang-orang yang mendiamkan engkau?
Apakah engkau telah menyambung tali kekeluargaan terhadap orang-orang yang memutuskan silaturrahim kepadamu?
Apakah engkau telah menginsafkan (menyedarkan) terhadap orang-orang yang mengkhianatimu?
Dan apakah engkau telah bertanya kepada Ulama tentang urusan agamamu dan urusan duniamu?
Sesungguhnya aku (Allah) tidak melihat bentuk lahirmu,
akan tetapi aku melihat hati dan niatmu.
Dan aku rela terhadap segala sifat-sifat ini pada dirimu.”

:: Kitab Durratun Nasihin ::

Thursday, June 7, 2012

Setulus Doa



Hasbunallah wa ni'mal wakil..


P/s : Jom doakan saudara-saudara kita di Syria yang dizalimi oleh rejim Basyar Assad.

Warming Up Menuju Ramadhan Kareem

Ahlan Wa Sahlan Ramadhan Kareem

Ya Allah, kurniakanlah keberkatan kepada kami di bulan Rejab & Syaaban
sampaikanlah kami kepada Ramadhan...Amiin ya Rabb


SUPER 10..!

Pesan buat diri,
Teruslah bergerak, teruskan berusaha
Hari ini lebih baik dari semalam
InsyaAllah

SUPER 10..!

Friday, June 1, 2012

Cinta Kesekian Kalinya

Bicara seorang muallim di kelas terakhir kami semester ini,

Menuntut ilmu merupakan usaha murni untuk melangkah ke arah masa depan gemilang. Perintah awal agama ialah mengenal Allah s.w.t. Kenal dengan ilmu, merealisasikan wahyu pertama kepada Rasulullah s.a.w, surah al –Alaq ayat 1- 5 yang bermaksud :

Bacalah dengan menyebut nama Tuhanmu yang menciptakan
Dia telah menciptakan manusia dari segumpal darah
Bacalah dan Tuhanmulah Yang Maha Mulia
Yang mengajar (manusia) dengan pena
Dia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.

Menuntut ilmu itu adalah suatu proses berterusan, tidaklah terhenti setelah menamatkan pengajian di mana-mana institusi pengajian sebagaimana mafhumnya generasi kini menuntut ilmu dari tadika, sekolah rendah kemudiannya sekolah menengah seterusnya institusi pengajian tinggi.
Bahkan ilmu atau hikmah itu ada di mana-mana sahaja, rebutlah peluang dan kesempatan untuk mengutip ilmu dari sekolah kehidupan jua.

Mafhum sabda Rasulullah s.a.w :
Jadikanlah dirimu orang alim atau orang yang menuntut ilmu atau orang selalu mendengar pelajaran agama, atau pun orang yang mencintai (tiga golongan yang tersebut); dan janganlah engkau menjadi (dari) golongan yang kelima, yang dengan sebabnya engkau akan binasa.
[al-Bazzar]

Ilmu yang bermanfaat itu adalah ilmu yang membawa penuntutnya mengenal Allah s.w.t dan diterjemahkan dalam praktik kehidupan seharian sebagai amal kebaikan demi meraih redhaNya.

Sabda Rasulullah s.a.w,

عَنْ أَنَسٍ ، عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ ، قَالَ : " مَنِ ازْدَادَ عِلْمًا وَلَمْ يَزْدَدْ هُدَى لَمْ يَزْدَدْ مِنَ اللَّهِ إِلا بُعْدًا "

Barangsiapa yang bertambah ilmu, tetapi tidak bertambah hidayah. Tidaklah Allah tambahkan baginya kecuali ia semakin jauh daripada Allah.

Ilmu umpama permata, ia perlu diamalkan dan jika tidak diamalkan, jadilah ia (ilmu) sia-sia  seperti debu yang bertaburan ditiup angin.

Teruskanlah menyemai mahabbah kepada agama, Allah dan Rasul s.a.w sehingga ke akhir usia. Jangan berhenti mengutip mutiara hikmah yang menambah cinta kepada agama.

Semoga sentiasa dalam rahmat Allah, siiru ‘ala barakatillah..




Perasaan bercampur baur, pengajian kali ini sudah hampir ke penghujungnya. Tiba-tiba hati sarat dengan cinta pada perbukitan ilmu yang merupakan medan pentarbiahan luar jangka bagi diri ini.

Terkenang  bait-bait awal sebelum menjejakkan kaki ke perbukitan ilmu ini,

‘’Ana akan meneruskan pentarbiahan di perbukitan ilmu ini. Walau berbeza dan penuh cabaran, ana akan tempuhinya, insya Allah.

Dan ternyata, cabarannya bukan sedikit. Alhamdulillah untuk kesemuanya

Syukur atas rahmatMu..


Ana |12.55 a.m | Teratak Hati, K6Q 111


Wednesday, May 16, 2012

Tasawwur Islam






1. PENGERTIAN ISLAM. 

Islam adalah sebagai Ad-Din yang merangkumi seluruh aspek kehidupan manusia yang terkandung di dalamnya aqidah, amalan-amalan dan hukum-hukum berhubungan dengan rohani dan jasmani, fardiyyah dan jamaiyyah, agama dan politik dan segala urusan hidup di dunia dan akhirat. Secara khususnya Islam sebgaimana yang dikemukakan oleh ulama-ulama’ berdasarkan kepada Al-Qur’an dan As Sunnah adalah:- 

Islam bererti tunduk dan menyerah diri kepada Allah swt serta mentaatiNya yang lahir dari kesedaran dengan tidak dipaksa kerana ketundukan yang seperti itu tanpa perhitungan pahala dan dosa.

Firman Allah swt:- 

“Apakah mereka mencari agama yang lain dari agama Allah padahal kepadaNya menyerah diri segala apa yang ada dilangit dan bumi, baik dengan suka mahupun terpaksa dan kepada Allah mereka dikembalikan”. (Surah Ali Imran ayat 83) 

Sesungguhnya tanda bukti penuh ketundukan kepada Allah swt ialah reda menerima agamaNya yang diiringi pula dengan penuh kesedaran. Ini adalah lantaran Islam menurut pengertian ini adalah merupakan agama yang diredai Allah, agama yang diwahyukan kepada Rasul-Rasul a.s. untuk disampaikan kepada manusia. 

Islam adalah peraturan (an Nizam), perundangan yang lengkap bagi mengatur kehidupan manusia dan menjadi dasar akhlak yang mulia yang dibawa oleh Rasulullah saw dripada Allah swt, guna disampaikan kepada manusia serta menyatakan apa yang mengenai orang yang mengikut dan menentang sama ada dosa dan pahala.

Firman allah swt: 

“Dan barangsiapa yang mencari selain daripada Islam maka dia tidak akan diterima daripadanya dan diakhirat nanti dia termasuk dikalangan orang-orang yang rugi” (Surah Ali Imran ayat 85) 

Islam adalah kumpulan peraturan yang diturunkan oleh Allah swt kepada RasulNya saw, yang terkandung di dalamnya peraturan-peraturan yang berbentuk aqidah, akhlak, muamalat dan segala berita yang disebut di dalam Al-Qur’an dan As-Sunnah adalah perintah untuk disampaikan kepada manusia.

Firman Allah swt: 

“Wahai Rasul, sampaikanlah apa yang diturunkan kepadamu dari Tuhanmu dan jika tidak kamu kerjakan (apa yang diperintah itu) beerti kamu tidak menyampaikan risalah Allah dan Allah memelihara kamu dari gangguan manusia” 

Islam ialah keseluruhan Ad-Din yang dibawa oleh Nabi Muhammad saw yang terkandung di dalamnya perkara-perkara yang berhubung dengan aqidah, amalan dan hokum yang disertai dengan kepatuhan secara zahir dan batin dengan penuh keikhlasan.

Firman Allah swt: “Bahkan sesiapa yang menyerah dirinya kepada Allah sedangkan dia berlaku baik, maka baginya ganjaran di sisi Tuhannya dan tidak ada takut bagi mereka dan mereka juga tidak berdukacita” (Surah al-Baqarah ayat 112) 

Islam dengan makna menyerah diri secara zahir sahaja sekalipun dengan tidak ada iman di dalam hati. Islam yang seperti ini tidak memberi apa-apa faedah kepada penganutnya.

Firman Allah swt: “orang Arab Badwi berkata: “Kami telah beriman”. Katakanlah kepada mereka: “Kamu belum beriman”, tetapi katakanlah: “Kami telah Islam, kerana iman itu belum masuk ke dalam hati-hati kamu”. (Surah Al Hujurat: ayat 14) 

Islam merupakan jawapan yang tepat kepada tiga pertanyaan yang dikemukakan kepada setiap manusia, iaitu:

i) -dari mana ia datang? 

ii) -mengapakah ia dijadikan? 

iii)-kemanakah ia dikembalikan? 

Jawapan soalan satu adalah terkandung didalam Firman Allah surah Al Hajj ayat 5, Surah Al Mukminun ayat 12-14, dan surah AtTariq ayat 5

Jawapan soalan dua “mengapakah ia datang” terkandung didalam surah AzZariyat ayat 56.

Jawapan untuk soalan tiga “kemanakah ia dikembalikan” ada di dalam Al Qur’an Surah Al Insyiqaq ayat 6, Surah ar Ruum ayat11, Surah AzZumar ayat 7, Surah An Najm ayat 42, dan Surah al Alaq ayat 8. 

Islam merupakan penghayatan yang sebenar bagi manusia; merupakan cahaya petunjuk dalam kehidupan; merupakan ubat yang mujarab untuk mengatasi; memperbaiki masyarakat dan jalan yang sebenar yang tidak mungkin sesat kepada sesiapa yang melaluinya.



2. TASAWWUR ISLAM YANG SEBENAR. 


Islam sebagai Ad-Din yang lengkap dan sempurna yang akan membicarakan segala perkara dalam kehidupan manusia dan tidak ada sedikit kekurangan dan kecacatan dalam ajarannya. Oleh itu Islam merangkumi aspek aqidah, ibadah, syariah, akhlak, kebudayaan, ilmu pengetahuan, ekonomi, politik, dakwah, pergaulan, jihad, dan bermacam lagi. Disini diselitkan beberapa takrif berkenaan dengan tasawwur Islam tersebut 

Aqidah

Ialah kepercayaan kepada Allah yang tersimpul kukuh di dalam jiwa manusia tanpa ada sedikit keraguan terhadap kesemprnaan ajaran Islam. Inilah dasar dan pokok ajaran Islam dan seruan yang dibawa oleh Nabi-nabi dan Rasul-rasul sebagaimana yang difirmankan oleh Allah swt: 

Bermaksud:“sesungguhnya kami telah mengutuskan pada setiap umat seorang rasul supaya mereka menyembah Allah dan menjauhi taghut” (Surah An Nahl ayat 36) 

Ibadah

Satu ketundukan dan pengabdian kepada Allah yang esa dalam seluruh aspek kehidupan, dalam erti kata yang lain seluruh pekerjaan dan amalan yang dilakukan semata-mata kerana Allah dan mengikut syariat Islam, maka ia dinamakan ibadah. Firman Allah swt: 

“Tidak Aku jadikan jin dan manusia kecuali untuk mengbdikan diri kepadaKu” (Surah Az Zariyat ayat 56) 

Syariah

Iaitu perundangan yang telah ditetapkan oleh Allah kepada manusia dan tidak boleh diubah dengan apa cara sekalipun. Syariat Islam memelihara lima prinsip; iaitu agama, nyawa, maruah, akal dan harta. 

Akhlak

Imam Al Ghazali menyatakan bahawa akhlak ialah “bawaan sifat jiwa yang tersembunyi atau melahirkan perbuatan dengan mudah tanpa perlu berfikir terlebih dahulu” Berdasarkan definisi inilah Imam Al Ghazali menyatakan bahwa akhlak itu ialah sifat-sifat yang telah menjadi tabiat seseorang. Ia bukan sesuatu yang bersifat takalluf (sesuatu yang dibuat-buat) tetapi telah menjadi perangai dan miliknya yang sebenar bukan ia berpura-pura berperangai baik di hadapan orang pada masa-masa tertentu. Akhlak ialah satu ajaran daripada Islam, untuk memperbaiki tingkahlaku manusia dan ia mempunyai tempat yang tinggi dan pengaruh yang besar dalam gerakan dakwah kerana akhlak yang baik merupakan besi magnet kepada Islam. 

Kebudayaan

Islam mengikitraf kebudayaan asalkan ia berlandaskan kepada Islam. Di antara kebudayaan yang berlandaskan Islam adalah cara berpakaian, Islam tidak menetapkan cara khusus berpakaian kerana masing-masing kaum mempunyai cara berpakaian tersendiri namun kewajipannya adalah menutup aurat bagi lelaki dan perempuan yang tidak menampakkan susuk tubuh serta fitnah yang lebih buruk. Kaum lelaki dilarang memakai pakaian serupa perempuan begitu jugalah sebaliknya. 

Ilmu pengetahuan

Islam datang dengan menghapuskan kejahilan manusia dan digalakkan supaya menuntut ilmu pengetahuan. Ilmu pengetahuan mendapat tempat yang tinggi di sisi Islam dan para penuntutnya dianggap mulia. Ayat al-Qur’an yang pertama menyuruh manusia supaya membaca (menuntut ilmu pengetahuan) dan banyak lagi dalil-dalil yang meminta umat Islam supaya belajar dan menuntut ilmu. 

Ekonomi

Ekonomi adalah penting untuk kehidupan manusia, lantaran itulah Islam mengiktiraf dan menerima ekonomi sebagai satu usaha meningkatkan taraf hidup manusia. Ilmu yang berkaitan dengan ekonomi di dalam Islam telah banyak diperluaskan oleh ulama’ yang pada dasarnya Allah menyebut tentang halalnya jual beli dan diharamkan riba’, begitu juga diwajibkan mengeluarkan zakat, beerti ia menyentuh perihal ekonomi. 

Politik

Manusia adalah makhluk yang perlukan hubungan social (social kontrak), justeru itu ia memerlukan bimbingan daripada pemimpin-pemimpin. Rasulullah saw telah meninggalkan kita dengan meninggalkan soal kepimpinan (khilafah) sebagai sesuatu yang penting di dalam membangunkan umat. Politik adalah sebahagian daripada Islam dan sesiapa yang menganggap politik bukan sebahagian daripada Islam beerti ia telah memisahkan agama dari landasan yang sebenarnya. Inilah fahaman ideology yang ditanam oleh musuh-musuh Islam supaya dengannya umat Islam akan terpisah secara berjuzsuk-juzuk dari amalan Islam yang sebenar. 

Dakwah

Dakwah ialah menyeru, mengajak manusia kepada pengabdian kepada Allah, ia adalah tugas mulia yang amat penting dan inilah tugas para Nabi dan rasul di utuskan ke muka bumi oleh Allah swt. Perbincangan mengenai dakwah akan dibincangkan dalam topik yang akan datang. 

Pergaulan

Manusia adalah makhluk yang memerlukan sosial untuknya berinteraksi dengan manusia lainnya. Oleh kerana itulah Allah menjadikan mansuia ini berpasang-pasang supaya manusia berasa damai dan tenteram dalam kehidupan. Dalam kehidupan bermasyarakat, Rasulullah banyak mengajar umatnya bagaimana tatacara hidup bermsyarakat yang sebenarnya seperti menghormati orang tua, memuliakan jiran, menziarahi orang lain, memuliakan tetamu, dan sebagainya. 

Jihad

Perkataan jihad berasal dari kata “jahada” yang bermaksud kesungguhan. Menurut syarak ialah pengerahan tenaga dari seorang Muslim dalam mempertahanakan dan menyebarkan Islam kerana menuntut keredhaan Allah. Kerana itu jihad adalah satu kalimah yang besar maknanya dan tuntutannya juga amat besar dipikul oleh umat Islam. Jihad dalam konteks yang luas boleh difahami dan diaplikasikan dalam pelbagai cara seperti lisan, berjihad menentang hawa nafsu, berjihad dengan peperangan, dan pelbagai lagi. 


3. SYARIAT ISLAM : PENGERTIAN DAN CIRI-CIRI KEISTIMEWAAN 

Takrif Al-Syariah Al-Islamiyyah

Syari’ah dalam bahasa Arab beerti aliran (almazhab) dan jalan yang lurus. Syariah Islamiyyah menurut istilah ialah hokum-hukum yang disyara’kan oleh Allah s.w.t. untuk hambaNya, samada yang berkaitan dengan aqidah, ibadat, akhlak, muamalat, dan system-sistem hidup dalam pelbagai aspek demi untuk kebahagiaan mereka di dunia dan akhirat. Ia juga diertikan sebagai saluran air yang mengalir yang menjadi sumber minuman. Hokum-hukum ini dinamakan Syariah kerana lurus dan tidak menyimpang sistemnya dari matlamatnya, seperti landasan yang lurus tidak ada bengkang-bengkok. Berdasarkan penjelasan di atas maka syariat Islam Islam dari segi istilah syara’ adalah “semua hukum yang diciptakan oleh Allah untuk hambanya sama ada hokum-hukum ini diperundangkan melalui al-Qur’an atau Sunnah Nabi saw dalam bentuk perkataan, perbuatan atau perakuan baginda”. 


Ciri-ciri keistimewaan Syariah Islamiyyah


Rabbaniyyah

Ianya membawa erti bahawa hukum dan peraturan Syariah ini dari Allah swt dan bukan ciptaan manusia. Beerti sumber Syariah Islamiyyah ialah Allah swt yakni wahyuNya kepada Nabi Muhammad saw dengan lafaz dan makna, iaitu al-Qur’an, atau dengan makna tidak lafaz iaitu as-Sunnah. Ciri ini membezakannya sama sekali dari semua perundangan duniawi kerana ia bersumberkan dari manusia sedangkan Syariah Islamiyah sumbernya pencipta manusia itu sendiri. 


Natijah Syariah Islamiyyah:

i)-Prinsip-prinsip Syariah dan hokum-hakamnya bersih dari sebarang rupa bentuk kezaliman, kelemahan dan menurut hawa nafsu kerana penciptanya ialah Allah yang mempunyai ksempurnaan mutlaq. Undang-undang duniawi pula mempunyai kelemahan kerana ia lahir dari manusia yang memiliki kelemahan seperti kejahilan, penyelewengan, kezaliman, kelemahan, kekurangan, terpengaruh dengan hawa nafsu, alam persekitaran, kaum atau bangsa, dan sebagainya.


ii)-Hukum-hukum Syara’ mempunyai kehebatan dan kehormatan dalam jiwa orang-orang yang beriman dengannya ama ada pemerintah mahupun yang diperintah, justeru kerana ianya dari Allah dan pasti memiliki sifat Ad-Din. Atas dasar inilah ia tetap dihormati dan dipatuhi dengan rela hati yang didorongi oleh jiwa yang bersih dan keimanan yang mendalam tanpa ada unsur paksaan.


Balasan Duniawi dan Ukhrawi

Balasan duniawi ini ada yang bersifat kanun jenayah dan ada yang dikatakan kanun sivil sepertimana juga dengan undang-undang buatan manusia tetapi skopnya lebih luas dari balasan yang terdapat dalam undang-undang buatan manusia, justeru undang-undang Islam itu mencakupi seluruh urusan individu termasuklah soal-soal keagamaan dan akhlak, tidak sepertimana undang-undang buatan manusia. Balasan ukhrawi adalah dikenakan ke atas setiap perlanggaran hokum syara’ sama ada ia amalan had mahupun amalan anggota lahir, yang berkaitan dengan muamalat maliyyah (sivil) mahupun jenayah dan sama ada yang bersalah itu dikenakan hukuman keseksaan atau tidak, selagi tidak bertaubat nasuha dan mendapat penghalalan hak dari orang tertentu. 


Alamiyyah dan Umumiyyah

Syariat Islam menjadi keistimewaan dengan ciri ini, ia menjadi rahmat untuk sekalian alam, menjadi petunjuk kepada seluruh umat manusia dan merupakan peraturan untuk manusia sejagat pada semua masa dan tempat. Ia bukan perundangan untuk satu jenis manusia, Negara, bangsa dan kabilah tertentu sahaja, bahkan ia untuk manusia di mana jua mereka berada. Islam meraikan kehendak dan keperluan manusia dalam beberapa perkara seperti:

a) Dharuriyyat : iaitu kehidupan manusia tidak akan wujud dengan ketiadaannya. Perkara-perkara dharuriyyat ini perlu untuk menjaga akal, agama, jiwa, keturunan dan harta. 

b) Hajiyyat : perkara yang diperlukan manusia untuk hidup. Namun manusia hidup tanpa kewujudannya. 

c) Tahsiniyyat : iaitu perkara yang diperlukan manusia untuk hidup lebih mulia. Contohnya Islam mewajibkan menutup aurat tetapi cara penutupan mengikut tempat dan suasana. Ia lebih mirip kepada unsure kesempurnaan kemewahan. 


Kekal.

Syariat islam kekal sepanjang zaman tanpa dinasakh dan tiada perubahan. Ia merupakan Syariat Islam terakhir dan penutup syariat-syariat samawi. Nabi Muhammad saw adalah rasul terakhir, tiada Nabi lagi selepas baginda. Kesejagatan Syariat Islam, umum untuk seluruh manusia dan tidak menerima sebarang pembatalan dan tukar ganti, sudah pasti segala peraturan dan hokum-hakamnya itu dapat mencapai kepentingan manusia sepanjang zaman dan disemua tempat dan mampu memenuhi segala keperluan yang dihajati oleh manusia setiap masa, dijadikannya sebagai penutup semua syariat, peraturan, prinsip dan hokum-hukumnya sesuai dilaksanakan untuk semua masa dan tempat. 


Syumul

Syariat Islam itu suatu system yang syumul mencakupi semua urusan hidup yang menggariskan manusia jalan iman, menerangkan dasar-dasar aqidah, menyusun hubungan manusia dengan Tuhannya, memerintah bersihkan jiwa, dan mengatur hubungan manusia sesama manusia. Kesyumulan Islam ini dapat dilihat pada 3 kelompok:- 

i)-Hukum-hukum yang berkaitan dengan aqidah seperti beriman kepada Allah dan hari akhirat. Perbahasan hokum-hukum aqidah ini dan kajiannya terdapat dalam ilmu kalam atau Tawhud.


ii)-Hukum-hukum yang berkaitan dengan akhlak seperti wajib bercakap benar, amanah, menyempurnakan janji, haram berdusta, khianat, mungkir janji. Hokum-hukum akhlak ini kajiannya adalah dalam ilmu akhlak atau Tasawwuf.


iii)-Hukum-hukum yang berkaitan dengan perkataan dan perbuatan manusia dalam hubungan mereka dengan yang lain. Hokum amali ini dinamakan dengan al-fiqh, perbincangannya dalam ilmu al-Fiqh.


Ia terbahagi kepada 2 bahagian yang besar iaitu:

a)-Ibadat seperti solat, puasa, zakat yang mana ia bertujuan mengatur hubungan di antara individu dengan Tuhannya.

b)-Adat dan muamalat yang bertujuan untuk mengatur hubungan di antara sesama manusia.



Kemanusiaan

Syariat Islam bersifat kemanusiaan sejagat kerana ianya diturunkan oleh Allah swt untuk seluruh manusia dan rahmat Allah kepada mereka sepanjang zaman dan di semua tempat. 


Keadilan mutlak

Keadilan bermakna meletakkan sesuatu pada tempatnya menurut hitungan sebenarnya daripada Allah. Adalah menjadi tujuan Islam itu menegakkan keadilan mutlak dikalangan manusia seluruhnya dengan menegakkan persaudaraan dikalangan mereka, memelihara kehormatan agama, nyawa, akal, maruah, keturunan dan harta benda dengan bermatlamat dunia dan akhirat. 


TUJUAN SYARIAT ISLAM.

1. MEMELIHARA AGAMA – Allah menghukum orang yang menukar agama (murtad) dengan hukuman bunuh sebagai balasan demi menjaga agama Allah yang agung ini sentiasa terpelihara bukan untuk dipermainkan. Allah telah menerangkan di dalam Al-Qur’an: 

“Dan barangsiapa dari kamu yang berpaling daripada agamanya, lalu ia mati padahal ia tetap kafir, maka gugurlah amal-amal mereka di dunia dan akhirat. Dan mereka akan jadi ahli neraka yang mereka (akan) kekal di dalamnya” (Al Baqarah : 217) 

2. MEMELIHARA AKAL – Allah mengharamkan benda-benda yang memabukkan kerana hendak memelihara akal manusia. Kita dapat perhatikan orang-orang yang mabuk disebabkan bahan-bahan tersebut perangainya sama seperti binatang mereka sanggup melakukan sesuatu yang tidak baik tanpa perasaan malu. Islam telah menjelaskan bahawa arak adalah ibu segala yang keji dan kotor. Sebagaimana sabda Rasulullah saw: 

“Arak adalah ibu segala kejahatan” 

Islam menghukum kepada mereka yang sabit melakukan kesalahan dengan 40 kali sebat berdasarkan kepada hadis Nabi saw: 

“Bahawasanya Rasulullah saw telah menyebat orang yang minum arak sebanyak 40 kali sebat” dan abu baker menyebat 40 kali dan Umar menyebat 80 kali” 

3. MEMELIHARA NYAWA – Islam telah menetapkan bahawasanya sesiapa yang menghilangkan nyawa manusia lain akan dikenakan hukuman bunuh balas. Ini beerti bahawa qisas terhadap seorang adalah perlu untuk memelihara keselamatan hidup (nyawa) orang lain, dengan ini akan memberi pengajaran yang berkesan kepada sesiapa sahaja yang berani melakukan perbuatan tersebut. 

4. MEMELIHARA HARTAHarta perlu dipelihara dengan baik, maka Allah mensyariatkan supaya mereka yang mencuri harta dikenakan hukuman apabila mempunyai syarat-syarat dan bukti yang sahih. Oleh kerana itu balsannya adalah dipotong tangannya apabila syarat-syaratatau bukti-bukti telah mencukupi bagi si pencuri tersebut. Inilah keadilan Islam supaya manusia itu sentiasa menghormati harta atau hak orang lainnya. 


5. MEMELIHARA KETURUNAN
Islam menjamin keselamatan ummah dan keturunan pemeluknya. Untuk melangsungkan zuriat manusia di dunnia ini maka disyariatkan perkahwinan. Perkahwinan juga merupakan satu saluran yang sah bagi memenuhi naluri manusia. Justeru itu Islam mengharamkan sama sekali hubungan jenis tanpa mengikut saluran yang sah di sisi syarak. Hukuman yang setimpal dikenakan kepada mereka yang melakukan jenayah tersebut adalah 100 kali sebatan bagi yang belum berkahwin manakala yang sudah berkahwin direjam dengan batu yang sederhana sampai mati. Ini berdasarkan kepada Firman Allah swt : 


“Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina hendaklah kamu sebat tiap-tiap seorang dari keduanya seratus kali sebat; dan janganlah kamu dipengaruhi oleh perasaan belas kasihan terhadap keduanya dalam menjalankan hokum Allah swt, jika benar kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat; dan hendaklah disaksikan hukuman seksa yang dikenakan kepada mereka itu oleh sekumpulan dari orang-orang yang beriman” (An-Nuur ayat 2) 


SUMBER PERUNDANGAN ISLAM

Dalil-dalil sumber perundangan Islam:-

Dalil yang disepakati oleh semua orang Islam iaitu Al-Qur’an dan As Sunnah.

Dalil yang disepakati oleh jumhur muslimin iaitu Ijma’ dan al Qiyas.

Sumber yang berlaku perbezaan pendapat dikalangan para ulama’, hatta dikalangan para ulama’ yang beramal dengan konsep qiyas. Bahagian ini merangkumi al-urf, al-istishab, al-istihsan, al-Masalih al-Mursalah. Syar’u man Qablana dan Mazhab al-Sahabi di mana sebahagian ulama’ mengambil ia sebagai sumber hokum sedangkan lain tidak menganggap ia sebagai hokum.


i)-Al-Qur’an

Ta’rif Al-Qur’an dalam bahasa Arab yang bermaksud: “ialah lafaz dalam bahasa Arab diturunkan kepada Nabi Muhammad saw yang dapat melemahkan dengan sesuatu surah, dipindahkan dengan jalan mutawatir, bacaannya merupakan amal ibadah” 

Petunjuk ayat-ayat al-Qur’an Nas-nas Al-Qur’an terbahagi kepada 2 perkara:

a)-Dalil yang merupakan nas yang terang. Dalil-dalil ini tiada berkehandakkan penjelasan atau huraian yang lain lagi. Contohnya dalam Firman Allah swt:

“Dan bagimu (suami) separuh dari harta yang ditinggalkan oleh isteri-isterimu, jika mereka tidak mempunyai anak” (Surah An Nisa’ ayat 12) 

b)-Dalil yang berupa hukum mumjal, am, musytarak (bersekutu). Ayat yang seperti ini berkehendakkan kepada penerangan hadith. Hadithlah yang menentukannya kepada maksud ayat tersebut.

Contoh ayat: 

“Dirikanlah olehmu akan solat” (An nur ayat 77) 

Ayat ini mumjal kerana ia tidak menerangkan cara atau peraturan solat, syarat atau rukunnya. Untuk mengetahui perkara ini perlu kita mengambil dalil dengan hadith Rasulullah saw: 

“Solatlah kamu sebagaimana kamu melihat aku solat” 

PERANAN AL QUR’AN

sebagai perundangan yang menjadi dasar hokum Islam yang sesuai dijalankan pada bila-bila masa dan segenap tempat

al-qur’an menjadi petunjuk kepada seluruh manusia daripada kekufuran kepada hidayah.

Sebagai khabar gembira kepada orang yang mentaati perintahnya dan amaran keras bagi orang yang melampaui batas.


ii)-As-Sunnah

Dari segi bahasa bermaksud perjalanan, perlakuan, amalan method atau cara hidup. As- Sunnah juga bermaksud membuka/merintis jalan sama ada yang baik atau yang buruk.Dari segi istilah apa-apa yang lahir daripada baginda Nabi saw sama ada perkataan atau sifat kejadian atau akhlak atau sirah (sejarah) sama ada sebelum diutuskan Nabi atau selepas diutuskan Nabi menjadi rasul. Sunnah pada istilah ahli-ahli Usul Fiqh iaitu apa yang diambil daripada Nabi saw daripada perkataan, perbuatan atau perakuan. Ini dapat menyimpulkan bahawa Sunnah terbahagi kepada 3 bahagian:

a)-Sunnah Qauliyah (perkataan) yang juga dinamakan hadith dan al-Khabar. Contohnya sabda Nabi saw:

Ertinya : “sesungguhnya segala macam amalan itu mengikut niatnya” 

b)-Sunnah Fikliah (perbuatan) seperti solat yang ditunjukkan oleh Nabi saw sepertimana Sabda baginda:

Ertinya : “Solatlah kamu sebagaimana kamu melihat aku bersolat” 

c)-Sunnah Taqririyyah (pengakuan) iaitu apabila Nabi saw melihat sesuatu tingkahlaku atau mendengar satu pertuturan para sahabat tetapi baginda tidak mengingkarinya, misalnya seperti pengakuan Nabi terhadap para sahabat yang memakan Himarulwahsyi (keldai liar).


iii)-Ijma’

Takrif Ijma’ dalam bahasa Arab: 

Ertinya: “Persepakatan ulama’ mujathidin daripada umat Nabi Muhammad saw terhadap sesuatu hokum syara’ pada sesuatu masa selain daripada zaman baginda” Makna (ittifak) ialah ijmak atau sepakat, sama ada dalam bentuk I’tiqad atau kata atau perbuatan atau kelakuan. 

Makna “Mujtahidin” takrif ini akan mengeluarkan orang awam, kerana biasanya mereka tidak mempunyai dalil atau sandaran. Dan mengeluarkan ijma’ sebahagian daripada ulama’ mujtahidin, kerana jaminan ‘Ismah hanya kepada ijma’ semua ulama’ mujtahidin. Sebenarnya Ijma’ mulai muncul sejak zaman sahabat di mana Abu Bakar ketika dikemukakan dengan sesuatu masalah, baginda akan menyelidikanya di dalam Al-Qur’an dan terus menghukum jika terdapat di dalam Al-Qur’an; tetapi sekiranya tiada didapati di dalam al-Qur’an beliau akan menyelidiki pula di dalam sunnah Rasulullah, jika ada akan dihukum menurut as-Sunnah, jika tiada beliau akan mengumpul para sahabat untuk bermesyuarat mengenai masalah tersebut. Kaedah persetujuan dalam menentukan hokum melalui mesyuarat ini dinamakan sebagai ijma’ 

Syarat-Syarat Ijma’


Para ulama’ mujtahidin bersifat adil dan sentiasa menjauhi perbuatan bid’ah.

Semua ulama’ mujtahidin mengeluarkan pendapat yang serupa dalam satu zaman.

terdapat beberapa ulama’ mujtahidin. Kalaulah kebetulan hanya seorang ulama’ mujtahidin sahaja dalam zaman itu pendapatnya tidak berupa ijma’

Hukum yang diijmakkan adalah hokum syara’.

Tiada seorang ulama’ mujtahidin menarik balik pendapatnya.


iv)-al-Qiyas

sebagai menerangkan hokum sesuatu perkara yang tidak terdapat didalam nas, dihubungkan dengan perkara-perkara yang telah diketahui hukumnya dengan nas yang terdapat di dalam al-Qur’an dan As-Sunnah. Contohnya, seperti diharamkan memukul kedua ibu bapa dinisbahkan dengan haramnya si anak, berkata (ah) kepada keduanya. Takrif dalam bahasa Arab: 

Ertinya : “Ialah persamaan antara sesuatu tempat dengan tempat yang lain pada illat hukum syarak. Illat ini tidak begitu mudah faham dari dalil hukum itu semata-mata berpandukan fahaman bahasa.” Dari takrif di atas, dapat difahami bahawa qias mempunyai empat rukun iaitu:

Asal iaitu tempat hokum yang sabit dengan dalil al-Qur’an atau hadith atau ijma’ seperti arak yang telah sabit hukumnya dengan al-Qur’an.

Hukum Asal: iaitu hokum syarak yang sabit dengan dalil yang hendak diluaskan kepada tempat lain seperti hokum haram arak.

Furuk: iaitu tempat dan hukumnya tidak ditegaskan dalam al-Qur’an atau hadith atau ijma’.

Illat: iaitu suatu sifat yang serupa sebab atau mewujudkan hokum asal yang serupa dengan illat furuk seperti sifat arak dan tuak yang boleh memabukkan.

RUJUKAN:

Muqaddimah Aqidah Muslimin (tajuk Pengertian Islam)

Pengantar Fiqh Islam ( Buku Silibus Diploma Tasawwur Islam, ILHAM)

Usrah dan Harakah ( Tajuk Sukatan Usrah berbagai Peringkat)

Teks Usrah Peringkat Pengenalan. Ustaz Idris Hj Ahmad. Sarjana Media: Kuala Lumpur, 2000


SUMBER :  FB LAMAN TARBAWI