Tuesday, July 17, 2012

Nota Sebuah Halaqah Cinta



‘’Satu. Dua. Tiga. Belum cukup ni. Mana Fadhilah?, ‘’getus hatiku bila melihat kelibat teman-teman dari jauh. Termengah-mengah untuk meneruskan langkah yang masih lagi berbaki. Petang itu, cuacanya redup. Setibanya di pondok kecil di sebelah kiri masjid, aku menyalami teman-teman yang telah pun tiba awal.
‘’Assalamualaikum. Maaf terlewat, ada urusan yang perlu ana selesaikan tadi. Dah lama menunggu?’’, aku menyapa teman-teman setelah tiba ke tempat yang dijanjikan.
‘’Waalaikumussalam. Tak mengapa. Sekitar 10 minit juga menunggu enti, ‘’ujar Basyirah.
‘’Oh,ya. Mana Fadhilah? Belum sampai ataupun tak dapat hadir petang ni?’’ aku meluahkan pertanyaan yang sedari tadi bermain-main di mindaku.
‘’Fadhilah ditimpa musibah dan sedang bersedih. InsyaAllah, hadir. Tapi, agak lewat. Mungkin kita boleh mulakan terlebih dahulu?’’, sambung Khadija.
‘’Inna lillah wa inna ilaihi rajiun. Baiklah, kita mulakan terlebih dahulu sambil menunggu Fadhilah.’’
Halaqah usrah itu kami mulakan dengan membaca zikir-zikir mathur dari al-Quran dan hadith susunan as-Syahid Imam Hasan al Banna. Petang itu agak nyaman. Angin petang bertiup lembut, kelihatan dedaun dipukul mesra oleh angin.
Fadhilah akhirnya tiba. Dengan wajah yang agak hiba. Sedih. Dengan linangan air mata, Fadhilah meluahkan perasaan dan kesulitan ujian yang sedang dialaminya. Kami mendengar dengan setia. Penuh empati, meletakkan diri kami di tempatnya. Merasai kesedihannya.
Petang itu, pertemuan kami bertukar haluan. Menjadi sebuah perkongsian motivasi, saling menguatkan.
Amina memulakan bicaranya,’’ Ukhti, walau apa jua masalah yang melanda dirimu, bertenanglah. Ujian dan manusia itu lumrah. Rapat. Umpama isi dan kuku. Bukankah dengan ujian itu dapat meningkatkan keimanan kita kepada Allah?
Kami diam. Mentafsir makna tersirat dari yang tersurat. Lembut mengalir ke jiwa dan hati.
Basyirah menyambung,’’ Yakinlah, di saat- saat senang mahupun sukar, kita masih punya Allah. Hidup ini  indah diiringi didikan dan pentarbiahan Ilahi’’.
Benar.
Ulas Khadija, ‘’Manusia seringkali dibelenggu dua perkara utama. Persoalan masa lalu dan juga persoalan masa depannya. Terlalu berfikir mengenai masa lalu, maka jiwa menjadi gundah dengan kesedihan sementelah terlalu berfikir mengenai masa depan, maka jiwa menjadi takut, takut untuk berdepan dengan cabaran dan halangan yang perlu dilalui’’.
Kami mengiyakan. Tambahku lagi, ‘’Tinggalkan luka- luka semalam dan binalah diri yang baru. Kerana dirimu begitu berharga sebagai hamba dan khalifah Allah. Mengapa harus terus lemah dengan bayangan kesedihan semalam, sedangkan Allah masih menganugerahkan limpah dan rahmatNya secara berterusan. Tinggalkan kesedihan itu, kerana dirimu masih mampu melakukan sesuatu untuk masa depanmu. Gunakanlah sisa-sisa kehidupanmu dengan mentauhidkan Allah, ’’panjang bicaraku.
Fadhilah menyimpulkan perkongsian pada petang itu dengan gabungan nasihat dan saranan yang dilontarkan setiap dari kami.
‘’Benar. Bukanlah salah untuk kita merasa sedih, berduka dan kecewa kerana kita adalah insan. Insan  yang pasti ada kekurangan. Namun, janganlah dibiarkan duka itu terus melara lantas hanyut dibawa arusnya. Bangkitlah setelah mengalami kejatuhan, setelah rebah, setelah merasa teruji kerana ujian itu lumrah kehidupan. Dengan ujian, Allah mentarbiah kita dengan cara yang paling seni. Halus dan memberi kesan, bagi insan-insan yang berfikir menggunakan mata hatinya’ lembut bicaranya.
Petang beransur senja. Hampir maghrib. Kami mengakhiri pertemuan itu dengan doa rabithah, peneguh ikatan persahabatan antara kami. Sebelum berpisah, kami tersenyum. Senyum sebelum berpisah, agar kemanisan ukhuwwah itu terus terpateri di ruang ingatan. InsyaAllah.
Sangat tersentuh. Terngiang-ngiang di ruang hatiku bicara Khadija di akhir pertemuan, ‘’ Ayuh, mara ke hadapan menjadi serikandi pejuang yang tabah mengharungi mehnah. Sungguh, kita perlu  terus membawa seruan Islam agar nikmat ini dirasai semua insan. Kita punya taklifan sebagai hamba dan khalifah Allah. Andai kita terus lemah, apakah kita mampu untuk bersama-sama menebarkan haruman Islam? Ayuhlah bangkit, tinggalkan luka semalam. Sebarkan Islam sebagai satu cara hidup, sumber bahagia dunia dan akhirat’’.
Kami meneruskan langkah ke masjid untuk menunaikan solat maghrib berjemaah. Seusai berwuduk, kedengaran azan berkumandang. Dan, sesudah itu takbir diangkat menghadap  Ilahi.

Saturday, July 14, 2012

Warnai Hidupmu dengan alunan Kalamullah



Adakalanya kehidupan berlalu tanpa tersingkap sesuatu hikmah darinya

Terinspirasi dengan kalamullah, al-Qur'an al Karim saat membaca kisah-kisah yang dipaparkan dalam bentuk penceritaan yang cukup-cukup indah, 


Digambarkan kisah-kisah golongan terdahulu, kisah perjuangan para anbiya membawa kalimah tauhid dan menghadapi pelbagai tentangan dari kaum mereka.


Ibrahnya, para anbiya seringkali mengungkapkan bahawa, hanya kepada Allah mereka bertawakkal.


Ibrahnya, berulang-ulang kali disebut sifat Allah yang Maha Agung di dalam setiap penceritaan itu.


Sesungguhnya Allah Maha Penyayang, Lagi Maha Mengampuni

Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui

Sesungguhnya Allah Maha Mendalam Ilmunya

Subhanallah. Kemukjizatan al-Qur'an mengundang kekaguman di hati seorang hamba

Hidupkan hidup dengan sinar hidayah dan siraman alunan kalamullah..

Moga Allah mengurniakan taufikNya..

Saturday, July 7, 2012

Terimalah setulus hatimu




Cuaca pagi yang indah
Angin bertiup nyaman
Alunan zikir sebagai melodi
Memulakan langkah di pagi hari
Lama langkah penulisan ini terhenti
Dibiarkan berlalu pergi di angin lalu

Semalam dan hari ini
Antara kenangan dan kenyataan
Hayatilah hari ini
Andai esok bukan lagi untukmu
Pergunakanlah hari ini sebaiknya
Dalam ketaatan dan kebaikan

Mendung semalam
Sudah berlalu pergi
Hari ini
Sama ada mendung
 mahupun cerah
Terimalah setulus hatimu
Terimalah setulus hatimu
Terimalah setulus hatimu
Itu tandanya
Sebuah kesyukuranmu padaNya
:: Tiada daya dan upaya melainkan dengan keizinan dari Nya ::


Ana | 08.00 a.m | K6E 203 | 080712