Thursday, July 17, 2014

Fiqh Nisa' 1

[Wanita Haidh Mahukan Pahala Solat Terawih]
Mereka akan tetap mendapatnya jika ketika suci, mereka sentiasa berusaha bersungguh-sungguh melakukannya, hinggakan ketika haidh, yang menjadi penghalang hanyalah haidh sahaja.
Perbanyakkanlah ibadah di waktu malam ketika suci dalam bulan Ramadhan. Istiqamahlah solat terawih dan membaca al-Quran. Jika ditakdirkan haidh datang pada sepuluh akhir Ramadhan, insya-Allah pahala itu tetap berjalan kerana konsistennya kita melakukan sejak awal Ramadhan ketika suci.
Renungilah hadis di bawah:
Abu Burdah berkata:
سَمِعْتُ أَبَا مُوسَى مِرَارًا يَقُولُ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم " إِذَا مَرِضَ الْعَبْدُ أَوْ سَافَرَ، كُتِبَ لَهُ مِثْلُ مَا كَانَ يَعْمَلُ مُقِيمًا صَحِيحًا ".
Aku mendengar Abu Musa berulang kali menyebutkan: Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: Apabila seseorang itu sakit atau bermusafir, maka ditulis baginya (pahala) sebagaimana ketika dia beramal dalam keadaan bermukim dan sihat [Sahih al-Bukhari, Kitab al-Jihad wa as-Siyar, hadis no: 2996]
Shaikh Uthman al-Khamees berkata:
والحيض مرض عارض يمنع صاحبته مماكانت تفعله وهي صحيحة، فإذا أتاها وكان لها رصيد من العبادة، وعادة من الطاعة لم يمنعها من مواصلتها إلا الحيض فإن لها من الأجر مثل ما كانت تعمل وهي صحيحة
Haidh adalah penyakit yang menghalang pemiliknya daripada melakukan kebiasaan yang dilakukan ketika sihat. Seandainya datangnya haidh sedangkan dia memiliki ibadah yang biasa dia lakukan, dan tiada apa yang menghalangnya daripada terus melakukannya melainkan haidh. Maka si wanita ini akan tetap menerima pahala sebagaimana ketika dia beramal dalam keadaan tidak haidh [http://www.almanhaj.com/vb/showthread.php?t=24822 ]
Ustazah Sakinah bte Muhammad Nasiruddin al-Albani, iaitu anak perempuan kepada muhaddis kontemporari terkenal, Shaikh al-Albani, menukilkan jawapan ayahnya:
لأنه جاء في "صحيح البخاري" أنّ المسلم إذا مرض أو سافر؛ كَتَب اللهُ له ما كان يَعمله من الطاعة والعبادة في حالة الإقامة وفي حالة الصحة].
Ini kerana terdapat sebuah hadis dalam Sahih al-Bukhari bahawa seorang Muslim, apabila dia sakit atau musafir, Allah akan menulis pahala untuknya menurut amal-amal baik dan ibadah yang biasa dia lakukan ketika tidak bermusafir dan ketika sihat.
فعلى مثل تلك المرأة أن تَغتنم وقْتَ طهارتها وتمكُّنِها من قيام العشر الأخير، أو على الأقلّ: الأوتار، أو أقلّ من القليل: اليوم أو ليلة السابع والعشرين،
Untuk hal yang sedemikian, hendaklah seorang wanita itu mengambil peluang ketika dia dalam keadaan suci untuk menghidupkan malam sepuluh akhir Ramadhan, atau sekurang-kurangnya pada malam-malam yang ganjil, atau paling kurang menghidupkan malam atau siang ke dua puluh tujuh Ramadhan.
فإن الله عز وجل إذا عَلم مِن أَمَتِه أنها كانت تَفعل ذلك في حالةِ تمكُّنِها مِن القيام بالصلاة، ثم فَجَأها العُذْرُ؛ كُتِب لها ما كان يُكْتَب لها في حالة الطُّهر،
Sesungguhnya apabila Allah tahu bahawa seorang hamba perempuannya itu akan melakukan ibadah seperti solat pada waktu yang dia mampu bersolat, lalu datang kepadanya saat uzur. Maka ditulis untuknya pahala sebagaimana ditulis untuknya pahala ketika dia dalam keadaan suci.
هذه نقطة مهمّة جدًا، ثمرتها أن يَحرص المسلم على التفصيل السابق؛ أن يشغل وقته دائمًا بالطاعة ما استطاع،
Ini merupakan satu titik penting. Hasilnya, umat Islam akan lebih berusaha bersungguh-sungguh, menyibukkan dirinya dengan ketaatan semampu yang boleh.
حتى إذا زادتِ الطاعةُ، فمرَّت العبادة؛ تُكتب له رغم أنه لا يَتمكَّن مِن القيام بها" اهـ
Sehinggalah ketaatan itu akan bertambah, dan ibadat itu akan berterusan. Maka akan ditulis pahala untuknya pada ketika dia tidak mampu melakukannya.
Kesimpulan: waktu suci Muslimah kena banyak beribadah, apabila dia konsisten pahala tetap akan berjalan walau ketika dia haidh. Sungguh Allah sangat Maha Pemurah!
Allah Maha Adil, dia tahu siapa yang hatinya mahu ibadah tetapi terhalang kerana haidh.

Sumber : FB Ust Dr Abu Anas Madani

Saturday, July 12, 2014

Allahummansurhum!


Let's actually make dua for the innocents being hurt and killed senselessly in Gaza, Burma, Syria and countless other places.
Allahummansurhum!


Dua #Palestin#Syria#Egypt#Iraq #Muslims All Over The World

Friday, July 11, 2014

Mencari Hati, Mencari Diri

Dalam kembara sepanjang usia yang dianugerahkan Allah, adakalanya kita perlu berhenti. Melihat ke belakang. Muhasabah bagi mencari diri dan hati. Hati itu raja bagi sekalian anggota manusia. Baiknya hati, baiklah manusia itu. Kita sering memenuhi keperluan jasmani, namun bagaimana dengan keperluan hati? Adakah hati dijaga sebaiknya, sesuai dengan peranannya buat kita? Memanusiakan manusia. Adakah ia sering digilap dengan amal soleh dan kebajikan ataukah ia dibiarkan terus berkarat? Berhenti dan tanyakanlah pada hati. Bagaimana kita menjaganya selama ini?

Mencari diri dalam erti kata mengenali diri sebagai hamba Allah yang diciptakan untuk mengabdikan diri kepadaNya. Setiap ruang kehidupan adalah untuk Allah, kerana Allah. Mencari diri yang adakalanya hanyut dibawa arus. Menarik diri kembali ke pangkal jalan. Mujahadah di jalan Allah tidak semudah kata. Lisan mudah menuturkan, namun adakah ia sebenarnya? 

Usiamu.. 
Hartamu.. 
Masa dan tenagamu.. 

Tanyalah dirimu, bisikkan pada hatimu

Catatan : Muhasabah Madrasah Tarbiah Ramadhan | 11072014 |0420 pm

''Sebaik-baik kamu adalah yang paling bertaqwa di kalangan kamu''