Friday, September 24, 2010

bunga-bunga indah sinaran akhlak

Setiap hari kita belajar. Mana mungkin satu hari kita terlepas dari belajar. Belajar dan terus belajar. Hakikatnya kita sentiasa belajar kerana ilmu kita hanyalah secebis ibarat titisan air lautan. Namun, pembelajaran ini sangat menakjubkan.Kita belajar tanpa kita sedari. Apa yang kita lalui dalam kembara kehidupan adalah anugerah Allah yang sungguh menakjubkan. Subhanallah wa Alhamdulillah atas segala nikmat kurniaanNya yang tidak terhitung dalam kehidupan ini.

Begitu sukarnya menjadi hamba yang bersyukur. Melafazkan syukur itu tidak terlalu sukar namun aplikasi syukur itu memerlukan mujahadah nafsiah yang begitu kuat. Seringkali keluhan dilontarkan apabila berdepan dengan situasi sukar yang langsung tidak diingini. Sedangkan, kalimah istirja’ itu terlebih aula utk diungkapkan berbanding keluhan-keluhan itu. Tasbih dan tahmid jua sewajarnya mengiringi segenap ruang kehidupan.

Menyuburkan hati dengan zikrullah itu jua perlu diusahakan dengan sekuat usaha agar hati sentiasa tergilap dan jauh dari pencemaran. Bukankah dengan mengingati Allah hati menjadi tenang? Kehidupan seorang muslim itu sewajarnya dipenuhi dengan bunga-bunga indah dari sinaran akhlak kerana Islam itu adalah cara hidup yang terbaik.