Monday, August 6, 2012

Surat Cinta dariNya




Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. Segala puji dan sanjungan hanya untuk Allah, mudah-mudahan selawat dan salam dilimpahkan kepada hamba Allah dan Rasulnya, Nabi Muhammad s.a.w, keluarga dan para sahabatnya sekalian. Alhamdulillah, segala puji dan pujian dirafakkan ke hadrat Allah s.w.t yang masih lagi menganugerahkan kita iman dan islam, memberi kita rahmat dan kasih sayangNya tanpa putus. Pemeliharaannya terus dipohon oleh kita, sekalian hambaNya di jalan mujahadah ini.

Menelusuri hari demi hari di dalam bulan yang penuh keberkatan, Ramadhan al-Mubarak. Bulan Ramadhan merupakan bulan untuk mendidik dan mentarbiyah diri menjadi hamba yang bertaqwa kepada Allah s.w.t. Firman Allah S.W.T di dalam Al Quran Surah Al-Baqarah, ayat 183 bermaksud: "Wahai orang yang beriman, kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu supaya kamu bertaqwa.

Perkara paling penting dalam bulan Ramadhan ialah takwa kerana itulah matlamat utama dari ibadah yang dilaksanakan di dalam bulan ini. Takwa hanya mampu digapai melalui hidayah dari Allah s.w.t . Hati yang dianugerahi hidayah oleh Allah s.w.t akan memandu anggotanya untuk melakukan kebaikan. Kaki dipandu untuk ke masjid, lidah dipandu untuk membaca al-Quran, tangan akan dipandu untuk bersedekah dan begitulah jua anggota-anggota yang lain dengan izin Allah s.w.t.

Sahabat-sahabat yang dikasihi Allah, pada bulan Ramadhan ini telah diturunkan al-Quran yang disebut juga sebagai nuzul al-Quran. Al-Quran merupakan petunjuk serta panduan kehidupan bagi manusia sebagai hamba dan khalifah Allah s.w.t di muka bumi ini. Firman Allah s.w.t di dalam surah al-Baqarah ayat 185 bermaksud : Bulan Ramadhan adalah (bulan) yang di dalamnya diturunkan al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan menjadi keterangan yang menjelaskan petunjuk dan pembeza (antara yang benar dan batil).

Di dalam surah al-Qadr, Allah s.w.t berfirman yang bermaksud : Sesungguhnya kami telah menurunkannya (al-Quran) pada malam al-Qadr. Menurut al-Baghawi dalam tafsirnya, ganti nama dalam kata kerja (انَّا أَنْزَلْنَاهُ) menunjukkan kehebatan al-Quran yang diturunkan sekaligus pada malam al-Qadr dari Luh Mahfuz ke langit dunia (al-sama’ al-Dunya), kemudian ditempatkan di Bait al ‘Izzah untuk disampaikan oleh malaikat Jibril a.s kepada Nabi Muhammad s.a.w secara beransur-ansur sesuai dengan perkembangan masa dan cara berfikir masyarakat pada ketika itu. Penurunan al-Quran berjalan dalam tempoh melebihi 20 tahun. Ini adalah pandangan yang diriwayatkan daripada Ibn. Abbas r.a seperti yang dinyatakan oleh Ibn Kathir dalam tafsirnya.

Peringatan Nuzul al-Quran (penurunan al-Quran) sewajarnya dijadikan sebagai momentum untuk kembali menjadikan al-Quran sebagai panduan kehidupan, bukan hanya sekadar dibaca dan disimpan. Semarakkanlah Ramadhan ini dengan memperbanyak bacaan al-Quran, berusaha memahami makna dan beramallah dengan kandungannya. Memahami al-Quran membawa kita mengenali di antara dosa dan pahala, syurga dan neraka. Ia umpama lampu yang menerangi gelap pekat jahiliyyah.

Al-Quran kalamullah, surat cinta dari pemilik cinta yang Maha Agung. Setiap patah ayatnya mempunyai mesej tertentu yang amat berkait dengan kehidupan manusia. Membawa mesej yang jelas mengenai ketuhanan, syariah dan kehidupan, akhlak dan peradaban serta contoh teladan dari kisah-kisah umat-umat terdahulu. Pohonlah doa dari Allah, mudah-mudahan setiap ruang dan peluang yang ada mampu kita gunakan untuk membaca dan mentadabbur al-Quran dan terus istiqamah sehingga ke akhir hayat. Akhir kalam, al-Quran di hati..