Wednesday, September 26, 2012

Tasawwur Aqidah dan Islam

 Aqidah,
Bahasa : Satu ikatan yang mengikat sesuatu kepada sesuatu yang lain.
Istilah : Satu ikatan keyakinan yang mengikat diri, pemikiran dan hati seseorang.
Aqidah Islamiyyah yang berteraskan kepada rukun-rukun iman (beriman kepada Allah, beriman kepada Rasul, beriman kepada Kitab, beriman kepada malaikat, beriman kepada hari kiamat dan beriman kepada qada’ dan qadar) menggambarkan satu kefahaman yang universal yang mana setiap individu berhak menyertai aqidah ini dalam lingkungan yang luas tanpa terikat kepada masa, bangsa mahupun tempat.[1]

 Islam,
Apabila seseorang manusia beriman dengan asas-asas pemikiran Islam, iaitu kepercayaan mutlak kepada Allah dengan mensucikanNya daripada sebarang sekutu dan orang tengah (perbuatan syirik), percaya kepada malaikat, rasul, kitab, kehidupan selepas mati, qada’ dan qadar, mengucap dua kalimah syahadah (aku bersaksi bahawa tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah dan Nabi Muhammad itu pesuruh Allah), mengerjakan solat fardhu, berpuasa di bulan Ramadhan, menunaikan zakat, mengerjakan haji jika mampu, menjauhi perkara haram yang disepakati maka dia adalah seorang muslim mukmin. Kemanisan dari buah keimanan hanya dapat dirasai apabila seseorang itu mengikut jalan hidup muslim mukmin[2] sebagaimana yang disebutkan Rasullah s.a.w ketika menerangkan makna ihsan :
’’ Engkau menyembah Allah seolah-olah engkau melihatNya. Jika engkau tidak melihatNya, nescaya sesungguhnya Allah melihat engkau.







[1] Fadzil Mohd Noor. 2009. ‘Aqidah & Perjuangan. Dewan Pustaka Fajar
[2] Ali al-Tontowi.1997. Terj. Islam Yang Semestinya Difahami. Pustaka Salam

Sunday, September 23, 2012

Iman dan Kehidupan

Iman sebagai pencetus gerakan pembaharuan. Perkongsian dari kitab Iman dan Kehidupan, karangan Sheikh Dr. Yusuf al-Qardawi. 

Iman dapat mempersiapkan jiwa manusia untuk menerima asas-asas pemikiran yang baik meski langkah untuk mencapainya disulami peraturan atau kewajipan yang perlu dilunasi, pengorbanan dan kesulitan yang bukan sedikit.

Iman merupakan unsur penting sebagai pencetus gerakan pembaharuan yang memberi inspirasi yang teguh kepada manusia untuk berubah. Mengubah jiwa, tujuan hidup, jalan yang ditempuhi, tingkah laku, pandangan, perasaan serta pertimbangan seseorang. Apabila iman telah mendalam dan bersemi di dalam jiwa, nescaya seseorang itu sanggup mengubah tujuan hidup, pandangan mngenai alam dan kehidupan, pekerjaan serta segala sesuatu yang berkaitan dengannya. Iman memperlurus tingkah lakunya berhadapan dengan Allah dan sesama manusia.

Iman memberi pendidikan yang mendalam kepada peribadi seorang insan sehingga menjadi peribadi yang amat baik; beriman kepada Allah, cemas terhadap seksaan Allah, tunduk merendahkan diri kepada Allah, bersedia menjalankan perintah Allah dengan harta dan dirinya, bekerja, berjuang dan berkorban dengan penuh keikhlasan kerana Allah dan mengharap keredhaanNya.

Apa itu iman?
Iman ialah kepercayaan yang meresap di dalam hati dengan penuh keyakinan, tidak bercampur syak dan ragu serta memberi pengaruh kepada pandangan hidup, tingkah laku dan perbuatan sehari-hari. Iman disertai amal yang didasari oleh hati dipenuhi rasa kebaikan dan keikhlasan kepada Allah. Keimanan merupakan gabung jalin antara pengetahuan, pengertian dan kepercayaan yang kukuh dengan ketundukan hati, kepatuhan kemahuan dan kerelaan menjalankan perintah Allah. Keimanan menimbulkan semangat bekerja dan berkorban dengan harta dan diri  serta menzahirkan budi pekerti yang baik dan  ‘amal yang berguna.[1]


Iman dan aqidah menurut ajaran Islam adalah berteraskan kepada keimanan kepada Allah, malaikat, rasul-rasul, kitab-kitab, hari akhirat dan qada’ dan qadar.







[1] al-Qardhawi. 2008. Terj. Iman dan Kehidupan. Dewan Pustaka Fajar