Lama tak update blog. Cuma nak bercerita.
Suatu ketika dulu, perbukitan ilmu ini bukanlah pilihan yang menggembirakan mungkin kerana persekitaran atau biah yang berbeza dari suasana waktu pendidikan menengah atas. Faktor kurang kawan juga mungkin. Kena adaptasi dengan persekitaran baru, sedikit sebanyak menjadi suatu cabaran untuk berada di perbukitan ilmu ini. Masa berlalu. Dan alhamdulillah, dengan izin Allah dapat menamatkan pengajian di peringkat ijazah dengan jaya.
Kini, masih lagi berada di perbukitan ilmu. Menyambung pengajian ke peringkat sarjana. ngatkan tak berada di sini lagi. Tak merancang untuk meneruskan kembara di perbukitan ilmu. Dan, dua tahun pengajian di peringkat sarjana juga telah berlalu.
Kenapa masih lagi berada di sini? Perlu meneruskan fasa penulisan disertasi yang berbaki. Cabaran menjadi seorang pelajar sarjana adalah berbeza. Perubahan dirasakan waktu di dalam kelas, perbincangan yang lebih luas dan pastinya memerlukan persediaan yang lebih. Cara penulisan yang perlu ditingkatkan dan demikian juga cara membentangkan sesuatu tugasan. Fasa penulisan disertasi juga merupakan pengalaman yang pastinya menggugah rasa dan kemampuan kendiri. Pengalaman sendiri setelah mengemukakan cadangan penyelidikan dan mendapat penyelia, tajuk kajian perlu diubah. Oleh kerana minat untuk mendalami bidang terjemahan dan hanya ada seorang sahaja pakar bidang terjemahan di jabatan waktu itu, tajuk kajian perlu diubah suai. Bermula dengan proposal pertama, kedua dan ketiga yang menerima jawapan tidak. Seterusnya proposal keempat dikemukakan. Alhamdulillah, lamaran diterima dan boleh proceed dengan kajian itu.
Perjalanan memulakan penulisan bermula dengan kesukaran yang bersifat teknikal. Proses mengendalikan sesebuah pengkajian memerlukan kesungguhan dan bekalan. Asas-asas menulis dan mengkaji perlu dikuasai. Tanpa usaha tersebut, kajian sukar diperjelaskan dan dibincangkan. Disiplin dan jadual, penyusunan plan of study perlu supaya terus berada di landasan penulisan dan pengkajian. Begin with the end in mind. Mula dengan sasaran. Supaya sampai kepada matlamat dan objektif yang digariskan. Juga, hubungan baik dengan penyelia. Bina keserasian melalui komunikasi berkesan. Kenali cara penyelia dan berusaha capai KPI sebagai pelajar seliaan itu juga penting.
Seterusnya belajarlah bersifat multi task. Mampu menyelesaikan keutamaan. Tahu fiqh awlawiyyat. Pengalaman berpersatuan adalah pengalaman yang berharga. Meski ia bersifat kesukarelawanan, ia melatih sifat kepimpinan. Adakalanya kita memimpin dan adakalanya kita dipimpin. Belajar, belajar juga berpersatuan juga perlu agar kita tahu hidup bermasyarakat. Manusia yang baik adalah yang bermanfaat untuk ummah khususnya. Juga pengalaman bekerja sewaktu belajar. Pengajian di peringkat sarjana adalah di atas pertimbangan kendiri. Wajarlah, pengurusan kewangan dan perbelanjaan difikirkan dan diusahakan agar tidak membebankan kedua ibu bapa sementelah ramai lagi adik beradik yang lebih memerlukan perhatian dari aspek kewangan. Ringankan beban ibu bapa dengan kadar yang mampu diusahakan. Meski belum mampu memberi sumbangan yang tetap kepada ibu bapa dengan kemampuan waktu belajar, usahakan tidak meminta-minta dari mereka.
Belajar pada masa yang sama berpersatuan dan bekerja memerlukan ilmu pengurusan kendiri. Berletihlah sekarang agar kematangan itu sentiasa bergerak seiring pertambahan usia. Belum lagi punyai komitmen berkeluarga, latihlah diri. Latihlah diri.
Apa pun yang sedang kita usahakan, letakkanlah pergantungan pada Allah. Pinta pada Dia. Moga pemeliharaanNya sentiasa mengiringi kebaikan buat dunia dan akhirat kita. Tiada yang mampu menyelamatkan melainkan Dialah sebaik-baik penolong.
Sekian
Ana | Ruangan Kerja | 19112014| 1020pm