Wednesday, January 14, 2015

Travelog Misi Bantuan Banjir


Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani

Sebenarnya nak berkongsi sedikit 'ibrah dari perjalanan singkat ke bumi Kelantan pasca banjir. Alhamdulillah Allah berikan ruang dan peluang untuk bersama-sama para sukarelawan ke Dabong dan Kemubu untuk bertemu, menyantuni mereka yang diuji Allah. 

Sebelum memulakan perjalanan, pertama sekali kami diingatkan. Betulkan niat, tajdid niat kerana Allah. Turun bukan sebagai pelancong, tapi sebagai pembantu. Sukarelawan yang bersedia untuk menghadapi apa sahaja kesulitan. Tiada jaminan keselesaan sewaktu berada dalam misi. 

Bas meluncur ke destinasi. Tepat jam 10 pagi kami tiba di Dabong. Sepanjang perjalanan, kami melihat kesan-kesan banjir. Demikian juga di Dabong kesan banjir jelas kelihatan pada sekolah yang ditenggelami lumpur, kereta api yang terhenti operasinya dan wajah-wajah penduduk yang menyapa. Timo kasehla maghi kapung nim, tulung. Allah, meski kecil apa yang mampu kami lakukan ternyata mereka sangat menghargai bahkan jelas ketulusan mereka sewaktu menuturkan bicara dengan kami. 

Misi di Dabong, bermandi dengan lumpur. Kerja-kerja pembersihan yang mustahil dilakukan tanpa kerjasama. Terlintas di fikiran, Allah hadirkan bantuan dari individu-individu yang langsung tak mempunyai perkaitan. Bahkan tidak pernah mengenali. Namun mereka berkumpul dengan tujuan menghulurkan secebis bantuan. 

Hari kedua, misi di Kemubu. Perjalanan memakan masa dari Dabong. Menelusuri hutan, menemui rumah-rumah yang terjejas akibat banjir. Allah. Terasa sayu dan sebak. Hanya dengan melihat kesannya, terasa manik-manik jernih mengalir. Kami terharu. Allah. Tiba di kampung tersebut, kami mula bergerak dengan misi menemui penduduk dan menawarkan bantuan membersihkan kawasan rumah. Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. 

Catatan : Doakan mereka, hulurkan bantuan dalam apa jua bentuk yang termampu

15012015