Thursday, December 25, 2014

Pesan Buat Muslimah


بسم الله الرحمن الرحيم

SAUDARIKU Muslimah, semoga kesejahteraan dilimpahkan ke atasmu, demikian pula dengan rahmat dan keberkatan daripada Allah.

Bertepatan dengan bulan suci ini saya ingin mengucapkan selamat kepada wanita muslimah seraya berdoa semoga Allah memberikan untuk saya dan kalian semua keampunan dan taubat~Nya. Pada kesempatan ini ambillah 10 nasihat ini dengan baik dan dengan hati yang terbuka.

Pertama : Muslimah hendaknya tetap beriman kepada Allah dan mengakui bahawa Dialah tuhan yang Maha Esa, Muhammad adalah utusan~Nya, dan Islam adalah agama kita. Jika ini semua dilakukan, akan nampak keimanan dalam setiap perbuatan, amal dan keyakinan.

Kedua : Seorang muslimah hendaknya menjaga solat lima waktu, dan sentiasa khusyuk ketika melaksanakan solat. Kalian tidak boleh disibukkan dengan hal lain sehingga melupakan solat. Kalian juga tidak boleh terlena dengan perkara-perkara lain hingga lalai untuk beribadah. Sesungguhnya solat dapat mencegah seseorang dari perbuatan keji dan mungkar. Solat adalah benteng terkuat yang dapat menjaga seseorang dari perbuatan maksiat.

Ketiga : Muslimah sekalian hendaknya memelihara diri dengan menutup aurat. Kalian tidak boleh keluar rumah kecuali dengan menutup bahagian-bahagian tubuh yang diperintahkan. Dengan menutup aurat kalian, Allah hendak menjaga dan menyucikan kaum wanita. Allah SWT berfirman, "Hai Nabi katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang mukmin: 'Hendaklah mereka menutupkan jilbabnya ke seluruh tubuh mereka." (QS al-Ahzab: 59)

Keempat : Muslimah harus selalu mentaati suami kalian, bersikap lemah-lembut, mengasihi, mengajaknya pada kebaikan, menasihati, dan selalu membuat suaminya tenang, serta tidak meninggikan suara dan berkata kasar kepadanya.

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Jika seorang wanita melaksanakan solat lima waktu, berpuasa di bulan Ramadhan, dan taat terhadap suaminya, maka ia akan masuk ke dalam syurga Allah." (HR Ahmad)

Kelima : Kalian hendaklah mendidik anak-anak kalian untuk selalu taat kepada Allah. Mereka harus dididik dengan aqidah yang benar dan menanamkan rasa cinta kepada Allah dan Rasul~Nya. Mereka harus dibiasakan untuk selalu menjauhi maksiat dan perbuatan hina. Allah SWT berfirman: "Hai orang-orang yang beriman, peliharalah diri kalian dan keluarga kalian dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu, penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, yang keras, yang tidak menderhakai Allah terhadap apa yang diperintahkan~Nya kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan." (QS At-Tahrim: 6)

Keenam : Jangan hendaknya kalian sampai berdua-duaan dengan seorang lelaki yang bukan mahram. Rasulullah bersabda, "Tidaklah seorang wanita berduaan dengan seorang lelaki melainkan yang ketiganya adalah syaitan."

Kalian tidak boleh melakukan perjalanan kecuali ditemani seorang mahram, tidak berjalan-jalan di pasar-pasar, di tempat keramaian umum kecuali memang ada keperluan. Auratnya wajib ditutup dan dijaga.

Ketujuh : Wanita Muslimah tidak boleh meniru penampilan lelaki. Rasulullah s.a.w. pernah bersabda, "Allah melaknat kaum lelaki yang meniru kaum wanita dan kaum wanita yang meniru kaum lelaki." (HR Bukhari)

Tidak dibenarkan bagi wanita muslimah mengikut gaya berpakaian dan penampilan wanita kafir. Rasulullah s.a.w. bersabda, "Orang yang meniru satu kaum, maka dia termasuk golongan mereka."

Kelapan : Wanita muslimah harus selalu menyeru kepada jalan Allah di antara kaum wanita yang lain. Dalam menyerukan dakwah Islam ini harus menggunakan ucapan yang baik, dengan mengunjungi tetangga dan selalu menghubungi saudara-saudara muslimah. Kalian harus menjaga diri dan saudara-saudara muslimah yang lain agar diselamatkan dari azab Allah.

"Jika Allah memberikan petunjuk kepada seseorang melalui perantara dirimu, itu lebih baik bagimu daripada limpahan kenikmatan." (HR Bukhari dan Muslim)

Kesembilan : Wanita muslimah harus memelihara hatinya dari perkara-perkara yang syubhat dan nafsu syahwat. Kalian harus menjaga mata dari hal yang haram, telinga dari nyanyian yang melalaikan, menjaga diri dari perbuatan keji, menjaga rahsia tempat tidur kalian bersama suami dan menjaga seluruh anggota tubuh kalian daripada perbuatan yang bertentangan syariat Allah. Inilah yang disebut dengan ketaqwaan.

Kesepuluh : Wanita muslimah harus sentiasa menjaga waktu kalian dari perbuatan sia-sia dan hari-hari kalian daripada perbuatan yang merosakkan. Kalian tidak boleh menjadi orang yang lalai, terlena, selalu bergurau senda, dan berada dalam perbuatan sia-sia. Simpanlah aib kalian seteguh-teguhnya usah disiarkan gambar kalian yang tidak menutup aurat kerana itu adalah perbuatan dosa membuka aib sendiri. Lihat - Promosi maksiat dan buka aib sendiri - Ustaz Zaharuddin

Allah SWT berfirman, "Dan tinggalkan orang-orang yang menjadikan agama mereka sebagai main-main dan senda gurauan dan mereka telah ditipu oleh kehidupan dunia." (QS Al-An'am: 70)

Allah sudah sediakan banyak peluang dan tawaran yang lumayan kepada umat Islam terutamanya di bulan Ramadhan. Andaikata ada di antara kalangan umat Islam tidak mahu menerima tawaran Allah itu, sesungguhnya kalian memang tidak berminat dengan Allah, tak minat dengan nasihat dan kasih sayang Rasulullah dan tidak minat dengan janji syurga~Nya. Kalian lebih meminati neraka~Nya dan sangat berminat untuk diazab~Nya. Kembalilah wahai kalian yang tidak berminat itu.

Ya Allah, berikanlah petunjuk kepada wanita muslimah agar mereka sentiasa melaksanakan yang Engkau cintai dan redhai. Makmurkanlah hati mereka dengan keimanan. Saya mohon maaf jika ada silap dan salah daripada apa yang saya muatkan di sini.

Wassalam..

Artikel asal
http://insaaniyyah.blogspot.com/2010/08/pesan-buat-muslimah.html?

Sunday, December 21, 2014

Harapan

Menjengah ke tahun 2015. Berada di penghujung tahun, Disember 2014 membuat diri memuhasabah kembali perjalanan. Ada perkara yang mampu dicapai, ada yang masih di dalam proses dan ada yang tidak mampu dicapai. Itulah yang dinamakan sebuah perjalanan. Apa yang telah ditempuh, sedang ditempuh adalah suatu pentarbiahan yang mematangkan pemikiran dan tindakan. Masih bertatih mengenal kehidupan. 

Di usia keemasan ini,  teman-teman selingkungan sudah mengorak langkah bekerjaya, mendirikan rumah tangga dan membentuk generasi. Serasa perlu untuk bergerak ke depan, menyelesaikan tuntutan normal sebagai insani. Apa sahaja yang terjadi di masa hadapan tidak berada di pengetahuan kita, pengetahuan kita hanya sekadar yang telah berlalu dan sedang dilalui. Jadi, bergeraklah ke hadapan dan mulakan langkah menapak selangkah lagi. Kita merancang dengan harapan, percayalah Allah memberi ketentuan yang terbaik menurut ilmuNya. 

Moga langkahan ini sentiasa dalam bimbinganNya, amiin 

Catatan: Coretan buat diri, jangan takut

Wednesday, December 10, 2014

Masa Muda!



Persatuan Mahasiswa Fakulti Pengajian Islam, UKM
Sesi 2009/2010



Persatuan Siswazah Fakulti Pengajian Islam UKM Sesi 2013/2014




Jejak Warisan Ilmu Islam ke Indonesia (JEWARIS 14)


#Throwback
[Kisah di sebalik gambar, mungkin dikisahkan suatu masa nanti]




Masa muda yang terabai dan terbazir dengan perkara-perkara yang sia-sia akan membawa kita kepada kerosakan. Semangat dan kudrat yang banyak sekiranya tidak diarahkan ke arah kebaikan, maka ia akan menjadi begitu cenderung ke arah kemaksiatan dan kerosakan.

#Hidup biar berjasa
# Kepemudaan adalah zaman keemasan untuk menyelusuri jalan-jalan kehidupan.





Wednesday, November 19, 2014

Ceritera

Lama tak update blog. Cuma nak bercerita. 

Suatu ketika dulu, perbukitan ilmu ini bukanlah pilihan yang menggembirakan mungkin kerana persekitaran atau biah yang berbeza dari suasana waktu pendidikan menengah atas. Faktor kurang kawan juga mungkin. Kena adaptasi dengan persekitaran baru, sedikit sebanyak menjadi suatu cabaran untuk berada di perbukitan ilmu ini. Masa berlalu. Dan alhamdulillah, dengan izin Allah dapat menamatkan pengajian di peringkat ijazah dengan jaya. 

Kini,  masih lagi berada di perbukitan ilmu. Menyambung pengajian ke peringkat sarjana. ngatkan tak berada di sini lagi. Tak merancang untuk meneruskan kembara di perbukitan ilmu. Dan, dua tahun pengajian di peringkat sarjana juga telah berlalu. 

Kenapa masih lagi berada di sini? Perlu meneruskan fasa penulisan disertasi yang  berbaki. Cabaran menjadi seorang pelajar sarjana adalah berbeza. Perubahan dirasakan waktu di dalam kelas, perbincangan yang lebih luas dan pastinya memerlukan persediaan yang lebih. Cara penulisan yang perlu ditingkatkan dan demikian juga cara membentangkan sesuatu tugasan. Fasa penulisan disertasi juga merupakan pengalaman yang pastinya menggugah rasa dan kemampuan kendiri. Pengalaman sendiri setelah mengemukakan cadangan penyelidikan dan mendapat penyelia, tajuk kajian perlu diubah. Oleh kerana minat untuk mendalami bidang terjemahan dan hanya ada seorang sahaja pakar bidang terjemahan di jabatan waktu itu, tajuk kajian perlu diubah suai. Bermula dengan proposal pertama, kedua dan ketiga yang menerima jawapan tidak. Seterusnya proposal keempat dikemukakan. Alhamdulillah, lamaran diterima dan boleh proceed dengan kajian itu. 

Perjalanan memulakan penulisan bermula dengan kesukaran yang bersifat teknikal. Proses mengendalikan sesebuah pengkajian memerlukan kesungguhan dan bekalan. Asas-asas menulis dan mengkaji perlu dikuasai. Tanpa usaha tersebut, kajian sukar diperjelaskan dan dibincangkan. Disiplin dan jadual, penyusunan plan of study perlu supaya terus berada di landasan penulisan dan pengkajian. Begin with the end in mind. Mula dengan sasaran. Supaya sampai kepada matlamat dan objektif yang digariskan. Juga, hubungan baik dengan penyelia. Bina keserasian melalui komunikasi berkesan. Kenali cara penyelia dan berusaha capai KPI sebagai pelajar seliaan itu juga penting. 

Seterusnya belajarlah bersifat multi task. Mampu menyelesaikan keutamaan. Tahu fiqh awlawiyyat. Pengalaman berpersatuan adalah pengalaman yang berharga. Meski ia bersifat kesukarelawanan, ia melatih sifat kepimpinan. Adakalanya kita memimpin dan adakalanya kita dipimpin. Belajar, belajar juga berpersatuan juga perlu agar kita tahu hidup bermasyarakat. Manusia yang baik adalah yang bermanfaat untuk ummah khususnya. Juga pengalaman bekerja sewaktu belajar. Pengajian di peringkat sarjana adalah di atas pertimbangan kendiri. Wajarlah, pengurusan kewangan dan perbelanjaan difikirkan dan diusahakan agar tidak membebankan kedua ibu bapa sementelah ramai lagi adik beradik yang lebih memerlukan perhatian dari aspek kewangan.  Ringankan beban ibu bapa dengan kadar yang mampu diusahakan. Meski belum mampu memberi sumbangan yang tetap kepada ibu bapa dengan kemampuan waktu belajar, usahakan tidak meminta-minta dari mereka. 

Belajar pada masa yang sama berpersatuan dan bekerja memerlukan ilmu pengurusan kendiri. Berletihlah sekarang agar kematangan itu sentiasa bergerak seiring pertambahan usia. Belum lagi punyai komitmen berkeluarga, latihlah diri. Latihlah diri. 

Apa pun yang sedang kita usahakan, letakkanlah pergantungan pada Allah. Pinta pada Dia. Moga pemeliharaanNya sentiasa mengiringi kebaikan buat dunia dan akhirat kita. Tiada yang mampu menyelamatkan melainkan Dialah sebaik-baik penolong. 

Sekian

Ana | Ruangan Kerja | 19112014| 1020pm