Nik Norimah Tuan Mat
Jabatan Pengajian Arab dan Tamadun Islam
Fakulti Pengajian Islam (Semester II 2012/2013)
Universiti Kebangsaan Malaysia
Kajian Sosiolinguistik dan Penterjemahan
Universiti Kebangsaan Malaysia
Kajian Sosiolinguistik dan Penterjemahan
Abstrak
Terjemahan
Tafsir fi Zilal al-Qur’an – Di Bawah Bayangan al-Qur’an- oleh Yusoff
Zaky Yacob merupakan sebuah karya terjemahan lintas bahasa dan budaya yang
melibatkan bahasa Arab- bahasa Melayu. Karya ini telah diterima baik oleh masyarakat
Islam di Malaysia sebagai rujukan untuk memahami al-Quran. Kajian ini bertujuan
mengenalpasti konsep terjemahan al-Qur’an serta menganalisa pendekatan yang
digunakan di dalam terjemahan Tafsir fi Zilal al-Qur’an. Analisa
dilakukan ke atas korpus kajian iaitu terjemahan surah Yasin ayat 1 hingga ayat
12 di dalam terjemahan Tafsir fi Zilal al-Qur’an –Di Bawah Naungan al-Qur’an.
Analisis mendapati pendekatan yang digunakan oleh Yusoff Zaky Yacob
menghasilkan teks terjemahan yang jelas serta
dapat difahami dengan baik oleh pengguna bahasa sasaran.
Kata
Kunci : Penterjemahan al-Qur’an, Terjemahan Tafsir, Terjemahan Tersendiri
Pengenalan
Bahasa
Arab merupakan bahasa yang dimuliakan Allah melalui penggunaannya sebagai
bahasa utama kitab suci al-Qur’an yang diturunkan kepada Rasulullah s.a.w.
Penyebaran Islam telah meluaskan lagi penggunaan bahasa ini, bukan hanya dalam
kalangan orang Arab semata-mata bahkan ia dipelajari oleh seluruh umat Islam
yang terdiri dari pelbagai bangsa dan bahasa ibunda. Perkembangan penggunaan
bahasa Arab seterusnya mencetuskan keperluan kepada penterjemahan untuk
memahami makna bagi bukan penutur bahasa ini.
Di Malaysia, penterjemahan teks
agama khususnya terjemahan al-Qur’an dan
terjemahan tafsir al-Qur’an dari bahasa Arab kepada bahasa Melayu merupakan
satu usaha bagi membolehkan masyarakat
Malaysia yang berbahasa Melayu memahami
mesej yang disampaikan di dalam al-Qur’an dengan baik. Kelahiran terjemahan
tafsir Tafsir fi Zilal al-Qur’an karangan Sayyid Qutb oleh Yusoff Zaky
Yacob telah menambahkan khazanah ilmu yang cukup bernilai kepada umat Islam di
Malaysia khususnya.
Permasalahan Kajian
Penterjemahan
merupakan operasi yang dijalankan terhadap bahasa iaitu suatu proses
menggantikan teks dalam satu bahasa kepada satu teks dalam bahasa lain dengan
memelihara maksud sebenar sebagaimana teks asal. Dalam proses menterjemahkan
sesuatu teks dari bahasa sumber (source language) kepada bahasa sasaran
(target language), penterjemah menghadapi cabaran untuk menghasilkan
terjemahan berkualiti terutamanya apabila menterjemahkan teks yang melibatkan
dua bahasa dari rumpun berlainan yang tentunya mempunyai perbezaan terutamanya dari aspek bahasa dan budaya. Di dalam penulisan
ini, terjemahan Tafsir fi Zilal al-Qur’an – Di Bawah Bayangan al-Qur’an oleh
Yusoff Zaky Yacob merupakan sebuah karya terjemahan lintas bahasa dan budaya
yang melibatkan bahasa Arab-bahasa Melayu.
Pendekatan
yang digunakan oleh penterjemah dalam terjemahan Tafsir fi Zilal al-Qur’an –
Di Bawah Bayangan al-Qur’an telah memberi kesan positif dalam usaha
penterjemahan teks agama di Malaysia melalui penerimaan baik oleh masyarakat
Melayu terhadapnya sebagai rujukan untuk memahami al-Quran. Hasil tinjauan terhadap
kajian lepas mendapati metode yang digunakan oleh Yusoff Zaky Yacob dalam terjemahan
Tafsir fi Zilal al-Qur’an – Di Bawah Bayangan al-Qur’an ialah terjemahan
secara dinamis dan literal berdasarkan analisis terhadap juzuk pertama
terjemahan tafsir ini. Dalam kajian ini, pengkaji akan mengetengahkan
pendekatan terjemahan tafsir al-Qur’an berdasarkan teori dan amali dalam bidang
terjemahan.
Persoalan
Kajian
1.Apakah
konsep terjemahan al-Qur’an?
2.Bagaimanakah
teori dan amali dalam bidang terjemahan diaplikasikan di dalam terjemahan Tafsir
fi Zilal al-Qur’an – Di Bawah Bayangan al-Qur’an?
3. Adakah aspek
makna dan tujuan yang hendak disampaikan di dalam Tafsir fi Zilal al-Qur’an
tercapai?
Objektif Kajian
1.Mengenalpasti konsep
terjemahan al-Qur’an.
2.Menganalisa
pendekatan yang digunakan di dalam terjemahan Tafsir fi Zilal al-Qur’an.
3. Menilai ketepatan
teks terjemahan dari aspek makna dan tujuan sebagaimana yang hendak disampaikan
di dalam teks asal.
Metodologi Kajian
Kajian ini merupakan kajian kualitatif berbentuk analisis
kandungan. Bagi mengumpulkan data dan mendapatkan maklumat yang tepat, pengkaji
akan menggunakan metodologi kajian
perpustakaan melibatkan analisis dokumen seperti buku, akhbar, jurnal, majalah dan internet
yang berkaitan dengan kajian yang dijalankan.
Skop
Kajian
Korpus
kajian yang dipilih ialah terjemahan tafsir surah Yasin dalam Tafsir fi
Zilal al-Qur’an –Di Bawah Bayangan al-Qur’an. Pemilihan ini dilakukan
kerana ia merupakan sebuah kitab terjemahan tafsir yang diterima baik dan
digunapakai secara meluas oleh masyarakat Islam di Malaysia untuk memahami
al-Qur’an. Sampel yang akan dianalisis ialah surah Yasin yang merupakan surah
yang kerap dibaca oleh masyarakat Islam di Malaysia terutamanya dalam
majlis-majlis keagamaan.
Konsep Terjemahan Al-Qur’an
Ibn Manzur (1311) di dalam Lisan al-‘Arab
menjelaskan bahawa terjemahan ialah mentafsirkan sesuatu perkataan dengan
menggunakan bahasa lain (Mohd Shukri Hanapi. 2003: 2) sementara menurut al-Zarqaniy (1988),
terjemahan adalah pemindahan makna perkataan daripada sesuatu bahasa kepada
bahasa lain di samping teks bahasa sasaran melengkapi makna dan maksud teks
sumber (Mohd Shukri Hanapi. 2003: 2). Terjemahan menurut Catford (1965) ialah
menyampaikan maklumat daripada bahasa sumber dengan mencari padanan yang
bersesuaian dalam bahasa sasaran (Norizah Ardi.et.al. 2009: 3) sementara Nida (1969) mendefinisikan
terjemahan adalah penyalinan semuala ke dalam bahasa penerima maklumat daripada
bahasa asal dalam bentuk persamaan terdekat dan bersahaja dari sudut makna dan
gayanya ( Norizah Ardi.et.al. 2009: 4). Terjemahan secara umumnya ialah
pemindahan makna sesuatu perkataan dari bahasa sumber kepada bahasa sasaran
yang membawa kepada pengertian yang sama serta memelihara aspek makna dan
tujuan berdasarkan bahasa sumber. Dengan itu, pembaca sasaran akan dapat
memahami sesuatu teks terjemahan selari dengan maksud sebenar dalam teks
sasaran.
Terjemahan al-Qur’an menurut
al-Zarqaniyy terbahagi kepada dua jenis iaitu terjemahan harfiyyat dan tafsiriyyat
atau ma’nawiyyat. Al- Zarqaniyy mendefinisikan terjemahan harfiyyat sebagai
terjemahan kata demi kata di samping memelihara susunan dan urutan kata-kata
teks asal menjadikan hasil terjemahan seperti teks asal. Sesetengah orang
menamakannya dengan terjemahan musawiyyat (persamaan)( Mohd Shukri
Hanapi. 2003: 11). Definisi yang dinyatakan oleh al-Zarqaniy menitikberatkan
persamaan antara teks sasaran dan teks sumber dari aspek makna dan struktur
ayat. Sementara itu, Ibn Taimiyyah menjelaskan bahawa terjemahan harfiyyat ialah
terjemahan lafaz semata-mata iaitu menterjemahkan sesuatu lafaz dengan lafaz
yang seerti dengannya. Penterjemah hendaklah mengetahui makna yang tepat bagi
sesuatu perkataan yang hendak diterjemahkan (al- Hanbaliy. 1994 : 115). Ini
merupakan satu definisi umum bagi terjemahan al-Qur’an kepada bahasa Arab dan
bahasa- bahasa bukan Arab.
Al-Sabuniy
pula mendefinisikan terjemahan harfiyyat sebagai proses menukilkan
al-Qur’an dari segi lafaz, kosa kata (mufradat), ungkapan kata mahupun
susunan ayat dan kata bahasa sumber sebagai dasar penterjemahan kepada bahasa
sasaran manakala al-Qattan menyatakan bahawa definisi terjemahan harfiyyat ialah
memindahkan atau menukilkan lafaz-lafaz dari bahasa sumber kepada bahasa
sasaran. Pemindahan tersebut menyebabkan berlakunya persamaan antara nuzum
dan juga susunan ayat. Kedua-dua ilmuan ini sependapat bahawa bahasa sasaran
mestilah menyamai struktur bahasa asal al-Qur’an ( Mohd Shukri Hanapi. 2003:
11).
Terjemahan
harfiyyat mempunyai pembahagiaannya yang tertentu. Menurut al-Dhahabiy,
terjemahan harfiyyat terbahagi kepada dua jenis iaitu terjemahan harfiyyat
bi al-mithil dan terjemahan bi dun al-mithil. Terjemahan harfiyyat
bi al-mithil ialah menterjemahkan ayat al-Qur’an dari bahasa sumber kepada
bahasa sasaran dengan mengekalkan susunan ayat bahasa sumber serta mampu
mendukung makna sebagaimana yang terkandung dalam susunan ayat bahasa asal
secara sempurna dari segi balaghah dan hukum syara’( Mohd Shukri Hanapi. 2003:
12). Amalan terjemahan harfiyyat bi al-mithil disepakati oleh ulama’
hukumnya adalah mustahil dan tidak boleh digunakan terhadap al-Qur’an kerana ia
tidak dapat memenuhi beberapa tujuan utama penurunan al-Qur’an( Mohd Shukri
Hanapi. 2003: 18). Ini kerana terjemahan menggunakan pendekatan ini adalah
salinan al-Qur’an ke dalam bahasa lain semata-mata berdasarkan aturan dan
susunan kata teks sumber. Oleh itu, pengekalan susunan kata asal al-Qur’an
serta pengekalan keseluruhan makna al-Qur’an adalah perkara yang mustahil
dilakukan (Mohd Shukri Hanapi. 2003: 12).
Manakala,
terjemahan bi dun al-mithil ialah menterjemahkan susunan ayat al-Qur’an
dari bahasa sumber kepada bahasa sasaran dengan mengekalkan atau mengubah
susunan ayat bahasa asalnya berdasarkan kemampuan penterjemah dan keluasan
bahasa ( Mohd Shukri Hanapi. 2003: 12). Amalan terjemahan harfiyyat bi dun
al-mithil juga tidak boleh diterima dan dibatasi pengamalannya. Dalam hal
ini, ulama’ berselisih pendapat serta tidak mencapai kata sepakat (Mohd Shukri
Hanapi. 2003: 20).
Terjemahan
secara tafsiriyyat atau ma’nawiyyat pula sebagaimana yang
dinyatakan oleh Ibn Taimiyyah ialah menterjemahkan makna dan menghuraikannya.
Penterjemah menterjemahkan makna yang difahami olehnya. Definisi ini walau
bagaimanapun, adalah bersifat umum. Al-Dhahabiy mendefinisikan terjemahan
secara tafsiriyyat atau ma’nawiyyat ialah menjelaskan makna
sesuatu perkataan dengan menggunakan bahasa lain tanpa memelihara susunan dan
urutan ayat bahasa sumber tanpa mengungkapkan keseluruhan makna yang
dimaksudkannya. Sementara itu, al-Qattan menyatakan bahawa terjemahan secara tafsiriyyat
atau ma’nawiyyat ialah
menerangkan makna perkataan dengan menggunakan bahasa lain (bahasa sasaran)
tanpa terikat dengan susunan perkataan bahasa asal (bahasa sumber) atau
memelihara nuzumnya (Mohd Shukri Hanapi. 2003: 21). Amalan terjemahan secara tafsiriyyat
atau ma’nawiyyat ini dibolehkan bagi umat Islam bertujuan
menerangkan makna al-Qur’an, menjelaskan maksudnya, menghuraikan makna,
menentukan dalil-dalil hukum yang menyamai criteria tafsir (Mohd Shukri Hanapi.
2003: 53).
Dari aspek kelayakan penterjemah, penterjemah yang
baik perlu memenuhi syarat-syarat tertentu iaitu mengetahui bahasa sumber,
mengetahui bahasa penerima, mempunyai pengetahuan dalam bidang yang
diterjemahkan serta mengetahui teori dan amalan terjemahan (Ainon Mohd. 1985:
2). Bagi menterjemahkan teks agama Islam khususnya al-Qur’an, pentafsir mahupun
penterjemah tafsir al-Qur’an perlu mempunyai akidah yang benar bagi mengelakkan
penyelewengan dan penipuan terhadap ayat Allah, bersih dari pengaruh hawa nafsu, mempunyai keahlian dalam
ilmu hadith, mempunyai pengetahuan yang luas dalam bidang bahasa Arab khususnya
ilmu nahu dan sarf, mengetahui ilmu ulum al-Qur’an, ilmu fiqh dan ilmu
usuluddin serta ilmu kehidupan yang lain bagi membolehkan penterjemahan yang
dihasilkan bertepatan dengan kehendak syariat ( Mohd Shukri Hanapi. 2003 : 69).
Pendekatan
Terjemahan Tafsir dalam Surah Yasin
Kajian
mengenai terjemahan tafsir surah Yasin dalam terjemahan
Tafsir fi Zilal al-Qur’an- Di Bawah Bayangan al-Qur’an ini akan mengetengahkan
beberapa aspek dalam penterjemahan iaitu kaedah terjemahan melibatkan
terjemahan langsung dan secara tidak langsung serta penelitian terhadap laras
bahasa yang digunakan oleh Yusoff Zaky Yacob dalam penghasilan terjemahan
tafsir ini.
Terjemahan Langsung
Terjemahan
langsung ialah pendekatan terjemahan yang sedaya mungkin setia kepada teks
sumber dari segi makna, nahu ( sintaksis dan morfologi), gaya serta kesan
terhadap pembaca asal. Penterjemah cuba mencari kesempurnaan dan kemiripan teks
asal sebaik mungkin. Pendekatan ini sesuai digunakan dalam wacana sastera,
perundangan, agama dan teksnya seperti
al-Qur’an dan juga Injil. Menurut Abdullah Hasan (2000), penterjemahan teks
lama amat mengutamakan teks asal. Walaubagaimanapun, pendekatan ini didapati
menyebabkan berlaku banyak kesilapan pada terjemahan yang dihasilkan (http://pismpbm.blogspot.com [ 29 Mei 2013]).
.
Penterjemahan secara langsung mempunyai ciri-ciri
tertentu iaitu penterjemah harus bebas dari pendengar sasaran tetapi mesti
bergantung kepada konteks bahasa sumber. Andaian yang disampaikan mestilah
bersifat interpretif yang mempunyai kemiripan maksimum antara bahasa sumber dan
bahasa sasaran. Penterjemah menumpukan perhatian kepada bentuk teks yang
diterjemahkan dan mengekalkan unsur-unsur stilistik seperti rima, rentak,
permainan kata karya bahasa supaya menyerupai teks asal(http://pismpbm.blogspot.com
[ 29 Mei 2013]). Penterjemahan
langsung terbahagi kepada beberapa kelompok iaitu semantik, formal, relevans, harfiyyah
dan literal. Dalam kajian ini, pengkaji mengetengahkan terjemahan langsung
secara harfiyyah dan literal.
Terjemahan Harfiyyah
Terjemahan harfiyyah ialah
penterjemahan kata demi kata. Penterjemah
menterjemahkan perkataan teks sumber satu demi satu tanpa satu kata
ditinggalkan. Terjemahan dilakukan setepat mungkin berdasarkan makna sebenar
teks. Ia merupakan terjemahan yang paling setia terhadap teks asal kerana
kesepadanan satu lawan satu dalam teks sumber dibandingkan dengan teks sasaran
tanpa mengira perbezaan kedua-dua bentuk. Menurut Catford (1965), istilah harfiyyah
dinamakan sebagai terjemahan struktur nahu dalam ilmu linguistik. Ia melibatkan
proses menterjemahkan sistem nahu kedua-dua bahasa seperti pemilihan morfem
yang sesuai (http://pismpbm.blogspot.com/2009/11/modul-bmm3112-sejara
perkembangan-bm.html [ 29 Mei 2013]).
Ayat
|
Teks Terjemahan
|
Teks Asal
|
3
|
Ayat ini menjelaskan tabiat risalah setelah menjelaskan hakikat
Rasul. Tabiat risalah ialah kerasulan dan kejujuran. Ia lurus seperti mata pedang,
tiada sebarang bengkang-bengkok dan tiada sebarang penyelewengan, tiada
sebarang berbelit-belitan dan kecondongan. Dan kebenarannya amat jelas tiada
sebarang kesamaran dan kekeliruan. Ia
tidak dilenturkan hawa nafsu dan tidak diselewengkan sesuatu kepentingan.
Setiap orang mencarinya akan menemuinya dengan mudah dan bersih.
|
وهذا بيان لطبيعة الرسالة بعد بيان حقيقة الرسول.و طبيعة هذه
الرسالة الاستقامة. فهي قائمة كحد السيف لا عوج فيها ولا انحراف ، ولا التواء
فيها ولا ميل. الحق فيها واضح لا غموض فيه ولا التباس. ولا يميل مع هوى ولا
ينحرف مع مصلجة. يجده من يطلبه في يسر وفي دقة وفي خلوص.
|
Teks Asal :
فهي قائمة كحد السيف لا عوج فيها ولا انحراف ، ولا التواء فيها ولا
ميل
Teks
Terjemahan : Ia lurus seperti mata pedang, tiada sebarang bengkang-bengkok dan
tiada sebarang penyelewengan, tiada sebarang berbelit-belitan dan kecondongan.
Ulasan
: Di dalam terjemahan ayat ini, penterjemah dilihat menggunakan kaedah
terjemahan secara harfiyyah melalui penterjemahan perkataan demi
perkataan. Ayat ini mengandungi beberapa kata sifat bagi mengambarkan tabiat
kerasulan yang lurus. Justeru itu, bagi mengurangkan pengulangan kata sifat
ini, kesemua kata sifat ini boleh dirangkumkan dalam ayat yang lebih ringkas
dan mudah difahami.
Terjemahan Literal
Pendekatan terjemahan literal ialah pendekatan
yang setia pada teks sumber dengan menumpukan kepada salah satu struktur atau
bentuk nahu bahasa teks asal sahaja. Terjemahan ini masih memelihara kemurnian
nahu bahasa sumber tetapi pada masa yang sama menjaga kegramatisan nahu bahasa
sasaran. Ciri ini membezakan pendekatan terjemahan literal dan terjemahan harfiyyah
yang patuh dan setia sepenuhnya kepada nahu bahasa sumber. Terjemahan secara
literal masih mengekalkan bentuk dan struktur nahu bahasa sumber meskipun tidak
kesemuanya (http://pismpbm.blogspot.com/2009/11/modul-bmm3112-sejara
perkembangan-bm.html [ 29 Mei 2013]).
Ayat
|
Teks Terjemahan
|
Teks Asal
|
1
|
Allah s.w.t bersumpah
dengan dua huruf ‘’Yaa, Siin di samping bersumpah dengan al-Quran al-Karim.
Pengumpulan di antara huruf-huruf
potong dengan al-Qur’an ini menguatkan lagi pendapat yang kami pilih
dalam mentafsirkan huruf-huruf potongan di awal berbagai-bagai surah itu
iaitu ia mentafsirkan hubungan di antara huruf-huruf itu dengan al-Qur’an.
Sesungguhnya bukti al-Qur’an itu dari Allah iaitu satu bukti yang tidak
diperhatikan oleh mereka ialah al-Qur’an itu adalah digubahkan dari
huruf-huruf yang amat mudah kepada mereka, tetapi susunan pemikiran dan
pengungkapan al-Qur’an mengatasi susunan kemampuan mereka untuk mengubahkannya
dengan huruf-huruf ini.
|
يقسم
الله بهذه الحرفين (( يا. سين )) كما يقسم بالقرآن الحكيم . وهذا الجمع بين
الحرف المقطعة والقرآن يرجح الوجه الذي اخترناه في تفسير هذه الأحرف في أوائل
السور؛ والعلاقة بين ذكرها وذكر القرآن. وأن آية كونه من عند الله ؛ الآية التي
لا يتدبرونها فيردهم القرآن إليها، أنه مصوغ من جنس هذه الأحرف الميسرة لهم،
ولكن تسقه التفكيري والتعبيري فوق ما يملكون صياغته من هذه الحروف.
|
Teks Asal :
يقسم الله بهذه الحرفين (( يا. سين ))
Teks Terjemahan: Allah s.w.t
bersumpah dengan dua huruf ‘’Yaa, Siin.
Ulasan :
Di dalam ayat ini, penterjemah tidak menterjemah secara harfiyyah
iaitu mendahulukan penyebutan perbuatan diikuti pelaku, namun ia dilakukan
secara literal iaitu berdasarkan struktur nahu bahasa sasaran yang mendahulukan
pelaku berbanding perbuatan.
Terjemahan Secara Tidak
Langsung
Terjemahan
secara tidak langsung merupakan pendekatan yang kurang setia dengan teks asal.
Pendekatan ini membenarkan penterjemah mengadaptasi, mengubahsuai, menokok
tambah dan membuang unsur-unsur morfologi, sintaksis, semantic, stilistik dan
bentuk wacana asal. Pendekatan ini menekankan pembaca sasaran sebagai khalayak
utama bagi sesebuah karya terjemahan dan penterjemah adakalanya mentafsir bagi
pihak pembaca sasaran (http://pismpbm.blogspot.com/2009/11/modul-bmm3112-sejara
perkembangan-bm.html [ 29 Mei 2013]). Dalam kajian ini, pengkaji
mengetengahkan pendekatan terjemahan dinamis dan bebas yang merupakan
sebahagian dari pendekatan dalam terjemahan secara tidak langsung.
Terjemahan Dinamis
Terjemahan
dinamis ialah terjemahan yang mementingkan persamaan dari aspek jumlah maklumat
iaitu tiada maklumat yang tertinggal atau ditokok tambah terhadapnya meskipun
jumlah perkataan yang dihasilkan tidak menyamai jumlah perkataan asal teks
sumber (Ainon Muhammad. 1987: 10). Terjemahan dinamis menurut Newmark (1981) adalah
bertujuan untuk menghasilkan pada pembaca sasaran kesan yang sehampir mungkin
seperti yang diperoleh oleh pembaca teks asal.
Ayat
|
Teks Terjemahan
|
Teks Asal
|
11
|
Yakni keampunan terhadap dosa-dosa yang dilakukan tanpa
berterusan. Dan pahala yang mulia kerana takut kepada Allah walaupun dia
tidak melihatNya dan kerana
kesanggupannya mengikut al-Qur’an yang diturunkan oleh Allah. Takut kepada
Allah dan mengikut al-Qur’an merupakan dua perkara yang berkembar di dalam
hati. Sebaik sahaja perasaan takut mengambil tempat di dalam hati dia akan
terus iringkannya dengan tindakan melaksanakan perintah yang diturunkan Allah
dan berjalan dengan lurus dan jujur mengikut jalan yang dikehendaki Allah.
|
المغفرة عما يقع فيه من الخطايا غير مصر. والأجر الكريم على خشية
الرحمن بالغيب. واتباعه لما أنزل الرحمن من الذكر. وهما متلازمان في القلب. فما
تحل خشية الله في قلب إلا ويتبعها العمل بما أنزل. والاستقامة على النهح الذي أراد.
|
Teks
Asal :
والأجر الكريم على خشية الرحمن بالغيب. واتباعه لما أنزل الرحمن من
الذكر. وهما متلازمان في القلب .وهما متلازمان في القلب
Teks Terjemahan :
Takut
kepada Allah dan mengikut al-Qur’an merupakan dua perkara yang berkembar di
dalam hati.
Ulasan: Dalam ayat ini, terjemahan dinamis dilakukan iaitu
penterjemah menghasilkan pada pembaca sasaran kesan yang
sehampir mungkin seperti yang diperoleh oleh pembaca teks asal. Walau
bagaimanapun, pemilihan frasa
dua perkara yang berkembar adalah kurang tepat meskipun ia dapat difahami
dengan baik oleh pembaca sasaran.
Terjemahan
Bebas
Terjemahan
bebas menumpukan kepada teks sasaran agar teks kelihatan bersahaja,
sejadi, dan memudahkan pembaca sasaran.
Perkataan di dalam teks asal kurang diberi perhatian. Kaedah ini berbeza dari
kaedah terjemahan secara harfiah dan literal. Penterjemah mengambil isi, dan
maklumat penting sahaja dalam teks sumber tetapi mengubah, mengadaptasi,
membuang, dan membetulkan segala bentuk dan struktur nahu asal. Penterjemah
berusaha menyampaikan maklumat dengan segala kemampuan dan kreativiti yang
dimiliki olehnya (http://pismpbm.blogspot.com/2009/11/modul-bmm3112-sejara perkembangan-bm.html [ 29 Mei 2013]).
Ayat
|
Teks Terjemahan
|
Teks Asal
|
4
|
Allah s.w.t memperkenalkan dirinya kepada para hambaNya di
tempat-tempat yang seperti ini supaya mereka memahami hakikat al-Qur’an yang
diturunkan kepada mereka. Allah itu Maha Perkasa. Dia berkuasa melakukan apa
sahaja yang dikehendakinya dengan tujuan untuk mengurniakan rahmat kepada
mereka dalam apa sahaja yang dilakukanNya.
|
يعّرف الله عباده بنفسه في مثل هذا المواضع ، ليدركوا حقيقة ما نزّل
إليهم. فهو العزيز القوي الذي يفعل ما يريد. وهو الرحيم بعباده الذي يفعل بهم ما
يفعل، وهو يريد بهم الرحمة فيما يفعل.
|
Teks Asal :
فهو العزيز القوي الذي يفعل ما يريد. وهو الرحيم بعباده الذي يفعل بهم
ما يفعل، وهو يريد بهم الرحمة فيما يفعل.
Teks Terjemahan :
Dia
berkuasa melakukan apa sahaja yang dikehendakinya dengan tujuan untuk
mengurniakan rahmat kepada mereka dalam apa sahaja yang dilakukanNya.
Ulasan:
Di dalam ayat ini, penterjemah dilihat menggunakan kaedah terjemahan secara
bebas dengan mengubah, mengadaptasi dan membuang
perkataan-perkataan tertentu di dalam struktur nahu asal bagi menghasilkan
padanan yang mudah difahami oleh pembaca sasaran. Perkataan yang dibuang dan diadaptasi dalam teks terjemahan : وهو الرحيم بعباده
الذي يفعل بهم ما يفعل
Laras Bahasa Terjemahan
Laras
bahasa merujuk kepada cara atau gaya penggunaan sesuatu bahasa menurut situasi
bahasa itu digunakan dan bidang yang diperkatakan. Laras bahasa berubah selaras
dengan perubahan- perubahan sosial dan budaya yang berlaku dalam masyarakat. Ure & Ellis dalam Nik Safiah (2006), menganggap
laras sebagai jenis-jenis bahasa yang digunakan mengikut situasi-situasi yang berlainan. Fungsi
laras bahasa adalah berbeza-beza mengikut
bidang yang hendak diperkatakan seperti bidang ketenteraan, sains, komersial,
agama dan lain-lain. Ciri-ciri sesuatu laras boleh dikenal pasti melalui peristiwa bahasa
dan situasi penggunaan bahasa itu.
Menurut Ainon Muhammad
(1987), setiap bidang kegiatan manusia mempunyai laras bahasa tertentu. Laras
bahasa ini ialah perkataan-perkataan yang digunakan dengan pengertian khusus
pada sesuatu bidang sahaja. Perkataan-perkataan ini turut diguna pada
bidang-bidang lain namun membawa maksud yang berbeza di antara satu bidang dan
bidang yang lain. Laras bahasa membuktikan kemampuan sesuatu bahasa untuk
menyampaikan berbagai makna (Ainon Muhammad. 1987: 107). Dalam kajian ini, pengkaji akan mengetengahkan
laras bahasa agama dan sastera yang digunapakai di dalam terjemahan tafsir
surah Yasin dalam Tafsir fi Zilal al-Qur’an.
Laras Bahasa
Agama
Laras bahasa agama mengandungi beberapa istilah agama.
Banyak istilah yang digunakan dipinjam daripada bahasa Arab. Struktur ayatnya
juga banyak dipengaruhi oleh struktur bahasa Arab. Wacana jenis ini banyak
digunakan untuk menerangkan sebarang topik yang ada kaitan dengan agama
termasuklah tentang akidah, fiqh, kisah-kisah Nabi dan para
sahabat (http://share.pdfonline.com/dc17459bd5864672b294346d777d7df0/08_Tajuk_6_Laras_Bahasa.pdf.
[29 Mei 2013].
Ayat
|
Teks Terjemahan
|
Teks Asal
|
12
|
Allah menegaskan tentang kepastian berlakunya kebangkitan selepas
mati dan kehalusan hisab Allah yang tiada suatu pun yang akan terlepas
darinya. Persoalan menghidupkan kembali orang-orang yang telah mati merupakan
salah satu persoalan yang menimbulkan perdebatan yang memakan waktu yang amat
panjang. Di dalam surah ini telah disebut berbagai-bagai contohnya. Al-Qur’an
mengingatkan mereka bahawa segala perbuatan yang dilakukan oleh mereka dan
segala kesan-kesan yang ditinggalkan perbuatan-perbuatan mereka semuanya
dicatat dan dihitung satu persatu, tiada satu pun perbuatan yang terlepas
darinya atau dilupakannya. Allah s.w.tlah yang menghidupkan orang-orang yang
telah mati dan Dialah yang mencatatkan segala perbuatan yang dilakukan mereka
dan kesan-kesannya. Dialah yang menghitungkan satu persatu perbuatan mereka
dan merekodkannya. Oleh itu semua perkara ini pasti berlaku mengikut cara
yang layak dengan urusan yang dikendalikan oleh tangan qudrat Allah.
|
هنا يؤكد وقوع البعث ودقة الحساب الذي لا يفوته شيء.وإحياء الموتى هو إحدى القضايا
التي استغرقت جدلا طويلا.وسيرد منه في هذه السورة أمثلة منوعة. وهو ينذرهم أن كل ما قدمت أيديهم من عمل، وكل ما خلفته
أعمالهم من آثار ، كلها تكتب وتحصى ، فلا يند منها شيء ولا ينسى. والله سبحانه
هو الذي يحي الموتى ، وهو الذي يكتب ما قدموا وآثارهم، وهو الذي يحصي كل شيء
ويثبته. فلا بد إذن من وقوع هذا كله على الوجه الذي يليق بكل ما تتولاه يد الله.
|
Teks Asal :
فلا بد إذن من وقوع هذا كله على الوجه الذي يليق بكل ما تتولاه يد
الله.
Teks Terjemahan : Oleh
itu semua perkara ini pasti berlaku mengikut cara yang layak dengan urusan yang
dikendalikan oleh tangan qudrat Allah.
Ulasan:
Laras bahasa yang digunakan dalam pemilihan padanan bagi menterjemahkan يد الله adalah
laras agama kerana merupakan istilah yang dibahaskan dalam ilmu tauhid dan
akidah. Perkataan يد الله diterjemahkan sebagai
tangan qudrat Allah. Walaubagaimanapun, ia boleh menimbulkan ketaksaan tanpa
penjelasan dari penterjemah.
Laras
Bahasa Sastera
Laras bahasa sastera mempamerkan gaya bahasa yang
menarik dan kreatif. Bahasanya merangkumi bentuk naratif, deskriptif,
preskriptif, dramatik dan puitis. Laras bahasa sastera klasik banyak
menggunakan kata-kata yang sudah tidak digunakan kini. Penggunaan kata-katanya banyak dipengaruhi oleh bahasa Sanskrit dan bahasa Arab.
Laras bahasa sastera moden pula banyak menggunakan bunga-bunga bahasa yang terkandung dalamnya bentuk bahasa figuratif.
Namun begitu, dalam rencana berbentuk kritikan sastera, bentuk bahasanya lebih
berbentuk formal dan ilmiah. Bentuk-bentuk karya kreatif seperti cerpen, novel, filem, teater dan
puisi
[29 Mei 2013].
Ayat
5
|
Teks Terjemahan
|
Teks Asal
|
Hikmat diturunkan al-Qur’an ialah untuk memberi amaran dan
menyampaikan dakwah. Kelalaian merupakan penyakit yang amat merosakkan hati
kerana hati yang lalai ialah hati yang lumpuh dari menjalankan tugasnya,
lumpuh dari daya menerima dan menyambut. Dia bertembung dengan bukti-bukti
hidayat di tengah jalan yang dilaluinya tanpa disedari dan difahaminya dan
tanpa bergerak untuk menyambutnya. Kerana itulah amaran itu amat sesuai untuk
menghadapi kelalaian kaum Musyrikin Makkah itu. Mereka telah berlalu generasi
demi generasi tanpa diberikan peringatan dan amaran. Mereka adalah dari
zuriat keturunan Ismail. Mereka tidak dipimpin oleh mana-mana Rasul selepas
Nabi Ismail a.s. Justeru itu, amaran dan peringatan boleh menyedarkan
orang-orang yang lalai dan tidur nyenyak di dalam kelalaian, di mana datuk
nenek mereka tidak pernah didatangi Rasul.
|
فأما حكمة هذا التنزيل فهي الإنذار والتبليغ.والغفلة أشد ما يفسد
القلوب. فالقلب الغافل قلب معطل عن وظيفته. معطل عن الالتقاط والتأثر
والاستجابة. تمر به دلائل الهدى أو يمر بها دون أن يحسها أو يدركها. ودون أن
ينبض أو يستقبل . ومن ثم كان الإنذار هو أليق شيء بالغفلة التي كان فيها القوم.
الذين مضت الأجيال دون أن ينذرهم منذر، أو بينهم منبه. فهم من ذرية إسماعيل ولم
يكن لهم بعده من رسول. فالإنذار قد يوقظ الغافلين المستغرقين في الغفلة ، الذين
لم يأتهم ولم يأت آبائهم نذير.
|
Teks
Asal :
فالقلب
الغافل قلب معطل عن وظيفته. معطل عن الالتقاط والتأثر والاستجابة.
Teks Terjemahan :
Hati yang lalai ialah hati yang lumpuh dari menjalankan tugasnya,
lumpuh dari daya menerima dan menyambut.
Ulasan
: Laras bahasa yang digunakan adalah laras bahasa sastera. Penterjemah
mengekalkan laras bahasa yang digunakan oleh penulis asal teks. Perkataan معطل diterjemahkan sebagai lumpuh mengandungi
unsur kiasan kerana hati pada hakikatnya tidak lumpuh secara hakiki dan ia
mengandungi makna tersirat.
KESIMPULAN
Penghasilan
terjemahan Tafsir fi Zilal al-Qur’an – Di Bawah Bayangan al-Qur’an merupakan
satu usaha murni dan penting bagi memenuhi keperluan masyarakat untuk memahami
al-Quran dengan baik. Penterjemahan teks agama khususnya al-Quran dan al-Hadith
memerlukan penelitian dan penjagaan yang rapi bagi mengelakkan berlakunya
kekeliruan, pencemaran dan penyelewengan terhadap al-Qur’an. Justeru itu,
penterjemah mestilah memiliki kelayakan dalam disiplin ilmu berkaitan bagi
memastikan proses penterjemahan yang dilakukan berpandukan kepada kaedah
penterjemahan yang betul selari dengan kehendak syariat.
Di dalam usaha penterjemahan Tafsir
fi Zilal al-Qur’an, Yusoff Zaky Yacob mempunyai garis panduan yang
tersendiri bagi menghasilkan terjemahan yang bertepatan dengan maksud sebenar
karya tersebut iaitu penghasilan karya terjemahan yang tepat melalui penyampaian makna yang bersesuaian dengan makna dalam
teks sumber serta jelas penyampaiannya melalui penggunaan bahasa yang sederhana
dan dapat difahami oleh pengguna bahasa sasaran.
RUJUKAN
Ainon Muhammad. 1987. Panduan Menterjemah.
Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.
Azhar bin Muhammad dan Zulfikri bin Hassan. 2010. Metode
Terjemahan Tafsir Arab-Melayu : Satu Kajian Terhadap Tafsir fi Zilal al-Qur’an
– Di Bawah Bayangan al-Qur’an oleh Yusoff Zaky Yacob.
Asmadi Yakob dan Mustaffa
Abdullah.2011. Yusoff Zaky Yacob : Dian yang Tak Kunjung Padam. Kuala
Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.
Mohd
Shukri Hanapi. 2003. Terjemahan al-Qur’an Dalam Pelbagai Perspektif.
Kuala Lumpur : Utusan Publications and Distributors Sdn.Bhd.
Muhammad Bukhari Lubis, Mohd Fauzi Jumingan dan
Khairunnawa Mohamed 1998. Penerjemahan Arab- Melayu- Arab; Peraturan dan
Dasar. Selangor : Penerbit Universiti Putra Malaysia.
Sayyid Qutb. 1978. Tafsir fi Zilal al-Qur’an.
Jil.5. Qahirah : Dar al-Syuruk.
Yusoff Yacob Zaky. 2000. Terjemahan Tafsir fi
Zilal al-Qur’an - Di Bawah Bayangan al-Qur’an. Jil. 13. Kelantan : Pustaka
Aman Press Sdn. Bhd.