"Jadikanlah dirimu orang alim atau orang yang menuntut ilmu atau orang yang selalu mendengar pelajaran agama, atau pun orang yang mencintai (tiga golongan yang tersebut); dan janganlah engkau menjadi (dari) golongan yang kelima, yang dengan sebabnya engkau akan binasa."
Saturday, December 18, 2010
‘’Saidatina Khadijah Serikandi Idaman’’
‘’Saidatina Khadijah Serikandi Idaman’’
Siti khadijah
Engkau isteri sejati
Engkaulah lambang cinta sejati
Serikandi pertama tika islam bermula
Hadirmu menyalakan keyakinan
Hartamu membuktikan pengorbanan
Rasul keseorangan Engkaulah teman
Dia tersisih Engkau memilihnya
Dia terbuang Engkau menyayanginya
Kerana iman Engkau sanggup berjuang
Siti Khadijah namamu indah
Qudwah hasanah tauladan ummah
Tika Rasul terpinggir
Engkaulah insan terhampir
Siti Khadijah mujahidah solehah
Agung jasamu di persada sejarah
Pemergianmu ditangisi nabi
Sehingga kini tiada pengganti
{Inteam-siti khadijah}
Saidatina Khadijah binti Khuwailid r.anha merupakan serikandi idaman, tauladan sepanjang zaman. Beliau juga terkenal sebagai Ummu al-Qasim binti Khuwailid bin Asad bin Abdul ‘Uzza bin Qushai bin Kilab. Beliau dilahirkan di Umm al-Qura (Makkah) sekitar 15 tahun sebelum tahun Gajah. Beliau berketurunan suku Quraisy dari keluarga Bani Asad. Beliau merupakan seorang usahawan wanita terkemuka, sangat berjaya dalam perniagaannya.
Saidatina Khadijah r.anha merupakan seorang yang matang dalam memilih pasangan hidup. Setelah perkahwinannya yang terdahulu tidak kekal, beliau dilamar oleh ramai pembesar Quraisy namun kesemuanya ditolak oleh beliau. Beliau akhirnya menemui keluhuran akhlak pada peribadi Nabi Muhammad s.a.w yang amanah dalam menguruskan harta dagangan. Beliau mengungkapkan hasrat hati beliau melalui Nafisah binti Munabbih. Nabi s.a.w tidak keberatan menerima hasrat itu lalu menyampaikan keinginan baginda untuk menikahi Khadijah kepada bapa-bapa saudara baginda. Maka, Abu Talib, Hamzah dan yang lain menemui bapa saudara Khadijah, ‘Amr bin Asad untuk meminang Khadijah bagi pihak baginda.
Beliau merupakan serikandi pertama berdiri di samping Rasulullah s.a.w, menyokong, membimbing dan menyerahkan segala yang dimiliki bagi membantu perjuangan Baginda s.a.w. Wanita mulia ini tabah mendampingi Rasulullah s.a.w menghadapi tekanan dan kezaliman kaum Quraisy terhadap golongan beriman. Risalah kebenaran yang dibawa oleh Baginda s.a.w menerima tentangan yang hebat dari kaum Quraisy antaranya ialah pemulauan yang telah dilancarkan oleh mereka.
Saidatina Khadijah r.anha sentiasa menyokong baginda s.aw sebagaimana yang dinukilkan dalam sirah, beliau menenangkan baginda s.a.w setelah Baginda menerima penurunan wahyu pertama di Gua Hira’. Proses penurunan wahyu ini amat berat, gema suara malaikat Jibril a.s yang meyeru ‘’Bacalah’’ dirasakan sangat menggerunkan dan Rasulullah s.a.w pulang dalam ketakutan. Setibanya di rumah, baginda meminta Saidatina Khadijah menyelimutkannya. Baginda kemudiannya berkongsi cerita dengan isteri tercinta.
Dengan lembut bicara dan tenang wajahnya, beliau menenangkan baginda,’’Demi Allah, Allah tidak akan mengkhianatimu sama sekali. Kamu merupakan orang yang sentiasa menghubungkan silaturrahim, bertanggungjawab, sentiasa berusaha, menghormati tetamu serta memperjuangkan kebenaran’’.
Beliau meninggal dunia pada tahun kesepuluh kenabian pada usia 65 tahun. Tahun itu dikenali juga sebagai tahun kedukaan. Rasulullah s.a.w sentiasa mengenangnya sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w yang mafhumnya:
Khadijah beriman kepadaku ketika semua manusia mengingkariku, membenarkanku semasa manusia membohongiku, membelanjakan harta bendanya ketika manusia memboikotku, dan Allah mengurniakan anak kepadaku melaluinya dan tidak dianugerahkan anak melalui isteri-isteri yang lain.
Beliau merupakan wanita pertama beriman saat semua orang mengingkari kerasulan Baginda, beliau merupakan wanita yang sanggup mendermakan seluruh hartanya pada perjuangan kebenaran, beliau adalah wanita yang bijak meneguhkan suaminya. Beliaulah serikandi tauladan, sepanjang zaman.