Thursday, December 30, 2010

~perkongsian bersama~


Yang ingin dikongsikan bersama adalah pengisian yang diperoleh ketika menghadiri sebuah Forum. Apa yang dibincangkan ialah mengenai perubahan. Secara ringkasnya, kita akan melihat kepada perkembangan sejarah di mana terdapat beberapa fasa perubahan yang berlaku dalam sejarah kegemilangan Islam.

Fasa Pertama
Kita melihat kepada kisah ashabul kahfi yang terdiri dari kalangan pemuda beriman. Mereka hidup pada suatu zaman yang mana pemerintah dan masyarakat pada ketika itu jauh dari landasan kebenaran. Mereka merupakan golongan yang terpilih dalam kalangan orang yang beriman. Mereka tidak menggadaikan prinsip aqidah walau ditekan oleh pemerintah. Mereka berusaha mempertahankan aqidah dan keimanan mereka.


Fasa Kedua
Kita beralih pula kepada zaman Nabi Musa a.s. Baginda hidup pada zaman pemerintahan Firaun. Baginda meneruskan risalah suci dari Allah, turun berdakwah kepada masyarakat dan berdepan dengan kezaliman Firaun. Gerakan dakwah terus berjalan meski baginda diserang bertalu-talu dari segenap sudut. Dalam perkembangan dakwah baginda, kita melihat baginda dibantu oleh saudaranya Nabi Harun a.s . Sinergi yang terhasil dari gabungan dua insan pilihan Allah ini menghasilkan impak yang lebih yang mana gerakan dakwah semakin maju ke hadapan.

Fasa Ketiga
Fasa ini merupakan fasa persiapan. Fasa ini adalah fasa selepas zaman Nabi Musa a.s. Ia merupakan fasa pembentukan kepimpinan. Bagaimana dalam fasa ini kita melihat, Thalut telah dilantik sebagai pimpinan tetapi Bani Israil mempertikaikan kepimpinannya. Pertembungan di antara Thalut dan Jalut memperlihatkan kemunculan Nabi Daud a.s sebagai hero.Baginda di anugerahkan hikmah@ kebijaksanaan.Isu kepimpinan semakin terzahir pada fasa ini.

Fasa Keempat
Fasa ini merupakan era dakwah super power apabila Islam memegang pemerintahan. Nabi Sulaiman a.s memerintah manusia, jin dan haiwan. Gerakan dakwah menjadi semakin teguh dengan kekuasaan yang dimiliki oleh baginda selaku pemerintah. Pada fasa ini, dakwah bukan hanya tinggal seruan tetapi berada pada tingkat pelaksanaan. Baginda menembusi pemerintahan Saba’ yang dikuasai oleh Balqis. Seruan dakwah baginda mempunyai pengaruh yang cukup hebat sehingga akhirnya pemerintahan ini yang sebelumnya menyembah matahari menerima Islam sebagai the way of life.

Dari itu, perlulah difahami bahawa Islam bukan hanya seruan tapi pemerintahan sebagaimana Nabi Muhammad s.a.w turut menghadapi Rom dan Parsi yang merupakan pemerintahan yang kuat pada zaman Baginda s.a.w. Terealisasinya Islam apabila ia berada di tempat tertinggi.Maka persoalannya di sini ialah, di manakah fasa gerakan dakwah kita pada masa kini?.