Monday, April 4, 2011

Kuntuman Indah Sastera Zaman Permulaan Islam



Sastera zaman jahiliy telah bermula 150 - 200 tahun sebelum Hijrah. Antara syair yang mahsyur di zaman itu ialah "Mu'allaqat" yang digantung di dinding Kaabah. Antara penyair yang terkenal ketika itu adalah Imri ul Qais, an-Nabighah az-Zubyani dan Zuhair ibn Abi Sulma. Penyair merupakan golongan yang dipandang tinggi oleh masyarakat dan setiap kata-kata penyair memberi impak yang besar kepada mereka.

Menelusuri perkembangan sastera zaman permulaan Islam, memperlihatkan keindahan perutusan Nabi Muhammad s.a.w. Baginda diutuskan Allah di dalam satu masyarakat yang memiliki keilmuan di dalam sastera dan mengungkapkan kata. Namun, kehidupan masyarakat ini masih dilingkungi kegelapan jahiliyyah. Baginda diutuskan Allah dengan sinaran aqidah yang benar, kemuliaan akhlak serta kefasihan dalam menuturkan kata sesuai untuk mendepani cabaran dakwah Baginda.

Sastera zaman permulaan Islam bermula ketika zaman kenabian dan khulafa’ al-rasyidin diikuti dengan zaman Umawi. Perutusan Nabi Muhammad s.a.w sebagai Rasul yang terakhir menyegarkan jiwa-jiwa yang kering dan gersang dengan pancaran keimanan. Baginda mampu mencorak perkembangan sastera yang lebih murni.

Syair-syair mula dipengaruhi oleh citra keislaman seiring dengan perkembangan dakwah Islam. Penyair-penyair Islam mula tumbuh ibarat cendawan selepas hujan. Antaranya ialah Hassan ibn Thabit, Ka'ab ibn Zuhair ibn Abi Sulma dan Sirimmah ibn Abi Anas al-Ansari..Hasil tarbiyah Baginda, citra keislaman terbias ke dalam ungkapan syair-syair masyarakat Arab.

Tema-tema syair yang dulunya dipenuhi citra jahiliyyah diislamisasikan. Antara tema yang muncul pada zaman permulaan Islam antaranya ialah syair agama yang memaparkan permasalahan agama, keesaan Allah,wahyu dan kenabian, syurga dan neraka dengan berpandukan al-Quran dan Sunnah.

Nasihat dan bimbingan menjadi tema yang turut diberi perhatian dalam kalangan penyair-penyair. Sesungguhnya Islam merupakan agama nasihat dan setiap muslim perlu sentiasa memperingatkan dan diperingati mengenai suruhan dan larangan Pencipta. Jihad dan penentangan terhadap golongan musyrikin juga diseru melalui syair.