Menuntut ilmu merupakan usaha murni untuk melangkah ke arah masa depan
gemilang. Perintah awal agama ialah mengenal Allah s.w.t. Kenal dengan ilmu,
merealisasikan wahyu pertama kepada Rasulullah s.a.w, surah al –Alaq ayat 1- 5
yang bermaksud :
Bacalah dengan menyebut nama Tuhanmu yang menciptakan
Dia telah menciptakan manusia dari segumpal darah
Bacalah dan Tuhanmulah Yang Maha Mulia
Yang mengajar (manusia) dengan pena
Dia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.
Menuntut ilmu itu adalah suatu proses berterusan, tidaklah terhenti
setelah menamatkan pengajian di mana-mana institusi pengajian sebagaimana
mafhumnya generasi kini menuntut ilmu dari tadika, sekolah rendah kemudiannya
sekolah menengah seterusnya institusi pengajian tinggi.
Bahkan ilmu atau hikmah itu ada di mana-mana sahaja, rebutlah peluang
dan kesempatan untuk mengutip ilmu dari sekolah kehidupan jua.
Mafhum sabda Rasulullah s.a.w :
Jadikanlah dirimu orang alim atau orang yang menuntut ilmu atau orang
selalu mendengar pelajaran agama, atau pun orang yang mencintai (tiga golongan
yang tersebut); dan janganlah engkau menjadi (dari) golongan yang kelima, yang
dengan sebabnya engkau akan binasa.
[al-Bazzar]
Ilmu yang bermanfaat itu adalah ilmu yang membawa penuntutnya mengenal
Allah s.w.t dan diterjemahkan dalam praktik kehidupan seharian sebagai amal
kebaikan demi meraih redhaNya.
Sabda Rasulullah s.a.w,
عَنْ أَنَسٍ ، عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ
عَلَيْهِ ، قَالَ : " مَنِ ازْدَادَ عِلْمًا وَلَمْ يَزْدَدْ هُدَى لَمْ
يَزْدَدْ مِنَ اللَّهِ إِلا بُعْدًا "
Barangsiapa yang bertambah ilmu, tetapi tidak bertambah hidayah. Tidaklah Allah tambahkan baginya kecuali ia semakin jauh daripada Allah.
Ilmu umpama permata, ia perlu diamalkan dan jika tidak diamalkan,
jadilah ia (ilmu) sia-sia seperti debu
yang bertaburan ditiup angin.
Teruskanlah menyemai mahabbah kepada agama, Allah dan Rasul s.a.w
sehingga ke akhir usia. Jangan berhenti mengutip mutiara hikmah yang menambah
cinta kepada agama.
Semoga sentiasa dalam rahmat Allah, siiru ‘ala barakatillah..
Perasaan bercampur baur, pengajian kali ini sudah hampir ke
penghujungnya. Tiba-tiba hati sarat dengan cinta pada perbukitan ilmu yang
merupakan medan pentarbiahan luar jangka bagi diri ini.
Terkenang bait-bait awal sebelum
menjejakkan kaki ke perbukitan ilmu ini,
‘’Ana akan meneruskan pentarbiahan di perbukitan ilmu ini. Walau berbeza
dan penuh cabaran, ana akan tempuhinya, insya
Allah.
Dan ternyata, cabarannya bukan sedikit. Alhamdulillah untuk kesemuanya
Syukur atas rahmatMu..