"Jadikanlah dirimu orang alim atau orang yang menuntut ilmu atau orang yang selalu mendengar pelajaran agama, atau pun orang yang mencintai (tiga golongan yang tersebut); dan janganlah engkau menjadi (dari) golongan yang kelima, yang dengan sebabnya engkau akan binasa."
Thursday, December 26, 2013
KEBANGKITAN RAKYAT
Penentangan Umat Islam Terhadap Penjajahan di Tanah Melayu dan Hubungannya dengan Seruan dan Kewajipan Jihad
Nik Norimah dan Suhazlinda Ghazaly
Kajian Sejarah Tamadun Islam di Malaysia
Universiti Kebangsaan Malaysia
Terdapat dua pendorong utama yang membangkitkan gerakan anti penjajahan di Tanah Melayu. Pendorong yang pertama ialah semangat nasionalisme ataupun nativisme. Manakala pendorong yang kedua pula ialah semangat agama iaitu semangat jihad fisabilillah yang dikaitkan sebagai penentangan ataupun peperangan menghadapi golongan kafir atau musyrik demi menegakkan kedaulatan Islam di muka bumi ini.
Gerakan jihad dalam menghadapi golongan kafir sering menjadi perhatian sama ada pada zaman Rasulullah, zaman para sahabat, mahupun pada zaman yang seterusnya sehinggalah ke zaman kini. Di Nusantara itu sendiri banyak gerakan jihad ataupun gerakan anti penjajahan yang didokong oleh semangat agama itu sendiri. Walaubagaimanapun, tidak banyak kajian yang dilakukan untuk menguatkan hujah tersebut. Kalaupun ada, ia hanya bersifat umum ataupun hanya menumpukan kepada gerakan jihad di Acheh sahaja.
Di Tanah Melayu, gerakan penentangan penduduk Islam terhadap penjajahan asing seperti Siam, Portugis, Belanda dan British mungkin boleh dikaitkan dengan gerakan jihad dengan kajian yang lebih teliti dan terperinci.
2. JIHAD DALAM ISLAM
Jihad dalam Islam mempunyai pengertian yang luas iaitu meliputi setiap aktiviti, perbuatan, gerak laku serta daya usaha yang dilakukan semata-mata untuk mendapatkan keredhaan Allah dan meletakkan agamaNya di tempat tertinggi menurut kaedah-kaedah tertentu yang telah digariskan. Jihad dalam Islam bukanlah suatu keganasan sebagaimana tanggapan Barat tetapi satu kaedah untuk mengatasi keganasan dan kezaliman.
Kalimah al jihad sentiasa diulang di dalam kitab suci al Quran. Kalimah ini pada kebiasaannya sentiasa diidafatkan (disandarkan) dengan perkataan lain seperti sabilillah (al jihad fi sabilillah) yang bermaksud berjihad pada jalan Allah. Dalam masa yang sama ayat-ayat mengenai al jihad fi sabilillah ini biasanya diiringi dengan perkataan al mal (harta benda) atau al nafs (jiwa raga). Justeru itu, di antara cara untuk berjihad ialah dengan menggunakan harta dan jiwa raga ( Nik Yusri Musa, 2006: 118).
Kalimah al jihad digunakan untuk memberi pengertian penyerahan daya upaya kekuatan yang berbentuk lahiriyyah atau fizikal seperti kekuatan anggota tubuh badan dan harta benda dalam usaha menegakkan agama Allah. Firman Allah dalam surah al taubah, ayat 20:
الذين ءامنوا وهاجروا وجهدوا في سبيل الله بأموالهم وأنفسهم أعظم درجة عند الله وأولئك هم الفآئزون
‘’Orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah dengan harta benda dan jiwa raga mereka, adalah lebih tinggi darjatnya di sisi Allah dan itulah orang-orang yang mendapat kemenangan’’.
Menurut Ibn Hajar al Asqalani dan ulama’kontemporari, Dr. Wahbah al Zuhayli definisi jihad yang paling tepat dari sudut syariat Islam ialah mencurahkan segala tenaga dan keupayaan dalam memerangi orang kafir dan menahan serangan mereka dengan jiwa, harta dan lidah ( Nik Yusri Musa,2006: 121).
2.1 KEWAJIPAN JIHAD
Jihad menjadi kewajipan secara fardhu ain dalam dua keadaan iaitu apabila negara Islam diserang oleh musuh dan apabila pemerintah atau imam memerintahkan jihad. Apabila negara Islam diserang musuh maka penduduk berkewajipan untuk berjihad mempertahankan negara dan agama dari manusia yang angkuh,sombong dan menolak kebenaran. Allah berfirman dalam surah al Baqarah, ayat 90:
وقتلوا في سبيل الله الذين يقاتلونكم ولا تعتدوا ان الله لا يحب المعتدين
‘’ Dan perangilah di jalan Allah akan orang-orang yang memerangi kamu dan jangan kamu melampaui batas kerana sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas’’.
Tuntasnya, semangat cintakan negara (patriotik) sememangnya dianjurkan di dalam Islam sebagai contoh, umat Islam dianjurkan agar sentiasa bersiap sedia untuk berjihad menghadapi musuh dengan berbekalkan jiwa yang kental, kesabaran serta penyerahan diri kepada Allah. Semangat untuk berjihad dalam Islam juga melambangkan maruah dan harga diri ummah.
3.0 PENJAJAHAN KUASA ASING DI TANAH MELAYU
Penjajahan di Tanah Melayu bermula dengan penguasaan Portugis terhadap Melaka pada tahun 1511. Ini diikuti dengan kedatangan dan penjajahan Belanda, British dan Jepun. Sementara itu, penguasaan Siam terhadap negeri-negeri di Tanah Melayu telahpun bermula sebelum kedatangan kuasa asing lain ke Tanah Melayu. Kuasa-kuasa asing ini telah mengcengkam pemerintahan tempatan dalam segenap aspek merangkumi politik dan pemerintahan, ekonomi serta sosial penduduk setempat.
3.1 PENJAJAHAN SIAM KE ATAS KEDAH
Penjajahan Siam ke atas Kedah berlaku lebih kurang selama 21 tahun iaitu bermula dari tahun 1821 sehingga 1842. Kejatuhan Kedah ke atas Siam berlaku disebabkan oleh faktor luaran dan juga faktor dalaman. Antara faktor luaran yang dikatakan membawa kepada kejatuhan Kedah ke atas Siam adalah penubuhan wangsa Cakri pada akhir kurun ke-18 yang mengamalkan dasar perluasan kuasa (Abdul Rahman Haji Abdullah. 1994: 49 ). Gabenor Nakorn Sithammarat begitu berminat untuk meletakkan Kedah di bawah kawalannya. Walau bagaimanapun, pengaruh Burma yang bertambah kuat di Kedah menghalang hasrat beliau. Tambahan pula, Raja Bagyidaw, iaitu raja Burma yang menaiki takhta pada tahun 1918 ingin menjalankan dasar perluasan kuasanya dan bercita-cita untuk menghapuskan Dinasti Cakri di Siam. Dalam masa yang sama, Sultan Ahmad Tajuddin cuba menjalankan hubungan dengan pelbagai kuasa lain untuk membebaskan Kedah daripada sebarang pengawalan daripada kuasa asing ( Khoo Kay Kim. 1983: 6 ).
Manakala antara faktor dalamannya pula ialah berlakunya perselisihan antara Tunku Yaakob ( Tunku Embun ) dengan abangnya, Sultan Ahmad Tajuddin yang merupakan Sultan Kedah pada ketika itu. Sebagai Raja Muda Kedah, Tunku Yaakob telah meminta izin daripada Sultan Ahmad Tajuddin untuk memerintah Kayang ( Perlis ) dan Setol bagi menggantikan al-Marhum Tunku Dhiauddin, iaitu bapa saudara mereka. Namun permintaan ini ditolak oleh Sultan Ahmad Tajuddin. Baginda ingin melantik Tunku Yusuf, putera Tunku Dhiauddin. Hal ini menimbulkan kemarahan Tunku Yaakob terhadap terhadap Sultan Ahmad Tajuddin ( Buyong Adil. 1983:122 ).
Sebagai tindak balasnya,Tunku Yaakob telah menemui Raja Ligor ( Cao Phya Nakhon Sithammarat ) dan menghasutnya agar menyerang Kedah. Pada peringkat awal,Raja Ligor tidak menyetujuinya. Hanya selepas kejayaan Kedah menakluki Perak pada 1818 atas arahan Siam, sehingga mendapat gelaran “ Cao Phrya ” yang melebihi gelaran Raja Ligor, barulah timbul keinginan untuk menyerang Kedah. Namun pada mulanya Raja Siam ( King Rama п ) masih belum membenarkannya sehinggalah Raja Ligor meyakininya dengan alasan-alasannya iaitu Kedah gagal membayar “bunga mas” serta gagal membekalkan wang dan bekalan-bekalan lain untuk membantu Siam menyerang Burma. Bahkan dikatakan juga bahawa Kedah cuba mengadakan hubungan sulit dengan Burma ( Muhammad Isa Othman. 1990: 28-29 ).
Ada pendapat yang mengatakan bahawa pada 12 November 1821, angkatan Siam yang berjumlah 6,000 orang telah tiba di Kuala Kedah melalui jalan darat dan juga laut ( Khoo Kay Kim. 1983: 6-7 ). Kedatangan mereka secara aman yang disangka untuk mengambil beras seperti yang diminta oleh Gabenor Nakhon Sithammarat dahulu disambut baik oleh para pembesar negeri. Akan tetapi, setelah mengetahui tujuan sebenar kedatangan mereka, maka tercetuslah peperangan di antara kedua-dua belah pihak itu. Dalam pertempuran yang mengejut itu dan tiada sebarang persiapan kerana angkatan Kedah baru sahaja pulang dari Perak. Kedah akhirnya berjaya ditewaskan dengan mudahnya ( Khoo Kay Kim. 1983: 7 ).
Dalam pertempuran ini, Datuk Seri Paduka Raja Laksamana, Temenggung dan beberapa orang pengikut mereka telah gugur ( Khoo Kay Kim. 1983: 7 ) termasuklah Haji Mas’ud bin Abu Su’ud, iaitu seorang ulama’ dari Banjar yang dianggap sebagai pengasas sistem pengajian pondok di Kedah ( Abdul Rahman Haji Abdullah. 1994: 55 ). Manakala Datuk Paduka Maharaja Sura, keluarga Sultan Ahmad Tajuddin dan para pengikut mereka yang lain telah ditawan oleh Siam.
Walau bagaimanapun, Sultan Ahmad Tajuddin telah berjaya melarikan diri ke Pulau Pinang. Angkatan tentera Siam kemudiannya semakin mara ke kawasan-kawasan pedalaman dan mereka bertindak membakar rumah-rumah kediaman penduduk setempat. Penduduk-penduduk tempatan dijadikan tawanan perang. Tawanan lelaki dibunuh manakala tawanan perempuan pula dijadikan isteri dan gundik dengan mencucuk telinga mereka beramai-ramai (Khoo Kay Kim. 1983: 7 ).
3.2 GERAKAN PENENTANGAN DI KEDAH
Pendudukan Siam di Kedah menyebabkan tercetusnya pelbagai siri pemberontakan rakyat tempatan di bawah pimpinan para tokoh bangsawan dan pembesar negeri. Di sini terdapat perselisihan tentang tahun-tahun tercetusnya pemberontakan itu serta tokoh-tokoh yang terlibat di dalamya. Faktor utama tercetusnya pemberontakan ini adalah faktor agama iaitu jihad fisabilillah di samping faktor-faktor sampingan yang lain.
Secara umumnya, terdapat dua bentuk penentangan rakyat Kedah terhadap Siam. Pertama, secara gerila dan yang kedua secara terbuka. Perang gerila dilancarkan sepanjang masa dan secara terus-menerus sehinggalah Sultan Ahmad Tajuddin kembali menaiki takhta semula pada tahun 1843 ( Khoo Kay Kim. 1983: 7 ). Taktik ini dilakukan secara tersembunyi ataupun serangan hendap dan ia lebih dikenali sebagai ‘musuh bisik’. Antara tokoh agama yang terkenal dalam penentangan secara gerila ini ialah Tok Mo Ris ( Tok Bomoh Idris ) yang berasal dari Patani tetapi menetap di Kampung Perupuk,Kubur Panjang ( Abdul Rahman Haji Abdullah. 1994: 51 ). Beliau merupakan guru seni silat yang handal dan pada waktu yang sama beliau juga adalah seorang bomoh yang dikatakan beliau hanya menggunakan ayat-ayat suci al-Quran dalam ilmu bomohnya. Sifat keberanian dan kepahlawanan Tok Mo Ris terserlah apabila beliau bersama-sama angkatan tentera Kedah yang lain bangkit melancarkan serangan ke atas Perak pada tahun 1816 sehingga 1818 dan semasa Siam menyerang Kedah pada tahun 1821 sehingga 1842 ( Khoo Kay Kim. 1983: 2-3). Tok Mo Ris meninggal dunia tidak lama selepas kemangkatan Sultan Ahmad Tajuddin pada tahun 1843 kerana sakit tua dan jenazah beliau dikebumikan di Kampung Perupuk ( Khoo Kay Kim. 1983: 4 ).
Selepas Siam menyerang Kedah pada 12 November 1821, angkatan tentera Kedah yang masih bertahan mengundur diri dan cuba bertahan di kubu pertahanan Kota Kudong iaitu dalam daerah Kota Setar. Di sinilah dikatakan bahawa Pahlawan Tok Mo Ris dan rakan-rakannya menyusun pertahanan terakhir dalam mengharungi saat-saat yang genting pada ketika itu. Dikatakan bahawa ramai angkatan tentera Siam dari darat tewas di sini. Namun, angkatan Siam akhirnya berjaya mendapat bantuan tentera darat dengan segera menyebabkan pasukan Tok Mo Ris terpaksa berundur buat sementara waktu bagi menyusun serangan-serangan secara gerila untuk membebaskan tahanan-tahanan Kedah dan juga tanah air (Khoo Kay Kim. 1983: 7). Ketika Tengku Anum berangkat ke Ligor untuk mencari penyelesaian dengan Siam, angkatan Tok Mo Ris telah membuat serangan hendap yang dahsyat terhadap Siam menyebabkan ramai yang dibunuh dan dianggarkan 40 sehingga 50 orang tentera Siam yang ditawan dan dibawa ke Kampung Perupuk. (Khoo Kay Kim. 1983: 8).
Walau bagaimanapun, penentangan secara terbuka adalah lebih penting berbanding dengan penentangan secara gerila. Ada yang berpendapat bahawa siri pemberontakan rakyat Kedah terhadap Siam bermula pada tahun 1825 yang diketuai oleh Tunku Jafar, iaitu anak saudara sultan Kedah dengan bantuan Tunku Kudin ( Sayid Zainal Abidin ) dengan menyediakan kelengkapan perang untuk menyerang Kedah di Kuala Kedah. Mereka telah mengumumkan kepada orang Melayu di Seberang Perai, Pulau Pinang dan juga di Kedah bahawa mereka akan melancarkan ‘Perang Sabil’ ke atas Siam. Pengisytiharan ini mendapat reaksi yang positif dalam kalangan penduduk. Ada yang sanggup berkorban apa sahaja demi menegakkan syiar Islam. Hal ini terbukti apabila seorang yang berketurunan India Muslim sanggup mengeluarkan perbelanjaan untuk angkatan perang itu. Di samping itu, seorang bangsa Jerman sanggup menawarkan diri untuk memimpin angkatan perang tersebut. Apabila berita ini terdengar kepada orang Inggeris di Pulau Pinang,Tunku Muhammad Jaafar dihalau keluar dari Pulau Pinang. Beliau kemudiannya menyamar diri dan tinggal di Seberang Perai ( Buyong Adil. 1983: 125-126 ).
Siri pemberontakan diteruskan lagi pada tahun 1828/29. Gerakan anti-Siam ini dipimpin oleh Tunku Mohammad Saad, iaitu sepupu Sultan dan dibantu oleh Dato’ Kema Jaya dari Pulau Pinang ( Muhammad Hassan bin To’ Kerani Mohd. Arshad. 1968:149-150 ). Selain itu, ada juga yang berpendapat bahawa siri pemberontakan ini dipimpin oleh Tengku Mohamed Said, iaitu anak saudara sultan sendiri dan Tengku Kudin. Dalam gerakan ini, angkatan Tunku Mohammad Saad telah menyerang Siam dan akhirnya berjaya menawannya. Angkatan ini mengejar angkatan Siam sehinggalah tiba di Haadyai, Singgora (Songkhla) dan seterusnya ke Patani. Malangnya, pasukan Tunku Mohammad Saad berjaya ditewaskan dan beliau akhirnya melarikan diri ke Pulau Pinang ( Abdul Rahman Haji Abdullah. 1994: 55 ).
Siri penentangan ini juga disertai oleh seorang tokoh ulama’ yang terkenal iaitu Syeikh Abdul Samad al-Falimbani yang berasal dari Palembang. Ada pendapat yang mengatakan bahawa beliau hidup sekitar tahun 1710 sehinggalah 1829 ( Abdul Rahman Haji Abdullah. 1994: 58 ). Beliau mendapat pendidikan awal di sekolah pondok di Patani dan seterusnya menyambung pelajarannya ke Makkah. Beliau berjaya mencipta nama sebagai tokoh tasawwuf dan juga mengamalkan ajaran tarikat. Syeikh Abdul Samad al-Falimbani juga dikatakan pernah menulis sebuah kitab yang berjudul Nasihat al-Muslimin wa Tazkiah al-Mukminin fi-Fadhail al-Jihad wa Karamat al-Muhjidin fi-Sabilillah. Buku ini menceritakan tentang keutamaan jihad dan kemuliaan para mujahid di jalan Allah. Khabarnya, sebelum tercetusnya pemberontakan pada tahun1828/29, Syeikh Abdul Qadir telah mengutus surat kepada Syeikh Abdul Samad bahawa umat Islam di Kedah dan Patani sedang menghadapi jihad dalam mempertahankan agama dan tanah air mereka. Dengan perutusan surat tersebut, Syeikh Abdul Samad terus kembali ke tanah air untuk melibatkan diri dalam penentangan itu. Di sinilah dikatakan bahawa beliau menemui syahidnya ( Abdul Rahman Haji Abdullah. 1994: 55-58 ).
Siri penentangan rakyat Kedah terhadap Siam tidak berhenti setakat itu sahaja.Walaupun mengalami kekalahan pada tahun 1828/29, namun semangatjihad fisabilillah tetap membara di dalam sanubari umat Islam di Kedah. Pada tahun 1831/32, Tunku Kudin sekali lagi bangkit memimpin angkatan Kedah yang seramai 5,000 orang dan beratus-ratus yang lainnya dari Pulau Pinang menentang angkatan Siam. Dalam siri pertempuran ini,Tunku Kudin bukan sahaja berjaya merebut Kedah bahkan beliau turut berjaya mengejar tentera Siam hinggalah ke Singgora.
Kejayaan ini memberi peluang kepada Patani untuk bangkit memberontak. Pada ketika itu, keenam-enam wilayah Patani Raya yang diperintah oleh raja-raja Islam menyerang wilayah Patani Raya yang diperintah oleh orang Siam, Nai Phai. Nai Pai akhirnya melarikan diri ke Singgora ( Songkhla ) yang pada waktu itu Kedah sedang bertempur dengan Siam di situ. Tentera Patani yang mengejar Nai Phai akhirnya bersatu dengan tentera Kedah untuk memerangi Siam. Pertarungan semakin sengit apabila Kelantan dan Terengganu turut menghantar bantuan ketenteraannya kepada Kedah di sana. Kejayaan yang dikecapi oleh Kedah pada waktu itu hanya mampu bertahan selama 10 bulan (Abdul Rahman Haji Abdullah. 1994: 52-53 ).
Antara faktor yang menyebabkan kejayaan itu tidak mampu untuk bertahan lama adalah disebabkan oleh tindakan Raja Rama ш yang menghantar empat pasukan tentera yang dipimpin oleh Phraklang untuk membantu Singgora dan Ligor. Di samping itu, kewujudan kapal-kapal Inggeris yang mengepung pantai laut dan kuala-kuala serta daratan Kedah menghalang angkatan Kedah untuk mendapatkan bantuan ketenteraan dan bekalan makanan daripada para penyokongnya. Angkatan Tunku Kudin akhirnya tewas dan dikatakan bahawa beliau meninggal dunia selepas peristiwa itu sama ada dengan cara membunuh diri ataupun dibunuh oleh Siam (Abdul Rahman Haji Abdullah. 1994: 553 ).
Walaupun mengalami kekalahan demi kekalahan, namun angkatan Kedah tetap tidak berputus asa demi membebaskan Kedah daripada kuasa luar. Pada tahun 1838/39, ada yang berpandangan bahawa gerakan anti Siam sekali lagi dicetuskan Tunku Mohammad Saad. Pada mulanya angkatan ini berjaya merebut Kedah sehingga dapat menyerang Siam hingga ke Singgora ( Songkhla ) ( Buyong Adil. 1983: 131 ). Akan tetapi beliau akhirnya mengalami kekalahan setelah Siam mendapat bantuan ketenteraan dari Bangkok. Di pantai laut Kedah pula, penentangan tetap kuat yang dipimpin oleh Wan Mat Ali. Oleh sebab itulah, penentangan pada tahun 1838/39 dianggap menonjolkan kemenangan Islam ke atas kuasa kuffar Siam. Keadaan ini pernah dinukilkan dalam sebuah panji dalam bahasa Arab yang bertarikh 1234 H yang bermakna:
“ Lantaran ini maka berakhirlah pembukaan yang bersejarah dengan pertolongan Islam kemenangan dicapai oleh negeri Kedah.” ( Abdul Rahman Haji Abdullah. 1994: 53-54 ).
Dengan cabaran-cabaran seperti ini, pihak Siam mula menyedari bahawa siri-siri penentangan rakyat Kedah terhadap Siam setelah sekian lama hanyalah membawa lebih banyak keburukan berbanding kebaikan. Tengku Anum dan rombongan diplomasinya akhirnya berjaya berunding dengan Siam untuk mendapatkan semula negeri Kedah dan membebaskan orang tawanan Kedah. Pihak Siam akhirnya mengambil jalan yang boleh memberi sedikit keuntungan kepadanya iaitu dengan cara memulihkan hubungan tribulati dalam bentuk penghantaran ‘bunga mas’ kepada Siam dan membahagikan negeri Kedah kepada empat wilayah kecil iaitu ( Abdul Rahman Haji Abdullah. 1994: 54) :
1)Kedah-yang diperintah oleh Raja Ligor, sedangkan Raja Ligor sendiri sudahpun dinaikkan pangkat sebagai “ Cao Phraya ”.
2)Setol-yang diperintah oleh Tunku Bisnu.
3)Perlis-diperintah oleh Syed Hussein Jamalullail.
4)Kubang Pasu-diperintah oleh Tunku Anum,bapa saudara Sultan Kedah.
( Abdul Rahman Haji Abdullah. 1994: 50).
Pada tahun 1843,Sultan Ahmad Tajuddin akhirnya dapat menaiki takhta semula. Dengan ini, wilayah Kubang Pasu dikembalikan kepada Kedah, Perlis pula menjadi negeri sendiri dan Setol pula menjadi sebahagian daripada Siam ( Abdul Rahman Haji Abdullah. 1994: 54 ). Walaubagaimanapun, Baginda mangkat pada tahun itu juga dan digantikan oleh puteranya,Sultan Zainal Rashid ( Abdul Rahman Haji Abdullah. 1994: 50
3.3 PENJAJAHAN BRITISH DI TERENGGANU
Pada abad ke-19, negeri -negeri Melayu mula menghadapi campurtangan kuasa asing iaitu Inggeris. Negeri Terengganu merupakan negeri yang berjaya mempertahankan maruah pemerintahannya sehingga awal abad ke-20. Pada tahun 1909, negeri Terengganu telah diserahkan oleh Siam kepada British melalui Perjanjian Bangkok dan setelah perjanjian itu pada tahun 1910, seorang wakil British iaitu W. Seott telah dihantar sebagai ejen British ke Terengganu. Apabila Terengganu dijadikan salah sebuah negeri naungan Inggeris pada tahun 1919, Inggeris mula campur tangan dalam hal ehwal pemerintahan ( Timah Hamzah. 1981:23).
Pada tahun 1919, dengan kuat kuasa perjanjian 24 Mei 1919 antara Terengganu dan kerajaan British, seorang penasihat British telah dilantik di Terengganu. Jawatan penasihat yang pertama telah disandang oleh J.L. Humpreys. Bermula dari itu, segala perjalanan pentadbiran; segala cadangan atau syor, dibuat oleh pihak British melalui penasihat British atau Pesuruhjaya Tanah ( Abdullah Zakaria Ghazali.1985: 75).
Walaupun secara zahirnya, segala cadangan atau peraturan baru direncanakan oleh Yang Dipertuan namun, apabila dilihat secara mendalam, segala pengenalan baru ini adalah berpunca dari pegawai British melalui Penasihat British atau Pesuruhjaya Tanah dan Galian. Prosedur dan langkah ini diambil oleh British bertujuan menyekat rakyat kerana sekiranya berlaku tentangan, golongan yang menentang akan dianggap sebagai menderhaka kerana peraturan yang baru itu telah disahkan oleh Yang Dipertuan ( Abdullah Zakaria Ghazali. 1985: 76).
Langkah British ini tidak dapat mengaburi mata penduduk Terengganu kerana terdapatnya tokoh-tokoh yang menyedarkan mereka seperti Haji Abdul Rahman Limbong, Sayid Sagap dan Haji Musa Bin Abdul Ghani.Kedatangan penasihat British di istana telah mempengaruhi pemerintahan Sultan Terengganu dan meninggalkan kesan yang buruk kepada rakyat. Penjajah dianggap sebagai perosak kesejahteraan Sultan dan rakyat serta perlu ditentang. Maka, tercetuslah beberapa siri penentangan dari rakyat Terengganu sebagai manifestasi ketidakrelaan mereka terhadap peraturan-peraturan baru yang dikenakan oleh penjajah (Abdullah Zakaria Ghazali. 1985: 76).
3.4 GERAKAN PENENTANGAN KAUM TANI DI TERENGGANU
Beberapa sistem baru telah diperkenalkan setelah British campur tangan di dalam pentadbiran negeri Terengganu. Pengenalan sistem dan peraturan baru ini telah menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan masyarakat pedalaman seterusnya mencetuskan tentangan pada tahun 1922, kekacauan pada tahun 1925 serta kebangkitan pada tahun 1928. Penentangan masyarakat semakin bertambah melalui penyebaran perasaan anti British oleh Haji Musa bin Abdul Ghani yang mengajar ilmu agama di kawasan Sungai Tersat serta Haji Abdul Rahman Limbong di kawasan Telemong dan Hulu Telemong( Abdullah Zakaria Ghazali.1985: 76).
Pada penghujung tahun 1921, peraturan mengenai tanah diluluskan dan dilaksanakan. Di antara kandungan peraturan ini adalah; Pejabat Tanah membenarkan penempatan sementara dengan membayar lima puluh sen setahun untuk membersihkan tanah dan tidak dibenarkan menebang kayu kayan yang umurnya melebihi tujuh tahun. Ekoran itu, penduduk-penduduk Telemong menentang peraturan tersebut pada Julai dan Ogos 1922. (Abdullah Zakaria Ghazali.1985: 78). Kesannya, empat puluh tiga orang telah disaman oleh Mahkamah Rendah( Second Magistrate) di atas tuduhan membuka tanah dan menebas tanpa pas. Mereka yang didakwa telah dibawa ke muka pengadilan namun kes ini terlepas kerana kecekapan Haji Abdul Rahman Limbong yang bertindak sebagai wakil (pleader) kepada mereka yang tertuduh. Kes ini dibawa ulangbicara di Mahkamah Tinggi pada 31 Oktober 1922 dan 6 November namun kes ini ditangguhkan tanpa sebarang keputusan. Langkah Haji Abdul Rahman Limbong sebagai wakil jelas memperlihatkan perjuangan beliau menentang peraturan baru melalui undang-undang ( Abdullah Zakaria Ghazali.1989: 79).
Pada tahun 1925, kekacauan dilaporkan telah berlaku sekali lagi berikutan tindakan kerajaan melarang petani menanam padi di tanah sementara melainkan dengan kebenaran Jabatan Tanah Kerajaan dengan larangan yang lebih tegas. Pada 3 Mei 1925, sekumpulan petani yang berjumlah 300 hingga 500 orang berkumpul di tanah Mat Zin bin Matmin di Kuala Telemong. Mereka dikatakan datang dari daerah Belimbing, Tersat, Berang, Telemong dan Ulu Nerus dan dipimpin oleh Mat Zin bin Matmin, Lebai Abdul Rahman (Tok Janggut), Wok bin Mamat (kerani kepada Mat Zin), Haji Zakaria atau Keria Telemong, Abdul Hamid, Ku Mat atau Ku Mat Pueh dan Che Man Pendekar (Timah Hamzah.1981:75).
Menurut Penghulu Abdullah, mereka yang dikerah itu bukan sahaja membawa beras segantang tetapi juga siap dengan parang, pisau dan keris. Mereka yang berjumlah 2,000 orang itu dikatakan telah diarah ke Kuala Terengganu untuk bersama-sama berjuang dalam perang Sabil menentang kerajaan British dan mengembalikan takhta kepada Sultan Muhammad dan Haji Abdul Rahman Limbong dilantik sebagai Menteri Besar (Timah Hamzah.1981:76).
Hakikatnya, tiada kekacauan yang berlaku pada 1925 sebagaimana yang dilaporkan. Perkumpulan ramai di Kuala Telemong adalah untuk membersihkan tanah Tengku Nik, saudara perempuan Sultan Sulaiman semata-mata. Tindakan membawa senjata adalah satu kebiasaan petani kerana ia adalah alat utama untuk menebas dan membersih tanah. Walau bagaimanapun, pergerakan penduduk dicurigai oleh British malah mereka dianggap mahu menentang kerajaan. Anggapan itu diperbesar-besarkan dan perkumpulan penduduk itu di gelar sebagai kumpulan pemberontak (Timah Hamzah.1981:77).
Pada Julai 1927, kerajaan telah membentuk Tanah Penempatan di semua mukim Kuala Berang dan pada Mac 1928, tanah yang dijadikan tanah penempatan itu dikenakan pula sewa. Tindakan ini ditentang oleh golongan tani. Pada 6 Mei 1928, Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah telah berangkat ke Kuala Brang. Pada 7 Mei 1928, seramai 1000 hingga 3000 orang berkumpul untuk mendengar titah Sultan. Pada kesempatan itu, rakyat telah diberi peluang mengadu hal dan rasa tidak puas hati mereka terhadap pembayaran pas, sewa, nikah cerai dan larangan membawa senjata sedangkan senjata amat diperlukan untuk menjalankan kerja mereka serta menjaga keselamatan mereka dari binatang buas di hutan(Timah Hamzah.1981:97).
Namun, aduan mereka tidak diterima oleh Sultan dan kerajaan sepenuhnya sebaliknya mereka diminta pulang ke kampung mereka dengan aman. Kedatangan Sultan ternyata tidak dapat memuaskan kehendak dan rasa tidak puas hati rakyat terhadap kerajaan. Pengenalan cukai, pas dan syarat-syarat lain dibuat atas kepentingan British tanpa menimbangkan kesusahan rakyat. Rakyat mulai sedar dan merasakan Sultan telah dipengaruhi British hinggakan aduan mereka diketepikan. Rayuan secara lembut dan terbuka tidak memberi kesan kepada kerajaan dan rakyat perlu bertindak lebih tegas untuk mempertahankan hak mereka(Timah Hamzah.1981:98).
Kemuncak penentangan kaum tani terhadap kerajaan tercetus pada tahun 1928. Peranan Haji Abdul Rahman Limbong dalam penentangan kali ini tidaklah ketara seperti pada permulaannya. Namun, beliau berperanan penting dalam menaikkan semangat rakyat tani yang tertindas dalam sistem tanah (enakmen) baru kerajaan. Pengaruh beliau digunakan seluas-luasnya untuk mengerah masyarakat bangkit menuntut keadilan. Kesannya, penduduk di daerah-daerah di Terengganu serta di Beserah dan Kelantan berjaya dikumpul dan disatukan atas dasar berjihad ke jalan Allah (Timah Hamzah.1981:81).
Pada 19 Mei 1928, seramai 400 orang telah berkumpul di rumah Che’ Ismail di Kuala Pur lengkap bersenjata dikatakan hendak menyerang Pegawai Daerah serta Sarjan Polis di Kuala Brang pada esok harinya. Serentak itu, seramai 600 orang berkumpul di Gambang, Kuala Brang. Pada 21 Mei 1928, seramai 700 orang petani telah menduduki bangunan kerajaan di Kuala Brang dan mengibarkan bendera merah yang menandakan peperangan. Pada 22 Mei 1928, seramai 150 hingga 200 orang telah memecahkan Balai Polis Kuala Brang dan dijangka akan menyerang balai polis di Kuala Telemong, Bukit Payung dan menuju ke Kuala Terengganu(Timah Hamzah.1981:98).
Sehubungan itu, Sultan memerintahkan Dato Lela, Dato Amar, Tengku Setia ( setiausaha negeri), Dato Andika dan Tengku Nara ke Kuala Berang dengan segera untuk bertindak ke atas tentangan petani itu bersama 25 orang polis. Mereka bergerak menuju ke sana. Dalam jarak 150 ela, pasukan kerajaan di bawah pimpinan Dato Pahlawan menyeru mereka berhenti dan jika tidak mereka akan digelar penderhaka kepada Sultan (Timah Hamzah.1981:102).
Seruan Dato Panglima tidak berjaya menyekat kemaraan para petani. Apabila jarak antara kumpulan petani dan pasukan kerajaan semakin dekat iaitu hanya kira-kira 40 ela, Sarjan Abdul Rahman menerima perintah dari Dato Lela agar mengangkat senjata dan menembak dengan alasan menyelamatkan nyawa mereka sendiri. Pada tembakan kali pertama, kumpulan petani masih mara ke hadapan dan sehingga tembakan ketiga barulah mereka berhenti dan pada tembakan keempat mereka berundur. Pertempuran ini membunuh sebelas orang petani di Ulu Telemong (Timah Hamzah.1981:104).
Setelah itu, pihak kerajaan giat mencari para pemimpin dan ketua kebangkitan tani 1928. Pada 27 Mei 1928, Penghulu Omar telah ditangkap dan dipenjarakan. Pada Jun 1928 pula, Che’ Ismail Kuala Pur bersama-sama Haji Zakaria atau Karia Telemong ditangkap. Ini diikuti oleh penyerahan diri beberapa orang pemimpin seperti Abu Bakar Genting, Abdullah Jurukaka, Engku Mat Kuala Pueh, Haji Tahir Gunung, Mamat Tok Pitas, Lebai Hassan Kuala Menjing, Mat Zin Matmin Kuala Telemong dan Penghulu Darus. Pemimpin-pemimpin ini dibicarakan di Istana Maziah Kuala Terengganu dan dijatuhkan hukuman pada 11 Jun 1928 (Timah Hamzah.1981:105).
Peranan dan pengaruh Haji Abdul Rahman Limbong menyebabkan beliau dianggap oleh Inggeris sebagai orang yang bertanggungjawab mencetuskan kebangkitan masyarakat petani pada 1928 di Ulu Terengganu yang dianggap sebagai satu gerakan radikal. Beliau dituduh sebagai pendokong cita-cita menderhaka oleh pegawai Inggeris seperti Thomson dan Humpreys. Disebabkan ketegangan sosiopolitik ini, beliau telah dibicarakan dan kerajaan Terengganu mengambil tindakan membuang Haji Abdul Rahman Limbong ke Makkah. Pada 13 Jun 1928, beliau dibawa ke Singapura dan diletakkan di bawah jagaan Kerajaan Negeri-Negeri Selat dan pada 19 Ogos 1928 beliau dibawa ke Makkah ( Timah Hamzah.1981: 108).
4. KESIMPULAN
Kedatangan penjajah ke Tanah Melayu telah membawa unsur-unsur luar yang menyebabkan masyarakat di Tanah Melayu merasa tidak aman dan terancam. Mereka tidak terlepas dari menerima unsur-unsur ‘revivalisme’ iaitu kehilangan budaya serta gangguan terhadap hukum tradisional disebabkan perubahan sosial semasa. Ini mencetuskan hasrat rakyat untuk mengembalikan nilai-nilai hidup yang lama, kepatuhan serta rasa bertanggungjawab terhadap agama Islam. Ini mendorong timbulnya semangat mereka untuk menentang penjajah yang dianggap telah menyelewengkan amalan-amalan nilai hidup setempat.
Sikap dan semangat berkobar-kobar untuk mengembalikan kedaulatan negeri mulai muncul apabila berhadapan dengan campur tangan penjajah. Rasa tidak puas hati rakyat dalam bidang politik, agama dan ekonomi dizahirkan dalam bentuk penentangan. Penentangan yang dilancarkan pula berasaskan faktor keislaman iaitu kebangkitan perasaan anti terhadap penjajah yang terdiri dari golongan kafir. Ini bertepatan dengan seruan jihad di mana terdapat banyak ayat-ayat al Quran yang melarang orang Islam diperintah oleh orang kafir.
Jihad fi sabilillah menjadi pegangan utama dalam gerakan penentangan umat Islam di Tanah Melayu. Penentangan demi penentangan dilakukan untuk menegakkan keadilan serta menghapuskan kezaliman, penindasan, penyelewengan, kemungkaran dan fitnah. Penguasaan,kongkongan dan penghinaan orang-orang kafir ke atas orang Islam tidak akan berakhir tanpa jihad. Ajaran agama Islam yang telah sebati di dalam jiwa rakyat telah berjaya melahirkan semangat juang untuk mempertahankan kedaulatan agama dan negara dari ditindas dan dipijak oleh penjajah yang datang ke Tanah Melayu pada waktu itu.
5. RUJUKAN
Abdul Basir Alias. 2002. Ancaman Nasionalis Sekular Ekstrim di Malaysia.Selangor: As- Syabab Media.
Abdul Rahman Haji Abdullah.1994. Gerakan Anti Penjajahan di Malaysia 1511-1950 Pengaruh Agama dan Tarikat. Kuala Lumpur: Penerbitan Kintan Sdn. Bhd.
Abdullah Zakaria Ghazali.1985. Pesaka III. Terengganu: Lembaga Muzium Negeri Terengganu.
Buyong Adil. 1983. Perjuangan Orang Melayu Menentang Penjajahan Abad 15-19. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Khoo Kay Kim. 1983. Beberapa Aspek Sejarah Kedah. Kuala Lumpur: Persatuan Sejarah Malaysia.
Md. Akhir Hj. Yaacob. 1986. Jihad: Kaedah dan perlaksanaannya. Selangor: Dewan Pustaka Fajar.
Muhammad Hassan bin To’ Kerani Mohd. Arshad. 1968. Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Muhammad Isa Othman. 1990. Politik Tradisional Kedah. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Nik Yusri Musa. 2006. Tamadun Islam dan Tamadun Asia Tenggara. Bangi: Pusat Pengajian Umum Universiti Kebangsaan Malaysia.
Shafie bin Abu Bakar.1989. Pesaka IV. Terengganu: Lembaga Muzium Negeri Terengganu.
Timah Hamzah.1981. Pemberontakan Tani 1928 di Terengganu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Tuesday, December 24, 2013
The Road Has Been Taken
The Road Not Taken by Robert Frost
Two roads diverged in a yellow wood,
And sorry I could not travel both
And be one traveler, long I stood
And looked down one as far as I could
To where it bent in the undergrowth;
Then took the other, as just as fair,
And having perhaps the better claim
Because it was grassy and wanted wear,
Though as for that the passing there
Had worn them really about the same,
And both that morning equally lay
In leaves no step had trodden black.
Oh, I kept the first for another day!
Yet knowing how way leads on to way
I doubted if I should ever come back.
I shall be telling this with a sigh
Somewhere ages and ages hence:
Two roads diverged in a wood, and I,
I took the one less traveled by,
And that has made all the difference.
And sorry I could not travel both
And be one traveler, long I stood
And looked down one as far as I could
To where it bent in the undergrowth;
Then took the other, as just as fair,
And having perhaps the better claim
Because it was grassy and wanted wear,
Though as for that the passing there
Had worn them really about the same,
And both that morning equally lay
In leaves no step had trodden black.
Oh, I kept the first for another day!
Yet knowing how way leads on to way
I doubted if I should ever come back.
I shall be telling this with a sigh
Somewhere ages and ages hence:
Two roads diverged in a wood, and I,
I took the one less traveled by,
And that has made all the difference.
Friday, December 13, 2013
Ukhuwwah Fillah
Dalam sesebuah perhubungan sama ada hubungan kekeluargaan mahupun persahabatan, adakalanya kita diuji dengan beberapa situasi :
Membenarkan sikap-sikap buruk teman atas nama sayang, tanpa mahu ditegur atau diberitahu langsung agar diperbaiki sikap buruknya itu.
*** Bantulah sahabat untuk menjadi lebih baik secara berhikmah
Egois. Merasa diri betul. Tidak mahu menerima teguran apatah lagi mengubah diri.
*** Lihatlah dengan pandangan hati yang jernih. Berubah untuk kebaikan semua.
Mementingkan diri.
*** Ukhuwah bukan cerita tentang senyuman manis dan indah semata. Ada masa kita berkongsi kesedihan dan kesukaran.
Menyakiti hati individu-individu di sekeliling kita dengan sengaja atau tidak disebabkan oleh emosi, stress dan tekanan.
*** Belajarlah mengendalikan emosi. Mengurus tekanan. Agar dapat menyantuni individu di sekeliling kita.
Merasa diri banyak melakukan kebaikan dan pengorbanan.
*** Sesuatu perhubungan dapat diteruskan dengan adanya tolak ansur, saling bantu-membantu. banyak memberi. Ikhlaskan diri dalam memberi semata-mata kerana Allah agar tidak timbul rasa tidak puas hati apabila merasakan diri sendiri yang banyak melakukan kebaikan dan pengorbanan dalam persahabatan berbanding teman.
Buruk sangka
*** Adakalanya tindakan sahabat-sahabat kita diluar jangkaan dan menimbulkan kemarahan. Berbaik sangkalah. Dan kedua-dua pihak, berusahalah untuk memberikan penjelasan yang baik apabila timbul perselisihan dan salah faham.
Melihat kelemahan dan kekurangan sahabat dengan mengabaikan kelebihannya.
*** Ada banyak sebab kita menyukai dan serasi dengan seseorang. Antaranya kerana kita adalah pelengkap kepada kekurangannya dan kelebihannya adalah pelengkap kepada kekurangan kita. Berlapang dadalah dengan kekurangannya kerana kelebihannya seringkali membahagiakan. Tiada yang sempurna, demikian juga diri kita yang ada banyak kekurangannya.
Rasa dengki dengan kebaikan yang diperolehi oleh sahabat.
*** Banyakkan beristighfar kerana hati kita sedang sakit. Bergembiralah dengan kebaikan tersebut, berkongsilah kebahagiaan dengannya. Nescaya kita beroleh ketenangan.
Muhasabah Diri. Perbaiki hati. Jadilah Bahagia dan Membahagiakan.
Strive for mardhatillah :)
Tinggikan nilai ukhuwwah kerana Allah
Thursday, November 21, 2013
Dalam Hati Ada Taman
Dalam hidup, pelbagai peristiwa kita lalui
Adakala ia membuat kita rasa gembira, sedih, kecewa, marah ataupun takut dan bimbang.
Tidak dinafikan, kita memerlukan inspirasi dan motivasi untuk terus bertahan
Saat dilanda ujian berbentuk kesusahan
Kerana sifat manusia itu lemah
Lemahnya manusia ini
Melahirkan sifat pergantungan mereka kepada Allah
Kerana Allah mempunyai segala kelebihan ke atas makhluk ciptaanNya
Cukuplah Allah sebagai pelindung dan kepadaNya dicurahkan segala pengharapan.
Ingatlah Allah di waktu senang dan susah.
Lazimkan diri mengingati Allah dalam segenap urusan dan perjalanan kehidupan kita
Kerana kita adalah hambaNya
Yang pasti pulang menemuiNya
Pada saat, detik dan ketika
yang telah tercatat.
Untuk kehidupan yang masih berbaki ini
Ucapkanlah Alhamdulillah
Setinggi-tinggi kesyukuran atas rahmat dan kasih sayangNya
Lantunkan juga permohonan ampun terhadap dosa-dosa yang telah kita lakukan
Istighfar, sucikan hati
Hidupkan jiwa yang sentiasa mengingati Allah
Wahai Allah, Tuhan yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang
Bantulah kami untuk mengingatiMu, mensyukuri kurniaanMu serta mudahkanlah kami untuk melakukan ketaatan kepadaMu serta jauhkanlah kami dari melakukan kemaksiatan.
Allahumma ameen..
Senyumlah dan berbahagialah dengan kehidupan kita.
Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud : Sungguh ajaib keadaan seorang mukmin. Seluruh keadaannya pasti menjadi baik. Dan ia tidak dimiliki oleh sesiapapun melainkan orang beriman. Apabila ia memperoleh kenikmatan, ia akan bersyukur. Maka kesenangan itu akan menjadi kebaikan buat dirinya. Sekiranya ia ditimpa kesusahan lalu dia bersabar, maka kebaikan buat dirinya.
Beruntungnya orang beriman dengan sifat-sifatnya yang mulia. Moga kita mampu terus bergerak menjadi hamba Allah yang sedemikian. Fastabiqul khairat !
p/s : sahabat-sahabat yang terbaca entri kali ini..
senyum kat adik comel ni.
keceriaan pada wajahnya ini memantulkan keceriaan pada diri kita juga.
senyum
Ana | Taman Hati | 21112013 | 1129pm
Monday, November 18, 2013
Sunday, November 17, 2013
Saturday, November 16, 2013
Monday, November 11, 2013
PadaNya ada Kedamaian
hujan di hati. gerimis di jiwa..
Sirami, basahilah hati dengan peringatan-peringatan yang membawa diri kembali mengingati Allah
Ada masa, kita merasa kusut.
Mencari ketenangan, kedamaian jiwa
'' Carilah tenang, dapatkan bahagia, cintakan Allah setiap masa.
Bila zikrullah dihayati, barulah bahagia diperolehi ''
Ada benarnya. Dengan mendekat kepada Allah, jiwa terasa damai. Tenang.
Cukup dengan menggerakkan langkah ke rumah Allah. Bersimpuh menghadapnya di masjid.
Mendengar alunan kalamullah yang dilantunkan oleh jemaah di dalamnya.
Mengikuti tatatertib imam di dalam solat.
Mengaminkan doa bersama jemaah.
..................................................................................................................................................
Mendengar kuliah, mengisi kekosongan jiwa dari santapan rohani.
Ilmu itu cahaya. Cahaya yang menyinari kesuraman hati.
'' Setinggi mana ilmu yang kamu miliki sekiranya ia tidak membawa kamu dekat kepada Allah, ia tidaklah membawa kebahagiaan kepadamu'' kerana apa yang dicari dalam kehidupan yang sementara ini adalah pandangan dan rahmat Allah. Itulah kebahagiaan bagimu yang sebenar.
'' Tenang itulah tanda bahagia
Tiada tenang kan keluh kesah
Bila tiada kebahagiaan
Hidup penuh kepuraan ''
p/s : Siramilah, basahilah jiwa dengan peringatan-peringatan yang mendekatkan diri kepada Allah.
ana | Teratak Hati | 12112013 | 0011 am
Monday, October 28, 2013
TarbiyahMu Indah
Genap dua semester
ana menetap di Ulin Nuha bersama-sama sahabat seperjuangan. Kini, menjengah ke semester tiga. Banyak cerita dan
kisah kami bersama. Banyak pengalaman ana peroleh. Setiap individu mempunyai
personality tersendiri yang pastinya menyumbang kepada biah solehah yang
diimpikan di dalam sebuah keluarga.
Kehidupan kami di sebuah teratak yang
dinamakan ‘Ulin Nuha’ merupakan suatu hadiah yang bernilai dari Allah. Di
dalamnya, kami ditarbiah untuk menjadi seorang muslimah yang lebih baik.
Setentunya, proses mengislah diri adalah satu proses yang berterusan.
Soal ibadah,
kebajikan, hubungan sesama ahli keluarga amatlah dititikberatkan.
Matapelajaran
kehidupan dan kemanusiaan.
Tiada garis panduan yang tetap sebagaimana subjek akademik lain-lainnya. Memadai aplikasi dan praktik ilmu tersebut dalam kehidupan mendatang.
Tiada garis panduan yang tetap sebagaimana subjek akademik lain-lainnya. Memadai aplikasi dan praktik ilmu tersebut dalam kehidupan mendatang.
Ada perdana menteri,
menteri hal-ehwal agama, menteri perhubungan, bendahari dan menteri kerja raya.
Sekadar menggambarkan setiap orang mempunyai peranan masing-masing yang cukup
penting.
Dari seorang teman,
ana menyedari usaha untuk istiqamah dalam amal kebaikan adalah amat penting.
Dari seorang teman
juga, ana menyedari betapa berharganya penjimatan air, elektrik dan makanan.
Dari seorang teman
yang lain, ana menyedari tanggungjawab setiap ahli keluarga untuk menjaga
kepentingan bersama.
Dari seorang teman
lain lagi, ana menyedari kebersihan dan kekemasan adalah nilai utama seorang
muslimah.
Setiap kali ada
masalah yang timbul, kami akan bermesyuarat. Berbincang dan mencari
penyelesaian bersama. Adab berkeluarga.
** Buat warga Ulin Nuha, uhibbukum fillah**
Tarbiah itu datang dalam pelbagai bentuk, aneka ragam.
Moga tarbiah yang telah, sedang dan bakal dilalui menjadikan kita individu-individu yang sentiasa meningkat, menuju kepada islah dan tajdid.
ana | hotel tarbiyahMu Indah | 29102013 | 0112 am
Tuesday, October 22, 2013
Jalan Juang
Islam dan Perjuangannya.
Tujuan hidup manusia menghambakan diri kepada penciptaNya.
Catatan : Hiduplah dalam kebaktian kepada Islam dan perjuangannya demi memenuhi tujuan kembara di dunia.
Moga Allah meneguhkan pendirian, menguatkan keyakinan dan terus berada pada jalan yang diredhaiNya.
Allahummansurna.
Ana | Teratak Hati | 23102013 | 0245 am
Monday, October 21, 2013
Moga Allah Merahmatinya
Sambil2 dengar lagu 'bahagia', terpandang facebook arwah Abdullah Azahari. Sungguh, beliau banyak mengingatkan diri ini mengenai kematian.
Bahagia melihat persaksian teman- temannya mengenai kebaikan budi dan akhlaknya.
Moga Allah merahmatinya. Ameen
Dan
Moga Allah mengurniakan kepada kita pengakhiran yang baik. Allahumma ameen..
Catatan : Monolog kepada diri sendiri
Sunday, October 20, 2013
Motivasi
Bismillahirrahmanirrahim..
"Kewajipan itu lebih banyak (untuk dilaksanakan) daripada masa yang ada".
- Quotation For This Day -
Ingat Nik, banyak perkara perlu dilaksanakan.
Terus berusaha, moga Allah permudahkan.. Allahumma ameen
Catatan : Memotivasikan diri sendiri. ~
Ana | Ruangan Kerja | 21102013 | 0207 am
Subscribe to:
Posts (Atom)