Bismillahirrahmanirrahim..
Catatan 30082013
Pemergian seorang insan bernama Abdullah Azahari kembali memberi ingatan kepada diri ini bahawa kematian itu tidak mengira usia. Tidak dilewatkan mahupun dicepatkan. Ia menurut aturan Allah.
Mengenal arwah dalam tempoh yang pendek. Rakan sekelas semasa form 1. Antara ingat dan tidak.
Saat mendengar perkhabaran arwah pergi menemui Ilahi, diri turut merasa sebak.
Membaca kata-katanya,
Mengapa Allah bagi aku peluang untuk hidup lagi hari ini?
Kerana dosaku sangat banyak.
Allah bagi peluang untuk bertaubat lagi.
Begitu pemurah sekali Allah.
Mati itu tidak mengenal tua dan muda.
Gunalah sebaiknya masa yang ada.
Sungguh demi masa, manusia itu sangat rugi.
Terasa nasihat yang menembusi minda dan hati.
Melihat komentar-komentar sahabat- sahabat beliau di fb, rasa terharu.
al- Fatihah, moga tergolong dalam kalangan hamba-hambaNya yang diredhai.
Allahummaghfir lahu, warhamhu, wa 'afihi, , wa' fu anhu.
Muhasabah : Mati itu pasti dan diri ini juga akan menyusul pada masa yang dijanjikanNya.
"Jadikanlah dirimu orang alim atau orang yang menuntut ilmu atau orang yang selalu mendengar pelajaran agama, atau pun orang yang mencintai (tiga golongan yang tersebut); dan janganlah engkau menjadi (dari) golongan yang kelima, yang dengan sebabnya engkau akan binasa."
Monday, August 26, 2013
Thursday, August 22, 2013
'MAHU' atau 'TIDAK'
Dalam membuat keputusan terhadap sesuatu perkara, ada dua jawapan utama. Sama ada jawapan adalah 'MAHU' atau 'TIDAK'
'MAHU' mencetuskan satu gerakan yang mengarahkan diri kepada tindakan mahupun pelaksanaan bagi mencapai apa yang diputuskan.
'MAHU' adalah motivasi yang mengerakkan usaha.
Sekiranya kita memilih 'MAHU', maka seolah-olah muncul pintu pada dinding yang tertutup pada permulaannya.
Sebaliknya apabila kita memilih 'TIDAK', yang kelihatan di hadapan kita adalah dinding dan kita kekal berdiri di hadapan dinding itu tanpa meneruskan langkah. Sebuah benteng wujud dan menghalang kita ke hadapan.
Setiap pilihan sama ada 'MAHU' atau 'TIDAK' mempunyai kesan yang tersendiri ke atas diri kita.
Pilihan yang membawa kebaikan tentunya melalui pertimbangan agama dan akal yang sejahtera dipandu dengan istikharah dan istisyarah.
Pilihlah. Keputusan perlu dibuat. Melewat-lewatkan pemilihan 'MAHU' atau 'TIDAK' menyebabkan kita melakukan pembaziran dan merugikan diri.
Catatan : Berusaha untuk membuat keputusan dalam kehidupan dengan pertimbangan agama dan akal yang sejahtera dipandu dengan istikharah dan istisyarah.. Bergeraklah kepada kebaikan dengan segera.
Di mana ada kemahuan, di situ ada highway - InsyaALLAH-
'MAHU' mencetuskan satu gerakan yang mengarahkan diri kepada tindakan mahupun pelaksanaan bagi mencapai apa yang diputuskan.
'MAHU' adalah motivasi yang mengerakkan usaha.
Sekiranya kita memilih 'MAHU', maka seolah-olah muncul pintu pada dinding yang tertutup pada permulaannya.
Sebaliknya apabila kita memilih 'TIDAK', yang kelihatan di hadapan kita adalah dinding dan kita kekal berdiri di hadapan dinding itu tanpa meneruskan langkah. Sebuah benteng wujud dan menghalang kita ke hadapan.
Setiap pilihan sama ada 'MAHU' atau 'TIDAK' mempunyai kesan yang tersendiri ke atas diri kita.
Pilihan yang membawa kebaikan tentunya melalui pertimbangan agama dan akal yang sejahtera dipandu dengan istikharah dan istisyarah.
Pilihlah. Keputusan perlu dibuat. Melewat-lewatkan pemilihan 'MAHU' atau 'TIDAK' menyebabkan kita melakukan pembaziran dan merugikan diri.
Catatan : Berusaha untuk membuat keputusan dalam kehidupan dengan pertimbangan agama dan akal yang sejahtera dipandu dengan istikharah dan istisyarah.. Bergeraklah kepada kebaikan dengan segera.
Di mana ada kemahuan, di situ ada highway - InsyaALLAH-
Tuesday, August 20, 2013
Puasa Sunat Syawal dan Puasa Qadha
Puasa Sunat Enam Syawal
Persoalan Sunat Sebelum Qadha & Qadha campur Sunat
oleh : Dr Abu Anas al- Madani
بسم الله الرحمن الرحيم
الحمد لله رب العالمين، والصلاة والسلام على رسوله الأمين، وعلى آله وصحبه أجمعين.
Ibadah puasa adalah suatu amalan mulia yang amat digalakkan oleh Islam. Selain puasa fardhu Ramadhan, umat Islam juga boleh melakukan ibadat puasa sunat di luar bulan Ramadhan. Ada puasa sunat yang bersifat mingguan (seperti berpuasa pada hari isnin dan khamis), puasa bulanan (tiga hari dalam sebulan) dan puasa tahunan (hari Arafah, ’Asyura’ dan enam hari dalam bulan Syawal).
Puasa adalah satu ibadah yang besar keutamaannya. Abu Hurairah radhiallahu ‘anhu meriwayatkan bahawa Rasulullahsallallahu’alaihiwasallam bersabda, Allah subhanahu wata’aalaberfirman (dalam hadis Qudsi):
(( كُلُّ عَمَلِ ابْنِ آدَمَ لَهُ إِلا الصِّيَامَ؛ فَإِنَّهُ لِي وَأَنَا أَجْزِي بِهِ... وَالَّذِي نَفْسُ مُحَمَّدٍ بِيَدِهِ لَخُلُوفُ فَمِ الصَّائِمِ أَطْيَبُ عِنْدَ اللهِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ مِنْ رِيحِ الْمِسْكِ )) رواه مسلم.
Maksudnya: “Setiap amal manusia adalah untuk dirinya kecuali puasa, ia adalah untuk-Ku dan Aku memberi ganjaran dengan (amalan puasa itu).” (Rasulullah menjelaskan): “Demi Allah yang jiwa Muhammad berada di tangan-Nya, nafas orang yang berpuasa adalah lebih harum di sisi Allah berbanding wangian kasturi.” [Sahih Muslim no: 1151] Selain hadis di atas, terdapat banyak hadis lain yang menerangkan keutamaan puasa sunat.
Abu Said Al-Khudri ra berkata: Rasulullah saw bersabda:
(( مَنْ صَامَ يَوْمًا فِي سَبِيلِ اللهِ بَعَّدَ اللهُ وَجْهَهُ عَنْ النَّارِ سَبْعِينَ خَرِيفًا )) رواه البخاري.
Maksudnya: “Sesiapa yang berpuasa satu hari pada jalan Allah, nescaya Allah swt menjauhkan mukanya dari api neraka selama 70 tahun”. [Sahih Al-Bukhari no: 2840]
Di antara puasa sunat ialah puasa enam hari pada bulan Syawal.
Dalil Puasa Sunat Enam Syawal.
Abu Ayyub Al-Ansari ra berkata: Rasulullah saw bersabda:
(( مَنْ صَامَ رَمَضَانَ ثُمَّ أَتْبَعَهُ سِتًّا مِنْ شَوَّالٍ كَانَ كَصِيَامِ الدَّهْرِ)) رواه مسلم.
Maksudnya: “Sesiapa yang berpuasa Ramadhan kemudian dia mengiringinya dengan enam hari dari bulan Syawal maka seperti ia berpuasa sepanjang tahun.” [Sahih Muslim hadis no: 1164].
Di dalam hadis ini Rasulullah saw menyatakan bahawa puasa enam hari selepas bulan Ramadhan akan diganjari pahala seolah-olah berpuasa selama setahun.
Para ulama’ menghuraikan rahsia di sebalik ganjaran tersebut dengan mendatangkan dalil bahawa setiap amalan kebaikan manusia akan diganjari sebanyak 10 kali ganda. Puasa 30 hari di bulan Ramadhan diganjari sebanyak 300 hari, manakala puasa 6 hari di bulan Syawal pula diganjari dengan 60 hari. Jika dikira jumlahnya ialah 360 hari, ia hampir menyamai jumlah hari di dalam setahun sebanyak 360 hari. Sesungguhnya Allah swt maha berkuasa untuk memberikan ganjaran sebanyak mana yang dikehendaki-Nya.
Hikmah Puasa Sunat Enam Syawal.
Sebenarnya puasa enam hari ini mempunyai beberapa hikmah yang tertentu dari sudut kesihatan manusia itu sendiri. Puasa selama sebulan penuh di bulan Ramadhan antaranya menyebabkan sistem percernaan di dalam badan berehat seketika di waktu siang selama sebulan. Kedatangan bulan Syawal pula menyebabkan seolah-olah ia mengalami kejutan dengan diberikan tugas mencerna pelbagai makanan pada hari raya dan hari-hari selepasnya. Oleh kerana itulah, puasa enam ini memberikan ruang kembali kepada sistem pencernaan badan untuk berehat dan bertugas secara beransur-ansur untuk kebaikan jasmani manusia itu sendiri.
Selain dari itu, sebagai manusia yang menjadi hamba kepada Allah swt, alangkah baiknya seandainya amalan puasa yang diwajibkan ke atas kita di bulan Ramadhan ini kita teruskan juga di bulan Syawal walaupun sekadar enam hari. Ini seolah-olah menunjukkan bahawa kita tidak melakukan ibadat puasa semata-mata kerana ia menjadi satu kewajipan tetapi kerana rasa diri kita sebagai seorang hamba yang benar-benar bersunguh-sungguh untuk taqarrub kepada tuhannya. Kerana itulah kata ulama’: “Betapa malangnya orang yang hanya mengenal Allah pada bulan Ramadhan, sedangakan pada bulan lain Allah swt dilupai”.
Hukumnya adalah sunat. Berkata Imam An-Nawawi rh: “Hadis ini jelas menjadi dalil bagi mazhab Imam al-Syafi’e, Imam Ahmad, Daud dan ulama’ yang sependapat dengan mereka bahawa disunatkan berpuasa enam hari (pada bulan Syawal).
Imam Malik dan Imam Abu Hanifah pula menganggap hukumnya makruh. Sebabnya kerana bimbang orang ramai akan menyangka ia adalah sebahagian dari puasa Ramadhan (yang wajib hukumnya) padahal ia bukanlah dari puasa Ramadhan.” [Syarah Sahih Muslim 8/56]
Puasa sunat enam Syawal paling awal dimulakan pada 2 Syawal. Ini kerana tarikh 1 Syawal adalah hari Eidil Fitri dan kita dilarang dari berpuasa pada hari tersebut. Abu Hurairah ra berkata:
( أَنَّ رَسُولَ اللهِ r نَهَى عَنْ صِيَامِ يَوْمَيْنِ: يَوْمِ الأَضْحَى، وَيَوْمِ الْفِطْرِ ) رواه مسلم.
Maksudnya: “Nabi saw melarang puasa pada hari (Eidil) Fitri dan (Eidil) Adha.” [Sahih Al-Bukhari no: 1991].
Syarat dan adab bagi puasa sunat enam Syawal adalah sama seperti puasa wajib pada bulan Ramadhan.
1- Adakah ia dilaksanakan secara berturut-turut selama enam hari atau secara terputus?
Pandangan yang lebih tepat adalah ia boleh dilakukan secara terputus (tidak berturut-turut) asalkan jumlah enam hari dicukupkan sebelum berakhirnya bulan Syawal. Ini kerana apabila Rasulullah saw menganjurkan puasa sunat enam hari ini, baginda menyebut bulan Syawal secara umum tanpa memberi ketentuan hari-harinya. Maka puasa enam tersebut boleh dilaksanakan pada mana-mana hari dalam bulan Syawal asalkan bukan pada 1 Syawal dan bukan sesudah berakhir bulan Syawal.
Namun adalah lebih afdhal disegerakan pelaksanaan puasa enam Syawal berdasarkan umum firman Allah swt:
] وَسَارِعُوا إِلَى مَغْفِرَةٍ مِنْ رَبِّكُمْ وَجَنَّةٍ عَرْضُهَا السَّمَوَاتُ وَالأَرْضُ أُعِدَّتْ لِلْمُتَّقِينَ [ [آل عمران: 133]
Maksudnya: “Dan bersegeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (ke arah mendapatkan) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa.” [Surah Aali Imran:133]
Wujud perbincangan di kalangan para ulama’, apakah dibolehkan berpuasa sunat enam Syawal jika seseorang itu memiliki hutang puasa Ramadhan yang belum diqadhanya? Perbincangan ini menghasilkan dua pendapat.
Pendapat Pertama: Boleh melakukannya, berdasarkan dalil bahawa Aisyah radhiallahu 'anha pernah mengakhirkan hutang puasa Ramadhan yang perlu diqadhanya hingga ke bulan Sya’ban yang akan datang. Aisyah ra berkata:
( كَانَ يَكُونُ عَلَيَّ الصَّوْمُ مِنْ رَمَضَانَ، فَمَا أَسْتَطِيعُ أَنْ أَقْضِيَ إِلا فِي شَعْبَانَ. قَالَ يَحْيَى: الشُّغْلُ مِنْ النَّبِيِّ أَوْ بِالنَّبِيِّ r)رواه البخاري
Maksudnya: “Aku memiliki hutang puasa bulan Ramadhan. Aku tidak mampu mengqadhanya kecuali pada bulan Sya’ban.” Kerana sibuk (melayani) Rasulullah saw. [Sahih Muslim no: 1146. Sahih al-Bukhari, hadis no: 1950, penjelasan “kerana sibuk melayani Rasulullah saw” ialah penjelasan salah seorang perawi hadis yang bernama Yahya bin Sa‘id.]
Para ulama’ yang mengemukakan pendapat pertama berhujah, sudah tentu tidak mungkin isteri Rasulullah saw, yakni Aisyah ra, tidak melaksanakan puasa sunat enam Syawal. Pasti beliau melaksanakannya dan tindakan beliau yang mengqadha puasa Ramadhan pada bulan Sya’ban menunjukkan dibolehkan berpuasa sunat enam Syawal sekali pun seseorang itu memiliki hutang puasa Ramadhan.
Pendapat Kedua: Tidak boleh melakukannya, berdasarkan hadis yang menganjurkan puasa sunat enam Syawal itu sendiri yang telah dikemukakan di awal risalah ini. Hadis tersebut berbunyi: “Sesiapa yang berpuasa Ramadhan kemudian dia mengiringinya dengan enam hari dari bulan Syawal maka seperti ia berpuasa sepanjang tahun.”
Rasulullah saw mensyaratkan “berpuasa Ramadhan” terlebih dahulu, kemudian barulah “mengiringinya dengan enam hari dari bulan Syawal”. Ini menunjukkan puasa sunat enam Syawal hanya dilaksanakan sesudah seseorang itu menggenapkan puasa Ramadhannya. Jika ada puasa Ramadhan ditinggalkan, ia perlu diqadha terlebih dahulu. Kemudian barulah diiringi dengan puasa sunat enam Syawal.
Kalau diperhatikan secara teliti, pendapat yang kedua lebih rajih(kuat); Kerana ianya lebih menepati dalil puasa sunat enam Syawal itu sendiri. Selain dari itu, membayar hutang yang wajib hendaklah didahulukan dari memberi sedekah yang sunat. Ini disokong dengan ayat 133 surah Aali Imran yang dikemukakan sebelum ini, yang menganjurkan kita untuk menyegerakan amal kebajikan. Sudah tentu amal yang wajib lebih perlu disegerakan daripada amal yang sunat.
Namun, sekiranya seorang itu tidak berkesempatan (disebabkan keuzuran) untuk melakukan qadha kemudian berpuasa enam dan dia berkeyakinan akan sempat mengqadhakannya sebelum Ramadhan tahun berikutnya, maka pendapat yang pertama boleh diterima, berdasarkan apa yang dilakukan oleh Aisyah ra.
Menurut Imam An-Nawawi rh, Mazhab Malik, Abu Hanifah, Asy-Syafie, Ahmad dan jumhur salaf dan khalaf mengatakan: “Qadha puasa Ramadhan bagi mereka yang berbuka kerana uzur seperti kedatangan haid dan musafir, maka kewajipan mengqadhanya adalah secara bertangguh (’ala at-tarakhi), tidak disyaratkan qadha terus apabila boleh melakukannya”. [Syarah Sahih Muslim 8/22].
قال النووي في شرح مسلم: "وَمَذْهَب مَالِك وَأَبِي حَنِيفَة وَالشَّافِعِيّ وَأَحْمَد وَجَمَاهِير السَّلَف وَالْخَلَف: أَنَّ قَضَاء رَمَضَان فِي حَقّ مَنْ أَفْطَرَ بِعُذْرٍ كَحَيْضٍ وَسَفَرٍ يَجِب عَلَى التَّرَاخِي، وَلا يُشْتَرَط الْمُبَادَرَةُ بِهِ فِي أَوَّل الإِمْكَان."
Menurut Al-Khatib Asy-Syarbini: “Sesiapa yang tertinggal puasa Ramadhan, sunat dia mengqadhakannya secara berturut-turut dan makruh bagi orang yang ada qadha Ramadhan melakukan puasa sunat”. [Mughni Al-Muhtaj 2/181 cet, Darul Kutub Al-Ilmiah, Beirut].
3- Menggabungkan puasa qadha dan puasa enam.
Di antara persoalan yang sering timbul sekitar puasa enam ialah adakah harus menggabungkan di antara dua puasa iaitu puasa qadha dan puasa enam hari di bulan Syawal. Adakah diganjari dengan kedua-dua pahala tersebut dengan puasa yang satu?
Persoalan ini berlaku khilaf di kalangan ulama’, sebahagiannya yang berpendapat tidak boleh mencampurkan niat puasa sunat dengan puasa fardhu yang lain atau dengan puasa sunat yang lain, sekiranya dilakukan maka puasanya itu tidak sah, tidak bagi yang fardhu dan tidak bagi yang sunat.
Al-Khatib Asy-Syarbini berkata: “Jika seseorang berpuasa qadha atau puasa nazar atau puasa sunat yang lain di bulan Syawal, adakah dia mendapat pahala sunat (Syawal) atau tidak? Saya tidak mendapati pendapat ulama’ yang menyebut tentangnya, dan yang zahirnya adalah dapat pahala tersebut (pahala puasa yang diniatinya). Namun, dia tidak mendapat pahala sebagaimana yang disebut oleh hadis yang menerangkan tentang kelebihan puasa enam tadi, khasnya mereka yang tertinggal puasa Ramadhan kemudian berpuasa pada bulan Syawal. Ini kerana mereka tidak memenuhi maksud hadis tersebut (menyempurnakan puasa Ramadahan kemudian diikuti dengan puasa enam)”. [Mughni Al-Muhtaj 2/184 cet, Darul Kutub Al-Ilmiah, Beirut ]
Setelah dikaji, pandangan ulama’ yang membolehkan puasa dua dalam satu ini, tidak bersandarkan mana-mana dalil al-Qur’an dan al-Sunnah. Mereka juga mengatakan amalan ini hanya mendapat pahala kerana kebetulan berpuasa qadha dalam bulan Syawal, sama seperti pahala sunat tahiyyatul masjid dengan solat fardhu (orang yang terus melakukan solat fardhu apabila masuk ke dalam masjid akan mendapat juga pahala sunat tahiyyatul masjid). Wallahu a’lam.
Oleh itu, lakukanlah dua ibadat puasa ini (fardhu dan sunat) secara berasingan, kerana sebagai seorang hamba yang tunduk kepada Allah SWT, memperbanyakkan amalan taqarrub dengan memisahkan di antara yang menjadi kewajipan dengan yang menjadi galakan (sunat) tentulah lebih menunjukkan kesungguhan diri sebagai seorang hamba yang mencari keredhaan Tuhannya. Ini juga lebih berhati-hati (ahwat)dalam ibadat, serta melakukan ibadat dengan yakin adalah lebih utama (aula), kerana ada pendapat ulama’ mengatakan tidak boleh mencampurkan niat puasa sunat dengan puasa fardhu yang lain atau dengan puasa sunat yang lain.
Sebagai kesimpulan, puasa sunat semata-mata kerana Allah (bukan kerana sakit atau ingin berdiet) mempunyai kelebihan yang besar di sisi Allah swt dan sangat digalakkan oleh Rasulullah saw.
Sebagaimana yang diketahui semua amalan sunat adalah sebagai penampal kepada mana-mana kekurangan dalam amalan fardhu. Puasa enam hari pada bulan Syawal ini pula thabit dari sunnah Rasulullah saw. Sepatutnyalah kita mengambil peluang ini untuk berpuasa enam hari pada bulan Syawal.
Sempurnakan dahulu qadha beberapa hari yang tertinggal, kerana kita tidak tahu apakah hayat dan kesihatan yang ada akan berterusan sehingga kita dapat menunaikannya di masa hadapan.
Bagi orang yang tidak sempat melakukan puasa sunat kerana sibuk dengan puasa wajib diharapkan Allah swt akan memberi ganjaran berdasarkan niat dan azamnya. Sebagaimana sabda Nabi saw:
(( إِذَا مَرِضَ الْعَبْدُ أَوْ سَافَرَ كُتِبَ لَهُ مِثْلُ مَا كَانَ يَعْمَلُ مُقِيمًا صَحِيحًا )) رواه البخاري.
Maksudnya: “Apabila seorang hamba Allah sakit atau musafir (beliau tidak dapat melakukan amalan yang biasa dilakukannya) maka dituliskan baginya pahala seperti amalan yang biasa dilakukannya sewaktu tidak bermusafir dan sewaktu sihat” [Sahih Al-Bukhari no. 2834]
Penjelasan lanjut mengenai isu gabung puasa sunat syawal dan puasa qadha juga boleh diikuti dihttp://www.zaharuddin.net/index2.php?option=com_content&do_pdf=1&id=96.
Fastabiqul Khairat..
Penjelasan lanjut mengenai isu gabung puasa sunat syawal dan puasa qadha juga boleh diikuti dihttp://www.zaharuddin.net/index2.php?option=com_content&do_pdf=1&id=96.
Fastabiqul Khairat..
Separuh Penuh
Bila kita terlalu memikirkan perkara-perkara kecil, kita akan terlepas dari melihat perkara-perkara yang lebih besar.
Bila kita terlalu mementingkan diri sendiri, kita akan terlepas pandang kepada individu-individu di sekeliling kita yang sebenarnya cukup bermakna buat kita.
Bila kita mengambil sikap berdiam diri, kita membuatkan orang tertanya- tanya dan permasalahan yang telah timbul tidak mampu diselesaikan dengan baik.
Bila kita terlalu mengambil berat mengenai masalah sendiri, kita tak nampak masalah orang di sekeliling kita apatah lagi mengambil berat mengenai persoalan umat.
Akhir bicara,
Kurangkan terlalu, buka juga ruang untuk perkara-perkara lain.
Lihat dunia dengan sisi pandang berbeza.
Catatan : Muhasabah ..
Thursday, August 1, 2013
Lelaki dan Perempuan
Ada sahabat bertanya, bagaimana sewajarnya pergaulan antara lelaki dan perempuan sebagaimana yang dianjurkan di dalam Islam? Persoalan ini timbul, bilamana melihat pergaulan lelaki dan perempuan khususnya yang menimbulkan fitnah pada diri dan masyarakat. Ada yang menyatakan, atas nama sahabat maka perhubungan mereka adalah rapat. Boleh sahaja saling berkongsi masalah, bergambar bersama-sama, bercerita apa sahaja mengenai diri atau dalam erti kata lain, semua boleh open sebab kami teman baik aka sahabat.
Lalu bagaimana persahabatan itu?
------------------------------------------------------------------------
Ukhuwwah atau persahabatan dalam Islam perlu didasari oleh tujuan yang baik. Dan tujuan yang dibenarkan dalam Islam adalah tujuan yang membawa kepada Al-Birr (kebaikan)
dan At-Taqwa (ketaqwaan). Sebagaimana Firman Allah
ta’ala dalam Surah Al-Maaidah :
” dan
hendaklah kamu sekalian bertolong-tolong dalam perkara kebaikan dan ketaqwaan ,
dan janganlah kamu sekalian bertolong-tolong dalam perkara maksiat dan
permusuhan “
Jadi, kalau bersahabat atas
dasar taqwa dan kebaikan, caranya juga mestilah ada ciri-ciri orang bertaqwa
dan orang yang membawa kebaikan. Orang bertaqwa tidak akan sembarangan sahaja
bergaul dengan bukan mahramnya. Dia pasti akan memelihara adab dan sahsiahnya.
Begitu juga, tujuan yang sama-sama diusahakan juga tentulah yang menuju kepada
Allah.
Sebagai mukmin yang membawa Islam sebagai cara hidup, lelaki mahupun
wanita tidak sewajarnya membuka ruang fitnah kepada Islam
Atas nama apa sekalipun, jika hakikatnya mereka bukan mahram, maka
hukumnya tetap haram jika batasan pergaulan dilanggar. Bermakna, walaupun kita
ada sahabat / sahabiah berbeza jantina, tidak bermakna mereka boleh sampai ke
tahap saudara kandung kita. Prinsipnya tetap sama.
--------------------------------------------------------------------------
Entri kali ini merupakan perkongsian mengenai pergaulan antara lelaki dan perempuan.
Entri kali ini merupakan perkongsian mengenai pergaulan antara lelaki dan perempuan.
Ikhtilat (pergaulan antara lelaki dan perempuan) sering berlaku di mana-mana sama ada dalam menuntut ilmu, bergerak kerja berorganisasi, bidang pekerjaan, bersosial dengan masyarakat.
Namun, masih ramai yang keliru dengan hukum sebenar dan batasan ikhtilat antara lelaki dan perempuan. Ada ulama’ yang berpandangan bahawa ia haram, ada juga yang mengatakan bahawa ia harus.
Bersesuaian dengan zaman yang semakin mendepani cabaran ini, lebih sesuai kita mengambil hukum ikhtilat sebagai harus selagi mana kita mengikuti syarat-syarat yang ditetapkan sebagaimana yang difatwakan oleh ulama’ kontemporari, Syeikh Dr Yusuf Al Qaradhawi.
Ini kerana ikhtilat adalah perkara fitrah, ia memang perkara yang tidak boleh dielakkan kerana manusia hidup di dunia ini saling bantu-membantu antara satu sama lain. Maka, ia memerlukan etika yang betul supaya manusia tidak jatuh kepada jurang kebinasaan seperti penzinaan, bercouple, keruntuhan akhlak dan sebagainya.
Menurut Syeikh Dr Yusuf Al Qaradhawi, dalam buku beliau Fatawa Al Mar-atul Muslimah, pertemuan ataupun perjumpaan di antara lelaki dan perempuan tidaklah diharamkan secara mutlak, bahkan harus mahupun dituntut jika tujuannya adalah mulia, memberi manfaat dan menambah amal soleh seperti menuntut ilmu, membawa kebaikan, dan perkara-perkara yang mana berhajatkan bantuan dan pertolongan dari kedua-dua belah pihak (lelaki dan perempuan) berlandaskan batas-batas, tujuan yang betul dan penguatkuasaan yang berkesan.
Walaupun ikhtilat ini dibolehkan, berikut adalah batas-batas dan syariat yang telah ditetapkan oleh Islam:
[1] Hendaklah menjaga pandangan oleh kedua-duanya, tidak memandang kepada aurat, tidak juga memandang dengan syahwat, dan tidak memanjangkan pandangan jika tidak berhajat. Firman Allah s.w.t:
“Katakanlah kepada orang laki-laki yang beriman: Hendaklah mereka menahan pandanganya, dan memelihara kemaluannya; yang demikian itu adalah lebih suci bagi mereka, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apayang mereka perbuat. Katakanlah kepada wanita yang beriman: Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan kemaluannya,’’ (An-Nuur: 30-31)
[2] Seorang perempuan hendaklah sentiasa mengenakan pakaian yang disyariatkan dan sopan, menutupi seluruh badannya selain dua tangan dan wajah, tidak jarang (tipis) dan tidak menampak bentuk tubuh. Firman Allah s.w.t:
“dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang nampak dari padanya. Dan hendaklah mereka menutupkan kain tudung ke dadanya,” (Surah An-Nuur:31)
Allah SWT menjelaskan mengenai pakaian yang sopan melalui firmanNya :
“Yang demikian itu supaya mereka lebih mudah untuk dikenal, kerana itu mereka tidak di ganggu.“(Al-Ahzab: 59)
Perempuan muslimah yang sopan berbeza pakaian mereka dari perempuan yang semberono perangainya, dia juga tidak berakhlak buruk, dengan itu setiap yang memandang pakaian dan akhlaknya, pasti akan menghormati dan menyeganinya.
[3] Sentiasa berakhlak muslimah pada setiap perkara, terutama ketika bermuamalat dengan lelaki, iaitu:
i. Percakapan , hendaklah menjauhi dari suara yang boleh merangsang dan membangkitkan perasaan, Allah SWT berfirman :
“Maka janganlah kamu tunduk dalam berbicara sehingga berkeinginanlah orang yang ada penyakit dalam hatinya dan ucapkanlah perkataan yang baik,”(Al-Ahzab:32)
ii. Berjalan, Allah SWT berfirman :
“Dan janganlah mereka memukulkan kakinya agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan,” (An-Nuur: 31)
Allah SWT menyifatkan sopan santun seorang perempuan dengan firmanNya :
“Kemudian datanglah kepada Musa salah seorang dari kedua wanita itu berjalan kemalu-maluan,” (Al-Qasas:25)
iii. Pergerakan, tidak berlenggok, seperti yang disifatkan dalam hadith sebagai (berlenggok itu adalah perempuan) dan tidak berhias (tabarruj) seperti yang dilakukan oleh wanita-wanita jahiliyyah dahulu mahupun sekarang.
[4] Menjauhi bau-bauan ataupun wangi-wangian yang boleh membuatkan lelaki tertarik dengannya, dan menjauhi juga warna-warna terang dan terlampau menarik yang mana sepatutnya hanya dipakai di rumah bukannya ketika perjumpaan dengan lelaki.
[5] Jangan sesekali membiarkan hanya seorang lelaki dan seorang perempuan berjumpa tanpa mahram atau teman di sisi mereka, ianya ditegah dengan sebuah hadith sahih mengenainya, (Sesungguhnya yang ketiga daripada keduanya ialah syaitan), tidak patut membiarkan api dan kayu bersama kerana semakin ‘terbakar’ kalau dibiarkan berdua. Yang patut diambil berat juga ialah kaum keluarga terdekat, seperti ipar dan sesiapa pun yang bukan mahramnya daripada berduaan.
[6] Hendaklah sepanjang perjumpaan itu hanya dalam lingkungan hajat contohnya mesyuarat dan perkara-perkara yang diperlukan, tidak perlu hendak memanjangkan dengan perkara luar dari hajat itu tadi dengan berbual-bual kosong, bergosip-gosipan, ataupun perkara-perkara yang boleh mengabaikan kerja sebenar yang amat suci seorang perempuan, iaitu tanggungjawabnya di rumah dan pertarbiyahan bangsa (anak-anak).
Jika dilihat kepada syarat-syarat di atas, penekanan untuk menjaga batas-batas adalah lebih kepada kaum perempuan tanpa mengabaikan peranan kaum lelaki dalam memelihara batas-batas pergaulan. Ini adalah kerana kita sedia maklum bahawa perempuan jika tidak menjaga diri dengan baik akan mudah terdedah kepada fitnah, sebagaimana disebut dalam hadith:
Sabda Rasulullah s.a.w:
“Tidak aku tinggalkan suatu fitnah sesudahku yang lebih merbahaya kepada kaum lelaki melainkan godaan wanita” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Maka saya menyeru khususnya buat mereka yang bergelar perempuan, wanita, muslimah dan mukminah, sama-samalah kita memelihara diri dengan sentiasa menjaga batas-batas syariat dalam pergaulan seharian kita supaya kita tidak mudah terdedah dan terjerumus dengan kebinasaan.
Memenuhi syarat-syarat ini, bukan untuk menyusahkan diri kita, bahkan demi kebaikan bersama, kerana Allah SWT tahu apa yang terbaik untuk hambaNya yang taat. Lelaki yang baik untuk perempuan yang baik, perempuan yang baik untuk lelaki yang baik, dengan keyakinan ini, marilah di saat ini kita mula menjadi seorang yang terbaik disisiNya insyAllah lebih-lebih lagi dalam bulan yang penuh barakah ini, Ramadhan yang mulia. Wallahu’alam.
_________________________________________________
Disediakan oleh : Hana’ binti Salleh
Penulis merupakan mahasiswa Tahun 3, Qur’an & Sunnah,
Kuliyyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan.
Subscribe to:
Posts (Atom)