Thursday, August 1, 2013

Lelaki dan Perempuan

Ada sahabat bertanya, bagaimana sewajarnya pergaulan antara lelaki dan perempuan sebagaimana yang dianjurkan di dalam Islam? Persoalan ini timbul, bilamana melihat pergaulan lelaki dan perempuan khususnya yang menimbulkan fitnah pada diri dan masyarakat. Ada yang menyatakan, atas nama sahabat maka perhubungan mereka adalah rapat. Boleh sahaja saling berkongsi masalah, bergambar bersama-sama, bercerita apa sahaja mengenai diri atau dalam erti kata lain, semua boleh open sebab kami teman baik aka sahabat.

Lalu bagaimana persahabatan itu? 

------------------------------------------------------------------------

Ukhuwwah atau persahabatan dalam Islam perlu didasari oleh tujuan yang baik. Dan tujuan yang dibenarkan dalam Islam adalah tujuan yang membawa kepada Al-Birr (kebaikan) dan At-Taqwa (ketaqwaan). Sebagaimana Firman Allah ta’ala dalam Surah Al-Maaidah :
” dan hendaklah kamu sekalian bertolong-tolong dalam perkara kebaikan dan ketaqwaan , dan janganlah kamu sekalian bertolong-tolong dalam perkara maksiat dan permusuhan “
Jadi, kalau bersahabat atas dasar taqwa dan kebaikan, caranya juga mestilah ada ciri-ciri orang bertaqwa dan orang yang membawa kebaikan. Orang bertaqwa tidak akan sembarangan sahaja bergaul dengan bukan mahramnya. Dia pasti akan memelihara adab dan sahsiahnya. Begitu juga, tujuan yang sama-sama diusahakan juga tentulah yang menuju kepada Allah. 

Sebagai mukmin yang membawa Islam sebagai cara hidup, lelaki mahupun wanita tidak sewajarnya membuka ruang fitnah kepada Islam

Atas nama apa sekalipun, jika hakikatnya mereka bukan mahram, maka hukumnya tetap haram jika batasan pergaulan dilanggar. Bermakna, walaupun kita ada sahabat / sahabiah berbeza jantina, tidak bermakna mereka boleh sampai ke tahap saudara kandung kita. Prinsipnya tetap sama.

--------------------------------------------------------------------------

Entri kali ini merupakan perkongsian mengenai pergaulan antara lelaki dan perempuan.

Moga dapat menjernihkan pandangan dan pengamalan agar berada di landasan yang benar.




Ikhtilat  (pergaulan antara lelaki dan perempuan) sering berlaku di mana-mana sama ada dalam menuntut ilmu, bergerak kerja berorganisasi, bidang pekerjaan, bersosial dengan masyarakat.
Namun, masih ramai yang keliru dengan hukum sebenar dan batasan ikhtilat antara lelaki dan perempuan. Ada ulama’ yang berpandangan bahawa ia haram, ada juga yang mengatakan bahawa ia harus.
Bersesuaian dengan zaman yang semakin mendepani cabaran ini, lebih sesuai kita mengambil hukum ikhtilat sebagai harus selagi mana kita mengikuti syarat-syarat yang ditetapkan sebagaimana yang difatwakan oleh ulama’ kontemporari, Syeikh Dr Yusuf Al Qaradhawi.
Ini kerana ikhtilat adalah perkara fitrah, ia memang perkara yang tidak boleh dielakkan kerana manusia hidup di dunia ini saling bantu-membantu antara satu sama lain. Maka, ia memerlukan etika yang betul supaya manusia tidak jatuh kepada jurang kebinasaan seperti penzinaan, bercouple, keruntuhan akhlak dan sebagainya.
Menurut Syeikh Dr Yusuf Al Qaradhawi, dalam buku beliau Fatawa Al Mar-atul Muslimah, pertemuan ataupun perjumpaan di antara lelaki dan perempuan tidaklah diharamkan secara mutlak, bahkan harus mahupun dituntut jika tujuannya adalah mulia, memberi manfaat dan menambah amal soleh seperti menuntut ilmu, membawa kebaikan, dan perkara-perkara yang mana berhajatkan bantuan dan pertolongan dari kedua-dua belah pihak (lelaki dan perempuan) berlandaskan batas-batas, tujuan yang betul dan penguatkuasaan yang berkesan.
Walaupun ikhtilat ini dibolehkan, berikut adalah batas-batas dan syariat yang telah ditetapkan oleh Islam:
[1] Hendaklah menjaga pandangan oleh kedua-duanya, tidak memandang kepada aurat, tidak juga memandang dengan syahwat, dan tidak memanjangkan pandangan jika tidak berhajat. Firman Allah s.w.t:
Katakanlah kepada orang laki-laki yang beriman: Hendaklah mereka menahan pandanganya, dan memelihara kemaluannya; yang demikian itu adalah lebih suci bagi mereka, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apayang mereka perbuat. Katakanlah kepada wanita yang beriman: Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan kemaluannya,’’ (An-Nuur: 30-31)

[2] Seorang perempuan hendaklah sentiasa mengenakan pakaian yang disyariatkan dan sopan, menutupi seluruh badannya selain dua tangan dan wajah, tidak jarang (tipis) dan tidak menampak bentuk tubuh. Firman Allah s.w.t:
dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang nampak dari padanya. Dan hendaklah mereka menutupkan kain tudung ke dadanya,” (Surah An-Nuur:31)

Allah SWT menjelaskan mengenai pakaian yang sopan melalui firmanNya :
“Yang demikian itu supaya mereka lebih mudah untuk dikenal, kerana itu mereka tidak di ganggu.“(Al-Ahzab: 59)

Perempuan muslimah yang sopan berbeza pakaian mereka dari perempuan yang semberono perangainya, dia juga tidak berakhlak buruk, dengan itu setiap yang memandang pakaian dan akhlaknya, pasti akan menghormati dan menyeganinya.
[3] Sentiasa berakhlak muslimah pada setiap perkara, terutama ketika bermuamalat dengan lelaki, iaitu:
i. Percakapan , hendaklah menjauhi dari suara yang boleh merangsang dan membangkitkan perasaan, Allah SWT berfirman :
“Maka janganlah kamu tunduk dalam berbicara sehingga berkeinginanlah orang yang ada penyakit dalam hatinya dan ucapkanlah perkataan yang baik,”(Al-Ahzab:32)

ii. Berjalan, Allah SWT berfirman :
Dan janganlah mereka memukulkan kakinya agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan,” (An-Nuur: 31)

Allah SWT menyifatkan sopan santun seorang perempuan dengan firmanNya :
Kemudian datanglah kepada Musa salah seorang dari kedua wanita itu berjalan kemalu-maluan,” (Al-Qasas:25)

iii. Pergerakan, tidak berlenggok, seperti yang disifatkan dalam hadith sebagai (berlenggok itu adalah perempuan) dan tidak berhias (tabarruj) seperti yang dilakukan oleh wanita-wanita jahiliyyah dahulu mahupun sekarang.
[4] Menjauhi bau-bauan ataupun wangi-wangian yang boleh membuatkan lelaki tertarik dengannya, dan menjauhi juga warna-warna terang dan terlampau menarik yang mana sepatutnya hanya dipakai di rumah bukannya ketika perjumpaan dengan lelaki.
[5] Jangan sesekali membiarkan hanya seorang lelaki dan seorang perempuan berjumpa tanpa mahram atau teman di sisi mereka, ianya ditegah dengan sebuah hadith sahih mengenainya, (Sesungguhnya yang ketiga daripada keduanya ialah syaitan), tidak patut membiarkan api dan kayu bersama kerana semakin ‘terbakar’ kalau dibiarkan berdua. Yang patut diambil berat juga ialah kaum keluarga terdekat, seperti ipar dan sesiapa pun yang bukan mahramnya daripada berduaan.

[6] Hendaklah sepanjang perjumpaan itu hanya dalam lingkungan hajat contohnya mesyuarat dan perkara-perkara yang diperlukan, tidak perlu hendak memanjangkan dengan perkara luar dari hajat itu tadi dengan berbual-bual kosong, bergosip-gosipan, ataupun perkara-perkara yang boleh mengabaikan kerja sebenar yang amat suci seorang perempuan, iaitu tanggungjawabnya di rumah dan pertarbiyahan bangsa (anak-anak).

Jika dilihat kepada syarat-syarat di atas, penekanan untuk menjaga batas-batas adalah lebih kepada kaum perempuan tanpa mengabaikan peranan kaum lelaki dalam memelihara batas-batas pergaulan. Ini adalah kerana kita sedia maklum bahawa perempuan jika tidak menjaga diri dengan baik akan mudah terdedah kepada fitnah, sebagaimana disebut dalam hadith:
Sabda Rasulullah s.a.w:
Tidak aku tinggalkan suatu fitnah sesudahku yang lebih merbahaya kepada kaum lelaki melainkan godaan wanita” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Maka saya menyeru khususnya buat mereka yang bergelar perempuan, wanita, muslimah dan mukminah, sama-samalah kita memelihara diri dengan sentiasa menjaga batas-batas syariat dalam pergaulan seharian kita supaya kita tidak mudah terdedah dan terjerumus dengan kebinasaan.

Memenuhi syarat-syarat ini, bukan untuk menyusahkan diri kita, bahkan demi kebaikan bersama, kerana Allah SWT tahu apa yang terbaik untuk hambaNya yang taat. Lelaki yang baik untuk perempuan yang baik, perempuan yang baik untuk lelaki yang baik, dengan keyakinan ini, marilah di saat ini kita mula menjadi seorang yang terbaik disisiNya insyAllah lebih-lebih lagi dalam bulan yang penuh barakah ini, Ramadhan yang mulia. Wallahu’alam.

_________________________________________________
Disediakan oleh : Hana’ binti Salleh
Penulis merupakan mahasiswa Tahun 3, Qur’an & Sunnah,
Kuliyyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan.

2 comments:

Meow Bibien said...

Assalamualaikum.

Saya ingin mohon pandangan ukhti. Suatu masa dahulu, saya pernah berkawan rapat dengan seorang lelaki & kami merancang utk mendirikan rumahtangga. Tetapi jodoh tidak kesampaian kerana dia memutuskan utk tidak meneruskan niat utk hidup bersama. Waktu itu saya belum matang & rasa sedih sangat. Bak kata orang putus cinta..

Setelah beberapa lama, lelaki itu menghubungi kembali & mengatakan dia akan berkahwin. Dia memohon agar saya dapat menerima dia sebagai kawan. Saya tekad waktu itu utk tidak berhubung dgn dia lagi kerana pd waktu itu saya masih ada hati padanya & ini akan jadi fitnah serta mungkin mengganggu rumahtangganya.

Sehingga saya sendiri mendirikan rumahtangga & sudah tiada perasaan padanya, dia kerap sms bertanya khabar, atas dasar ingin berkawan. Tetapi saya tidak melayan kerana ingin menjaga maruah diri sebagai isteri orang. Tambah pula, saya mendengar cerita yg dia berkawan dengan bekas kekasihnya sehingga menimbulkan tidak senang suami wanita itu.

Kemuncak kemarahan saya apabila dia berani menelefon saya malah mengganggu adik saya sehingga orang mengatakan saya yg menghubungi dia. Saya terpaksa mengeluarkan kata tegas & kasar sebab permintaan saya utk dia tidak mengganggu saya, dia tidak pernah endahkan.

Persoalan saya, lelaki ini telah menuduh saya memutuskan silaturrahim. Adakah saya salah atas sebab itu? Niat saya untuk tidak berkawan dengannya kerana dia menjadi fitnah pada saya dan menyebabkan rasa kurang senang di kalangan suami dan keluarga. Terus terang saya katakan selepas peristiwa kami berbalah, saya rasa lebih tenang kerana dia tidak lagi mengganggu saya. Adakah tindakan saya betul?

Ana said...

waalaikumussalam

Pertamanya, Alhamdulillah kerana saudari telahpun mendirikan rumah tangga. Dikurniakan seorang suami. Berbalik kepada persoalan saudari mengenai kisah lalu antara saudari dan lelaki tersebut, perlulah dikenal bahawa ia merupakan satu episod pada waktu yang lalu. Melihat kepada situasi sekarang, saudari telah pun mempunyai suami dan saya menyokong tindakan saudari menjaga maruah diri sebagai seorang muslimah. Berkawan tidak salah, tetapi perlu mengikut batas2 yang telah digariskan oleh Islam bagi memelihara kebaikan kedua-dua pihak. Sekiranya berlaku percanggahan yang menyalahi garis panduan tersebut, maka ia tidak dibolehkan. Adalah wajar bagi seorang muslimah menjaga diri dari fitnah dan memelihara keharmonian rumah tangganya. Jika benar lelaki itu ingin terus bersilaturahim sewajarnya dia berhubungan baik dengan suami saudari dan keluarga, demikian barulah ia hubungan yang jauh dari fitnah. Sekadar pandangan dari saya.

Wallahu a'lam