Thursday, March 17, 2011

Indahnya pentarbiyahan itu~

Segala puji dan pujian ditujukan kepada Allah.Selawat dan salam buat junjungan besar Nabi Muhammad s.aw.Alhamdulillah, kita dikurniakan Allah kehidupan yang mulia kerana kita terpilih sebagai ummat Islam dan mendapat suluhan cahaya keimanan. Kehidupan merupakan suatu anugerah dari Allah. Kehidupan merupakan ruang dan peluang yang dikurniakan Allah agar kita menjadikannya sebagai bekalan menuju ke negeri yang kekal abadi.

Setiap detik, kehidupan berlalu. Masa merupakan suatu yang sangat bernilai. Setelah ia pergi meninggalkan kita, maka kita tidak akan dapat menemuinya kembali. Allah, terasa kerdilnya diri dalam perjalanan ini. Namun, digagahkan jua kerana ia anugerah yang tidak ternilai. Justeru itu, pentarbiyahan diri amatlah perlu. Tarbiyah adalah suatu didikan dan latihan menuju kebaikan.Suatu pencerahan ke arah perubahan. Perubahan yang dimaksudkan ialah hijrah. Hijrah dalam erti kata meninggalkan perkara-perkara buruk, lalai dan sia-sia kepada perkara bermanfaat.

Pentarbiyahan. Ditarbiyah dan mentarbiyah. Konsep dakwah yang perlu diberi perhatian. Kita adalah pemimpin. Pemimpin yang dipertanggungjawabkan. Hatta terhadap diri sendiri, kita perlu menerapkan elemen tarbiyah. Sewajarnya aspek pentarbiyahan menjadi teman perjalanan. Sukarnya bermujahadah, namun kita dijanjikan dengan kemanisan di sebalik itu. Dengan keyakinan dan keimanan, kita menyedari nilai mujahadah itu.

Pembentukan afradul muslim sangat memainkan peranan penting agar misi sebagai hamba dan khalifah Allah mampu digalas berbekalkan panduan yang dianjurkan Pencipta. Bagaimana kita berusaha menjadikan setiap detik kehidupan dalam pentarbiyahan. Menyedari kita sentiasa memerlukan pentarbiyahan. Pentarbiyahan menuju keikhlasan. Jalan mujahadah dan juang itu menuntut pengorbanan.

Menurut Imam as – Syahid Hasan al-Banna, ciri- ciri individu muslim yang perlu dititikberatkan ialah pembentukan aqidah yang sejahtera, ibadah yang betul, akhlak yang kuat, daya fikir yang tajam, tubuh badan yang sihat, memberi faedah kepada orang lain, berupaya untuk berusaha, teratur dalam urusannya, amat menjaga waktu serta berjihad terhadap dirinya.


Justeru itu, ana menyeru diri sendiri dan sahabat-sahabat agar kita terus meningkatkan usaha untuk membentuk diri sebagai afradul muslim. Mulianya kita kerana anugerah Islam dan jua keimanan. Segala puji-pujian ditujukan kepada Allah dan selawat dan salam buat junjungan mulia, Nabi Muhammad s.aw. Insan terpuji yang membawa risalah kebenaran. Insan terpuji yang cintakan umatnya. Contoh teladan,bagaimana kesabaran dan perjuangannya membawa risalah kebenaran.

Hakikat manusia itu lemah namun kita menyedari kita memiliki Pencipta Yang Maha Perkasa. Allah..Semoga kita sentiasa diberi petunjuk agar mampu melihat kebenaran sebagai kebenaran dan diberi Allah kekuatan untuk terus istiqamah dengannya serta melihat kebatilan sebagai kebatilan dan diberi kekuatan untuk menjauhinya. Allah.Sesungguhnya tiadalah daya kekuatan kami melainkan apa yang dikurniakan olehMu.Sesungguhnya Engkau Maha Perkasa. Maka, ya Allah peliharalah kami dalam agamaMu yang diredhai ini. Jadikanlah kami penuntut ilmu yang beramal dengan ilmu yang dipelajari agar subur kecintaan di hati-hati kami yang seringkali berbolak-balik. Engkaulah sebaik-baik Penolong kami..Amiin

Saturday, March 12, 2011

~Sebuah Kerinduan~

Rindu itu adalah
Anugerah dari Allah
Insan yang berhati nurani
Punyai rasa rindu
Rindu pada kedamaian
Rindu pada ketenangan
Rindukan kesejahteraan
Dan juga kebahagiaan
Orang-orang yang bertaqwa
Rindu akan kebenaran
Kejujuran dan keikhlasan
Keredhaan Tuhannya
Orang mukmin merindukan
Anak-anak yang soleh
Isteri-isteri solehah
Keluarga bahagia
Para pencinta kebenaran
Rindukan suasana
Masyarakat yang terjalin
Aman dan sejahtera
Merindukan tertegaknya
Kalimah Allah di muka bumi
Dan dalam merindukannya
Keampunan Tuhannya
Dan seluruh umat itu
Merindukan cahaya
Yang menyinari kehidupan
Rindu pada Tuhan

~Hijjaz ~

Saturday, February 12, 2011

P.o.s.i.t.i.f = POSITIF.


P.o.s.i.t.i.f = POSITIF.
Agak terkesan dengan pembelajaran pengurusan emosi. Pengurusan emosi. Bagaimana emosi diuruskan dalam kehidupan seharian. Perkongsian dimulakan dengan menjadi positif.Apakah yang dimaksudkan dengan berfikiran dan bersikap positif? Ia bermaksud sentiasa berfikir mengenai kebaikan di sebalik sesuatu peristiwa yang berlaku dalam kehidupan. Dalam hidup ini, pelbagai peristiwa dan keadaan akan ditempuhi.Kesemua itu mampu dilihat dan ditafsir dengan pandangan tersendiri iaitu sama ada secara positif atau negatif.


Minda perlu dijaga agar tidak berterusan melihat secara negatif kerana ia memberi kesan negatif kepada kesejahteraan jiwa. Tafsiran negatif terhadap sesuatu situasi akan menghasilkan perasaan yang negatif. Seterusnya menghasilkan tindakan yang negatif dan membuahkan hasil yang negatif.Manakala tafsiran positif terhadap sesuatu situasi akan menghasilkan perasaan yang positif, seterusnya menghasilkan tindakan yang positif dan membuahkan hasil yang positif.

~Akhir kalam, sikap positif itu sewajarnya mendominasi sebagai manifestasi syukur dan redha~

Wednesday, January 12, 2011

~Kisah Dia~


Dia adalah seorang insan,yang seringkali lemah..namun, dia menyedari taklifan sebagai hamba dan khalifah di dunia ini..

Sesekali diuji
Dia percaya hidup ini perlukan kemanisan diuji kerana dunia adalah tempat mencari bekalan.Dia akui segala ujian ini menguji kesabaran dan keimanan kepada Allah. Dia yang terlalu leka perlu sentiasa diberi peringatan kerana kasih dan sayang Allah kepadanya. Adakalanya, dia sedar dia mudah berputus asa terhadap apa yang mendatangi perjalanan hidupnya.Namun, dia sedar bahawa ada rahmat dan hikmah di sebaliknya.

Tanbih..
Allah itu Pengasih, sentiasa mendengar permohonan hamba-hambaNya namun dia yang terlalu jauh dariNya..Dia sedar akan sebuah hakikat..Benarlah, mengungkapkan “IMAN’’ itu mudah, namun mengaplikasi ‘’ IMAN’’ itu perlukan perjuangan. Perjuangan melawan hawa nafsu dan bisikan syaitan. Dalam doanya, dia memohon agar Allah pelihara segala perbuatan, perkataan, niat, kepercayaan dan keyakinan dirinya saat teruji agar jauh dari kemurkaanNya..

Muhasabah
Dia bermuhasabah..Pertolongan Allah sentiasa diperlukan setiap ketika dan setiap detik..Tercetus keinginan di hatinya untuk melazimkan dirinya memohon pimpinan ALLAH, meletakkan pergantungan kepadaNya bahawa bila dia tak mampu, sebenarnya dia ada Allah yang sentiasa bersamanya, Maha Perkasa lagi Maha Pengasih. Sesungguhnya bagi Allah segala sifat kesempurnaan..

Motivasi
Dari itu, dia mendapat motivasi..Bahawa..Mencari CINTA ALLAH sewajarnya memberi motivasi agar dia melakukan yang terbaik dalam hidup kerana ALLAH. Dia perlu berusaha menjadi yang terbaik kerana ALLAH. Mencari pandangan ALLAH, kemuliaan di sisiNya dengan mengikut suruhan dan meninggalkan laranganNya. Allah akan sentiasa bersama hambaNya yang bermujahadah, yang mengingatiNya dalam segenap urusan dunia dan akhiratnya.
-renungan, muhasabah bersama~