"Jadikanlah dirimu orang alim atau orang yang menuntut ilmu atau orang yang selalu mendengar pelajaran agama, atau pun orang yang mencintai (tiga golongan yang tersebut); dan janganlah engkau menjadi (dari) golongan yang kelima, yang dengan sebabnya engkau akan binasa."
Monday, September 12, 2011
Cita-citaku, cita-citamu jua
Erti sebuah kehidupan. Tersentuh saat mendengar kalam ustaz sebentar tadi di surau an-nur. Bahawasanya setiap insan pasti menemui kematian kerana kematian itu suatu yang pasti. Kehidupan di dunia adalah sementara sedangkan kehidupan di akhirat kekal abadi. Namun, apa persediaan kita untuk kehidupan di akhirat sana? Allahu Allah..
Renungan sejenak..
Terkadang dalam meneruskan kehidupan yang masih berbaki ini, kita alpa mengenai saat pertemuan dengan Allah s.w.t. Pesan ustaz, setiap malam sebelum tidur, niatkanlah di dalam hati untuk tergolong dalam kalangan orang-orang yang bertaqwa. Mesti bercita-cita, berazam dan berusaha untuk merealisasikan agar sifat-sifat, cara kehidupan mukmin bertaqwa mampu dibumikan dalam kehidupan seharian kita.
Masa terus berputar. Detik demi detik berlalu pergi. Adakalanya diri tersedar, adakalanya dalam kealpaan. Kerana itu, masa perlu digunakan sebaiknya. Seandainya tidak digunakan secara optimum untuk amal kebaikan, nescaya ruang-ruang kosong itu akan terisi dengan perkara-perkara biasa yang tidak mampu memberikan sumbangan kebaikan kepada diri di dunia mahupun akhirat sana. Allahu Allah.
Yang dinamakan kehidupan di dunia itu adalah sebatas ruang waktu yang dianugerahkan Allah kepada kita. Kematian itu pemutus kehidupan di dunia dan penyambung kehidupan di akhirat. Bagaimana kita menggunakan masa, begitulah kita sedang menguruskan kehidupan. Sesungguhnya dunia merupakan persinggahan yang bersifat fana’. Manakala akhirat merupakan tempat yang kekal abadi. Manusia merupakan perantau untuk menuju destinasi utamanya iaitu akhirat.
Cita-citaku, cita-citamu jua. Kerana kita adalah saudara yang mempunyai ikatan yang paling indah iaitu, ikatan akidah. Menyemai cita-cita untuk akhirat. Seorang muslim itu perlu mempunyai cita-cita untuk akhiratnya sebagaimana cita-cita yang biasa kita dengari.Misalnya, ada yang bercita-cita untuk menjadi doktor, guru mahupun tentera. Untuk mencapai cita-cita itu memerlukan usaha dan kesungguhan.
Demikianlah, cita-cita untuk akhirat adalah untuk memperoleh kejayaan di dunia mahupun akhirat dengan izin Allah s.w.t. Bertaqwa, kerana sesungguhnya manusia yang paling mulia di sisi Allah s.w.t adalah orang-orang yang bertaqwa. Dengan itu, dia akan sentiasa berjuang mempertingkatkan diri, menjadikan ruang kehidupannya penuh dengan kesungguhan. Menyusun strategi dengan mempergunakan dunia dengan sebaik-baiknya sebagai jambatan. Sesungguhnya Allah menyukai seorang muslim yang melakukan kerjanya dengan penuh kesungguhan. Begitulah sewajarnya seorang muslim, sentiasa proaktif untuk mencapai cita-citanya.
Tanpa matlamat yang jelas, tanpa wawasan akhirat, hidup jadi terumbang-ambing ibarat kapal hampir karam. Sesungguhnya seluruh kehidupan ini adalah milik Allah s.w.t. Kita adalah hamba dan khalifah di muka bumi Allah ini. Semarakkan hidup dengan cita-cita dan wawasan untuk akhirat.
Pesan as- Syahid al-Imam Hassan al- Banna, ‘’Lakukanlah perubahan terhadap diri sendiri sebelum kepada ummah.’’ Kita niatkan kehidupan ini kerana Allah sebagaimana hadith pertama di dalam kitab hadith Matan Arbain Imam Nawawi, maksud sabda Rasulullah s.a.w, ‘’ Sesungguhnya amalan itu berdasarkan niat.’’ (Riwayat al- Bukhari).
Pesan buat diri yang sering alpa.
‘Allahu a’lam.