Monday, March 11, 2013

Dialah Sebaik-baik Penolong



Menulis di ruangan ini, adakala merupakan satu cabaran buat diri. Untuk menulis memerlukan tujuan yang akan menggerakkan segala daya dan usaha untuk diterjemahkan. Bagi seorang yang suka bercerita, barangkali mudah untuknya menjelaskan sesuatu dengan kata-kata yang diluahkan secara spontan. Namun, bagi seseorang yang suka memendam rasa, ternyata sukar untuknya berterus- terang melalui kata-kata bahkan juga melalui penulisan. Mungkin pandangan ini tepat buat sebahagian orang dan langsung tidak memenuhi kondisi individu lainnya.

Rencam dalam kehidupan sosial dan bermasyarakat, setiap individu mempunyai karakter yang tersendiri malah berbeza antara satu sama lain.Di sebalik kerencaman dan kepelbagaian itu, Islam menganjurkan manusia berkenal-kenalan antara satu sama lain. Dan sungguh, Maha Suci Allah yang Maha Menciptakan segala sesuatu. 

Kita merancang, Allah jua merancang. Dan ketentuan Allah adalah yang terbaik.
Terkadang terfikir mengenai kehidupan yang sedang dilalui. Dunia ini banyak likunya, meski usia masih setahun jagung dan belum melalui pengalaman kehidupan yang getir sebagaimana yang dilalui oleh individu lain, namun diri ini terasa bahangnya. Ujian sebuah kehidupan. 

Dunia adalah tempat untuk beramal. Dunia sebagai jambatan untuk menuju perkampungan akhirat yang kekal abadi.  Masa hidup ini terhad. Bila-bila masa, akan dipanggil menghadap Allah, Tuhan yang menciptakan. Bersediakah? 

Allahu Rabbuna, pimpinlah langkah kami dalam kehidupan ini. Kurniakan kami rahmat dan kasih-sayangMu yang mengekalkan kami dalam ketaatan kepadaMu. Hanya Engkau sebaik-baik penolong buat sekalian hambaMu yang mengharap keampunan dan kasih sayangMu..

No comments: