Wednesday, May 1, 2013

Motivasi Belajar Bahasa Arab


Mempelajari bahasa Arab merupakan satu peluang untuk lebih mengenali keindahan bahasa al-Qur'an yang merupakan bahasa perantaraan antara Allah dan hambaNya. Allah s.w.t mengurniakan al-Qur'an sebagai mukjizat kepada Rasulullah s.a.w dalam perjuangan Baginda s.a.w mengajak manusia beriman kepada Allah dan menyakini kebenaran ajaran yang dibawa oleh Baginda s.a.w. Bahasa Arab juga merupakan bahasa pertuturan Rasulullah s.a.w bersama para sahabat r.anhum. Ia merupakan bahasa utama komunikasi Rasulullah s.a.w dan umatnya melalui peninggalan hadith-hadith baginda s.a.w.

Bahasa Arab merupakan bahasa yang digunapakai secara meluas sewaktu zaman perkembangan ilmu khususnya yang dipelopori oleh ilmuan-ilmuan Islam yang gah namanya dalam sejarah dan peradaban manusia. Demikianlah, bahasa Arab menjadi bahasa ilmu dalam kehidupan manusia. Justeru itu, usaha memahami bahasa Arab giat dijalankan oleh umat Islam bahkan golongan bukan Islam bagi mencedok khazanah ilmu yang perlu digali berdasarkan sumber berasaskan bahasa Arab.

Demikianlah kekuatan bahasa Arab dalam kehidupan manusia, khususnya individu muslim. Adalah sangat wajar, seseorang individu muslim mempelajari bahasa Arab bagi mencapai tuntutan-tuntutan ini. Ini adalah antara faktor-faktor yang mampu meningkatkan motivasi seseorang bagi mempelajari bahasa Arab berasaskan keutamaan agama. Masih banyak lagi faktor-faktor yang boleh membantu meningkatkan motivasi pembelajaran bahasa Arab, insyaALLAH akan dikongsikan di dalam entri seterusnya. 



Sekian buat kali ini. Sekadar berkongsi, moga ada manfaatnya.


No comments: