Sunday, March 31, 2013

Permata Hati


Meneruskan kembara di dunia. Antara sedar dan tidak, masa terlalu pantas berlari. Bermula dari zaman kanak-kanak ( mungkin masih mampu diingati peristiwa yang dilalui), zaman persekolahan (bermula dengan PASTI, sekolah rendah, sekolah menengah dan universiti). Di sebalik langkahan ke hadapan, adakalanya perlu menoleh kembali ke belakang.  Bermuhasabah. 

Sebuah kedewasaan. Meniti usia 20 an ini, perubahan pemikiran seorang kanak-kanak kepada remaja dan dewasa. Kata orang, bila kita mendirikan rumah tangga dan menimang cahaya mata dari seorang bertambah dua, kemudian tiga, empat dan seterusnya.. Saat itu, kita mula menyedari betapa berharga peranan kedua ibu  dan bapa kita yang mencurahkan kasih sayang tanpa syarat. Sedangkan kita, sewaktu bergelar seorang anak  masih gagal memahami kasih sayang mereka. Tiba- tiba sebak. Allah..

Bila kita meningkat dewasa, ibu dan bapa kita semakin dimamah usia. Dan, mereka juga  memerlukan kasih dan sayang dari anak-anak mereka. Sedarilah tuntutan hak ibu dan bapa terhadap kita yang bergelar anak. Sekali lagi, sebak.. Allah..

Terima kasih ku dan ma. Yang setia mencurah bakti, mendidik dan mengasuh kami.. Sayang selalu.

Ya Allah, ampunilah dosa kedua ibu bapaku, kasihanilah kedua ibu bapaku sebagaimana mereka mengasihiku di waktu kecilku.. Allahumma ameen..

sangat rindu kepada kedua-dua permata hati ini.. moga mereka sentiasa dalam pemeliharaan Allah.. amiin..

Friday, March 15, 2013

Teruslah Bergerak!




Medan amal adalah medan yang memerlukan kesungguhan, ketekalan dan pengorbanan dari seorang yang bergelar 'amilin. Maka, teruslah bergerak dengan kemampuan yang ada. Andai difikirkan kelemahan dan kekurangan yang ada, nescaya lemahlah jiwa dan lunturlah kekuatan untuk meneruskan sebuah perjuangan. 

Medan amal adalah berbeza dari medan bicara. Sebaik-baik bicara adalah bicara yang dikotakan. Tidak hanya melontarkan fikrah yang kedengaran bagus, namun bila tiba saat melaksanakan mulai merasa lemahnya jiwa untuk menggerakkannya.

Bergeraklah. Berusahalah. Jangan pernah berputus asa. Dan jangan lemah semangat. Ikhlaskan segalanya kerana Allah. Itulah sumber kekuatan jiwa seorang yang ingin menjadi 'amilin di medan dakwah, tarbiah dan siasah. 

Ya Allah, pimpinlah langkah hambaMu ini untuk melaksanakan amanah dariMu dengan keterbatasan yang ada pada diri ini. Ya Allah, bantulah hambaMu ini. Permudahkanlah segala halangan dan rintangan yang mendatang dengan ketenangan jiwa yang merupakan anugerah bernilai dariMu. Jalan ini panjang dan jauh, mengharapkan kekuatan dan bantuanMu selagi hayat dikandung badan. Moga terus thabat .



Monday, March 11, 2013

Dialah Sebaik-baik Penolong



Menulis di ruangan ini, adakala merupakan satu cabaran buat diri. Untuk menulis memerlukan tujuan yang akan menggerakkan segala daya dan usaha untuk diterjemahkan. Bagi seorang yang suka bercerita, barangkali mudah untuknya menjelaskan sesuatu dengan kata-kata yang diluahkan secara spontan. Namun, bagi seseorang yang suka memendam rasa, ternyata sukar untuknya berterus- terang melalui kata-kata bahkan juga melalui penulisan. Mungkin pandangan ini tepat buat sebahagian orang dan langsung tidak memenuhi kondisi individu lainnya.

Rencam dalam kehidupan sosial dan bermasyarakat, setiap individu mempunyai karakter yang tersendiri malah berbeza antara satu sama lain.Di sebalik kerencaman dan kepelbagaian itu, Islam menganjurkan manusia berkenal-kenalan antara satu sama lain. Dan sungguh, Maha Suci Allah yang Maha Menciptakan segala sesuatu. 

Kita merancang, Allah jua merancang. Dan ketentuan Allah adalah yang terbaik.
Terkadang terfikir mengenai kehidupan yang sedang dilalui. Dunia ini banyak likunya, meski usia masih setahun jagung dan belum melalui pengalaman kehidupan yang getir sebagaimana yang dilalui oleh individu lain, namun diri ini terasa bahangnya. Ujian sebuah kehidupan. 

Dunia adalah tempat untuk beramal. Dunia sebagai jambatan untuk menuju perkampungan akhirat yang kekal abadi.  Masa hidup ini terhad. Bila-bila masa, akan dipanggil menghadap Allah, Tuhan yang menciptakan. Bersediakah? 

Allahu Rabbuna, pimpinlah langkah kami dalam kehidupan ini. Kurniakan kami rahmat dan kasih-sayangMu yang mengekalkan kami dalam ketaatan kepadaMu. Hanya Engkau sebaik-baik penolong buat sekalian hambaMu yang mengharap keampunan dan kasih sayangMu..

Wednesday, February 27, 2013

Wanita dan Emosi


Wanita dan emosi. Mungkin ada benarnya, wanita cukup beremosi. Mungkin tidak kesemua wanita. Mungkin sebahagiannya demikian. 


Mengapa perlu emosi? 
Sebagai perkongsian, entri kali ini adalah mengenai emosi. Cuba memahami diri dan individu sekeliling. 
Apa itu emosi?

Ia didefinisikan sebagai suatu ekspresi perasaan naluri yang kuat seperti sayang, gembira, malu, sedih, takut dan sebagainya. Iaitu kehebatan dan kesensitifan perasaan yang selalunya diluahkan dari dalaman kepada tingkah laku tertentu atau cara kita menyampaikan perasaan. Perasaan-perasaan yang kuat ini akan mempengaruhi tindak balas luaran sama ada pada perubahan tubuh fizikal terkawal seperti mimik muka dan tidak terkawal seperti badan berpeluh kerana ketakutan. 


Menurut Kamus Bahasa Melayu (1994), menyatakan bahawa emosi bermaksud perasaan pada jiwa yang kuat seperti sedih, marah dan lain-lain. Oxford Advanced Learners’ Dictionary (1995), menyatakan emosi sebagai perasaan yang kuat dan pelbagai jenis kasih sayang, keriangan, benci, takut, cemburu, keseronokan atau gangguan pada perasaan. The Oxford Dictionary of Current English (1986) pula menyatakan emosi sebagai perasaan yang kuat dari dalam terutamanya daripada aspek mental atau naluri, seperti kasih sayang ataupun takut. Muhammad Uthman Najati (1993), emosi merupakan bangkitan perasaan dan rasa dalaman hasil tindak balas seseorang terhadap sesuatu perkara, pengalaman dan peristiwa yang berlaku seperti emosi takut, marah, kecewa, gembira, suka dan kasih sayang.



Dalam istilah Psikologi, emosi merupakan bahasa dalaman seseorang yang berkait rapat dengan tindak balas (fizikal) daripada sensitiviti perasaan dalaman dan luaran (pergaulan sosial). Ia adalah suatu pergerakan dalam minda yang dikeluarkan oleh pengaruh luaran. Minda adalah pasif dan sentiasa menerima semua yang terlintas untuk mempengaruhinya. Apabila minda tersebut bangkit untuk menunjukkan apa yang dirasainya, maka itulah yang dimaksudkan sebagai emosi. 



Ada kalanya emosi dianggap sebagai suatu alasan yang saling berlawanan. Sama ada beralasan untuk mengikut kehendak emosi atau tidak membiarkan emosi menguasai diri. Demikian adalah konteks yang selalu berkaitan mengenai emosi iaitu tentang penghasilan resolusi untuk mengawalnya. Oleh itu, emosi adalah satu ciri jiwa manusia yang mempamerkan perasaan-perasaan kuat yang berpunca daripada psikologi atau mental seseorang dan emosi dapat berlaku secara naluri bergantung pada situasi. 



BENTUK-BENTUK EMOSI 

Berdasarkan ayat-ayat al-Qur’an, hadith dan pendapat para ulama’, kejadian manusia adalah terdiri daripada unsur jasmani dan rohani, maka Islam tidak pernah menafikan tentang wujudnya emosi dalam diri manusia. Malah al-Qur’an telah menggambarkan beberapa bentuk emosi yang terdapat dalam diri manusia seperti : 

Emosi Takut 

Iman al-Ghazali dalam menghuraikan emosi takut telah mengibaratkan ia sebagai sesuatu yang menikam dan terbakar di dalam hati disebabkan oleh datangnya sesuatu perkara yang sangat dibenci dan tidak diingini. Prof Madya Dr Ab Aziz Mohd Zin pensyarah di Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya telah menjelaskan bahawa emosi takut merupakan perasaan yang ada pada diri manusia. Manusia akan merasa takut apabila berhadapan dengan perkara yang merbahaya dan kemudaratan. Hal ini sebagaimana dalam Firman Allah s.w.t dalam surah al-An’am ayat 15 yang mana telah menjelaskan tentang emosi takut yang wujud pada manusia. 

Maksud-Nya : Katakanlah: "Sesungguhnya Aku takut akan azab hari yang besar (hari kiamat), jika Aku mendurhakai Tuhanku." 
Berdasarkan ayat-ayat al-Quran yang menyentuh tentang emosi takut, Muhammad Uthman Najati dalam bukunya al-Qur’an wa Ilm al-Nafs telah membahagikan perasaan takut yang ada pada manusia kepada beberapa jenis iaitu takut kepada Allah s.w.t, manusia dan juga takut kepada kematian serta kemiskinan. 

Emosi Marah 

Emosi marah merupakan salah satu perasaan yang timbul apabila manusia berasa tidak puas hati terhadap sesuatu perkara. Kebiasaannya ia diiringi oleh perubahan fisiologi seperti muka menjadi marah, anggota badan menggeletar, pergerakan dan pertuturan bercelaru. Kadang-kala ia diiringi oleh kelakuan luaran seperti cacian, deraan, kutukan dan dendam.

Emosi marah adalah antara naluri semulajadi manusia yang dijadikan oleh Allah s.w.t untuk keperluan hidupnya. Sebagai satu sifat yang semulajadi, pada asalnya mempunyai emosi marah bukanlah suatu kecacatan atau kekurangan manusia. Namun begitu, emosi marah ini boleh menjadi sifat yang keji, jika kemarahan itu menimbulkan perasaan dendam dan melampaui batas kemanusiaan. 

Emosi marah yang tidak dapat dikawal boleh membawa keburukan dan merosakkan diri sendiri serta orang lain. Allah s.w.t turut menyeru manusia supaya menahan marah seperti dalam firmannya dalam surah Ali Imran ayat 134. 

Maksud-Nya : (Iaitu) orang-orang yang menafkahkan (hartanya), baik di waktu lapang mahupun sempit, dan orang-orang yang menahan amarahnya dan mema'afkan (kesalahan) orang. Allah menyukai orang-orang yang berbuat kebajikan. 

Dalam Islam memperakui bahawa adanya emosi marah, tetapi bukan emosi marah yang tidak dapat dikawal sehingga menimbulkan kerosakan kepada dirinya dan masyarakat seperti mana al-Razi menjelaskan bahawa kemarahan yang keterlaluan boleh membahayakan diri sendiri. Islam tidak melarang manusia mempunyai perasaan marah yang kena pada tempatnya dan diperlukan. Dalam konteks dakwah Islamiyah, Rasulullah s.a.w pernah marah. Kemarahannya kerana ada perkara yang tidak disukai yang menyalahi kebenaran. 

Emosi marah merupakan naluri semulajadi manusia yang sedia wujud. Emosi marah ini boleh memberi manfaat kepada manusia jika digunakan untuk kebenaran dan keadilan. Tetapi emosi marah yang tidak dapat dikawal dan menurut hawa nafsu adalah dilarang dalam Islam kerana ia boleh membawa kepada kemudaratan diri dan orang lain. 

Emosi Benci 

Emosi benci mempunyai kebaikan dan keburukannya. Kebaikannya ialah apabila manusia benci melihat kemungkaran yang berlaku akan mendorong manusia untuk memperbetulkan keadaan tersebut manakala keburukannya pula ialah apabila emosi benci tidak dapat dikawal boleh membawa kepada permusuhan dan pergaduhan serta pertelingkahan.

Dalam al-Quran yang menceritakan tentang wujudnya emosi benci dalam diri manusia. Hal ini sebagaimana dalam Firman Allah s.w.t dalam surah al-Baqarah ayat 216. 

Maksud-Nya : Diwajibkan atas kamu berperang, padahal berperang itu adalah sesuatu yang kamu benci. boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak Mengetahui. 

Dalam konteks dakwah pula emosi benci ini hendaklah digunakan di tempat yang betul dan melarang daripada mempunyai perasaan benci yang boleh membawa kepada pergaduhan atau kerosakan dalam masyarakat. 

Emosi Malu 

Setiap manusia mempunyai perasaan malu baik lelaki atau wanita. Perasaan ini menjadikan manusia menyedari kepentingan perilaku yang baik dan mengelak daripada melakukan sesuatu yang dikatakan memalukan. Hal ini membantu mereka mengawal tingkah laku mereka sendiri. Berbagai-bagai perasaan bercampur aduk ketika seseorang mengalami malu. Ini termasuklah perasaan takut, berminat, tertekan dan nyaman. Seiring dengan perasaan ini, terdapat peningkatan degupan jantung dan tekanan darah. Tanda luaran perasan malu ialah tenungan mata yang menyimpang ke samping serta terjurus ke lantai dan anggota menjadi tegang serta lidah menjadi kelu. Suara seorang yang berasa malu bernada rendah, lembut, menggeletar dan teragak-agak. Mimik muka menjadi tersipu, mulut akan tersenyum dan dia akan mengundur diri.

Kesan positifnya ialah perasaan malu dapat menghalang seseorang itu daripada melakukan perkara melampaui batas, memalukan, menjatuhkan maruah dan sebagainya. Manakala kesan negatifnya pula ialah apabila perasaan malu dalam diri seseorang itu terlampau malu tidak bertempat, merka mungkin menghadapi kesukaran dalam berbagai perkara seperti berhadapan dengan orang ramai, tidak yakin membuat sesuatu perkara dan sebagainya. Justeru, perasaan malu perlu dikawal dengan baik agar ia tidak mendatangkan kesan negatif di dalam diri. 

Emosi Sedih 

Emosi sedih akan timbul bilamana seseorang berhadapan dengan keadaan yang mengecewakan, menggelisahkan atau muncul sebagai akibat penderitaan kerana luka atau sakit. Emosi sedih boleh membuatkan seseorang itu berasa tertekan dan murung. Justeru, apabila seseorang berasa sedih, dia hendaklah mengawal perasaan itu dengan sebaiknya. Membuat aktiviti seperti bersenam, berjumpa kawan-kawan dan sebagainya dapat melupakan seketika perasaan sedih itu. Jika boleh, kongsi perasaan sedih itu bersama teman rapat agar perasaan sedih dapat dikurangkan. 

Islam lebih menganjurkan umatnya supaya tidak bersedih kepada perkara-perkara yang melalaikan dan bersedih sehingga melemahkan diri serta sehingga melahirkan kata-kata mengkufurkan Allah s.w.t. Dalam al Qur’an ada menjelaskan mengenai emosi sedih. Hal ini sebagaiman firman Allah s.w.t dalam surah al Baqarah ayat 277. 

Maksud-Nya : Sesungguhnya orang-orang yang beriman, mengerjakan amal saleh, mendirikan shalat dan menunaikan zakat, mereka mendapat pahala di sisi Tuhannya. tidak ada kekhawatiran terhadap mereka dan tidak (pula) mereka bersedih hati. 


Demikianlah kepelbagaian emosi yang dialami oleh manusia. 

Lalu bagaimana ia harus diurus?

1. Mengenal Emosi Diri Sendiri 

Kenal pasti atau cuba menyedari apakah emosi yang sedang dihadapi yang berlegar di fikiran serta apakah punca kepada timbulnya emosi tersebut. Kemudiannya, cuba kuasai emosi tersebut. 

2. Mengurus Emosi Sendiri 
Fikirkan kesan -kesan yang timbul sekiranya emosi itu berterusan untuk satu jangka masa yang panjang. Dan bertindaklah, menukarkan kepada emosi baik.

3. Mengenali Emosi Orang Lain 

 Empati terhadap  individu lain yang mahu mencurahkan emosi mereka. 

4. Memotivasikan Emosi Yang Negatif 

Jadikan emosi  negatif itu sebagai  alat untuk meningkatkan keupayaan dalam berfikir, merancang dan menyelesaikan sebarang masalah. Emosi yang negatif sebagai pemangkin kepada perubahan emosi yang positif. 

5. Mengendali Perhubungan Melalui Komunikasi 

Kenali emosi orang lain, urus diri sendiri, Berkomunikasi dengan orang lain untuk mengekspresikan perasaan dan kehendak diri dalam sesebuah hubungan. 

Penting ke menjaga emosi? 

Ya, penting.
Emosi yang sihat berkait rapat dengan setiap tindak-tanduk kita, justeru ia wajar diberi perhatian. 

Apabila emosi sihat, perasaan serta tindakan juga akan lebih terkawal. Individu akan lebih tabah menghadapi dugaan, mampu menjalinkan perhubungan yang bermakna dan bersemangat kental. 

Mental sihat, cergas dari segi mental bukan bermakna kita hidup tanpa sebarang masalah dan kedukaan. Sebaliknya apa yang dimaksudkan di sini ialah keupayaan untuk menghadapi segala cabaran dalam kehidupan bersandarkan kekuatan yang dimiliki. 


Ketenangan jiwa itu dengan mengingati Allah. Fastabiqul Khairat !!
Sekian :)

Dengan rujukan dari  [http://ciptaan-mulia.blogspot.com/p/pengenalan-emosi-didefinisikan-sebagai.html]