Wednesday, February 15, 2012

Tinta Serikandi, Tak Mudah Mengalah!!


Kulihat sekilas panorama di sebalik jendela. Cuaca cerah, mentari memancarkan sinarnya. Angin petang bertiup lembut, kelihatan dedaun di luar rumah dipukul mesra oleh angin. Seakan kelembutan angin menyapa kegelisahan hati. Benar hati ini terasa gelisah, namun tidak pula kugagahi diri untuk merawatinya. Mengapa perlu dibiar diri terus gelisah dek persoalan-persoalan yang tidak pasti.

Kutujukan perkongsian buat insan yang bersedih. Sebuah motivasi insan kerdil membangunkan diri dengan keyakinan bahawa, di saat- saat sukarnya, dia masih punya Allah sementara di saat-saat senangnya dia masih ingat pada Allah. Hidup ini indah diiringi pentarbiyahan Ilahi.

Benar, manusia seringkali dibelenggu dua perkara utama iaitu persoalan masa lalu dan juga persoalan masa depannya. Terlalu berfikir mengenai masa lalu, maka jiwa menjadi gundah dengan kesedihan sementelah terlalu berfikir mengenai masa depan, maka jiwa menjadi takut, takut untuk berdepan dengan cabaran dan halangan yang perlu dilalui.

Tinggalkan luka- luka semalam dan binalah diri yang baru. Kerana dirimu begitu berharga sebagai hamba dan khalifah Allah. Mengapa harus terus lemah dengan bayangan kesedihan semalam, sedangkan Allah masih menganugerahkan limpah dan rahmatNya secara berterusan. Tinggalkan kesedihan itu, kerana dirimu masih mampu melakukan sesuatu untuk masa depanmu. Gunakanlah sisa-sisa kehidupanmu dengan mentauhidkan Allah.

Engkau bertuah, dilahirkan sebagai seorang muslim. Mendapat limpahan hidayah dari RabbMu. Apakah itu belum bercukup untuk menjadikan dirimu bersyukur? Teman, itulah sebaik- baik anugerah yang Allah anugerahkan. Iman itu kepercayaan, iman itu keyakinan. Teruskanlah membina iman di hatimu kerana iman itu bukanlah ungkapan yang hanya manis di bibir, tetapi iman adalah sepenuh kecintaan, sepenuh penghayatan yang mampu diterjemahkan dalam segenap ruang hidupmu.

Mana mungkin seorang pencinta mengingkari kekasihnya. Demikianlah juga kecintaan kita kepada Allah nescaya mampu menggerakkan kita untuk melakukan apa sahaja keranaNya. Cintailah, nescaya dirimu merasa bahagia. Pada setiap ciptaanNya, terasa kehebatan dan keagunganNya. Bagaimana kita mampu mengingkari keagunganNya. Sungguh, Maha Suci Allah yang Maha Menciptakan!

Benar, bukanlah salah bagimu untuk merasa sedih, berduka dan kecewa kerana kita adalah insan. Insan yang pasti ada kekurangan. Namun, janganlah dibiarkan dukamu itu terus melara dan dirimu hanyut dibawa arusnya. Bangkitlah setelah engkau mengalami kejatuhan, setelah engkau rebah, setelah engkau merasa dirimu teruji kerana ujian itu lumrah kehidupan. Dengan ujian, Allah mentarbiah kita dengan cara yang paling seni. Halus dan memberi kesan, bagi insan-insan yang berfikir menggunakan mata hatinya.

Usah terus menderita kerana kesedihanmu, bangkitlah teman. Ayuh, mara ke hadapan menjadi serikandi pejuang yang tabah mengharungi mehnah. Sungguh, kita perlu terus membawa seruan Islam agar nikmat ini dirasai semua insan. Kita punya taklifan sebagai hamba dan khalifah Allah. Andai kita terus lemah, apakah kita mampu untuk bersama-sama menebarkan haruman Islam? Ayuhlah bangkit, tinggalkan luka semalam. Sebarkan Islam sebagai satu cara hidup, sumber bahagia dunia dan akhirat.InsyaAllah~