Sunday, April 7, 2013

PILIHAN




Hari-hari kita perlu memilih. Adakalanya ia berlaku tanpa sedar. Hakikatnya kita memilih.

Kondisi hari ini, sentiasa berdepan dengan pilihan. Satu ke utara dan satu lagi ke selatan - sekadar menguatkan lagi perbezaan antara kedua-dua pilihan yang wujud.

Dan antara pilihan-pilihan yang wujud ini, pasti menimbulkan dilema bagi individu yang perlu membuat pilihan.

Pilihlah dengan pandangan mata hati, pilihlah 'PILIHAN' yang mendekatkan diri kepada Allah.

Dalam Islam, kita telah lama ditarbiah untuk memilih antara dua. Antaranya :

PAHALA dan DOSA.

AMAL SOLEH dan KEMUNGKARAN 

bahkan 

SYURGA dan NERAKA.

Demikianlah pilihan yang telah pun wujud.

Dan kaitannya dengan situasi semasa menjelang PRU 13 yang semakin hampir,

kita juga perlu memilih antara dua : Kerajaan sedia ada atau menggantikan dengan alternatif yang ada 
( Pakatan Rakyat), 

Pilihlah dengan ilmu, nilailah dengan kebijaksanaan. 

Satu doa yang cukup indah :

Ya Allah, tunjukkanlah kepada kami kebenaran sebagai satu kebenaran dan kurniakanlah kami rezeki untuk mengikutinya  dan tunjukkanlah kepada kami kebatilan sebagai satu kebatilan dan kurniakanlah kepada kami kemampuan untuk menjauhinya. Amiin~

Dan penting juga untuk berdoa dan menunaikan solat istikharah dalam membuat pilihan. Kata kebanyakan orang, istikharah untuk memilih jodoh yang baik. Perlu diketahui, ia tidak terbatas dalam urusan pemilihan jodoh bahkan untuk segenap urusan kehidupan kita. Pilihlah untuk memohon petunjuk Allah dalam membuat pilihan..  Moga hidup terpandu dengan petunjuk dariNya. 


Doa Istikharah bererti:
Memohon semoga Allah menunjukkan keputusan yang terbaik untuk dilaksanakan.


Kata Jabir bin Abdullah: Rasulullah s.a.w. mengajar kami beristikharah dalam semua pekerjaan seperti baginda mengajar kami satu surah dari Al-Quran, sabdanya: "Apabila seseorang kamu mempunyai rancangan untuk melakukan sesuatu hendaklah dia melakukan solat sunat dua rakaat, kemudian bacalah doa ini:



"Ya Allah, aku memohon petunjuk daripadaMu dengan ilmuMu dan aku memohon ketentuan daripadaMu dengan kekuasaanMu dan aku memohon daripadaMu akan limpah kurniaanMu yang besar. Sesungguhnya Engkau Maha Berkuasa sedangkan aku tidak berkuasa dan Engkau Maha Mengetahui sedangkan aku tidak mengetahui dan Engkaulah Yang Maha Mengetahu segala perkara yang ghaib. Ya Allah, seandainya Engkau mengetahui bahawasanya urusan ini (sebutkan..) adalah baik bagiku pada agamaku, kehidupanku dan kesudahan urusanku sama ada cepat atau lambat, takdirkanlah ia bagiku dan permudahkanlah serta berkatlah bagiku padanya da seandainya Engkau mengetahui bahawa urusan ini (sebutkan..) mendatangkan keburukan bagiku pada agamaku, kehidupanku dan kesudahan urusanku sama ada cepat atau lambat, maka jauhkanlah aku daripadanya dan takdirkanlah kebaikan untukku dalam sebarang keadaan sekalipun kemudian redhailah aku dengannya".

(sebutkan urusan yang dimaksudkan di tempat yang bertitik).


Tidak akan menyesal sesiapa yang bertanyakan penciptanya dan berbincang dengan orang-orang mukmin kemudian berhati-hati dalam menangani persoalannya.
Allah telah berfirman:

"Dan berbincanglah dengan mereka (para sahabat) dalam urusan itu (peperangan, ekonomi, politik dll). Apabila kamu telah membulatkan tekad, bertawakallah kepada Allah".


Petikan dari : http://doaharian.blogspot.com/2007/04/doa-solat-istikharah.html

 Siiru 'ala barakatillah 

Sunday, March 31, 2013

Permata Hati


Meneruskan kembara di dunia. Antara sedar dan tidak, masa terlalu pantas berlari. Bermula dari zaman kanak-kanak ( mungkin masih mampu diingati peristiwa yang dilalui), zaman persekolahan (bermula dengan PASTI, sekolah rendah, sekolah menengah dan universiti). Di sebalik langkahan ke hadapan, adakalanya perlu menoleh kembali ke belakang.  Bermuhasabah. 

Sebuah kedewasaan. Meniti usia 20 an ini, perubahan pemikiran seorang kanak-kanak kepada remaja dan dewasa. Kata orang, bila kita mendirikan rumah tangga dan menimang cahaya mata dari seorang bertambah dua, kemudian tiga, empat dan seterusnya.. Saat itu, kita mula menyedari betapa berharga peranan kedua ibu  dan bapa kita yang mencurahkan kasih sayang tanpa syarat. Sedangkan kita, sewaktu bergelar seorang anak  masih gagal memahami kasih sayang mereka. Tiba- tiba sebak. Allah..

Bila kita meningkat dewasa, ibu dan bapa kita semakin dimamah usia. Dan, mereka juga  memerlukan kasih dan sayang dari anak-anak mereka. Sedarilah tuntutan hak ibu dan bapa terhadap kita yang bergelar anak. Sekali lagi, sebak.. Allah..

Terima kasih ku dan ma. Yang setia mencurah bakti, mendidik dan mengasuh kami.. Sayang selalu.

Ya Allah, ampunilah dosa kedua ibu bapaku, kasihanilah kedua ibu bapaku sebagaimana mereka mengasihiku di waktu kecilku.. Allahumma ameen..

sangat rindu kepada kedua-dua permata hati ini.. moga mereka sentiasa dalam pemeliharaan Allah.. amiin..

Friday, March 15, 2013

Teruslah Bergerak!




Medan amal adalah medan yang memerlukan kesungguhan, ketekalan dan pengorbanan dari seorang yang bergelar 'amilin. Maka, teruslah bergerak dengan kemampuan yang ada. Andai difikirkan kelemahan dan kekurangan yang ada, nescaya lemahlah jiwa dan lunturlah kekuatan untuk meneruskan sebuah perjuangan. 

Medan amal adalah berbeza dari medan bicara. Sebaik-baik bicara adalah bicara yang dikotakan. Tidak hanya melontarkan fikrah yang kedengaran bagus, namun bila tiba saat melaksanakan mulai merasa lemahnya jiwa untuk menggerakkannya.

Bergeraklah. Berusahalah. Jangan pernah berputus asa. Dan jangan lemah semangat. Ikhlaskan segalanya kerana Allah. Itulah sumber kekuatan jiwa seorang yang ingin menjadi 'amilin di medan dakwah, tarbiah dan siasah. 

Ya Allah, pimpinlah langkah hambaMu ini untuk melaksanakan amanah dariMu dengan keterbatasan yang ada pada diri ini. Ya Allah, bantulah hambaMu ini. Permudahkanlah segala halangan dan rintangan yang mendatang dengan ketenangan jiwa yang merupakan anugerah bernilai dariMu. Jalan ini panjang dan jauh, mengharapkan kekuatan dan bantuanMu selagi hayat dikandung badan. Moga terus thabat .



Monday, March 11, 2013

Dialah Sebaik-baik Penolong



Menulis di ruangan ini, adakala merupakan satu cabaran buat diri. Untuk menulis memerlukan tujuan yang akan menggerakkan segala daya dan usaha untuk diterjemahkan. Bagi seorang yang suka bercerita, barangkali mudah untuknya menjelaskan sesuatu dengan kata-kata yang diluahkan secara spontan. Namun, bagi seseorang yang suka memendam rasa, ternyata sukar untuknya berterus- terang melalui kata-kata bahkan juga melalui penulisan. Mungkin pandangan ini tepat buat sebahagian orang dan langsung tidak memenuhi kondisi individu lainnya.

Rencam dalam kehidupan sosial dan bermasyarakat, setiap individu mempunyai karakter yang tersendiri malah berbeza antara satu sama lain.Di sebalik kerencaman dan kepelbagaian itu, Islam menganjurkan manusia berkenal-kenalan antara satu sama lain. Dan sungguh, Maha Suci Allah yang Maha Menciptakan segala sesuatu. 

Kita merancang, Allah jua merancang. Dan ketentuan Allah adalah yang terbaik.
Terkadang terfikir mengenai kehidupan yang sedang dilalui. Dunia ini banyak likunya, meski usia masih setahun jagung dan belum melalui pengalaman kehidupan yang getir sebagaimana yang dilalui oleh individu lain, namun diri ini terasa bahangnya. Ujian sebuah kehidupan. 

Dunia adalah tempat untuk beramal. Dunia sebagai jambatan untuk menuju perkampungan akhirat yang kekal abadi.  Masa hidup ini terhad. Bila-bila masa, akan dipanggil menghadap Allah, Tuhan yang menciptakan. Bersediakah? 

Allahu Rabbuna, pimpinlah langkah kami dalam kehidupan ini. Kurniakan kami rahmat dan kasih-sayangMu yang mengekalkan kami dalam ketaatan kepadaMu. Hanya Engkau sebaik-baik penolong buat sekalian hambaMu yang mengharap keampunan dan kasih sayangMu..