Saturday, July 10, 2010

Ilmu itu cahaya

Menjadi seseorang bermentaliti juara,harapan setiap insan yang bergelar pelajar. Alhamdulillah indahnya menjalani kehidupan sebagai seorang pelajar. Memulakan langkah setiap hari dalam rangka mencari ilmu, tidak berenggang dari buku yang merupakan teman ilmiah, alat tulis, kertas dan nota kuliah. Yang dinamakan sebagai ilmu itu juga bukan hanya dengan mendengar syarahan demi syarahan namun soft skill itu juga merupakan ilmu yang digarap hasil dari pengalaman. Pengalaman itu datang dari usaha mendepani kehidupan, menghadapi permasalahan yang timbul yang sering menghadang langkah. Indahnya merasa hidup ditarbiyah dalam perjuangan menuntut ilmu.

Hakikatnya,menuntut ilmu satu perjuangan hingga ke akhir hayat. Ilmu itu pula perlu diseiringkan dengan penghayatan dan pengamalan secara amali.Ilmu tanpa amal itu ibarat pokok yang tidak berbuah. Alangkah beruntungnya apabila kita menanam pokok kita dapat memakan hasilnya iaitu buah yang begitu manis. Ilmu yang bermanfaat itu ialah ilmu yang mendekatkan kita kepada Allah dan meningkatkan ketaqwaan kita. Semakin berilmu,semakin kita merasa ingin menambah ilmu kerana kita merasa serba kekurangan dan penuh dengan ketidaktahuan.

Ayuh,kita tingkatkan thaqafah dengan memperbanyakkan membaca dan mengkaji agar minda kita berkembang dan ketaqwaan kita meningkat. Ayuh kita baca al Quran dengan menghayati maknanya agar kita menemukan suruhan dan larangan Allah serta mengkaji sirah rasulullah yang merupakan role model utama dalam pembentukan diri kita sebagai individu muslim..InsyaAllah. Ayuh kita menuntut ilmu kerana Allah.