Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani
Segala puji dan sanjungan hanya untuk Allah,mudah-mudahan selawat dan salam dilimpahkan kepada hamba Allah dan Rasulnya,Nabi Muhammad s.a.w, keluarga dan para sahabatnya sekalian.
Firman Allah didalam surah al-Ahzab:
إِنَّ ٱللَّهَ وَمَلَـٰٓٮِٕڪَتَهُ ۥ يُصَلُّونَ عَلَى ٱلنَّبِىِّۚ يَـٰٓأَيُّہَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ صَلُّواْ عَلَيۡهِ وَسَلِّمُواْ تَسۡلِيمًا (٥٦
Sesungguhnya Allah dan malaikatNya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad s.a.w); wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya kepadanya. (56)
Nabi Muhammad s.a.w menghabiskan sebahagian besar waktunya untuk beribadah.Kerana ibadah itu merupakan bekal dan kekuatan bagi seorang daie yang menjadikan kata-katanya hangat, jujur, tulus dan murni serta mampu meresap ke dalam hati. Kata-kata kebenaran tidak pernah mati kecuali pada manusia yang yang mati hatinya kerana terlena mengejar dunia.
Berselawat ke atas Nabi Muhammad s.a.w akan menjadi penerang bagi penglihatan, cahaya bagi mata hati, membawa kebahagiaan kepada hati,kesenangan bagi jiwa ketenangan fikiran. Berselawat ke atas Nabi Muhammad s.a.w merupakan petanda cinta,saksi mengikut jejak,petunjuk kebaikan serta jalan kemenangan sebagaimana sabda baginda s.a.w,
''Sesiapa berselawat untukku sekali nescaya Allah akan membalasnya sepuluh kali, meninggikannya sepuluh darjat ,mencatatkan baginya sepuluh kebaikan dan menghapuskan darinya sepuluh keburukan.''
-H.R al Nasaie dlm Sunanul Kubra 9890 & dlm 'Amalul Yaum Wal Lailah 63,menerusi Anas bin Malik.
Rasulullah s.a.w bersabda lagi:
''Rugilah orang yang disebut diriku di hadapannya, lalu ia tidak berselawat kepadaku''.
H.R Ahmad,Tirmizi &al-Hakim
Ayuh kita berselawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w dalam kehidupan seharian kita dalam keadaan,masa dan tempat yang pelbagai demi cinta kita kepada seorang Rasul utusan Allah yang mulia.