Saturday, July 27, 2013

"Badar Al-Kubra : Peristiwa Dan Pengajaran".


Badar al-Kubra : Peristiwa dan Pengajaran. Jom telusuri kisahnya 

Setiap kali kedatangan Ramadhan al-Mubarak akan mengingatkan kita kepada beberapa peristiwa besar yang berlaku pada bulan ini, yang menghendaki kita sama-sama merenungi dan mengambil pengajaran darinya. Antara peristiwa besar yang berlaku pada bulan Ramadhan ialah berlakunya peperangan Badar al-Kubra pada tanggal 17 Ramadhan tahun kedua Hijrah. Peperangan ini adalah merupakan titik tolak kepada kemenangan perjuangan Rasulullah s.a.w dalam menyebarkan risalah Islam seterusnya.


Peristiwa yang bersejarah ini berlaku setelah Rasulullah s.a.w. mendengar berita bahawa qafilah perniagaan Quraisy pimpinan Abu Sufian bin Harb sedang dalam perjalanan pulang dari Syam menuju ke Mekah. Peluang itu diambil oleh Rasulullah s.a.w.  bersama-sama 313 orang sahabat keluar ke Badar bagi mengambil barangan perniagaan tersebut sebagai gantian harta orang Islam yang dikuasai oleh musyrikin Mekah setelah umat Islam berhijrah ke Madinah.

Sekalipun qafilah Abu Sufian telah terselamat dari sekatan Rasulullah s.a.w.  dan tidak lagi memerlukan bantuan tentera Quraisy dari Mekah, namun Abu Jahal yang memimpin hampir seribu bala tentera yang lengkap bersenjata, dengan angkuh dan sombong menyatakan:
"Demi Allah! Kita tidak mahu pulang sekarang sehingga kita sampai di Badar. Kita berpesta di sana selama 3 hari, kita sembelih unta, minum arak dan menyanyi sehingga seluruh bangsa Arab mengetahui perhimpunan dan kedatangan kita. Maka kehebatan kita terus menerus dapat dilihat oleh mereka".

Untuk menghadapi saat yang getir ini, Rasulullah s.a.w. segera mengadakan mesyuarat dan meminta pandangan para sahabatnya dari kalangan Muhajirin dan Ansar. Para sahabat semuanya memberi ikrar taat setia akan tetap berdiri teguh bersama Rasullah s.a.w.  dalam menghadapi tentera pimpinan Abu Jahal tersebut. Inilah kehendak Allah SWT kepada Rasulullah s.a.w.  dan para sahabatnya seperti mana firman Allah SWT dalam surah al-Anfal, ayat ke 7 :
"Dan (ingatlah), ketika Allah menjanjikan kepadamu bahawa salah satu dari dua golongan (yang kamu hadapi) adalah untukmu, sedang kamu menginginkan bahawa yang tidak mempunyai kekekuatan senjatalah yang untukmu, dan Allah menghendaki untuk membenarkan yang benar dengan ayat-ayatNya dan memusnahkan orang-orang kafir".

Pagi Jumaat 17 Ramadhan telah tiba, kedua-dua belah pihak telah bersedia untuk berperang. Rasulullah s.a.w.  sendiri telah menyusun sof tenteranya dengan susunan yang kemas dan rapi. Ketika itu pergantungan Rasulullah s.a.w.  hanyalah kepada Allah SWT. Rasulullah s.a.w.  dengan penuh harapan mengangkat tangan bermunajat memohon pertolongan Allah SWT dengan doanya yang bermaksud:
"Ya Allah! Ya Tuhanku, tunaikanlah apa yang telah Engkau janjikan kepadaku. Ya Allah! Ya Tuhanku, kurniakanlah apa yang dijanjikan kepadaku. Ya Allah! Ya Tuhanku, jika binasa pasukan yang kecil ini, maka Engkau tidak akan disembah lagi di bumi selepas ini".

Pertempuran bermula dengan Rasulullah s.a.w.  meminta agar Ubaidah bin Harith, Sayyidina Hamzah dan Sayyidina Ali mara untuk menentang tiga pemimpin Quraisy iaitu Utbah bin Rabi'ah, Syaibah bin Rabi'ah dan al-Walid bin Utbah yang telah mencabar tentera Islam. Ketiga-tiga pahlawan Islam itu telah berjaya membunuh ketiga-tiga musuh mereka di mana kemenangan ini merupakan kemenangan awal dalam menyemarakkan lagi semangat jihad.

Selepas itu berlakulah pertempuran sengit. Tentera Islam mengambil tindakan bertahan. Sementara Rasulullah s.a.w. terus-menerus bermunajat kepada Allah SWT, sehinggalah Allah SWT mengkabulkan doanya, dengan menghantar  tentera dari kalangan malaikat yang turun berduyun-duyun membantu tentera Islam. Hal ini telah diabadikan oleh Allah SWT melalui firman-Nya dalam surah al-Anfal ayat ke 9:
"Ingatlah ketika kamu memohon pertolongan kepada Tuhanmu lalu diperkenankannya bagimu. Sesungguhnya Aku akan mendatangkan bantuan kepadamu dengan seribu malaikat yang datang berturut-turut".


Tentera Rasulullah s.a.w. bukan sahaja mengambil setrategi bertahan, bahkan meraka mula mengambil tindakan menyerang dengan bantuan tentera-tentera dari kalangan malaikat yang diutuskan oleh Allah SWT. Para tentera Islam dapat saksikan bagaimana terputusnya kepala dan tangan musuh tanpa dapat dilihat sesiapa yang memancungnya. Pada pusingan ini, Abu Jahal sendiri telah berjaya dibunuh, dan kepalanya dibawa kepada Rasulullah s.a.w.  seraya Baginda menyatakan bahawa inilah dia Firaun umat ini.


Dengan terbunuhnya Abu Jahal maka berakhirlah peperangan yang bersejarah ini dengan memberi kemenangan yang nyata kepada tentera Islam. Seramai 70 orang pembesar musyrikin telah terbunuh dan 70 orang lagi berjaya ditawan. Sementara itu hanya 14 orang tentera Islam telah gugur syahid. Berita kemenangan ini disambut oleh penduduk Madinah dengan penuh kesyukuran dan kegembiraan dengan laungan takbir dan tahlil kepada Allah SWT. Kemenangan ini telah meletakkan Islam sebagai agama yang tertinggi dan umat Islam menjadi bangsa yang kuat, bukan lagi sebagai mangsa penindasan para kuffar.


Melalui peristiwa peperangan Badar al-Kubra yang penuh bersejarah ini, terlalu banyak pengajaran dapat kita petik dan teladani sebagai bekalan kehidupan harian kita. Antaranya ialah:
Pertama:    Agama Islam yang kita anuti dan nikmati hari ini adalah merupakan hasil perjuangan yang menuntut pengorbanan yang tinggi dari para pendukungnya, khususnya Nabi dan para sahabat baginda s.a.w.. Oleh yang demikian, marilah kita hargai Islam ini dengan mengamalkan sepenuhnya.

Kedua:       Syura atau bermesyuarat sebelum membuat apa-apa keputusan dalam perkara yang tiada nas yang jelas dalam al-Quran dan al-Sunnah, adalah merupakan asas pentadbiran dan politik Islam yang tetap, yang tidak harus diabaikan.

Ketiga:       Keimanan yang kental, doa yang berterusan serta tawakkal yang tinggi kepada Allah SWT merupakan senjata yang ampuh dan berkesan bagi menghadapi sebarang serangan musuh-musuh Allah dan Islam di sepanjang zaman.

Keempat:   Sesuatu kebenaran itu tidak akan dapat ditegakkan jika ianya tidak disertai dengan setrategi yang betul, perancagan dan penyusunan yang kemas dan rapi.

Kelima:      Sebagai umat Islam kita mestilah yakin bahawa sesungguhnya Allah SWT Maha Kuasa untuk memberi pertolongan dan kemenangan kepada perjuangan Islam sekalipun jumlah pendokongnya kecil dan kekuatannya terhad.


Semoga semangat dan roh kemenangan Badar al-Kubra yang bersejarah ini akan kembali berulang di abad ini, dan membakar semangat kita supaya sama-sama kita bangkit menghayatinya dengan teguh mendokong perjuangan Islam dan kepimpinannya. Dengan itu sahajalah, agama Islam akan terbela, syariatnya akan tertegak gagah dan rahmatnya akan dapat dinikmati dalam negara ini oleh semua lapisan masyarakat dalam tempoh terdekat InsyaAllah.
"Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang mukmin diri dan harta mereka dengan memberikan surga untuk mereka, mereka berperang pada jalan Allah; lalu mereka membunuh atau terbunuh. (Itu telah menjadi) janji yang benar dari Allah di dalam Taurat, Injil dan Al Quran. dan siapakah yang lebih menepati janjinya (selain) daripada Allah? Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan itulah kemenangan yang besar".
                                                                                                                                  (At-Taubah: 111)  


Catatan : Alhamdulillah, berkesempatan mendengar tazkirah yang disampaikan oleh YAB  Ahmad Yaakob di majlis iftar anak Kelantan di perantauan. Dalam pengisiannya, beliau menceritakan mengenai kelebihan bulan Ramadhan dan mengulas mengenai Perang Badar Kubra yang berlaku pada tanggal 17 Ramadhan.Perkongsian lanjut mengenai Badar al-Kubra buat ana dan sahabat-sahabat yang terbaca entri kali ini adalah  teks khutbah  Jumaat yang telah disampaikan pada 27 Julai 2012 .

No comments: