Tuesday, July 9, 2013

BIOGRAFI IDRIS AL-MARBAWI

PENGENALAN

Idris al-Marbawi merupakan seorang ilmuan yang mahsyur di Nusantara, Mesir dan Makkah terutamanya dalam bidang bahasa Arab, tafsir, hadith dan fiqh. Ketokohan beliau dalam peradaban dan ketamadunan Islam Nusantara terserlah melalui sumbangan beliau sebagai tokoh penyusun kamus Arab-Melayu di Asia Tenggara. Beliau berperanan penting dalam membentuk pemikiran umat Islam di Nusantara melalui penghasilan sebuah kamus dwibahasa Arab-Melayu iaitu Kamus al-Marbawi yang menjadi sebuah rujukan penting untuk memahami bahasa Arab yang merupakan bahasa sumber bagi al-Qur’an, al-hadith dan ilmu-ilmu Islam lainnya.


Kamus al-Marbawi diperakui mempunyai kesan menyeluruh kepada perkembangan Islam di Nusantara melalui penyediaan kosakata yang berperanan penting dalam perkembangan proses pengajaran dan pembelajaran bahasa Arab. Buktinya, ia telah digunakan secara meluas di pondok-pondok, madrasah, pesantren, sekolah agama malahan sebagai sumber rujukan di perpustakaan-perpustakaan institusi pengajian tinggi dulu sehingga kini. Justeru itu, kajian selanjutnya bertujuan memaparkan biografi Idris al-Marbawi.

RIWAYAT HIDUP
Nama penuh beliau ialah Muhammad Idris bin Haji Abdul Rauf bin Jaafar bin Idris. Nama al-Marbawi adalah gelaran yang diambil sempena nama kampung beliau iaitu Lubuk Merbau, Kuala Kangsar. Beliau merupakan seorang tokoh ulama terkenal dalam kalangan ulama Melayu-Malaysia. Beliau berperanan penting dalam membentuk minda umat Islam di Nusantara melalui penghasilan karya-karya beliau (Zulkiple Abd.Ghani et.al. 2011: 38). Beliau telah dilahirkan pada 28 Zulkaedah 1313H/ 1892M di perkampungan al-Masfalah, Makkah al-Mukarramah (Mohd Fauzi & Mohd Nuri al-Amin Endut. 2006 : 459).

Pada waktu kelahirannya, kedua-dua ibu bapa beliau berada di Makkah untuk mengerjakan ibadah haji serta menuntut ilmu di sana (Zulkiple Abd.Ghani et.al. 2011: 38). Bapa beliau ialah Haji Abd al-Rauf bin Ja’far, berasal dari Minangkabau. Ibu beliau pula ialah Asma’ bt Haji Abdul Karim, berasal dari Kota Lama Kiri, Kuala Kangsar, Perak (Zulkiple Abd.Ghani. et.al. 2011: 38). Beliau mempunyai 8 orang adik-beradik dan beliau merupakan anak sulung. Adik-beradik lelaki beliau dari ibu yang sama ialah Haji Abdullah, Haji Tahir, Haji Harun, Haji Abdul Kadir dan Haji Hasan. Manakala dua orang adik beradik perempuan beliau berlainan ibu ialah Hajah Khadijah dan Hajah Hafsah (Zulkiple Abd.Ghani. et.al. 2011 : 38).

Pada tahun 1920, beliau telah mendirikan rumah tangga dengan pilihannya iaitu Khadijah Mohd Adham. Pada tahun 1924, beliau telah berangkat ke Mesir untuk menuntut ilmu. Ketika berada di Mesir, beliau berkahwin untuk kali kedua dengan seorang wanita Arab iaitu Munirah bt Abd Wahhab. Beliau mempunyai sepuluh orang anak hasil perkahwinannya dengan isterinya yang pertama. Manakala, beliau tidak dikurniakan zuriat hasil perkahwinan beliau dengan isteri keduanya, Munirah (Zamri Ariffin & Md.Nor Abdullah. 2006: 466). Setelah tamat pengajian di Mesir, beliau tidak terus pulang ke tanah air, tetapi terus menetap di Mesir. Suasana keilmuan di Mesir berjaya mencorakkan beliau sebagai seorang ilmuwan. Beliau meneruskan aktiviti  penulisan ilmiah di Mesir kira-kira 55 tahun.

Ketinggian intelektual beliau mendapat perhatian negara yang mana beliau telah dinobatkan sebagai penerima anugerah. Berikutan itu, beliau pulang ke tanah air pada tahun 1980 bagi menerima anugerah kehormat Doktor Persuratan dari Universiti Kebangsaan Malaysia. Beliau  meninggal dunia pada 13 Oktober 1989 di Hospital Besar Ipoh, Perak. Beliau dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam di Kampung Lubuk Merbau, Kuala Kangsar bersebelahan pusara isteri beliau yang pertama iaitu Hajjah Khadijah bt. Mohd Adham yang telah meninggal dunia lima bulan sebelum itu (Mohd. Fauzi Hamat & Mohd Nuri al-Amin Endut. 2006: 279-280).

LATAR BELAKANG PENDIDIKAN
Keilmuan beliau banyak dicorakkan oleh suasana kehidupan beliau yang mementingkan ilmu semenjak kecil. Beliau telah memperoleh pendidikan awal di Makkah. Usia muda beliau telah digunakan sepenuhnya  dalam suasana keilmuan khususnya bagi mendalami pembelajaran al-Qur’an, mempelajari ilmu berkaitan bahasa Arab yang dikenali sebagai ilmu alat seperti nahw, sarf dan balaghah serta ilmu tradisi Islam yang lain seperti  usuluddin, fiqh, hadith, tafsir dan tasawuf. Beliau dipercayai memperoleh pendidikan asas dari bapanya sendiri dan berkemungkinan besar menerima pendidikan dari beberapa ulama besar yang menetap di Makkah seperti Haji Wan Ali bin Abdul Rahman Kutan (1837- 1912), Syeikh Nik Mat Kecik Fatani (1844- 1915), Syeikh Wan Ahmad bin Wan Muhammad Zain al-Fatani (1856- 1908) dan Syeikh Wan Ahmad Khatib bin Abdul Latif al-Minangkabawi (1860-1916) (Zulkiple Abd. Ghani. et.al. 2011: 38).

Ketika berumur 10 tahun, beliau telah mampu menghafaz 10 juzu’ al-Qur’an di samping beberapa buah kitab lain (Jawiah Dakir. et.al. 2006: 204). Kemudiannya, pada tahun 1902, beliau  pulang bersama keluarganya ke Lubuk Merbau, Kuala Kangsar. Setelah itu, beliau menyambung pembelajarannya di Sekolah Melayu Lubuk Merbau sehingga tamat darjah lima. Dalam tempoh kira-kira sepuluh tahun selepas kembali dari Makkah, beliau berhijrah dari sebuah pondok ke pondok yang lain. Antaranya ialah Pondok Syeikh Wan Muhammad di Bukit Chandan, Kuala Kangsar, Pondok Tuan Hussin al-Mas’udi di Kedah, Pondok Syeikh Ahmad Fatani (Madrasah al-‘Asriyyah) di Bukit Mertajam serta Pondok Tok Kenali di Kelantan (Zamri Ariffin & Md.Nor Abdullah.2006:466).

Setelah belajar di pondok Kenali, Idris al-Marbawi meneruskan pengajiannya ke Kaherah, Mesir untuk mendalami ilmu agama. Beliau berangkat ke Mesir pada Mac 1924. Beliau merupakan anak Melayu pertama kelahiran Perak yang melanjutkan pengajian di Universiti al-Azhar, Mesir (Mohd Fauzi Hamat & Mohd. Nuri al-Amin Endut. 2006 : 279). Semasa di Universiti al-Azhar, beliau memberi penumpuan penuh dalam mendalami ilmu tawhid, hadith dan tafsir (Zamri Ariffin & Md.Nor Abdullah.2006:466). Menurut Muhammad (2003), Idris al-Marbawi telah menuntut ilmu dengan tokoh-tokoh seperti Syeikh Muhammad Mustafa al-Maghari iaitu Sheikh al-Azhar pada tahun 1928 serta Syeikh Abu al-Fadl al-Gizawi (Mohd Fauzi Hamat & Mohd. Nuri al-Amin Endut. 2006 : 279).

Antara guru beliau yang terkenal dalam bidang hadith ialah Syeikh Muhammad Ibrahim yang merupakan seorang sarjana di Universiti al-Azhar serta tenaga pengajar penting di Jami‘ al-Husayn, Kaherah (Zamri Arifin & Md.Nor Abdullah. 2006: 467). Setelah beberapa tahun di sana, beliau berjaya mendapatkan ijazah ‘aliyah yang setaraf dengan ijazah sarjana muda sekarang di dalam bidang Shari‘ah Islamiyyah (Zamri Arifin & Md.Nor Abdullah. 2006: 466). Dapatlah disimpulkan bahawa kegigihan dan kesungguhan beliau dalam menuntut ilmu merupakan elemen penting dalam pembangunan keintelektualan beliau.

KEPERIBADIAN
Dari segi perwatakan, beliau merupakan seorang yang pendiam. Ini kerana beliau tidak suka menghabiskan masa dengan bercakap kosong. Justeru itu, beliau merupakan seorang yang sangat menghargai masa. Beliau juga merupakan seorang yang lemah lembut dan suka meraikan tetamu mahupun kawan. Beliau pernah diziarahi oleh Hamka, Pak Sako serta tokoh-tokoh agama lain sewaktu menetap di Mesir ( Zulkiple Abd.Ghani. et.al. 2011 : 39).

Kajian mendapati Idris al-Marbawi merupakan seorang yang gigih dan mencintai ilmu pengetahuan. Beliau menuntut ilmu semenjak kecil tanpa mengenal erti putus asa. Hasilnya beliau mampu menguasai pelbagai ilmu pengajian Islam terutamanya ilmu tafsir al-Qur’an, hadith, fiqh serta bahasa Arab. Beliau juga merupakan seorang yang berjiwa pendidik. Pengetahuan yang ada pada dirinya disebarkan kepada masyarakat umum dalam bentuk penulisan untuk memberi manfaat kepada ummah. Buktinya, pelbagai kitab beliau masih boleh dipelajari sehingga kini.

2.5          SUMBANGAN DALAM PENULISAN
Idris al-Marbawi bergiat aktif dalam penulisan dan menghasilkan pelbagai karya dalam bidang pengajian Islam. Hasil penulisan beliau memperkayakan khazanah Islam di Nusantara dan memberi pendedahan intelektual kepada masyarakat Islam. Kitab yang dikarang oleh beliau di dalam bidang hadith ialah kitab Bahr al-Mazi sebanyak 22 jilid yang merupakan terjemahan dan ulasan terhadap Sunan al-Tarmidhi (Zulkiple Abd.Ghani. et.al. 2011 : 38). Kitab ini membicarakan 8200 permasalahan agama dan hal ehwal dunia dan akhirat (Jawiah Dakir et.al. 2006 :206).

Beliau juga menghasilkan beberapa kitab tafsir al-Qur’an dalam Bahasa Melayu. Antaranya ialah Tafsir Qur’an al-Marbawi, Tafsir Qur’an Nur al-Yakin dan Tafsir Surah Yasin. Di dalam penulisan tafsirnya, beliau hanya menjelaskan huraian dan perbahasan dalam sesuatu ayat secara ringkas dan padat, namun mampu memberi kefahaman kepada pembaca (Jawiah Dakir et.al. 2006: 206). Beliau turut menghasilkan kitab yang seumpama ensiklopedia pertama dalam bahasa Melayu iaitu Kamus Segala Ilmu (Kitab Jami‘ al- ‘Ulum) dan Kitab Perbendaharaan Ilmu Kurun 14H. Kitab Perbendaharaan Ilmu Kurun 14H merupakan majalah bulanan yang mengandungi pelbagai aspek ilmu pengetahuan termasuklah bahasa Melayu, masalah agama, tafsir, hadith dan tawhid, tasawuf, sejarah tokoh terkenal dunia, geografi, kimia, falsafah serta kedoktoran (Zulkiple Abd.Ghani. et.al. 2011 : 43).

Selain itu, beliau turut memberi sumbangan dalam penghasilan kamus. Antaranya ialah penghasilan kamus kecil seperti Qamoes-el-Djaib Arab-Melajoe Latin (Kamus Poket: Arab Malaya Latin), ringkasan Kamus Melayu-Arab Bergambar dan Teladan Belajar Bahasa Arab yang senang serta Kamus Penuntut (Zulkiple Abd.Ghani. et.al. 2011: 40). Kamus- kamus kecil ini tidak tersebar secara meluas sebagaimana Kamus al-Marbawi yang merupakan karya terbesar beliau dalam perkamusan serta cukup terkenal di sekitar Nusantara (Zulkiple Abd.Ghani. et.al.  2011 : 43). 

KESIMPULAN

Idris al-Marbawi merupakan seorang tokoh yang mempunyai keazaman yang tinggi dalam kehidupannya. Berkat kesungguhan dan tekadnya, beliau mampu menguasai ilmu yang dipelajari sekaligus memanfaatkannya  untuk kepentingan ummah melalui hasil penulisan dalam pelbagai bidang. Antara sumbangan beliau yang utama ialah dalam bidang perkamusan di Nusantara iaitu Kamus al-Marbawi yang dihasilkan bagi memenuhi keperluan beliau dan para penuntut ilmu di Timur Tengah dalam usaha memahami kuliah dan pengajian, bahan rujukan serta komunikasi yang berasaskan bahasa Arab. Penyusunan kamus ini membuktikan kecekalan dan kegigihan beliau dalam memajukan pendidikan ummah sejagat.