Thursday, July 4, 2013

Sunnah Orang Berjuang

Sudah menjadi lumrah yang merupakan sunnatullah, perjuangan menegakkan Islam dan membawa cahayanya diiringi ujian, mehnah dan tribulasi. Sejarah yang panjang bermula dari perjuangan para anbiya' 'alaihimussalam membuktikan bahawa perjuangan adalah satu jalan yang sukar. Penentangan demi penentangan diterima dari golongan yang ingkar terhadap kebenaran dan mencintai kekufuran.

Kita melihat sejarah. Kita mengikuti sirah perjuangan Rasulullah s.a.w. Saat-saat dakwah bermula dengan asing dan saat-saat mula diterima umum seterusnya dakwah tersebar dengan meluas. Saat Islam memerintah.

Demikian.. seiring perjalanan waktu, perjuangan baginda ini masih lagi disambung oleh para pendokong dan pencinta kebenaran.

Hari ini, dunia gempar dengan rampasan kuasa terhadap Dr. Mursi Hafizahullah yang merupakan presiden Mesir yang dilantik secara sah oleh rakyat.

Bergetar hati mendengar konspirasi di sebalik penurunan atau lebih tepat disebut sebagai penggulingan. 

Ternyata, di setiap episod perjuangan ini, ada musuh yang tidak senang dengan kebenaran. 

Satu keyakinan, masa depan yang gemilang adalah untuk Islam. Allah s.w.t pasti mengurniakan kemenangan kepada Islam dan perjuangan menegakkan kalimah '' La ilaha illa Allah '' sebagai kalimah tertinggi.

Kemenangan yang menuntut sebaik-baik tentera dan sebaik-baik pemimpin.

Demikianlah ibrahnya dari surah al-saff  sebagaimana yang  dipetik dari 'Tafsir Fi zilal Al Quran' karangan as Syahid Syed Qutb rahimahullah. Intipati surah ini :  

  • Bertujuan memacakkan keyakinan di dalam diri setiap Muslim bahawa agama Islam adalah satu agama dan manhaj Ilahi yang terakhir untuk manusia. Ia pula telah didahului sebelumnya oleh beberapa bentuk manhaj yang bersesuaian dengan tahap-tahap perkembangan sejarah dan pengalaman kehidupan manusia yang dapat membina asas yang teguh untuk agama terakhir ini. Justeru surah ini telah menyebut tentang risalah Nabi Musa A.S dan Nabi Isa A.s bersama kaumnya yang menyakiti dan menyeleweng daripadanya yang menamatkan kelayakan mereka sebagai pemegang amanah risalah Allah di muka bumi ini. Takdir Allah menentukan bahawa perjalanan risalah-Nya sepanjang zaman akhirnya berhenti dan terbina teguh di tangan Nabi Muhammad yang mulia.
  • Di atas asas yang pertama ini, terbina pula asas kedua yang ditekankan oleh surah ini iaitu terbentuknya rasa tanggung jawab dan taklif yang berat yang perlu dipikul oleh umat Islam yang menerima amanah agung tersebut daripada umat-umat yang terdahulu. Ia lantas mendorong mereka untuk memasang niat yang benar dan ikhlas kepada perjuangan menegakkan amanah ini. Ia tidak ragu-ragu lagi bahkan menempelak sikap nifaq di dalam perjuangan.
Inilah dua asas utama yang merangkum segala isi di dalam surah al Saff. Ia termasuklah kecaman terhadap golongan yang menentang agama terakhir ini yang berusaha bermatian untuk memadamkan cahayanya. Maka adalah jelas di sisi seorang Muslim bahawa agamanya adalah agama Allah yang terakhir. Dia terbeban dengan amanah besar ini. Dia diwajibkan berjihad demi agamanya itu. Dia bahkan, tidak boleh teragak-agak lagi. Akhlaknya adalah benar dan ikhlas. Tidak boleh berkata apa yang dia sendiri tidak buat. Kata dan perbuatannya adalah sama. Zahir dan batinnya adalah sama. Dirinya adalah dirinya sepanjang masa tanpa nifaq dan ragu-ragu. Dia konsisten dalam perjuangan dan keikhlasannya. Itulah akhlak yang agung.

Surah al Saff yang isi besarnya adalah bertujuan memperteguhkan konsep amanah agung yang dibebankan ke atas umat Islam ini telah dimulai dengan perkhabaran tentang kumat-kamit tasbih dan kalimat-kalimat pujian dan penyucian oleh seluruh makhluk Allah di langit dan bumi terhadapNya daripada sebarang kekurangan. Ia adalah satu isyarat yang mengilhamkan rasa kebersamaan di sisi umat Islam bahawa risalah Islam yang dipikulnya itu adalah satu amanah kewujudan seluruhnya. Ia adalah satu perjuangan menegakkan akidah isi alam seluruhnya dan kemenangannya adalah kemenangan buat seluruh alam yang tunduk dan menuju kepada Allah, Tuhan sekalian alam.

Kemudian Allah terus mengutuk keras terhadap satu kejadian yang berlaku di kalangan satu kelompok umat Islam yang dibenci-Nya iaitu kejadian menolak untuk melakukan perkara yang mereka katakan. Mengikut satu riwayat oleh Ali bin Talhah daripada Ibnu Abbas bahawa segolongan orang beriman sebelum diturunkan kefardhuan berjihad telah berangan-angan dan berkata, jikalah Allah tunjukkan kepada mereka sebaik-baik amalan lalu mereka akan segera beramal dengannya.Allah lalu mengkhabarkan Nabi-Nya bahawa amal yang terbaik adalah beriman dengan-Nya tanpa ragu-ragu dan berjihad menentang musuh-Nya. Tatkala diturunkan ayat jihad, segolongan mereka menjadi keberatan dan membencinya. Allah memurkai sikap mereka lalu menurunkan ayat di atas.

Ayat ini walaupun diturunkan di dalam isu jihad, tetapi ia bukan khusus bertumpu kepada semata-mata soal jihad, bahkan ia meluas dan merangkum ke semua aspek dan lapangan kerja umat Islam bahawa Allah membenci dan memurkai sifat munafik yang merosakkan binaan peribadi muslim yang mulia iaitu sifat benar di dalam akhlak dan tingkah lakunya dan sentiasa sama di antara luar dan dalamnya.Justeru ayat pertama bermula dengan kecaman terhadap satu sikap yang keji iaitu berkata-kata terhadap perkara yang tidak dilakukan. Ayat kedua kemudiannya menambahkan kepanasan kecaman itu dengan membayangkan kemurkaan-Nya dengan kalimah 'al maqt' yang bermaksud kemarahan yang melampau.

Ayat seterusnya merujuk kepada kejadian asal yang dimurkai iaitu perihal menolak jihad di jalan Allah. Ada tiga kesinambungan yang disebutkan di dalam ayat perang itu. Ia bukan hanya perang, bahkan hendaklah di jalan Allah. Ia pula hendaklah dalam satu saf dan jamaah. Ia juga mestilah teguh, penuh konsisten dan istiqamah. Tiga ikatan yang bersambungan inilah yang dimaksudkan dengan jihad yang disukai oleh Allah.

Cukuplah peringatan dan saranan Allah s.w.t di dalam ayat terakhir surah al-Saff : 




"Wahai orang-orang yang beriman! Jadikanlah diri kamu pembela-pembela (agama) Allah sebagaimana (keadaan penyokong-penyokong) Nabi Isa ibni Maryam (ketika ia) berkata kepada penyokong-penyokongnya itu: Siapakah penolong-penolongku (dalam perjalananku) kepada Allah (dengan menegakkan agamaNya)? Mereka menjawab: Kamilah pembela-pembela (agama) Allah! (Setelah Nabi Isa tidak berada di antara mereka) maka sepuak dari kaum Bani Israel beriman, dan sepuak lagi (tetap) kafir. Lalu Kami berikan pertolongan kepada orang-orang yang beriman untuk mengalahkan musuhnya, maka menjadilah mereka orang-orang yang menang"


Jadilah pembantu Allah. Perolehilah kemuliaan besar ini. Pengajaran adalah jelas bahawa seruan di dalam ayat di atas adalah demi membangkitkan jiwa orang-orang yang beriman dengan Allah yang diamanahkan untuk memikul beban dakwah ini agar terus bersedia dan siap siaga di dalam menolong Allah dan agama-Nya. Allah s.w.t menjanjikan kemenangan terhadap mereka yang menyahut seruan iman ke atas musuh mereka. Kemenangan akhirnya adalah menjadi milik pembantu Allah yang beriman.